Jumaat, 21 Ogos 2009

Kelebihan Bulan Ramadhan

0 ulasan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa seperti yang telah diwajibkan ke atas manusia sebelum kamu, moga-moga kamu semua bertaqwa." (surah al-baqarah:183)

Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.

Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!

Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).

Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
  • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
  • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
  • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
  • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
  • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)

Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)

Wallahu 'Alam.

Selasa, 18 Ogos 2009

Adat Vs Syariat : Hukum Memakai Inai

0 ulasan
Assalamu'alaikum...

Dengan nama Allah ku memulakan penulisan ini. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menciptakan 7 petala langit dan 7 petala bumi. Selawat serta salam buat Rasul utusan terakhir penutup sekalian Nabi, Nabi Muhammad s.a.w. Posting kali ini berkenaan dengan hukum memakai henna (inai).



Hal ini telah pun berkali-kali ulama' memperkatakan berkenaan hukum memakai henna (inai), tetapi masih ada lagi dikalangan masyarakat melayu khususnya yang beragama Islam melakukannya, samaada inai yang berupa awan larat atau daun yang diukir di atas tapak tangan wanita mahupun inai yang dipakai oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan. Biasanya bagi pengantin lelaki, mereka hanya memakai pada 3 jari sahaja. Kenapa 3 jari sahaja? dan inilah yang dikatakan adat.


Dr. Yusuf al-Qordhawi menyatakan ulama' berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita. Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa. Inai di rambut lelaki adalah harus. Perlu di ingat di sini adalah penggunaan inai, bukannya penggunaan pewarna rambut dan ternyata hukum mewarnakan rambut selain menggunakan inai adalah haram.

Diriwayatkan dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada Baginda s.a.w. Lalu baginda melihat tangan itu seraya bersabda: "Aku tidak tahu samada ini tangan lelaki atau perempuan". Perempuan itu menjawab: "Aku ialah seorang wanita". Baginda bersabda: "Sekiranya kamu seorang wanita, berbezalah dengan memakai henna (inai) di jarimu". (hadith riwayat Abu Daud)

Mazhab Hanbali berpendapat bahawa penggunaan henna (inai) diharuskan untuk mewarnakan pada mana-mana bahagian anggota badan kecuali di kepala samada kepada lelaki ataupun perempuan.

Manakala mazhab syafie pula berpendapat bahawa lelaki diharuskan memakai henna (inai) pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali tangan dan kakinya. Walaubagaimanapun ia dibenarkan sekiranya melibatkan hal-hal perubatan atau darurat. Perempuan yang berada di dalam iddah kerana kematian suaminya juga dilarang memakai inai.

Imam an-Nawawi dalam fatwa al-Majmu' berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai hennai di tangan dan kaki mereka.

Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula, lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh anggota mereka kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.

Pendapat ini berdasarkan dalil dari hadis yang diriwayatkan daripada
Khawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah s.a.w memberitahu kepada Ummu Salamah, "Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna (inai) kerana ia juga adalah wangian." (diriwayatkan oleh At-Tabrani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma'rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa seorang mukhannath (khunsa) yang mewarnakan tangannya dengan henna (inai) dibawa ke hadapan Rasulullah. Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Rasulullah, lelaki ini cuba menyerupai wanita." Lalu lelaki itu dihalau dari al-baqi' (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Kenapa dia tidak dibunuh?" Lalu baginda s.a.w bersabda: "Aku dilarang membunuh mereka yang bersembahyang."
(diriwayatkan oleh Abu Daud, sahih Al-Jaami', 2502)

Berdasarkan 3 hadis di atas, wanita diharuskan memakai inai pada tangan dan kai mereka tetapi berwaspada sekiranya tujuan pemakainya adalah untuk seperti memakai wangian dengan tujuan tabarruj, maka ia adalah haram.

Hadis yang pertama dan ketiga, bahwa galakan Rasulullah s.a.w menyuruh kaum wanita untuk memakai inai pada tangan adalah untuk membezakan antara lelaki dan perempuan. Di sini datang pula hadis Nabi bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki.



Bagaimana pula hukum memakai inai yang berukir di tangan. Sekarang ini ramai perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan berupa awan larat ataupun daun. Kita lihat dan nilai berdasarkan hadis Nabi ini :-

Dari Ibnu Umar r.a katanya: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan Baginda mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu."
(hadis bil. 2003 : Sahih Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)"
(hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)

Jelas Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz: "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu adalah kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul di hujung jari."

