Iklan

14 Februari 2017

Jalan Makan Jalan Makan Penang Edisi 2 : Makan Apa & Jalan Mana?

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you



Selamat Tahun Baru 2017 !

Nak kata baru tak baru lah jugak. Dah dekat sebulan dah kita dalam tahun baru 2017 ni. Dah masuk bulan Februari dah pun. Walaupun tahun dah berubah, perangai kau masih tetap sama & maintain macam dulu.

Benda yang tertangguh makin banyak, dah salah satunya catatan Jalan Makan Jalan Makan Penang untuk edisi yang kedua ni. Banyak yang abang dapat belajar pasal perkara yang tertangguh ni, dan salah satunya adalah selesaikan dulu perkara yang dapat hangpa selesaikan dalam masa 2 minit. Kalau benda tu pun kau tak boleh buat, maksudnya kau memang ada masalah dengan diri kau. Abang maksudkan diri abang la tu. 

Nak cerita benda lain terbagi ceramah motivasi pulak. Huhu.

Baik. Penceritaan abang secara rawak ja kali ni sebab gambaq semua ni abang ambik di hari yang berbeza. Tak sama macam Jalan Makan Jalan Makan Penang sebelum ni.





Samosa USM Penang


Tahukah anda dalam berbanyak jenis samosa yang ada di Penang ni terdapat satu samosa yang sedap depan pintu pagar USM di Sungai Dua?

Bagi warga Universiti Sains Malaysia kampus induk di Pulau Pinang, samosa Penang 'power' di pintu Sungai Dua pastinya tidak asing lagi bagi mereka. (Tiba-tiba pulak keluar ayat skima suratkhabar)

Hangpa sebut ja samosa di USM ni, tak kira pelajar atau pun staf di sini sudah pastinya membayangkan sejenis kuih berbentuk segitiga yang dijual dengan harga RM1.00 setiap satu ini. Terdapat beberapa jenis samosa yang hangpa boleh pilih dan cuba rasa. Antaranya adfalah samosa ayam, samosa sardin & samosa telur. Selain dari samosa, kuih tradisional masyarakat India seperti vadey pun turut dijual di sini.

Dibuka seawal jam 7.00 pagi sehingga lewat petang, samosa Penang USM ni boleh dijadikan juadah untuk bersarapan atau pun untuk minum petang. Nak buat makan tengahari pun tak ada masalah. Pekena dua biji pun dah cukup kenyang terlentang. Selalunya abang beli samosa USM ni selesai solat Jumaat. Baru rancak sikit nak makan.

Antara penipuan terbesar dalam ketamadunan manusia abang rasa datangnya dalam bentuk inti samosa. Yang abang jumpa di bazaar-bazaar Ramadhan tulis samosa ayam, tapi inti dia kentang semata-mata. Celah mana ayamnya abang pun tak tahu.

Jadi apa beza samosa Penang dan samosa di tempat lain? Inti samosa Penang langsung tak letak kentang ! Hanya bawang, rempah ratus dan isi ayam semata-mata ! Nampak macam mana baik punya promosi.

Dekat mana lokasi samosa Penang ni?

GPS Koordinat : 5.3528206,100.3024454

Hangpa cari pintu masuk USM di Sungai Dua di sebelah pulau. Pintu USM ni ada banyak. Cari pintu Sungai Dua dan samosa Penang ni ada dijual di kaki lima kedai-kedai buku depan tu. Kemaskini terbaru abang tengok dia dah meniaga di luar pulak. Tengok di tepi tempat parking ada pakcik mamu bukak khemah sambil menggoreng samosa.

Datang salah waktu terpaksa beratur la sikit. Kadang-kadang tu pelanggan yang mai bukan beli sebiji dua, tapi sekali angkut 10-20 biji. Kena tunggu la pulak pakcik tu goreng panas-panas balik.
Nak beli yang belum digoreng pun boleh. Kot la nak balik goreng kat rumah ka. Sebiji RM0.80. Pastikan bawa bekas sendiri, sebab pakcik ni tak sediakan bekas tupperware.





Kedai Samosa Penang depan pintu masuk Sungai Dua USM

Selain samosa ayam, samosa sardin & samosa telur, kuih tradisonal masyarakat India seperti vadey pun ada dijual.

Sebiji samosa dijual dengan harga RM 1.00 sebiji tak kira apa jenis.

Dulu samosa ni ada di kaki lima deretan kedai, sekarang ni dia buka payung di parking luar.


Jeti Nelayan Jelutong


Ada apa di Jeti Nelayan Jelutong?

