Rabu, 9 Mac 2016

Jangan abaikan peranan PIBG


Oleh Ahmad Adam

GOMBAK – 15 tahun yang lalu, bila Daud Ibrahim dipilih sebagai Naib Yang DiPertua PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, Batu Caves Selangor, beliau beranggapan itu sebagai hal biasa.
Mengapa tidak, jarang sangat beliau mendengar peranan PIBG mampu mencorakkan landskap baru kepada sekolah-sekolah.

Paling banyak, Jawatankuasa PIBG hanya mempu mengadakan mesyuarat enam kali setahun, itu pun, merupakan mesyuarat yang lazimnya membincangkan soal-soal sumbangan kewangan kepada program sekolah.

Itu sebab, apabila dipilih, Daud tidak menolak amanah tersebut kerana tidak terfikir untuk menjadi penceramah motivasi keibubapaan seperti yang diharunginya kini.

Ia bermula dari idea bekas Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Dayang Fatimah Abang Naruddin yang mahukan PIBG sekolah-sekolah daerah Gombak menubuhkan Majlis Permuafakatan PIBG.

Beberapa sesi perbincangan diadakan dan akhirnya 104 sekolah termasuk SRJK dijemput untuk menganggotai majlis ini yang dikenali sebagai Majlis Permuafakatan PIBG Gombak (MPPIBG).

Idea ini mendapat sokongan dari Datuk Seri Noh Omar dan beliau merasmikan penutupan Konvensyen MPPIBG di Morib dalam tahun 2014.

Dari situlah, Yang DiPertua (YDP) PIBG sekolah-sekolah duduk berbincang dan memulakan langkah dengan mengadakan program keibubapaan yang diisi satu slot ‘motivasi keibubapaan’.

Menurut Daud, MPPIBG yang dipimpin Saiful Yazan Sulaiman (YDP PIBG SK Taman Melawati 2) selaku Presiden membuka peluang kepada sekolah-sekolah untuk mengundang penceramah dari kalangan YDP-YDP dari sekolah-sekolah di Gombak untuk menjadi penceramah.

Pada mulanya Daud hanya hadir sebagai pendengar kepada ceramah-ceramah yang diberikan oleh Azahar Mamat (bekas YDP PIBG SK Bukit Raman Putra), Khairi Arifin (PIBG SMK Ideal Height) dan beberapa orang lagi, tetapi akhirnya Daud mencuba bakat memberi ceramah.

Kini, Daud sudah memberi ceramah lebih dari 40 sekolah, termasuk beberapa sekolah yang sudah dihadiri lebih dari tiga kali, atas permintaan Pengetua, YDP PIBG dan ibubapa sendiri.

Kata Daud, beliau sudah ke kawasan Parlimen Tenggara (PPD Kulai dan PPD Kota Tinggi, Johor) untuk memberi ceramah kepada 51 sekolah, yang turut dihadiri YDP PIBG, Guru Besar, Pengetua, Pegawai PPD dan Ahli Parlimen, Datuk Halimah Mohamad Sadique.

YDP SK Bandar Mersing dan SMK Tun Habab Kota Tinggi juga pernah mengundangnya.
Menurut Daud, selain dari peajar-pelajar diberikan motivasi, ibubapa juga perlulah turut disentuh jiwa mereka, agar mereka dapat berkongsi rasa dengan guru-guru dan anak mereka bagi mencapai kejayaan bersama.

“Antara yang saya tekankan dalam ceramah saya ialah, jika kita sayang anak, kenapa kita tidak sayang sekolah. Kalau kita ingat anak, kenapa kita tidak ingat sekolah. Kalau kita cinta anak, kenapa kita tidak cinta sekolah,” katanya.

Namun, selepas bergelar penceramah motivasi keibubapaan, hidup Daud benar-benar berubah. Tiada hari Sabtu yang ‘kosong’ tanpa ceramah.

Boleh dikatakan, setiap Sabtu, ada sahaja sekolah yang mengundangnya. Lebih menarik, pernah satu hari beliau diundang 17 buah sekolah serentak tetapi, 14 darinya terpaksa ditolak kerana beliau hanya mampu memenuhi tiga sahaja.

“Masalah masa yang menyebabkan saya tidak mampu memenuhi setiap undangan walaupun hati kecil saya tidak ingin menghampakan jemputan tersebut,” ujarnya.

Kini, Daud amat bersyukur jika ada sekolah yang mengadakan program pada Jumaat dan Ahad, selain Sabtu.

Katanya, undangan pada Jumaat dan Ahad, biasanya memang tidak ada. Jadi, kalau ada sekolah-sekolah yang sanggup mengadakan program pada hari berkenaan, beliau tidak keberatan memenuhinya.
“Saya akan terus menerima undangan, walaupun dari luar Gombak, kerana saya mahu pengalaman yang saya ada dapat dokongsi bersama ibu bapa lain.

“Ibu bapa bukan tidak mahu dating ke sekolah untuk menyokong program-program tetapi mereka tidak diberi kefahaman mengapa mereka mesti dating ke sekolah, apabila diundang,” katanya.
Beliau tidak mahu PIBG diabaikan dalam PPPM.

Daud memberitahu aktivitinya ini turut dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang tidak melarang beliau untuk terus aktif memberi ceramah keibubapaan.

Tiada ulasan: