-
- Tyson ketika mengerjakan umrah di Makkah.
"ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki.
Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak
tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong
itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul
rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.
Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan
lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima
tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.
Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike
Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak
jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu,
sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar
untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia
sekeluarga berpindah.
Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi
faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara
juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike
Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau
bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada
setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.
Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara
kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick.
Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia.
Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual
terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10
Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.
Belajar Islam di penjara
Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum.
Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata,
'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'.
Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun
anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang
sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding
di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni
perlu mencari perlindungan melalui Islam."
Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat
mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari
agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.
Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang
dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas
menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan
menghormati.
Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi
dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield
pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9
juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya
semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.
Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama
kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur
CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama
kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau
berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah
dengan penuh penghayatan.
Doa setiap hari
Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila
Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid
Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam,
barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.
"Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.
"Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang
benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk
bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.
Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup
dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon
ampunan ALLAH setiap hari.
Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di
depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat
tangan.
Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat
memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan
ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati
menjadi peliharaannya.
Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya,
Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan
berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las
Vegas.
"Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana
lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya.