Tuesday, December 29, 2009

KM Sarawak selar pembangkang " lapar kuasa"


Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyelar tindakan golongan tertentu yang bertindak untuk menghasut rakyat agar membenci kerajaan."Kita berpolitik untuk menentukan perjuangan kita dan tidak mengetepikan soal pokok untuk menolong rakyat. Sejak akhir-akhir ini, muncul golongan tertentu yang lapar dan dahaga untuk mendapat kuasa memekik sana sini menghasut rakyat."Kalau mereka mahu berjuang untuk rakyat dan negeri belajarlah bersungguh-sungguh bagaimana hendak berkhidmat kepada rakyat dan negara sebelum menjalankan perjuangan politik," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata ahli politik pembangkang membuat janji-janji kosong dan mendakwa mereka boleh melakukan keajaiban bagi menggembirakan rakyat dan pengundi.Sebagai contoh, mereka mendakwa boleh melindungi pelbagai perkara, mendapatkan lebih banyak wang daripada pembangunan tanah adat dan sebagainya, katanya. "Masa depan rakyat, dengan kesedaran bahawa lebih baik mereka menyokong BN berbanding ahli politik pembangkang yang banyak bercakap. Mereka tidak dapat buktikan kemampuan mereka untuk membantu rakyat," kata Taib di majlis perasmian mesyuarat agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Kuching hari ini.Sementara itu, Presiden SPDP Datuk Seri William Mawan Ikom menyeru semua komponen parti BN bekerjasama dari peringkat atas hingga ke akar umbi untuk menghadapi sebarang cabaran dan kritikan yang boleh menggugat keutuhan BN dan menukar corak politik negeri Sarawak."Tidak ada satu parti komponen boleh menganggap bahawa dia adalah lebih penting atau berkuasa daripada yang lain. Dalam keadaan susah atau senang, kita mesti bersatu dalam BN," katanya.Untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Mawan menyeru pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk menangani isu seperti pembangunan tanah, kaum Penan dan alam sekitar yang dimainkan pembangkang untuk memesongkan rakyat, khususnya di luar bandar."Saya berharap pemimpin SPDP di peringkat bahagian dan cawangan untuk mengambil tindakan proaktif dengan memberi penerangan lengkap kepada penduduk di luar bandar melalui sesi dialog dan perjuangan sosial di peringkat akar umbi untuk memastikan penyokong dan penduduk di luar bandar tidak terpengaruh dengan kempen pembangkang," katanya.
SUMBER :BERNAMA

Monday, December 14, 2009

Elektrik percuma dilanjutkan sehingga penghujung 2010

Oleh Mohd Norhadie Sahari

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata rakyat yang menggunakan elektrik RM20 ke bawah sebulan akan terus menikmati elektrik secara percuma sehingga penghujung tahun depan.
Beliau berkata, kabinet telah bersetuju untuk melanjutkan kemudahan ini yang akan memberi manfaat kepada golongan berkenaan.
“Rakyat yang mempunyai penggunaan elektrik di bawah RM20 sebulan akan terus menikmatinya secara percuma sehingga Disember 2010,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, kemudahan ini akan memberi manfaat kepada 1.05 juta pengguna atau pemilik rumah selepas kerajaan bersetuju memperuntukkan RM11.9 juta sebulan untuk memberi kemudahan terbabit.
“Ia akan diberikan sehingga penghujung tahun depan (Disember 2010) dan Kabinet akan melakukan penilaian semula mengenai program ini tahun depan bagi memastikan ia perlu dilanjutkan atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Chin lagi, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi tempoh setahun program tersebut dijalankan bermula Januari depan.
Dalam perkembangan lain, Chin berkata penyedia atau pengguna teknologi hijau kini boleh memohon skim pinjaman teknologi hijau sehingga mencecah RM50 juta.
“Penyedia teknologi hijau ini terutamanya syarikat asing yang ingin memohon skim ini mestilah mempunyai 51 peratus pemegang syer tempatan bagi membolehkan mereka layak untuk memohon,” katanya.
Chin menambah, antara kebaikan atau faedah bagi penyedia teknologi hijau yang memohon skim ini termasuk kerajaan membayar kadar faedah sebanyak 2 peratus.
“Jika ada pengguna tek-nologi hijau tempatan yang ingin memohon skim ini pula, maka mereka perlu memiliki 70 peratus pemegang syer tempatan dan dibenarkan meminjam sehingga RM10 juta,” katanya.
Sehubungan itu, penyedia atau pengguna teknologi hijau boleh memohon skim ini dengan menghubungi Jawatan-kuasa Lembaga Dana Tekno-logi Hijau di Pusat Teknologi Hijau Malaysia Bangi.
salah satu konsep yang diamalkan kerajaan negeri " Mesra Rakyat"
sumber : borneopost