FADHILAT KORBAN
Bagi yang masih ingat-ingat lupa pasal korban, so aku bg info sikit berkenaan korban pulak...Semoga dengan penjelasan yang serba sedikit ini dapat membantu kefahaman kita semua tentang ibadat Qurban serta keinginan untuk sama-sama mencari pahala kedua ibadah ini akan meningkat.
PENYEMBELIHAN KORBAN
Korban ialah penyembelihan binatang korban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat ‘Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (surah al-Haj:36)
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah.” (Surah al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:“Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.” (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata: “Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakahUdhhiyah (Qurban) itu?
Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.”
Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita?
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.”
Mereka bertanya: “maka bulu yang halus pula?
Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.”(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
HUKUM KORBAN
- Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
- Islam
- Merdeka (Bukan hamba)
- Baligh lagi berakal
- Mampu untuk berkorban
PERLAKSANAAN KORBAN
- Binatang yang dikorbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang berumur 2 tahun, jika biri-biri telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
- Binatang itu disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung atau baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang hendak disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
- Waktu menyembelihnya sesudah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah selesai solat ‘Id dan 2 khutbah pendek, tetapi afdhalnya ialah ketika matahari naik segalah pada Hari Raya Haji sehingga 3 hari sesuadah Hari Raya Haji (hari-hari Tastriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
- Daging korban sunnat, orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging korbannya. Pembahagian daging korban sunnat terdapat 3 cara yang utamanya adalah mengikut urutan seperti berikut:
- Lebih utama orang yang berkorban mengambil hati binatang korbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan
- Orang yang berkorban itu mengambil 1/3 daripada jumlah daging qurban, 2/3 lagi disedekahkannya.
- Orang yang berkorban mengambil 1/3 daripada jumlah daging, 1/3 lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan 1/3 lagi dihadiahkan kepada orang yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w: “Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah.”
HIKMAH DAN FADHILAT
- Menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
- Mendidik jiwa kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
- Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
- Menghapuskan dosa dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
- Menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik.
- Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat.”
p/s: InsyaAllah, ada rezki nanti aku akan cuba buat ibadah korban