Tak semua orang tahu Jeti Nelayan Jelutong dan sebenarnya tak ada apa yang menarik pun di sini untuk dilawati. Namun bagi abang-abang kamera atau peminat fotografi, kawasan Jeti Nelayan Jelutong pasti tidak asing lagi bagi mereka di Penang ni.

Jeti Nelayan Jelutong bukan merupakan tempat popular untuk hangpa cari makan tapi saja la abang sembang sikit untuk hangpa tau kat mana lokasi menarik yang hangpa boleh pi kalau mai pekena nasi kandaq ke Penang ni.

Lupa abang nak habaq, dekat Jeti Nelayan Jelutong ni ada kedai makan Gulai Sembilang yang agak popular di Penang ni. Tapi waktu tengahari ja lah dia ada. Sebelum ni abang tak tahu, baru-baru ni kawan abang bawak pi mai makan sini. Layan jugak lauk-lauk dia. Ikan sembilang abang tak makan pun sebab rupa bentuk ikan ni nak nampak lebih kurang ikan keli. Abang kan geli geleman sikit dengan ikan keli. Huhu.

Sebenarnya tak ada papan tanda khusus pun yang menunjukkan lokasi Jeti Nelayan Jelutong ni. Tapi yang betulnya ia terletak bersebelahan dengan Jelutong Expressway atau nama panjangnya Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kalau hangpa dari Georgetown nak menghala balik ke Jambatan Pulau Pinang atau pun sebaliknya mesti jumpa Jeti Nelayan Jelutong ni yang terletak di tepi laut !

Abang & kengkawan abang saja la mai melepak ambik gambar di sini. Bukan profesional mana pun, belajaq pakai kamera telefon ja. Hangpa kalau mai kena lebih berhati-hati sikit di jeti ni oleh kerana ianya merupakan jeti kayu yang lama, maka ada kayu-kayu yang rapuh tak pun tersilap langkah tersadung jatuh laut.

Abang dengar kata tak lama dah Jeti Nelayan Jelutong ni akan bertahan dek kerana isu pembangunan dan tambakan laut yang akan dijalankan. Buat masa sekarang boleh lagi la nak pi jenguk. Kena waktu boleh tengok pakcik-pakcik nelayan baru balik dari laut, bawa balik ikan segar. Kucing pun banyak kat sini.

Nak ambik gambaq abang rasa waktu yang sesuai adalah waktu awal pagi atau pun waktu menjelang senja. Dikhabarkan ada jugak geng-geng fotografi yang lensa mereka jatuh ke dalam laut.








Menjelang hening pagi di Jeti Nelayan Jelutong. 

Jeti Nelayan Jelutong yang menjadi tumpuan ketika waktu pagi atau pun senja kepada kaki fotografi.

Satu-satunya jeti nelayan yang masih wujud di kawasan Jelutong yang pesat membangun.

Di Jeti Nelayan Jelutong ni kita boleh masuk berjalan sampai ke hujung. Tapi kena berhati-hati sikit nak lintas di antara satu bongkah ke satu bongkah terapung yang lain. Silap gaya berenang dalam laut.

Laut yang tenang di waktu pagi di sekitar Jeti Nelayan Jelutong.

Bot-bot nelayan yang ditambat di Jeti Nelayan Jelutong. Tak nampak sangat penampakan nelayan waktu kami pi ni.

Jeti kayu lama yang dapat ditemui di Jeti Nelayan Jelutong ni seperti di Pulau Ketam.

Berhati-hati nak ambik gambar di kawasan Jeti Nelayan Jelutong ni. Dikahabarkan banyak kamera dan lensa yang dah jatuh dalam laut.

Penduduk tempatan mengalukan kedatangan pelancong yang nak ambik gambar di Jeti Nelayan Jelutong ni. Siap tunjuk suruh pi hujung jeti kalau nak ambik gambar lawa.

Suasana pagi di Jeti Nelayan Jelutong yang sempat abang rakamkan menggunakan telefon Lenovo abang.

Nasi Lemak Ali @ Lebuh Pantai


Nasi Lemak Ali? Siapa Ali? Bunyi macam biasa. Nama pun tak berapa nak 'catchy'. Tapi itulah Nasi Lemak Ali yang terletak di Medan Selera Sri Weld di Lebuh Pantai a.k.a Beach Street.

Apa yang menarik dan istimewanya Nasi Lemak Ali ni?

Sama jugak seperti nasi-nasi lemak biasa. Tapi yang specialnya Nasi Lemak Ali ni dibungkus di dalam daun pisang sepenuhnya. Jadi dia tak guna pembungkus kertas mahupun plastik. Jadi bau nasi lemak dia fuh mengancam ! 

"Alah ! Tempat lain pun ada nasi lemak daun pisang ni !"

