Blog kini telah menjadi satu fenomena baru dalam komuniti masyarakat di Malaysia bahkan seluruh dunia. Ciri-ciri blog itu sendiri menjadi pemangkin kepada perkembangan blog. Hal ini dibuktikan dengan ciri bebas yang membolehkan sesiapa sahaja mempunyai blog sendiri. Kebebasan juga memberikan satu ruang sosial kepada semua pihak untuk memberikan apa-apa pandangan dalam satu-satu blog.
Media massa seharusnya bertanggungjawab kepada masyarakat dengan kata lain menjadi suara rakyat. Media massa sepatutnya beroperasi berlandaskan demokrasi iaitu bertanggungjawab kepada masyarakat dengan menjaga kepentingan awam. Ini bermaksud bahawa matlamat media massa adalah untuk memastikan hak-hak dan kepentingan masyarakat terjaga dan dilindungi. Media massa juga mesti menjadi estet keempat iaitu sebagai entiti yang berasingan yang tidak berada di bawah kawalan mana-mana pihak termasuklah pihak kerajaan. Apabila media massa massa berfungsi sebagai estet keempat, ia membolehkan pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan speenuhnya tanpa ada pengaruh pihak-pihak tertentu. Media massa juga harus memberikan kebebasan dan hak kepada mayarakat untuk bersuara menerusi media massa selain memaparkan maklumat yang neutral iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak. Selain itu juga, maklumat yang dipaparkan mestilah objektif tanpa ada pemanipulasian serta perlulah tepat dan penting kepada masyarakat. Media massa juga seharusnya berfungsi sebagai ’watchdog’ iaitu menjadi pemerhati proses politik yang berkecuali. Media massa perlu mendedahkan dan melaporkan salahguna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan oleh ahli politik dalam media massa untuk tatapan masyarakat.
Teknologi komunikasi seperti internet dan SMS sememangnya merupakan alat yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Ia bukan sahaja berkuasa untuk membangunkan sesebuah masyarakat tetapi juga memajukan lagi negara. Tanpa teknologi komunikasi, sudah pastinya masyarakat di sesebuah negara akan ketinggalan dan mundur. Apabila memperkatakan tentang teknologi komunikasi, kita tidak memisahkannya dengan sistem-sistem yang wujud dalam masyarakat seperti politik dan ekonomi kerana ia saling berkaitan. Teknologi komunikasi atau secara spesifiknya internet dilihat mempunyai peranan yang sangat penting dalam sistem-sistem masyarakat. Namun persoalanya adakah benar sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah sistem-sistem dalam masyarakat ataupun sistem politik itu sendiri yang berkuasa dalam menentukan penggunaan teknologi komunikasi?
Dari sudut positif, perkembangan sistem teknologi komunikasi ini dapat mengubah struktur masyarakat terutama dalam politik, ekonomi dan sosial sama ada secara lansung atau tidak langsung. Contohnya; penggunaan internet dan sms yang dapat berfungsi sepenuhnya dalam memberi maklumat secara tepat, cepat dan mudah diakses. Kewujudan teknologi komunikasi ini juga dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam menjalani tanggungjawab sosial mereka atau sebagai keperluan dalam kehidupan mereka. Dikatakan bahawa internet adalah salah satu penyebab utama kekalahan BN kepada PR di lima buah negeri pada pilihanraya yang lalu. Ini kerana internet telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan pihak pembangkang dalam menyebarkan propaganda dan mendedahkan kelemahan BN. Semua ini mempengaruhi rakyat dalam pengundian. Hal ini telah membuktikan betapa kuatnya penggunaan teknologi komunikasi ini dalam sistem politik negara yang dapat mempengaruhi sesetengah masyarakat.
Selain itu, kuasa teknologi komunikasi ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat dan berdebat tentang isu yang dibangkitkan dalam politik Negara. Hal ini dapat mempraktikkan kesedaran dan wujud pelbagai pendapat yang dapat memuaskan masyarakat itu sendiri dalam proses demokrasi. Namun, sekiranya kewujudan sistem teknologi ini mampu menjadi sumber kepada masyarakat, tetapi adakah ia mampu mengubah masyarakat atau sistem politik itu ataupun sistem politik itu yang telah mengubah penggunaan teknologi ini sepenuhnya. Oleh itu, seperti yang kita sedia maklum, walaupun wujud debat mengenai isu politik dalam sistem teknologi, namun terbuktikah keberkesanannya dalam mengubah struktur politik negara. Untuk setakat ini, jawapan pastinya adalah TIDAK. Ini kerana walaupun pelbagai maklumat dikemukakan menerusi teknologi komunikasi ini, namun pihak kerajaan tidak pernah mempertimbangkan apa yang diperdebatkan oleh masyarakat menerusi internet. Semua kandungan internet yang mengkritik kerajaan dianggap sebagai fitnah dan tidak boleh dipercayai serta suara minoriti. Dalam masa yang sama, kerajaan cuba menyekat kebebasan internet dengan mencabul undang-undang ketiadaan penapisan internet. Hari ini, jikalau ada pihak yang memperkatakan tentang isu yang dianggap fitnah dan boleh mengancam keselamatan negara akan ditahan di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan lain-lain. Kerajaan juga dilihat cuba untuk menyekat akses kepada laman web, blog, forum yang dilihat boleh menggugat kedudukan mereka. Contohnya; apa yang berlaku kepada Malaysia Today yang disekat akses seketika sebelum ditarikbalik kerana pelbagai pihak yang mengatakannya sebagai melanggar undang-undang ketiadaan penapisan internet. Walaupun ditarikbalik, tetapi pengoperasian blog tersebut dibataskan oleh undang-undang sehinggalah perkembangan terbaru dimana pengendalinya iaitu Raja Petra Raja Kamarudin yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA. Ini jelas menunjukkan bahawa kuasa politik iaitu dalam hal ini pihak kerajaan lebih berkuasa menentukan penggunaan teknologi komunikasi. Bukan sebaliknya.
