Tuesday, January 26, 2010
DOA SATU SENJA
seharian fikiran buntu
tepu
kerut dahi bergaris
denyut ubun-ubun
entah apa
entah kenapa
entah siapa
di mana silapnya?
sujud pertama
sebak
sujud kedua
menggelegak
sujud ketiga
membuak
akhirnya tertumpah
usai pengabdian senja
kepada pemilik alam pereka takdir manusia
hanya satu aku minta buat seluruh keluarga
jika hidup ini bukan derita semata
selitkanlah bahagia di hujung cerita.
25 Januari 2010
20:30pm
Labels:
2010,
vitamin hati
Saturday, January 23, 2010
VIRUS PENAWAR
lalat oh lalat
kenapa engkau
suka mengacau
meracau sasau
timbang akal senget
dacing hati rosak
atau itu caramu bergurau?
virus tak mampu meresap
bernanah berulat
jiwaku tertelan vaksin
pelali serangga perosak
pemangkin antibodi
membuak
meletus gunung berapi
aku takkan mati
orang putih kata
yang tak memanggil maut
boleh jadi ubat kuat
penambah perisa
garam gula
sedikit asam jawa
rencah hidup
perjalanan berjaya
seorang manusia
23 Januari 2010
21:20pm
Labels:
2010
Thursday, January 21, 2010
ARUS
dalam pelayaran yang baru kumulakan
hadir sama dua peneman
seorang datang menawarkan diri
seorang lagi hadirnya kucari
peneman pertama dan peneman kedua
kontra punca perkenalan mereka
berbeza jantina memang ketara
bercanggah pendapat lumrah dunia
seorang wanita punya ketegasan
seorang lelaki terselit kelembutan
di akhir senaraiku yang berjela
tercatat satu persamaan mereka
satu kebetulan satu suratan
pabila laut bertukar wajah
kedua-duanya ghaib entah ke mana
meninggalkan aku terumbang-ambing
mengemudi bahtera di tengah gelora
16 Disember 2003
Labels:
2003
LUPA
aku selalu tersenyum sendiri
mengimbau kenangan-kenangan riang
bergelar anak kecil
tak mungkin dapat kembali
kekadang aku terlupa sekejap
perang dingin pernah berbahang
sementara lidah berehat
merawat luka
penat bertikam
kekadang aku sengaja terlupa
kita pernah tak bertegur sapa
waima berbalas senyum
hanya menunduk
jalan jadi saksi
kawan berdiam diri
kekadang aku betul-betul terlupa
bintang mana yang membawa kita
melayang ke dekad lalu
tapi aku tak pernah lupa
hutang tak dapat kulunaskan
harga sebuah persahabatan
sejak kita dilahirkan.
25 Disember 2004
*edited on 21/01/2010~14:20pm
Labels:
2004
SIARAN ULANGAN
cerita itu diulang lagi
dalam versi belainan
olahan berbeza
sutradara yang sama
cerita itu diulang lagi
bertemakan dendam tanpa mata
berwatakkan imaginasi tanpa suara
berlatarkan fantasi tanpa cahaya
berklimakskan tragedi tanpa hati
cerita itu diulang lagi
mencari nilai-nilai tersembunyi
mewarnai kanvas kehidupan
lalu kasih di sisi terus mekar
mewangi atas nama tanggungjawab.
13 Februari 2006
-malam-
Labels:
2006,
hikayat cinta
Wednesday, January 20, 2010
GILA 19 MINIT
hei kamu!
mana nak pergi?
mahu lari?
kenapa terhenti?
takut dibenci?
siapa peduli.
20:40
aku
perlu
kamu
perlu
aku
mahu
kamu
mahu
aku
hanya
kawan.
20:52
mata keluar air
air tak tumpah
kering
bukan di pipi
tapi hati
20:53
kenapa ingat mesti rindu
kenapa sayang mesti kasih
aku ingat rindu kamu
aku sayang kasih kamu
cinta?
kurang sikit lebih tidak
20:56
bila sunyi terhidu sepi
bila riuh terbau bising
bila makan?
makin lapar.
20:59
20 Januari 2010
20:40-20:59 pm
Tuesday, January 19, 2010
TAK PUTUS
orang kata
air dicincang takkan putus
tetak sekuat hati
patah parang terhenti nadi
arus tetap bertali
dongak menadah langit
tunduk mencengkam bumi
kekasih kata
cahaya dicincang takkan putus
padam punca
pecah suis utama
gelap gelita?
alam tetap bermegah
matahari terbakar
bulan tumpang cerah
19 Januari 2010
15:20pm
Labels:
2010
Wednesday, January 13, 2010
BAYANGAN KEKASIH
malam tadi tidurku lena
tanpa dia
ulang tayang
minta dilepaskan
aku bahagia
menjadi sahabatnya
hanya itu
selayaknya untukku
entah kenapa
celik pagi ini
terbayang dia
terbiasa
ringan hati menitip selamat
seperti pagi-pagi sebelumnya
tika dia masih kumiliki
tapi tidak lagi kini
pendam segalanya
elak salah sangka
kuatkah aku
menebang pokok cinta
menanam benih cekal
sebuah persahabatan
mesti cuba
perlu berjaya
kerana itu juga
yang terbaik untuknya
kemahuan semua.
13 Januari 2010
11:30am
Labels:
2010,
hikayat cinta
Tuesday, January 12, 2010
EPILOG PERASAAN
bila tiada lagi cinta
manis pun tawar
kelat
payau
mungkin betul pilihan
aku kau putuskan
kau aku lepaskan
aura tercicir di penjuru
4 tahun 4 bulan 4 minggu
tak guna dipaksa diri
memaksa hati
pedihmu memilukan aku
maaf andai kasihku
membunuh sayangmu.
12 Januari 2010
14:35pm
Labels:
2010,
hikayat cinta
Sunday, January 10, 2010
AIR MATA LANGIT
renyai menitik
reda sebentar
berjurai
berhenti sekejap
mencurah
teduh kembali
ulang rutin
lagi dan lagi
basah terpaksa redah
payung hilang
dipinjam orang tak pulang.
10 Januari 2010
19:00pm
Labels:
2010,
hikayat cinta
Friday, January 8, 2010
MAINAN TIDUR II
terima kasih kekasih
pemilik hati
pembakar diri
mimpiku kau jadikan realiti
dalam sunyi fantasi
pelik
lidahku kunci
menunggu bicara
jantungku mati
meresap degupan
mataku lari
membalas renungan
bila kau menjelma
skrin bukan lagi maya
dan tabir
bergantung semula
kenapa?
jangan dikejut lena
aku ingin terus bermain
terus bermimpi.
8 Januari 2010
15:43pm
Labels:
2010,
hikayat cinta,
mainan tidur
Wednesday, January 6, 2010
Monday, January 4, 2010
MAINAN TIDUR
semalam aku mimpi
skrin menjelmakan dia
sang putera
agak berbeza
dari sebelumnya
semalam aku senyum
merenung maya
gelak ketawa
senyumnya dia
bahagia
asalkan dia bahagia
hari ini
tabir jatuh
meleret
terseret
tak serik
aku masih senyum
terus berbunga
pejam mata
mengharap esok
indah mimpi
muncul kembali
4 Januari 2010
23:30 pm
Labels:
2010,
hikayat cinta,
mainan tidur
Subscribe to:
Posts (Atom)