Teman Bicara

Sunday, January 17, 2010

Perginya Seorang Bakal Pejuang

"Assalamualaikum...Sahabat2, mohon doakan sahabat kita, adik fadhiri yang terlibat dalam kemalangan subuh tadi. Keadaan beliau belum diketahui dan kini sedang dirawat di slim river. Seorang sahabatnya, akh fairol telah meninggal di tempat kejadian. Al-Fatihah"


Bagai tersentak di pagi Isnin yang damai. Ana sedang bersiap untuk ke sekolah, sesi petang. Jam 9 pagi, berita tersebut sampai kepada ana. Segera terbayang wajah adik fadhiri yang sentiasa ditundukkan, di hadapan ana. Ana segera menghubungi seorang sahabat yang rapat dengan fadhiri, presiden rakan surau. Maklumat terbaru, beliau ditempatkan di hospital Teluk Intan, sedang koma. Niat hati memang ingin pergi menjenguk namun, apa daya. Memikul amanah rakyat, ditahan keinginan. Ingin memohon cuti, masih tidak layak. Cuti off record pula hanya untuk kes kecemasan keluarga terdekat. Galau hati.

Dalam perjalanan ke sekolah, ana menerima berita. Adik fadhiri mengikut jejak langkah sahabatnya, kembali ke rahmatullah. Gugurnya seorang bakal pejuang yang berhemah. Nasib saja ketika itu di dalam teksi, masih boleh mengempang emosi.

Arwah fadhiri yang ana kenal, seorang yang prihatin dan berlemah lembut. Berhemah dan matang dalam bertindak. Hanya beberapa kali bersua namun, perihal arwah sering menjadi santapan telinga. Ana turut kerap berkunjung ke blog arwah, yang menjadi penyambung jariahnya di sana, InsyaAllah.

Ahmad Fadhiri

Semoga beliau termasuk dalam golongan insan yang dimuliakan Allah, diberi perlindungan dan kemudahan di alam kubur. Dipermudahkan urusan timbal amal, serta diberatkan neracanya kepada kebaikan. Semoga Allah sayangkan arwah berdua, Ahmad Fadhiri dan Faizol.

Terasa bertuah pula mengadapNya di usia muda, di saat ibubapa masih sempat memberi redha. Juga, perhitungan amal sepanjang usia yang masih singkat. Bayangkan jika menemu ajal di saat usia 70 tahun, satu-persatu pula amal akan dihisab. Seksanya.

'Ya Allah, panjangkan usiaku dalam kebaikan. Jika masa depanku bergelumang kemungkaran, tariklah nikmat usia ini. Lindungi keluarga dan diriku dari murka Mu'


"JANGANLAH KAMU MENGIRA BAHAWA ORANG-ORANG YANG GUGUR DI JLN ALLAH ITU MATI, BAHKAN MEREKA HIDUP DISISI TUHANNYA DENGAN MENDAPAT REZEKI , MEREKA DALAM KEADAAN GEMBIRA DISEBABKAN KURNIA ALLAH YG DIBERIKAN-NYA KEPADA MEREKA DAN BERGIRANG HATI TERHADAP ORANG-ORANG YANG MASIH TINGGAL DI BELAKANG YANG BELUM MENYUSUL MEREKA, BAHAWA TIADA KEKHUATIRAN TERHADAP MEREKA DAN TIDAK PULA MEREKA BERSEDIH HATI. MEREKA BERGIRANG HATI DENGAN NIKMAT DAN KURNIA YG BESAR DARI ALLAH DAN BAHAWA ALLAH TIDAK MENYIA-NYIAKAN PAHALA ORG2 BERIMAN" (SURAH ALI-IMRAN :169-171)

[+/-] Teruskan pembacaan...