Pergi Tak Kembali, Datang Tak Mahu Pergi.
Nen hadir secara mengejut. Tidak dijemput. Membawa rumput. Juga daun reput. Sungguh sibuk. Sungguh repot. Nen seekor kelicap kunyit.
Memang kusediakan sebuah rumah persinggahan, namun Nen lebih selesa membinanya sendiri. Nen tidak pernah mengkritik dan tidak banyak karenah. Sudah beberapa kali dia bertelur dan menetaskan anak. Ada ketikanya, waktu ribut, sarang yang tergantung terputus dan jatuh ke lantai. Aku sambung dan gantungkannya semula.
Nen pergi tak kembali lagi. Rumahnya masih menghiasi laluan keluar masuk rumahku, membuatkan aku sentiasa mengingatinya.
Kini, Kembang pulak menyerah diri. Datang dan terus tidak mahu pergi. Seekor kucing hitam berbulu kembang dan gemuk. Lagak Si Garfield. Apakah ini bermakna rezeki kan mendatang bila mereka menyerah diri.