Betul. Yang membezakan Nasi Lemak Ali dan nasi lemak lain adalah citarasa dia. Bagi abang sendiri memang kena la dengan selera abang. Dia punya aroma daun pisang tu yang syok !

Nasi Lemak Ali ni terdapat bermacam jenis lauk. Yang biasa macam sambal ikan bilis campur telur. Yang power sikit lauk sambal udang, ayam dan ikan masin. Pilih la mana-mana jenis nasi lemak yang anda teringin nak makan.

Sebungkus Nasi Lemak Ali ni berharga RM 1.80. Tak boleh pilih lauk macam nasi campuq. Dia dah siap bungkus dah. Tapi bungkus dia besaq-besaq. Pikir 2-3 kali jugak nak beli kalau kena harga macam ni. Haha. Dapat dua bungkus nasi lemak ni pun dah cukup kenyang dah.

Kedai Nasi Lemak Ali ni dibuka dari seawal pagi hingga waktu petang sahaja. Kalau mai belah malam memang tak ada harapan dah. Waktu hangpa mai tu memang ada kakak-kakak makcik-makcik yang tengah dok bungkus nasi lemak sepanjang masa.

Bagi pengunjung yang nak pekena Nasi Lemak Ali memang kena beli bungkus. Boleh jugak kalau nak makan, boleh lepak dalam Medan Selera Sri Weld tu. Tapi dia tak jual ayaq minum sekali.

Abang selalunya (padahal pernah beli sekali ja) beli bungkus bawa pi Esplanade Padang Kota yang tak jauh dari Lebuh Pantai ni. Alah port yang ada Mee Sotong dengan Coconut Shake tu.

Lepak sana makan nasi lemak sambil layan coconut shake & ais kacang baru la chara !







Senibina kolonial yang masih tersergam indah di Lebuh Pantai a.k.a Beach Street, Pulau Pinang.

Nasi Lemak Ali diberi nama nampak menggiurkan.

Nasi Lemak Ali dibungkus sepenuhnya menggunakan daun pisang. Wangi dia toksah cakap.

Ada beberapa jenis nasi lemak yang boleh dipilih di Nasi Lemak Ali. Sebungkus berharga RM 1.80.

Dari jalan besar Lebuh Pantai dah boleh nampak dah Nasi Lemak Ali ni. Harus cuba !


Penang Street Art @ Seni Jalanan


Abang rasa ramai yang dah tahu berkenaan hasil seni jalanan atau pun 'street art' yang terdapat di Pulau Pinang ini lebih-lebih lagi di kota seni jalanan Georgetown. Rugi siapa mai Penang tak singgah menjejaki hasil seni jalanan ini yang berselerakan di tembok mahupun dinding rumah lama. Tanya abang sendiri pun rasanya banyak lagi yang abang belum jumpa. 

Bagi mereka yang yang kali pertama nak datang ber-backpacking di Penang, abang nasihatkan hangpa menginaplah di Georgetown kalau nak senang memburu hasil seni jalanan ni. Selain di Georgetown, street art ni jugak ada merata-merata di sekitar kawasan pulau. Contohnya, di daerah Balik Pulau pun ada street art ni.

Antara lokasi & jalan utama yang terdapat hasil seni jalanan di Georgetown ini adalah di Lebuh Chulia, Lebuh Ah Quee, Lebuh Acheh & juga Lebuh Armenian. Abang tak kata jalan ni saja yang ada, jalan lain pun ada jugak tapi mungkin tak banyak. Kawasan inilah pelancong terjah sewa basikal sambil dok bergambar.

Nak sembang pasal seni abang bukanlah orang yang sesuai. Budak-budak seni mesti tau kot siapa artis di sebalik pembikinan hasil jalanan di Georgetown ni. Yang abang kenal sorang ja, nama dia Ernest Zacharevic. Mamat ni lah yang popular pun dan dialah yang mula-mula menghasilkan hasil seni jalanan di penang ni. Baru artis-artis luaq yang lain ikut.



Hasil seni jalanan atau 'street art' yang menghiasi tembok & dinding sekitar kota lama Georgetown di Pulau Pinang.

Hasil seni jalanan yang bertemakan 'kuih pau' ni memang banyak peminat dia. Terpaksa kena beratur kalau nak ambik gambaq. Sebelah dia memang ada kedai jual kuih pau pun.

Kadang-kadang kita tak perasan pun ada hasil seni jalanan di sesetengah lorong di Georgetown ni. Tengok ramai-ramai orang dok ambik gambar tu, kira ada la lukisan apa-apa tu.

