As Salam
Setelah beberapa artikel kebelakangan ini saya lebih selesa menulis di dalam bahasa inggeris, kali ini say ingin menulisnya dalam bahasa kebangsaan kita sendiri. Walaupun sumber maklumat saya kebanyakannya di dalam bahasa pengantara kedua negara kita tetapi bukanlah satu masalah untuk menulisnya di dalam bahasa Malaysia.
Kali ini seperti biasanya saya tidaklah berminat untuk menyebut mana-mana nama atau di mana ianya berlaku kerana bukan orangnya yang menjadi masalah kepada saya tetapi isu di sebalik kejadian-kejadian tersebut. Mungkin ramai yang masih ingat beberapa minggu lalu negara kita 'digemparkan' dengan 'kejadian' sepasang suami isteri yang baru berkahwin. 'Masalah' dan 'dosa besar' yang mereka lakukan adalah berkahwin dalam usia yang 'terlalu' muda iaitu suaminya berumur 23 tahun dan isterinya berusia 'baru' 14 tahun. Hampir setiap hari isu ini keluar di dada-dada akhbar kerana 'besarnya' dosa yang mereka lakukan sehingga menteri kita yang menjaga berkenaan hak-hak wanita dan NGO-NGO berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan tidak menyokong 'tindakan' yang diambil oleh pasangan muda ini.
Walaupun mereka berkahwin dalam keadaan yang memenuhi semua syarat yang diperlukan oleh undang-undang negara ini tetapi kerana 14 tahun itu dikira kanak-kanak oleh mereka, perkahwinan ini menjadi satu dosa besar yang tidak boleh dibenarkan berlaku lagi. Sehingga pada satu ketika, pihak menteri ini memberi 'nasihat' kepada pihak mahkamah agar tidak menjadikan perkara ini menjadi kebiasaan di negara kita. Secara peribadi saya tidak nampak pun masalah di sebalik perkara ini kerana semua pihak yang terlibat di dalam perkahwinan ini sudahpun memberi restu mereka dan bukankah itu juga dikira sebagai hak peribadi mereka?
Ke depan sedikit beberapa minggu dan negara kita sekali lagi gempar dengan penemuan video aksi lucah di antara dua kanak-kanak bawah umur di mana si lelaki dalam lingkungan 9 tahun dan perempuannya 11 tahun. Gemparnya bukan dari segi masalah kebejatan akhlak mereka ini tetapi orang gempar kerana ada yang berjaya memiliki video ini dan 'seronok' menontonnya. Kemudian satu lagi kes berlaku di mana seorang ibu muda yang mengandung dalam lingkungan 24 minggu ditikam bertubi-tubi oleh kekasihnya (diulang: kekasihnya) di rumah perempuan tersebut dan sedang tenat di ICU.
Kemudiannya, seorang gadis 14 tahun mati disyaki dibunuh oleh dua orang remaja lelaki yang juga lebih kurang sebaya dengan gadis itu. Dan jangan lupa kes GRO yang sudi menjual anaknya yang masih di dalam kandungan kepada pembida tertinggi. Ke semua kes-kes di atas boleh dikelaskan dalam satu kumpulan yang sama: isu jenayah seksual dan ketirisan akhlak. Yang tidak memeranjatkan ialah, menteri yang beria-ia mengeluarkan kenyataan berkenaan pasangan kahwin muda di atas tidak pula berkata apa-apa tentang kes-kes yang lain.
Apakah masalahnya? Saya melihat bahawa masyarakat kita kelihatannya lebih 'selesa' dengan kisah mungkar sehingga responnya tidak seberapa tetapi menjadi 'ketakutan' bila ada orang cuba untuk melakukannya dengan cara yang betul. Apakah beza akhlak di antara pasangan cilik beraksi lucah, remaja 17 tahun mengandung luar nikah atau kanak-kanak lelaki yang disyaki membunuh dengan seorang kanak-kanak yang juga lebih kurang mereka yang mahu terus berkahwin?
Kesilapan besar bagi kita jika kita mengadaptasi akhlak dan norma masyarakat yang berseronok dengan seks bebas dengan nilai agama kita. Namun begitu, melalui isu-isu yang terbaru ini, seolah-olah kita sudahpun berada dalam lubang-lubang dosa itu. Masyarakat kita perlu ada jati diri. Menteri kita perlu ada jati diri. Jangan mudah tunduk dan patuh kepada desakan norma luar yang bagi kita nilainya lebih buruk dari binatang. Biarlah mereka menganggap kita apa sekalipun selagi mana apa yang dibuat selari dengan kehendak agama. Saya tidak terkejut sekiranya pasangan yang berkahwin di atas tidak berkahwin dan beranak luar nikah, tiada siapa pun yang akan kisah kerana perkara itu bukanlah dosa dari mata norma jahiliyah yang diadaptasi kebanyakkan masyarakat kita.
Dan sekiranya ada pihak yang beria-ia mempertahankan norma-norma agama ini, pastinya ada bergerombolan manusia pula yang menyalak kebebasan dan hak asasi manusia untuk masuk neraka dan menjahanamkan diri mereka. Jadi bukankah orang-orang yang memilih untuk mengikut agamanya juga ada hak kebebasan itu? Atau hak kebebasan ini hanya terpakai untuk pengikut jahiliyah untuk mempertahankan diri mereka dari agama dan Tuhan mereka. Agaknya mampukah mereka menjerit hak kebebasan bersuara bila mereka di depan Tuhan mereka? Sememangnya saya pun tiada hak untuk menahan sesiapa untuk memilih jalan yang mereka suka dan bersuara tetapi mereka perlu faham juga yang orang-orang seperti saya juga berhak untuk berkata-kata
Termangu saya memikirkannya dan tiba-tiba terasa lucu.