Kami dijadualkan untuk bertolak dari UiTM Shah Alam pada jam 5 petang. Namun atas pengurusan bas yang tidak teratur, bas kami lewat tiba. Peserta-peserta mula hilang sabar dan membuat keputusan untuk menikmati minum petang di restoran yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Pada jam 6.45 petang, bas yang kami tunggu tiba di UiTM Shah Alam dan kami memulakan perjalanan kira-kira jam 7 petang.
Di dalam perjalanan ke sana, kami berhenti seketika di R & R Rawang untuk menunaikan Solat Maghrib. Perjalanan ke Kem Lembah Genting mengambil masa kira-kira 3 jam. Ia merupakan perjalanan yang lama adalah berikutan jalan raya yang sesak dan licin akibat hujan yang turun sejak petang lagi.
Kami tiba di Kem Lembah Genting pada jam 10.30 malam. Ketibaan kami disambut oleh pelatih-pelatih kem. Abang Wan, salah seorang daripada pelatih di situ memperkenalkan diri beliau dan juga pelatih-pelatih yang lain dan memberikan sedikit taklimat ringkas tentang keselamatan diri di sewaktu berada di kem. Selepas mendengar penerangan daripada Abang Wan, kami disajikan dengan makan malam yang sungguh enak. Selepas itu, kami menunaikan Solat Isyak dan berkumpul semula di dewan.
Di dewan, kami bermain 'Indoor Game' yang dinamakan 'KETAYAP'. Cara untuk bermain permainan ini, kami harus membilang bermula dari nombor 1 dan setiap peserta ke-3,peserta tersebut harus menyebut 'KETAYAP' sambil menggayakan seorang yang sedang memakai ketayap. Bagi peserta yang ke-4 dan ke-5 harus menyebut nombor masing-masing dan yang ke-6 harus menyebut 'ketayap'. Peserta yang gagal akan terkeluar dan peserta yang terakhir meninggalkan gelanggang ialah pemenang. Juara bagi permainan Ketayap ialah Mohd Amirul Said.
Seterusnya, kami LDK di mana kami dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan perlu merangka sebuah pulau idaman masing-masing yang dilengkapi dengan semua kemudahan. Saya ditempatkan dalam Kumpulan 1 bersama-sama Yin, Didi, Sidi, Sofar, Wawa, dan Pn. Norbaiti. Selepas masa yang diberikan tamat, kami diminta membentangkan hasil pemikiran kami pada juri-juri iaitu Abang Jijoe, Abang Wan dan Sarjan. Setelah tamat pembentangan oleh kelima-lima kumpulan, kami mengambil beg dan ditempatkan di dorm masing-masing. Selepas menyiapkan diri dengan pakaian tidur, kami tidur dengan lena akibat kepenatan oleh perjalanan yang jauh.
Pada keesokan harinya, kami menunaikan Solat Subuh bersama-sama. Selepas itu, kami menjalankan aktiviti Senamrobik dengan bimbingan pelatih-pelatih kem. Kami juga diberi penerangan tentang denda yang akan dikenakan apabila terdapat peserta yang melanggar arahan pelatih. Denda-denda tersebut diwakilkan dengan nombor 1,2,3,4 dan 5. Selepas itu, kami diberi masa untuk sarapan dan menyiapkan diri dan berkumpul semula di tapak perhimpunan pada jam 8.30 pagi.
Seterusnya kami memulakan aktiviti 'outdoor' yang pertama iaitu Jungle Trekking dan Survival Cook. Sebelum bertolak, setiap kumpulan diberi tugasan untuk membawa barang-barang mentah seperti telur, beras, sardin, kentang, roti dan serbuk teh. Dengan bimbingan Abang Wan, kami merentas sungai dan naik ke daratan. Kami berkumpul di tapak yang agak lapang. Tugasan diberikan kepada semua peserta. Ada yang perlu mengumpulkan tanah liat, daun pisang, buluh, kayu api, membasuh beras, dan mengambil air. Manakala selebihnya mencari tapak yang sesuai untuk kumpulan masing-masing memasak dan membersihkan kawasan sekitar tapak itu.