Selain lukisan mural di dinding & tembok, ada jugak hasil arca yang diperbuat dari besi di sekitar Georgetown ni. Hasil arca ni selalu ada info-info yang menarik di sebalik tempat tu.

Dah jadi port Pokestop Pokemon pulak dekat kawasan mural ni.

Nak cari lokasi 'street art' di Georgetown ni sebenarnya dia takda tempat atau jalan yang khusus. Selalunya hasil jalanan ni akan ada sekitar Lebuh Armenian, Lebuh Ah Quee, Lebuh Chulia & Lebuh Acheh.

Ada hasil seni jalanan di Penang ni yang baru, yang lama & yang baru dibaik pulih.

Kalau penat nak berjalan pusing Georgetown, boleh sewa kereta ni. Tapi kena berkayuh sikit la. Ini pun salah satu punca kesesakan trafik di Penang.

Kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan menyewa basikal di sekitar Georgetown. Basikal tayar besar pun ada bagi siapa yang nak sewa.

Uncle ni rilek ja buat & jual origami kapal terbang. Tahukah anda ada beza origami dan poligami? Origami adalah seni melipat kertas, manakala poligami pula adalah seni melipat gandakan isteri.

Musim cuti sekolah hujung tahun digunakan sepenuhnya oleh adik-adik untuk berkunjung ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Georgetown, Pulau Pinang.

Salah satu hasil seni jalanan di Georgetown yang berkaitan dengan kempen kesedaran merokok.

Ini pulak hasil seni jalanan yang masih baru bertentangan dengan street art 'Budak Atas Motorsikal'.

Ni dia hasil seni jalanan 'Budak Atas Motorsikal' hasil karyawan Ernest Zacharevic yang sangat popular di Penang ni.

Hasil seni jalanan 'Jet Li & Kucing' ni semakin pudar dimakan waktu.

Yang ni nama apa pun abang tak pasti. Tapi hasil seni ni ada di lorong kecil berhampiran Lebuh Ah Quee.


Ais Kacang New World Park @ Swatow Lane


Dah letih jalan-jalan kayuh basikal cari mural street art di Georgetown? Hangpa dahaga? Dah tu takkan abang nak kena bagitau kot nak buat apa! Pi lah pekena ais kacang ka cendol ka apa dulu !

Sebelum ni abang dah cerita ais kacang dan cendol dekat-dekat Pasar Chowrasta yang popular tu, kali ni kita gerak pi jauh sikit. Ni nama dia Ais Kacang Swatow Lane yang terletak di New World Park. Bunyi macam kat Genting Highland bukan?

Yang kat Genting tu First World Hotel kak. Yang ni New World Park yang terletak di dalam bandar Georgetown jugak. Tak jauh pun sebenarnya kalau hangpa tahu jalan. Yang jadi masalaha bila tak tahun jalan nak pergi.

Kat mana lokasi Ais Kacang Swatow Lane ni dan apa yang special dia sampai abang dok buat promosi secara percuma ni?

Nak tengok dulu peta yang abang bagi ni. 





Apa yang menarik Ais Kacang Swatow Lane ni berbanding dengan ais kacang lain yang terdapat di Penang?

Ais kacang di sini ditabur dengan buah-buahan potong ! Maksud abang ada bermacam buah yang dia letak sekali dalam ais kacang tu kalau kita pesan 'Ais Kacang Special'. Ada la beberapa jenis buah jugak dia letak. Kalau ambik ais kacang biasa abang rasa dia tak letak buah-buah tu. Selain ais kacang, cendol pun ada jugak di sini.

Semangkuk ais kacang special berharga RM5.50. Cendol pulak RM3.50. Mungkin harga dia lebih mahal sikit la berbanding ais kacang di Pasar Chowrasta tu. Kalau rasa berat nak pergi tu abang nasihatkan tak payah pergi. Takut terpesan dua mangkuk pulak. Tak cukup.

Kalau yang jenis diet tu mai je makan buah kat kedai ni kalau tak makan benda-benda manis. Ais Kacang Swatow Lane ni terletak di dalam kawasan medan selera, jadi kalau taknak makan ais kacang boleh je ronda cari makanan lain yang ada.

Oleh kerana catatan ni abang dah peram sekian lama, jadi harga ais kacang untun tahun baru 2017 ni abang tak tahu. Kali terakhir abang pi makan ais kacang di Swatow Lane ni pertengahan tahun lepas.


Lokasi Ais Kacang Swatow Lane yang terletak di New World Park.

Contoh hidangan Ais Kacang Swatow Lane yang lengkap dengan pelbagai jenis buah-buahan.

