Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, July 31, 2013

Generasi muda usah lupakan jasa perwira



Generasi muda 

usah lupakan jasa perwira

 

 
Rakyat wajar kenang 
pengorbanan pasukan keselamatan
 
 


Putrajaya: Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama diminta memberi penghargaan sewajarnya kepada anggota pasukan keselamatan yang berkorban jiwa dan raga mempertahankan kedaulatan negara selama ini.
 
 
 


Sempena sambutan Hari Pahlawan hari ini, masyarakat terutama generasi muda diminta tidak melupakan sejarah negara dari sebuah negara berhadapan ancaman komunis serta subversif kepada sebuah negara aman dan merdeka. 
 
 
 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata penghargaan itu perlu dizahirkan sama ada dalam bentuk bantuan atau sokongan sebagai tanda bahawa rakyat tidak pernah melupakan jasa pahlawan negara terdahulu. 
 
 
 
 


“Tujuan utama sambutan Hari Pahlawan tentunya untuk mengenang jasa pejuang dan pahlawan negara yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara.
 
 
 


“Namun pada masa sama, kita mengajak orang ramai turut sama mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka untuk menguatkan lagi semangat anggota pasukan keselamatan tidak kira Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun rakan kita dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,” katanya pada sesi wawancara khas sempena Hari Pahlawan di sini, kelmarin.
 
 
 


PDRM atur acara
 
 
 


Katanya, walaupun sambutan Hari Pahlawan amat sinonim dengan pasukan keselamatan, sambutan itu juga diadakan untuk memperlihatkan kepada generasi kini dan akan datang bahawa jasa dan pengorbanan wira negara terdahulu tidak pernah dilupakan dan terus dihargai. 
 
 
 
 

“Secara tradisinya, acara kemuncak sambutan akan dilakukan secara bergilir-gilir sejak 1968 antara PDRM dan ATM diadakan di Tugu Negara, namun sambutannya berubah ke Dataran Merdeka sejak 2010 bagi memenuhi tuntutan agama.
 
 
 


“Pada sambutan kali ini, PDRM dipertanggungjawabkan mengatur segala acara sambutan dan sambutan Hari Pahlawan sudah bermula sejak 26 Julai lalu melalui khutbah khas Hari Pahlawan di Masjid Negara,” katanya lagi.
 
 
 


Hormati jasa, pengorbanan
 
 


Khalid berkata, walaupun pada Ramadan, sambutan tahun ini tetap diteruskan sebagai menghormati jasa dan pengorbanan wira terdahulu, termasuk perjuangan terbaru PDRM dan ATM adalah ketika Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini.
 
 
 


Difahamkan, acara unik pada sambutan kali ini selain bacaan doa serta deklamasi sajak, persembahan pantomin mengenai tragedi yang berlaku di Lahad Datu akan menjadi acara kelainan pada Hari Pahlawan tahun ini.
 
 


Sambutan Hari Pahlawan juga diadakan untuk hargai pengorbanan wira negara yang bukan saja terkorban malah tercedera dan mengalami kecacatan fizikal ketika berjuang di medan perang.
 
 


Pada sambutan yang akan dihadiri Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri hari ini, seramai tujuh orang akan dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Panglima Gagah Berani (PGB) (15 orang) dan pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) (30 orang). 
 
 
 
 
Sumber


Teruskan membaca..

:)..

Ya Allah, 

jadikanlah Ramadhan 

yang kami lalui ini 

sebagai madrasah untuk kami

 mentarbiyah jasad,

 akal dan ruh kami 

sehingga semuanya tunduk

 dan pasrah di bawah 

pengawasanMu. 

Permudahkanlah

 untuk kami mengutip 

bahan-bahan yang 

cukup bernilai dan berharga

 di dalamnya sehingga 

kami dapat menghasilkan 

produk yang benar-benar

 berkualiti dan diterima di sisiMu.

Amin Ya Rabbal Alamin

 

 

 

Teruskan membaca..

Tuesday, July 30, 2013

Kemuncak Ibadah


Malam yang lebih baik 

daripada 1000 bulan




Perbanyak beriktikaf
 dalam masjid mencari lailatulqadar





Ramadan adalah antara rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang beriman. Malah, Allah menyediakan malam-malam kemuncak yang disebut al-‘Asyar al-Awahir iaitu 10 malam terakhir Ramadan. 




Malam ini untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan qiyam Ramadan. 





Sabda Nabi SAW: 





“Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka telah diampunkan baginya dosa-dosa yang lampau.” 


(Hadis Muttafaqun ‘Alaih)






Teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah dengan menjadikan 10 malam terakhir Ramadan sebagai kemuncak ibadah berbanding malam lain. Nabi SAW akan menghidupkan malam itu dengan ibadah iktikaf, solat dan berzikir kepada Allah SWT.






Saidatina ‘Aisyah berkata: 




“Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tibanya 10 Ramadan terakhir Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikatan kainnya.”


 (Riwayat Muslim)





Ketatkan ikatan kain



 

Maksud mengetatkan ikatan kain pada pandangan ulama ialah meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama isteri-isteri Baginda. Manakala pandangan yang lain menyatakan, Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadah dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan. 






Hadis ini juga jelas menceritakan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan. Nabi SAW bukan saja menghidupkan malamnya secara berseorangan, tetapi Baginda mengajak ahli keluarga untuk tidak terlepas mengecapi kemanisan ibadah pada malam itu. 





Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan adalah malam mulia, manakala sepuluh hari terawal Zulhijjah adalah sepuluh waktu siang termulia bagi umat Islam.






Dr Yusuf al-Qardhawi menerangkan, 10 malam terakhir Ramadan dianggap mula kerana dua sebab, Nabi SAW akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan. 



 

Nabi SAW bersabda:




 “Ya Allah
 jadikanlah sebaik-baik umurku 
pada pengakhirannya, sebaik-baik 
amalanku pada penghujungnya dan 
sebaik-baik hari apabila 
aku bertemu dengan-Mu.” 


(Riwayat al-Haithami 
dalam Majma’ al-Zawaid) 





Pengajaran daripada hadis ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga ibadah dilakukan pada malam Ramadan terutama apabila telah memasuki 10 malam terakhir. 





Adalah sedikit mendukacitakan apabila seorang hamba memulakan ibadah hanya pada malam awal dan pertengahan Ramadan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam 10 terakhir. 





Kemuncak ibadah waktu malam



 

Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya. 






Allah SWT menjelaskan dalam 
firman-Nya yang bermaksud:




 “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Adakah kamu mengetahui apakah malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam lailatulqadar) sehingga terbitnya fajar.”



 (Surah al-Qadr, ayat 1-5)






Nabi SAW bersabda:



 “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” 


(Riwayat Bukhari) 





Ulama termasuk salaf al-soleh berbeza pendapat dalam meletakkan malam tertentu bagi lailatulqadar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menjelaskan dalam karyanya Fath al-Bari bahawa terdapat 39 pandangan dalam memperkatakan penetapan malam lailatulqadar. 





Sebahagian kecil ulama berpendapat malam lailatulqadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan. Namun jumhur ulama Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat, malam lailatulqadar berlaku pada salah satu malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan. 





Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: 



“Carilah ia (malam lailatulqadar)
 pada sepuluh terakhir Ramadan.” 



(Riwayat Muslim) 




Imam al-Nawawi berkata: 



“Sesungguhnya malam lailatulqadar itu terdapat pada mana-mana malam pada sepuluh terakhir yang tidak jelas waktunya bagi kita. Walaupun begitu ia berada hanya pada satu malam tertentu saja yang telah ditetapkan sehinggalah ke hari Kiamat. Namun malam-malam ganjil adalah yang paling diutamakan dan yang paling hampir dalam malam-malam ganjil itu pada pandangan Imam al-Syafi’i ialah pada malam ke-21.” 



(Dinukilkan dalam kitab al-Majmu’) 






Sebahagian besar ulama berpendapat
 malam lailatulqadar berlaku pada malam ke-27. Pandangan ini dinyatakan oleh
Ibn Abbas dan sebahagian besar 
sahabat bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufya, 
Nabi SAW bersabda mengenai malam
 lailatulqadar: 



“Ianya pada malam ke-27 (Ramadan).” 


(Riwayat Abu Daud) 




Namun terdapat hadis lain juga menerangkan malam lailatulqadar berlaku pada malam ganjil iaitu malam 23, 25 dan 29. 






Kesimpulannya malam lailatulqadar tidaklah diketahui bilakah waktunya namun kita disuruh oleh Nabi SAW untuk mencarinya dengan melakukan ibadah pada 10 malam yang terakhir Ramadan. Hal ini bertepatan sunnah Nabi SAW yang memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.



Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/10malamterakhirRamadankemuncakibadah

 

 

 

Teruskan membaca..

Lima ujian gugat keimanan umat Islam

Lima ujian 

gugat keimanan umat Islam


Sabda Rasulullah SAW: 




Sesungguhnya orang Mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan itu.”


 (Riwayat al-Hakim) 


Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.
Ujian dijadikan Allah untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaran-Nya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan serta tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut saja.





Diuji lima perkara



 

Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama sentiasa dengki terhadapnya, orang munafik yang membencinya, orang kafir sentiasa memeranginya, syaitan berusaha menyesatkan dan bisikan hawa nafsu yang menggoncang keimanannya. 






Semuanya ini menuntut kesabaran dan dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT. 





Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia ia perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah serta terbitnya perasaan kecewa atau putus asa. 





Allah SWT berfirman yang bermaksud:




 “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” 


(Surah al-Insyirah, ayat 6) 





Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

 

 

 

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LimaujiangugatkeimananumatIslam/Article/index_html

 

 

 

 

Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...