Daripada tunjuk ajar oleh Sarjan, kami berjaya menghidupkan api. Sebelum menghidupkan api, beberapa biji telur ditanam berhampiran dengan api. Apabila api sudah mula besar, kami meletakkan buluh yang berisi beras dan buluh berisi air. Setelah setiap kumpulan dibekalkan dengan dapur dan senduk daripada buluh yang dibuat oleh Abang Jojie, kami meletakkan sardin didalamnya bersama-sama dengan telur. Apabila air sudah masak, serbuk teh dimasukkan ke dalam buluh bersama-sama gula secukup rasa. Setelah beberapa jam di dalam hutan, kami makan tengah hari dengan makanan yang telah dimasak tadi. Terdapat dua kumpulan yang nasi nya masih mentah. Atas belas ihsan pelatih-pelatih kem, mereka diberikan nasi goreng, iaitu makanan sarapan pagi tadi. Aktiviti ini sungguh mencabar emosi para peserta kerana api sukar untuk dinaikkan akibat kayu api yang basah berikutan hujan yang lebat pada malam sebelumnya.
Selepas menikmati makan tengah hari, sekali lagi kami berkumpul dan Abang Jijoe menunjukkan Perangkap Bunyi yang dicipta oleh beliau dengan menggunakan buluh dan akar. Selain itu, beberapa peralatan lain seperti tong air, chopstick, seruling dan wisel rusa yang dibuat daripada buluh turut ditunjukkan kepada kami.
Seterusnya, para peserta melalui kawasan paya. Setiap peserta perlu merentas kawasan tersebut. Keseluruhan badan para peserta diselaputi lumpur. Selepas kesemua peserta selesai merentasi kawasan paya, kami menuju ke sungai dan diberi masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan pakaian dan badan masing-masing. Selepas itu, kami menuju ke dorm dan membersihkan diri sebelum Solat Zohor.
Selepas Solat Zohor, kami memulakan sesi ke-2 aktiviti 'outdoor'. Daripada 5 kumpulan yang asal, Kami dibahagikan sekali lagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada peserta kumpulan 1 & 2. Manakala selebihnya adalah ahli kumpulan 2. Ahli kumpulan pertama membuat aktiviti 'Flying Fox' manakala kumpulan 2 membuat aktiviti Laluan Berhalangan.
Semasa membuat aktiviti 'Flying Fox', Abang Wan memberi tunjuk ajak tentang cara untuk memakai tali keselamatan dan kedudukan semasa sedang melakukan aktiviti tersebut. Selepas kesemua peserta selesai, kami menuju ke tapak di mana aktiviti Laluan Berhalangan dijalankan.
Antara halangan yang terdapat dalam aktiviti itu ialah, berjalan di atas tiang, merangkak di dalam lumpur, memanjat dinding, halangan bertayar dan meniti di atas tiang. Semasa meniti di atas tiang, kami diminta menyanyikan 2 buah lagu. Lagu yang kami nyanyikan ialah Wawasan Setia Warga UiTM dan Enjit-enjit Semut versi Kak Limah.
Selepas melepasi semua halangan, kami menuju ke sungai dan bermandi-manda di sana. Kira-kira jam 6 petang, kami pulang ke dorm dan menyiapkan diri untuk Solat Asar.
Selepas Solat Maghrib, kami makan malam dan menunaikan Solat Isyak apabila masuk waktu. Kami meneruskan aktiviti iaitu LDK 2 selepas Solat Isyak. Di dalam kumpulan masing-masing, kami diberikan tugasan untuk membuat sketsa yang di selitkan dengan tarian dan nyanyian. Antara tajuk-tajuk yang diberikan ialah 'Remaja Dulu dan Sekarang', 'P. Ramlee', 'Silap Mata', 'Negeri Kelantan' dan 'Lakonan Semula Aktiviti di Kem Lembah Genting'. Kami diberi masa 45 minit untuk mencari idea dan membuat latihan sebelum membuat mempersembahkan di atas pentas.
45 minit kemudian, setiap kumpulan mempersembahkan sketsa di atas pentas dengan diadili oleh 2 juri. Ternyata pelajar-pelajar UiTM adalah sangat kreatif kerana dengan masa yang singkat, setiap kumpulan berjaya memberikan persembahan yang menarik perhatian juri dan para penonton. Kesemua yang hadir untuk menyaksikan persembahan amat berpuas hati dan berasa sangat seronok melihat telatah peserta-peserta di atas pentas. Setelah tamat aktiviti LDK 2, kami diberi masa rehat selama 30 minit sebelum memulakan aktiviti 'Indoor Game' yang ke-2.
Permainan ke-2 diberi nama MAFIA. Permainan ini menguji pemerhatian para peserta tentang perubahan karaktor seseorang selepas diberikan tanggungjawab yang besar. Permainan ini memerlukan pemerhatian yang amat teliti. MAFIA diberi kuasa untuk mengeluarkan 2 orang peserta dan peserta-peserta lain harus meneka siapakah MAFIA. Setelah tamat permainan, kami menuju ke dorm masing-masing untuk berehat bagi menghadapi hari yang berikutnya.
Pada hari ke-3, kami melakukan senamrobik selepas menunaikan Solat Subuh dan bersarapan. Pada jam 9 pagi, kami memulakan aktiviti seterusnya iaitu, 'Treasure Hunt'. Kami diminta mengenalpasti nama samaran pelatih-pelatih kem. Setelah berjaya, kami diminta menyelesaikan tugasan yang diberikan sebelum mendapat tanda tangan pelatih kem tersebut. Setelah berjaya mendapatkan kesemua tanda-tangan, kami perlu berkumpul di tapak perhimpunan.
Antara aktiviti yang perlu kami lakukan ialah, Reka Cipta menggunakan bahan semulajadi, 'Rock Line', 'Fear Factor Kem Lembah Genting', 'Pening Lalat' dan 'Mencari Telur'. Di dalam aktiviti Fear Factor, peserta-peserta dikehendaki makan Bawang Putih, bawang merah, halia, belacan, lada hijau dan minum telur mentah dan teh yang tidak diisi gula. Manakala di dalam aktiviti mencari telur, peserta perlu mencari 8 biji telur di dalam lumpur dan telur telah disorokkan di dalam tanah liat. Tetapi, peserta perlu memasukkan tangan ke dalam poket dan mengambil menggunakan poket.
Selepas selesai, kami melakukan aktiviti yang terakhir iaitu 'River Crossing'. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan dan setiap peserta perlu mengharungi sungai dengan panduan tali yang disediakan oleh pelatih kem. Apabila semua peserta selesai menertas sungai, kami dibenarkan untuk mandi di sungai buat kali terakhir sebelum pulang.
Selepas menunaikan Solat Zohor dan makan tengah hari, kami berkumpul untuk Majlis Penutup. Di dalam majlis ini, pelatih kem telah menyatakan bahawa kami adalah peserta terbaik sepanjang mereka menguruskan kem di Lembah Genting. Para peserta dari setiap kumpulan menerangkan pengalaman masing-masing semasa menjalankan aktiviti 'Treasure Hunt'. Hadiah-hadiah telah diberikan kepada setiap kumpulan dan cenderahati dari peserta Kem Mesra disampaikan kepada Abang Jijoe oleh pensyarah pengiring, Pn. Norbaiti.
Sebelum membuka hamper dan membahagikan makanan dan bersama-sama ahli kumpulan, kami mengambil gambar sebagai kenangan. Kami berkumpul di dewan selepas menunaikan Solat Asar dan mengemaskan pakaian.
Semasa di dalam bas sebelum memulakan perjalanan pulang, semua peserta kelihatan sedih untuk meninggalkan Kem Lembah Genting yang telah meninggalkan 1000 kenangan bagi kami. Saya bagi pihak PMKE ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelatih-pelatih di Kem Lembah Genting kerana telah menyediakan aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan. Terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian Pn. Norbaiti bt Sidik atas kesudian peliau mengiringi kami sepanjang perjalanan kem. Kepada peserta-peserta kem, terima kasih atas kesudian anda semua menyertai aktiviti anjuran PMKE. InsyaAllah, program seperti ini akan diteruskan dan kalian dijemput untuk turut memeriahkan lagi aktiviti yang akan dijalankan kelak.
Wassalam...
MOHD FIRDAUS BIN ISMAIL
Presiden
Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Elektrik (PMKE)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
HARI PERTAMA
a) Perjalanan Pergi
c) Makan Malam
d) Indoor Game 1 : 'Ketayap'
e) LDK 1 : 'Pulau'
HARI KEDUA
a) Senamrobik
b) Jungle Trekking + Survivor Cook