Ini memang padu ! Semangkuk Ais Kacang Swatow Lane ni tak ingat pulak abang berapa Ringgit. Tapi tak koyak poket.


Selain ais kacang, buah-buahan potong segar pun ada dijual di sini. Sebab tu ais kacang dia ada buah-buahan !



Masjid Kapitan Keling Pulau Pinang


Rasanya dah banyak kali abang cerita pasal Masjid Kapitan Keling dalam catatan-catatan abang sebelum ini. Tapi dah termuat naik gambar masjid ni abang cerita jugaklah. Kang sat lagi ada bunyi suara halus di belakang,

"Sembang bab jalan ja! Bab masjid tak nak sembang !"

Masjid Kapitan Keling dah berusia hampir 217 tahun ni merupakan bekas masjid negeri Pulau Pinang sebelum adanya Masjid Negeri di Air Itam.

Tahukah anda nama asal 'kapitan' ni apa dia? Asalnya dalam bahasa omputih dipanggil 'captain', tapi telah di-Melayukan menjadi 'Kapitan' suatu ketika dulu.

Konsep Masjid Kapitan Keling ni jenis ruang terbuka. Jadi kalau hangpa masuk dalam pun, hangpa tak akan jumpa dinding batu yang besar. Yang ada pun tiang dan pintu gerbang. Sebab tu berangin ja bila hangpa lepak solat dalam ni. Tak guna air-cond pun dah sejuk dah.

Pengunjung luar mendengar penerangan ringkas yang diberikan berkaitan Masjid Kapitan Keling.

Sebelum adanya Masjid Negeri Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling menjadi masjid rasmi negeri.

Keindahan senibina India Muslim dapat ditemui di luar & di dalam Masjid Kapitan Keling.



Restoran Tajuddin Hussain @ Little India


Berhampiran dengan Masjid Kapitan Keling, terdapat beberapa restoran nasi kandar yang hangpa boleh serbu. Bukan, bukan Nasi Kandar Beratur. Nasi Kandar Beratur bukak waktu malam. Ni abang cerita sebelah siang.

Ni dia nasi kandar Tajuddin Hussain yang terletak di Lebuh Queen dalam kawasan Little India Penang ni. Nak cari lokasi taip ja nama restoran ni di Google Maps.

Bagi penggemar nasi kandar, abang syorkan hangpa pi pekena nasi kandar di Restoran Tajuddin Hussain setelah seharian bermain panas memburu hasil seni jalanan di sekitar bandar Georgetown ni. 

Apa yang istimewanya nasi kandar Tajuddin Hussain ni? 

Yang paling power depa kata kurma kambing dan ayam ros dia. Betul abang setuju. Abang pernah makan nasi tomato dan ayam ros dia. Memang power habis! Datang lagi sekali pun abang makan menu yang sama. Cuma tak sempat tangkap gambar bagi hangpa tengok.

Kalau hangpa nak mai makan sini kena mai dalam waktu tengahari camtu. Kedai nasi kandar lain boleh la 24 jam, kedai ni dibuka dari tengahari sampai ke malam ja. Yang rancak waktu tengahari la. Kadang-kadang kena tunggu giliran nak duduk makan.






Watak biasa yang memegang kalkulator di Restoran Tajudin Hussain.

Nasi kandar Tajuddin Hussain yang terletak di Little India Pulau Pinang tidak asing lagi bagi penggemar nasi kandar.

Muka depan Restoran Tajuddin Hussain. Gambar nasi tomato ayam madu yang abang makan tak sempat nak ambik sebab lapaq sangat.




Joez Coconut Jelly @ Jalan Dato' Keramat


Panas-panas teringin nak makan jeli kelapa? Dekat mana nak cari jeli kelapa atau coconut shake yang sedap dekat Penang ni?

Ada satu tempat yang abang syorkan di Georgetown ni. Nama kedai dia Joez Coconut Jelly yang terletak di Jalan Dato' Keramat, Penang. Bukan Dato' Keramat di Kuala Lumpur ya.

Hangpa pernah cuba rasa tak jeli kelapa? Haa selalu kita makan dalam plastik tupperware tu kan? Ni tak. Dia di dalam kelapa jeli dia.  Macam salah ja ayat abang ni.

Senang cerita dalam sebiji kelapa tu dah siap-siap ada jeli dalam dia. Hangpa cuma kena ambik sudu dan korek makan.

Abang memang gemar jenis-jenis jeli sejuk ni. Puas hati dapat makan dalam sebiji kelapa. Sebiji kelapa jeli tak sampai RM5.00 pun. Selain dari jeli kelapa, coconut shake & ayaq kelapa (nyoq) biasa pun ada dijual di sini.

Mula-mula abang pi terjah tinjau kedai Joez Coconut Jeli ni sesat la jugak. Kedai dia kecik ja tak berapa nak nampak kalau sekilas lalu dari jalan besar Dato' Keramat.

Kedai dia tak boleh muat ramai kalau nak lepak makan jeli kelapa kat sini. Ada la dua meja seingat abang. Lebih tu banyak buah kelapa ja dalam ni.

Nak senang cari hangpa tengok lokasi peta yang abang sediakan.




Selain kelapa jelly, coconut shake pun ada jugak di Joez Coconut ni.

Coconut Shake Joez dalam pembikinan.
Joez Coconut di Jalan Dato' Keramat, Georgetown.




Kedai Buku Terpakai @ Pasar Chowrasta


Hangpa minat membaca? Ulat-ulat bulu buku? 

Nah abang ada satu tempat yang hangpa wajib pi kalau dah sampai di Penang ni.

Apa lagi yang menarik di Pasar Chowrasta selain jeruk, ais kacang dan buah berangan dia? 

Di sini jugak ada deretan kedai-kedai buku terpakai!

Kalau dari luaran hangpa memang tak akan nampak kedai-kedai buku ni. Hangpa kena masuk dalam kawasan Pasar Chowrasta yang jual jeruk di bawah tu, dan cari tangga untuk naik ke tingkat 1. Baru hangpa akan nampak kedai-kedai buku terpakai ni !

Pelbagai jenis buku boleh didapati di sini. Ensaiklopedia, majalah, novel, komik semua ada dekat sini. Yang terpakai la yang banyaknya. Buku rujukan abang zaman diploma dulu pun boleh dapat setengah harga di sini !

Hangpa bagitau ja jenis buku macam mana yang hangpa cari, nanti pakcik kedai akan tunjuk sudut mana yang hangpa boleh cari buku tu. Boleh lemas dibuatnya duduk dalam kedai ni. Kena menyelam jugaklah nak cari buku tu.

Kalau rancang nak beli satu buku tu tipu. Mesti ada yang terpaut dengan buku lain. Sedar-sedar keluar kedai menjinjing buku kiri kanan. Abang nasihatkan lebih berhati-hati di kedai buku terpakai Chowrasta Penang ni. Boleh rabak poket dibuatnya.




Timbunan buku-buku terpakai yang boleh didapati di tingkat atas Pasar Chowrasta.

Dah nama pun buku terpakai, harga dia haruslah lebih murah dari buku-buku baru. 

Syurga bagi kaki-kaki novel bila berkunjung ke kedai buku terpakai Pasar Chowrasta ni.

Buku elektronik masa zaman abang ambik diploma di UiTM Penang dulu pun ada. Masa belajaq dulu buku tu saja dah dekat RM100 !

Kalau di tingkat bawah Pasar Chowrasta menjual buah tangan dan jeruk-jeruk, di tingkat atas pula terdapat deretan kedai buku terpakai. 

Sekurang-kurangnya kena luangkan masa setengah hari tak pun sehari nak belek-belek cari buku yang berkenan di hati. 



Mee Udang Pantai Malindo @ Balik Pulau


Tahukah anda tak perlu jalan jauh-jauh pi Kuala Sepetang mahupun ke Pulau Sayak nak pekena mee udang? Di Penang pun ada 'port' mee udang sendiri. Selain di Pulau Aman, di Balik Pulau pun ada lokasi menarik yang boleh diterjah penggemar mee udang!

Kalau hangpa rajin boleh pi meronda Pantai Malindo yang terletak di Balik Pulau ni. Cari jalan masuk ke Pantai Malindo yang terletak di Kuala Sungai Burung ni. Kat sana ada la satu kedai yang jual mee udang.

Di kawasan sekitar jeti Kuala Sungai Burung ni ada tempat bot-bot nelayan parking bot. Hasil tangkapan laut ada yang didaratkan di sini. Jadi ada jugak pakcik-pakcik nelayan yang dok jual ikan segar kalau kena masanya.

Abang pi waktu petang selalunya ada orang jual ikan. Kedai mee udang Pantai Malindo ni dibuka dari tengahari sampai waktu Maghrib ja. Bagi abang puas hati jugak walaupun sepinggan mee udang kena dekat RM12.

Cuma jujurnya kalau hangpa mai makan kat sini tak payah la pekena cucuq udang dia. Kureng sikit rasa dia.

Kalau nak meronda kawasan peti pantai pun boleh tengok matahari terbenam di pantai Malindo ni. Dekat sini juga ada hutan paya bakau yang hangpa boleh jalan masuk macam di Kuala Sepetang. Ada laluan pejalan kaki. Tapi tak jauh mana la. Boleh la nak buat modal gambaq pengantin tu.




Orang utara ta payah pi jauh-jauh pekena mee udang di Kuala Sepetang. Di Penang pun ada. Ni dia Cucur Udang & Mee Udang Pantai Malindo di Balik Pulau.

Kawasan hutan paya laut di Balik Pulau berhampiran Pantai Malindo.

Bukan di Kuala Sepetang je ada hutan paya laut. Di Pulau Pinang pun ada. Ada laluan untuk pengunjung melawat hutan paya laut.

Dalam hutan paya laut Balik Pulau ni sesuai sangat la kalau nak bergambar kahwin ke konvo ke. Tapi kena tahan sikit la, nyamuk banyak.

Di kawasan sekitar Mee Udang Pantai Malindo ni ada pakcik-pakcik nelayan yang menjual hasil tangkapan mereka. Segar-segar lagi !

Jeti Nelayan Kuala Sungai Burong berhampiran Pantai Malindo.

Port pakcik-pakcik nelayan lepak menyembang petang-petang di Jeti Nelayan Kuala Sungai Burong, Balik Pulau.

Bot-bot nelayan dah siap parking waktu petang.

Waktu senja di Pantai Malindo, Kuala Sungai Burong. Ramai pengunjung yang mengayuh basikal di Balik Pulau ni hadir tengok matahari terbenam di sini.

Pantai Malindo sewaktu air surut di waktu senja.


Nasi Kandar Raffee @ Pulau Tikus


Tahukah anda dalam senarai nasi kandar yang top di Penang selain Deen Maju, nasi kandar ni juga antara yang berada dalam senarai 'favourite' abang ?

Nah abang belanja nasi kandar lagenda, Nasi Kandar Raffe Pulau Tikus !

Hangpa jangan terkejut pulak bila dia bunyi Pulau Tikus. Tak, tak. Pulau Tikus bukan sebuah pulau. Nasi Kandar Raffe ni terletak di Pulau Tikus yang terletak di dalam Pulau Pinang. Pulau Tikus ni nama tempat ja sebenarnya.

Apa yang istimewanya? Nasi Kandar Raffe ni dah wujud dari zaman tokwan kita lagi semenjak 1959 habaq hang ! Masa tu dia tak ada di Pulau Tikus lagi. Masa asalnya kedai dia di Batu Gantong dan pada tahun 1998 baru dipindahkan ke Pulau Tikus.

Kedai Nasi Kandar ni tak besaq mana, cun cun ja sebuah lot kedai. Tapi malam-malam dia ada bukak meja di luar. Bagi hangpa yang teringin nak pekena Nasi Kandar Raffe ni jangan risau, kedai ni dibuka 24 jam.

Nasi Kandar Raffe ni ada peminat dia yang tersendiri. Yang menarik di sini adalah ayam goreng dia. Boleh tahan besaq. Tapi sendiri mau ingat jugak harga pun boleh tahan la jugak bila main ayam besaq ni.

Kena eja betul-betul kalau nak cari kedai ni. Salah eja 'Rafi' tak jumpa karang. Yang betul dia 'Raffe'. Selain nasi kandar, roti dan capati turut dijual di sini.





Restoran Mohamed Raffee ada peminatnya yang tersendiri di Pulau Pinang.

Apa yang special dengan Nasi Kandar Raffee ni? Ayam goreng dia besaq !

Ada tempat makan terbuka di depan Nasi kandar Raffee. Beratur la jugak orang belakang tu.

Hidangan lengkap sepinggan Nasi Kandar Raffee. Harga jangan tanya berapa, tapi tak lebih RM 10.00 sebab ayam goreng dia besaq !

Hidangan Nasi Kandar Raffee jenis tak makan sayur.



Sup Hameed @ Jalan Penang


Dapat pekena sup waktu hujan-hujan memang chara. Salah satu sup yang hangpa boleh cuba di Penang ni adalah Sup Hameed yang terletak di Jalan Penang.

Keistimewaan dia sudah semestinya sup ! Walaupun abang bukanlah peminat sup tegar abang sempat rasa jugaklah Sup Hameed ni.

Selain sup, nasi kandar pun ada di restoran Sup Hameed ni. Tapi tak ada orang yang makan nasi kandar. Tak power la kot.

Abang pekena sup kambing bagi panas badan sikit. Setiap hidangan sup akan disertakan dengan roti benggali. Ikut hangpa la nak makan roti dengan sup tu camna. Nak cicah ka, nak tinggal ka ikut suka hangpa.

