Klu teka silang kata. Nombor 3, melintang. Ada tiga kotak.
"Jenis bulan cantik"
Jan, Feb, Mac, Apr, Mei, Jun, Jul, Ogo, Sep, Okt, Nov, Dis.
Bulan purnama, bulan sabit.....ahhh, semuanya cantik belaka. Jenuh memerah, otak aku tertidur.
Lenaku diganggu. World Cup? Tidak. Akan tetapi dek kerana asyik menangkap buih-buih pelbagai saiz. Dari yang sangat kecil, kecil, besar dan sangat besar. Bergelembung bulat. Cantik berkilat. Kukurungi ia di dalam kotak bersegi tanpa sempadan di telapak tangan. Kotak kecil yang boleh memuatkan dunia realiti. Hari-hari yang mendatang, kesemuanya perlu dituruti dan difahami. Kerana ada disebaliknya, keabsurdan dalam realiti. Absurd sekali.
Kupintal buih-buih itu menjadi aksara asmara. Berlekuk di atas. Menirus di bawah.
Kutenun pula menjadi bulan. Bulan dipagar bintang. Ya. Aku pasti tidak tersalah eja - Bulan dipagar bintang. Bukan Bulan dipagar binatang. Sangat menawan. Kulepaskan tinggi di kayangan. Hati tak keruan.
Di lapangan, kita berlari-lari riang di hujan renyai sambil mencari pelangi. Sesekali kutarik rambutmu. Kau tak marah padaku malah senyum berlirik. Ayunya, manisnya kau tika itu.
Kau pakai labuci kulit krustasia. Berkelip-kelip. Terkilat-kilat. Beropol-ropol. Berjuntai-juntai.
Kutarik benang untaian yang kau pakai. Pegang tak lepas. Kau tersipu. Hampir 100m telah kutarik. Kau semakin menjauh.
Benang terus-terusan kutarik. Merungkai habis ke buku benang. Bulan. Kau semakin jauh. Jauh di awang-awangan.
Tidak kuduga. Benang tidak tersimpul mati di bukunya. Tali terlepas. Kau hanyut di bawa bayu. Aku merayumu pulang.
Khabarnya. Kau jatuh di bumi anbia. Membawa kisah-kisah melankolik penduduknya. Jatuhmu memberikan harapan. Sedikit cahaya berkelip dari labuci kulit krustasiamu telah menerangi kegelapan angkara durja laknat, walau kau ditawan sebelum sempat mendarat.
Bulan. Kau kuutuskan ke sana. Selamat mendarat.
3 kotak teka silang kata kini kuisi.
Baca selanjutnya Kisahku...