Perjanjian yang ditandatangani perlu diperakui dan dihormati. Belum pernah orang yang waras akalnya melanggari perjanjian yang ditandatangani sendiri. Jika kerajaan melanggar perjanjian tentulah kesannya adalah lebih buruk.
Baiklah... mari kita nilaikan isu perjanjian ini dengan kita ambil contoh perjanjian sewa beli rumah antara pembeli dan bank.
Jika pembeli melanggari perjanjian sewa beli dengan pihak bank, maka pihak bank sewajarnya diperbolehkan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. Begitu juga sebaliknya jika pihak bank melanggari perjanjian sewa beli tersebut. Ini kerana mana-mana perjanjian yang telah dimeterai perlulah diperakui dan dihormati oleh semua pihak yang terlibat.
Jika isu pelanggaran perjanjian sekecil ini pun boleh mendatangkan masalah yang besar sehingga boleh dibawa kemana-mana mahkamah untuk tujuan prosiding, maka tentulah mana-mana perjanjian yang lebih besar termaktub dalam lingkungan perundangan yang sama.
Oleh yang demikian marilah kita nilaikan isu perundangan yang boleh diambil kira dalam isu berkaitan dengan perjanjian melibatkan pihak Kerajaan Malaysia seperti dibawah ini.
1. Perjanjian Damai Hadyai (2 Disember 1989)
Perjanjian damai Hadyai ini adalah diantara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Perjanjian ini semua pihak tahu akan kandungannya. Namun pihak Kerajaan Malaysia nampaknya tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani oleh mereka sendiri malah mengambil tindakan bertentangan dengan semangat perjanjian damai.
2. Akta Kemajuan Petroleum 1974
Akta Kemajuan Petroleum 1974 merangkakan beberapa garispanduan serta perjanjian antara Petroliam Nasional (Petronas) dengan semua Kerajaan Negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang mana termaktub didalamnya hak-hak Kerajaan Negeri untuk mendapat 5% bayaran royalti petroleum jika terdapat operasi carigali minyak dan gas di kawasan negeri tersebut. Perjanjian ini yang sah dan nyata telah ditandatangani dan dipersetujui oleh semua pihak telah dilanggari oleh Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia sendiri tidak melunaskan tanggungjawab memastikan perjanjian sebesar ini dipatuhi.
Jika Kerajaan Malaysia sendiri berani untuk melanggar perjanjian yang ditandatangani olehnya, maka tidak mustahil mana-mana syarikat dan individu juga berani melanggar perjanjian. Janganlah anda terkejut dengan kes ramainya peminjam MARA yang melanggar perjanjian dengan tidak mahu membayar balik pinjaman. Ini kerana mereka menerima pakai konsep "Kepimpinan Melalui Tauladan"
Saya nasihatkan semua pihak (terutamanya pelabur asing) supaya menjauhkan diri dari melabur di Malaysia kerana pihak Kerajaan Malaysia terkenal dengan sikap melanggari perjanjian yang ditandatangani. Selagi mana Kerajaan Malaysia masih lagi ingkar dan tidak menghormati perjanjian yang telah ditandatangani, maka selagi itulah sewajarnya mana-mana pihak mengelakkan dari berurusan dengan Kerajaan Malaysia.
"Kepimpinan Melalui Tauladan" hanyalah retorik semata-mata. Kerajaan Malaysia sendiri tidak mengamalkannya bagaimana pula rakyat perlu mengamalkannya. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.