Harga sup pulak mengikut jenis. Kalau sup kambing tu dah tentu mahal sikit dari sup ayam. Yang istimewa jugak kat sini ada sup 'torpedo'. Nak tau apa benda torpedo tu hangpa kena la Google sendiri.

Kedai ni dibuka 24 jam tak salah abang. Hangpa jumpa Hotel Cititel yang ada banyak beca depan dia tu, restoran Sup Hameed ni ada di sebelah dia tak jauh dari situ. 

Yang leceh kat sini bab parking dia la. Kalau macam abang naik motor senang sikit. mai bawak kereta kena parking jauh la sikit jalan kaki.

Ada banyak ruang hangpa nak melepak. Kat luaq tepi jalan pun boleh, tak pun dalam kedai. Tapi syok lepak kat luar la. Ada depa bukak meja di pesiar kaki tepi jalan. Waktu bulan puasa ni penuh orang datang mai bersahur!





Lokasi Sup Hameed Penang ni terletak di Jalan Penang, tak jauh dari Nasi kandar Line Clear.

Baru lepas hujan lebat. Sebab tu tak ada sapa lepak di luar. Kalau biasa meriah depan & tepi kedai Sup Hameed ni.

Menu di kala waktu kesejukan akibat hujan lebat. Sup Kamping Hameed, roti benggali beserta segelas teh tarik.

Ruang makan di dalam kedai Sup Hameed. Abang lebih selesa untuk melepak duduk di ruang terbuka di luar kedai.



Chapati @ Little India Penang


Hangpa minat chapati? Tak minat? Minat jalan-jalan kat Queensbay je? Ok. Bukan 'taste' abang. Hmm.

Kalau hangpa yang bajet nak diet tapi tapi tak berapa nak istiqamah dalam perjuangan tu abang cadangkan mai belah Little India ni. Memalam ada jual chapati, tosai dan seangkatan dengannya.

Yang ni abang tak ada nama kedai yang spesifik nak bagitau. Tapi kalau hangpa yang jenis layan chapati malam-malam boleh cari chapati dekat kawasan Queen Street a.k.a Little India.

Tanpa tersengaja abang meronda suatu hari tu terjumpa kedai-kedai chapati yang banyak terdapat di Little India ni. Waktu malam la kot depa baru bukak. Kalau waktu petang tu takda lagi.

Ada-2-3 warung kecil di luar yang menjual chapati. Di Restoran Tajuddin Hussain sendiri pun malam-malam ada jual chapati. Sebelah dia Restoran Sultania pun ada jual chapati. jadi mudah la kalau hangpa nak cari chapati di kawasan ni.

Atmosfera malam-malam di kawasan Little India ni pun menarik. Lepak pekena chapati dan teh tarik sambil dok usya orang lalu-lalang pun syok jugak.

Ada satu kedai chapati ni abang lepak dekat-dekat simpang di Little India. Nama kedai pun abang tak pasti apa. Tapi chapati dia memang layan. Sekeping chapati berharga RM1.00. Dua keping abang bantai.Yang syoknya, ada bermacam jenis kuah dan lauk untuk hangpa pilih !

Lauk ayam cincang ada, daging cincang ada, kuah dal, kuah itu kuah ini. Banyak sangat jenis sampai abang sendiri pun dah lupa. kalau ambik kuah saja tak kena caj la melainkan kalau ambik isi ayam ka atau daging.

Mat saleh pun mai lepak sini memalam. Abang rasa abang satu-satunya peserta solo dari bani Melayu yang dok melepak kat kedai chapati ni. Tapi layan jugak lah. Boleh tengok secara langsung depa gelek uli tepung chapati tu sampai la ke proses memasak.








Chapati Little India di Lebuh Queen. Ada beberapa kedai lagi yang ada jual chapati, tapi abang syok kedai tepi jalan macam ni.

Dua keping chapati baru selesa sikit perut. Sambil-sambil tu boleh perhati tengok siaran langsung cara dia buat depan mata.

Chapati yang dibuat di sini adalah dalam skala yang besar dan ada bermacam jenis kuah untuk hangpa pilih.

Sebenarnya banyak benda abang nak cerita ni tapi nanti abang kemaskini la catatan abang ni. Nanti abang perincikan lagi perincian cerita abang pasal Jalan Makan Jalan Makan Penang edisi yang kedua ni.

Senarnya banyak lagi tempat yang abang tak sempat terjah. Gambar yang abang letak dalam ni pun abang nampak macam tak berapa nak cukup. Nantilah kalau abang pi balik kedai-kedai yang abang sebutkan ni abang ambik gambar lagi. Tak puas hati betul abang.

Sekian sahaja episod catatan ni. Ada masa abang tacap balik. Huhu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...