19.06.02- Tanah tinggi Cameron sudah banyak kehilangan“Englandnya”
berbanding dengan era awal tahun 80an semasa saya tinggal di sini.
Air tasek dan sungai-sungainya keruh likat berlumpur serta tercemar.
Rimbun teduh hijauan hutannya banyak sudah yang rebah,bukit-bukau
ditarah punah.Semua atas alasan sangat klise rakyat perlukan pembangunan.
Apa yang dibangunkan saya pun tak tahu,tetapi yang sangat pasti ada pihak yang
rakus mengejar mewah.Maaf saya meminjam kata-kata hikmat Ah Jib Gor
puak-puak pemusnah alam ini adalah HARAM JADAH.
Putaran kipas angin ditahap kuasa dua serentak dengan pendingin hawa
terpasang,Mail Serau sudah lena diulit mimpi.Badannya dibungkus baju
sejuk dan dua helai baju biasa.Bersarung tangan serta bersetokin,selimut
tebal bilik hotel Jasmin membungkus badan beliau bagaikan buah nangka
bersalut kemas.Saya bercelana pendek,selimut sekadar membungkus
paras pinggang ke bawah.T Shirt lengan panjang saya memadai sebagai
perisai kepada kesejukan hawa yang tidak dingin itu.Mata terkebil-kebil
menatap langit-langit bilik hotel 118.Liat untuk tidor walau pun angka
jam sudah hampir pukul 1.00 pagi.Racau fikiran saya bukan sekadar
sedihkan nasib yang menimpa Cameron Highland tetapi ada yang lebih
daripada itu.Hati kecil saya dijentik cuak.Cuak adakah saya masih
berupaya melakukan tugasan esok hari.Pada takah usia sekarang lasak
lagi ke saya,sebagaimana dahulunya?.Saya memanjatkan doa semoga
diberikan keupayaan oleh Allah.Irama lagu country This Old Road nyanyian
Kris Kristofferson menjadi runut menghantar saya ke alam lena setelah
berhempas pulas memujuk mata supaya berehat.
Bersambung.....