Mengenai penjelasan hukum memakai inai baik lelaki mahupun wanita samada di hujung jari mahupun ukiran awan larat atau gambar,sudah jelas hukumnya berdasarkan pendapat ulama' dan dalil yang diberikan. Tetapi masih ada lagi dikalangan masayarakat yang melakukannya. Nak kata tidak diberi penjelasan, saya kira sudah berbuih mulut ustaz-ustaz mahupun ulama'-ulama' mengatakan tentang hukum tersebut. Jangan sampai kita menolak syariat semata-mata untuk mengikut adat. Apa gunanya kita beragama Islam, apa gunanya kita bermazhab jikalau kita tidak mengikuti syariat dan hukum yang telah ditetapkan. Sama-sama kita renungkan wahai pembaca yang budiman....

Wallahu 'Alam.

Sumber :-
Kitab Sahih Bukhari.
Kitab Sahih Muslim.
Kitab Sahih Al-Jaami'
http://www.zaharuddin.net

Ahad, 9 Ogos 2009

Perjuangan Kita

0 ulasan
Assalamu'alaikum, salam perjuangan buat semua...

Dengan nama Allah ku memulakan penulisan. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ku panjatkan syukur kepadaNya. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Segala puji bagi Allah dan izinNya setelah menyepi sekian lama, dapat saya meneruskan kembali penulisan ini. Posting kali ini berkenaan dengan perjuangan kita. Apakah sebenarnya perjuangan itu? Kenapa kita berjuang? Untuk apa kita berjuang? Adakah perjuangan itu di medan perang semata-mata? dan apakah kita sedar, adakah perjuangan kita ini memperjuangkan kalimah Allah atau sebaliknya? Banyak persoalan yang timbul di sini.


Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan susah atau senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam keadaan yang bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya seperti perubahan-perubahan cuaca bagi manusia. Yang penting umat Islam dapat hidup di dalam apa jua suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan wang yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau anda berada di dalam keadaan terhimpit dan tertekan, jangan lupa perjuangan kita adalah menegakkan kalimah Allah. Begitu juga kalau anda sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin, adakalanya kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada waktu yang lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalan hidup ini tidak sepatutnya mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada orang yang lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia sangat sempit kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang cantik. Ada orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini setelah banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia kaya, menjadi orang yang berharta, menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak pula menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar negerinya. Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya menegakkan kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap atau sisa buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di dalam golongan kuffar ada golongan miskin, golongan muslim juga ada golongan miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di dalam apa jua keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang akan mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina ukhwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran, bina sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah. Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah Allah. Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita kuatkan ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari kita tambah ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Mari kita beri kesedaran kepada masyarakat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Pendek kata apa sahaja yang kita lakukan adalah mendaulatkan hukum hakam Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan di atas muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa yang hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan. Bukankah kepada kita semua???? Renungkanlah....

Ayuh!!! bangun berjuang. Kalau anda tidak mahu berjuang mendaulatkan hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku 2 perkara : pertama, hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau kedua, Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari anda untuk menegakkan kalimah Allah. Mahukah anda jadi hina kerana tidak berjuang??? Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya dimasuki perompak dan kerena tidak berani membela dan melawan maka anak isterinya dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan peristiwa itu seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan dia akan berkata:

"Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini rupa."

Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati, maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang muslim yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika orang-orang yang menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat untuk berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih baik mati kalau hidupnya pun tiada guna dan erti, kerana sama dengan mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin raput dan membusuk. Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang besar-besar suatu ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada orang-orang yang jiwanya pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat, perjuangan itu bukan hanya dengan slogan dan pekikan. Atau menamakan parti kita parti Islam. Tetapi perjuangan itu ialah berbuat kebaikan dan kebajikan dan menegakkan hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga, masayarakat dan negara. berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan merestui dan orang mukmin akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk dagingnya dan telah tanggal tulang-tulangnya. Ia akan menjadi tanah, tempat pemakaman sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa inilah kita tanam phon-pohon Toyyibah yang baru. Pohon-pohon Toyyibah yang akan diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya harap kitalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi menegakkan dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah لا اله الا الله محمد رسول الله Takbir!!! ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR WALILLAHILHAMD...

Wallahu 'Alam.
 

Maha Agung Tuhan Pencipta Keindahan Alam Copyright © 2008 Black Brown Pop Template by Ipiet's Blogger Template