Telatah hidup manusia di mana-mana juapun, dalam kehidupan mereka sehari-hari, boleh menggelikan hati, mencuit perasaan, bila dilukiskan oleh artis-artis dalam bentuk komik-komik.
Pada masa dahulu, zaman belum adanya artis-artis atau pelukis-pelukis gambar-gambar kartun atau komik, orang Melayu telah biasa membaca kisah-kisah kelakar atau cerita-cerita jenaka seperti cerita Mat Jenin, kisah Pak Pandir dan Mak Andir, cerita Lebai Malang, Si Luncai dan lain-lain lagi.
Kisah-kisah lucu yang bertajuk Malaysia Kita yang dicipta oleh NAN dan disiarkan pada tiap-tiap hari Sabtu dalam Utusan Malaysia adalah lebih lucu daripada semua kisah-kisah lucu zaman lampau itu. Sekarang siri komik-komik hujung minggu dalam Utusan Malaysia itu kami bukukan menjadi satu koleksi atau kumpulan telatah-telatah rencah hidup orang ramai dalam negara kita sendiri, dalam Malaysia Kita.
Nama penuh NAN ialah Zainal bin Osman, berasal dari Parit Buntar, Perak. Beliau adalah lepasan dari ITM dalam jurusan Fine Art atau Seni Halus.
Bagaimanakah telatah orang membeli durian di pasar lambak Jalan Chow Kit? Bagaimanakah telatah kerani-kerani bila gaji mereka dinaikkan? Bagaimana telatah gugup gagaknya seorang pemuda yang pintar bersyarah apabila berhadapan dengan tuan kadi untuk menjawab akad nikah?
Ya, seribu orang ada seribu macam telatahnya. Semuanya dapat diperhatikan oleh NAN, digambarkannya dengan dialog-dialog yang tentu sudah menggelikan hati anda, kiranya anda pembaca tetap Utusan Malaysia dan peminat NAN.
Jikalau anda tidak tergelak sekalipun, namun anda tentu tersenyum-senyum. Kartun-kartun dan kisah-kisah lucu dalam naskhah-naskhah Utusan Malaysia yang anda telah baca itu mungkin anda tidak simpan, anda telah buangkan entah ke mana. Tidak mengapa. Sekarang kami kumpulkan dalam sebuah buku komik kecil comel supaya anda boleh ketawa beramai-ramai tergelak dengan kawan-kawan anda ataupun tersenyum-senyum seorang diri.
Anda bukan tidak tahu gelagat hidup zaman sekarang. Muka kebanyakan manusia masam dari pagi hingga malam. Air muka mereka selalu suram-muram kerana senantiasa berhadapan dengan macam-macam masalah hidup; berebut-rebut nak naik bas, nak menyeberang jalan; letih lesu setelah bekerja sehari suntuk.
Tanpa gelak ketawa, atau sedikit senyum-senyum kambing, seminit dua dalam sehari, hidup anda akan terasa hampa, seperti pokok-pokok yang tidak berbunga. Mungkin juga anda ada membaca komik-komik lain, sebab kini hampir semua akhbar dan majalah-majalah ada komik-komiknya.
Tetapi kalau anda tidak meminati komik-komik ciptaan NAN maka anda masih boleh dianggap kempunan...
Dicatat oleh PAK SAKO. (Dari komik Malaysia KIta, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. tahun 1980).
***************************************************
Serba sedikit mengenai kartunis NAN:
(Imej Carian Google)
Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan. Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.
Nama penuh : Zainal bin Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Kuih kegemaran: Cucuq Kodok (Jemput-jemput)
Moral Value: Whoever said the pen is mightier than the sword obviously never encountered automatic weapons - MacArthur
Which Luqman?... Hehe...