Manakala dalam konteks pembangunan masyarakat, ramai yang mempertikaikan sesuatu polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Misalnya isu kenaikan harga minyak dimana ramai pihak tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak dengan sesuka hati. Isu ini diperdebatkan menerusi internet oleh orang ramai yang menyuarakan ketidakpuashatian masing-masing serta ada yang mencadangkan alternatif yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat. Adakah pihak kerajaan meneliti dan mempertimbangkan segara suara rakyat itu? Jawapannya adalah TIDAK. Kerajaan tidak pernah mempedulikan suara rakyat dalam pentadbiran mereka. Rakyat terus dibelakangkan seolah-olah negara ini adalah milik mereka.
Hal yang sama berlaku dalam isu ekonomi, pendidikan dan lain-lain kerana apa yang dibincangkan oleh rakyat menerusi teknologi komunikasi hanya sekadar perbincangan kosong tidak dimanfaatkan kerana pihak kerajaan ingin mengekalkan polisi yang sedia ada.
Hakikatnya, teknologi komunikasi walaupun mempunyai peranan yang besar kepada masyarakat keseluruhannya, namun kuasanya masih lagi terhad dalam mengubah sistem dalam masyarakat yang jelas didominasi dan dikuasai oleh kerajaan. Sebaliknya, teknologi komunikasi itu sendiri yang terus berada dalam genggaman pemerintah dengan pelbagai undang-undang yang membataskan kebebasan teknologi komunikasi. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Ia akan berterusan sampai bila-bila seandainya kerajaan terus mengekalkan dasar dan prisip pentadbiran yang jelas melanggar dan mencabul demokrasi.

Teknologi komunikasi terutamanya internet dilihat sebagai medium utama hal ehwal politik. Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab apabila membincangkan tentang perkaitan teknologi komunikasi dan politik. Persoalan tersebut ialah sejauh manakah kewujudan teknologi komunikasi iaitu internet digunakan sebagai medium untuk membincangkan hal ehwal politik? Adakah masyarakat mempunyai peluang yang penuh untuk berbincang hal ehwal politik menerusi internet? Apakah pula kebaikan dan keburukannya kepada politik negara? Persoalan-persoalan inilah yang akan dijawab dalam artikel ini.Perkembangan teknologi komunikasi yang berkembang dengan pantas dilihat dapat menjadi sandaran yang boleh membangunkan masyarakat keseluruhannya. Kepelbagaian teknologi komunikasi yang wujud pada hari ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk manfaat bersama. Meneliti penggunaan teknologi komunikasi mengikut konteks, sejauhmanakah teknologi komunikasi yang ada pada masa kini telah dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kelestarian perpaduan, keagamaan dan kebudayaan.
Dari aspek perpaduan, teknologi komunikasi telah menerapkan dan memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Keadaan ini dapat dilihat melalui siaran rancangan yang berkonsepkan muhibah seperti rancangan RTM iaitu Salam Pantai Timur yang menggabungkan semua jenis kaum malah kandungan hiburan yang sentiasa mengupas isu semasa yang berlaku di Malaysia. Selain itu, iklan juga turut berperanan dalam memupuk semangat perpaduan seperti Iklan PETRONAS sempena perayaan, Hari Merdeka dan sebagainya. Iklan ini banyak memberi nilai positif kepada masyarakat kerana kandungan iklan dan mesej yang ingin disampaikan sangat mendalam untuk difahami.
Namun begitu, teknologi komunikasi juga turut memberi impak negatif kepada masyarakat seperti internet digunakan secara bebas dalam menimbulkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum, hak keistimewaan orang Melayu, adat resam, agama dan sebagainya untuk diperdebatkan secara serius. Keadaan ini boleh menjejaskan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia yang terbina berkurun lama dahulu.
Dari aspek keagamaan pula teknologi komunikasi menjadi satu platform atau saluran untuk menyalurkan maklumat tentang agama seperti agama Islam; penerapan nilai islam berlandaskan Al-Quran dan Sunnah manakala agama Bukan Islam pula melalui pendidkan moral. Keadaan dapat dilihat melalui rancangan televisyen dan radio yang banyak mengupas tentang keagamaan seperti Forum Perdana Ehwal Islam di RTM 1, Mari Mengaji di TV9 manakala pendidikan moral melalui rancangan drama yang berunsurkan hiburan. Keadaan ini membolehkan masyarakat majmuk hari ini sentiasa hidup berlandaskan agama masing-masing.
Walau bagaimanapun kewujudan internet hari ini turut memberi impak negatif kepada agama. Isu negatif yang diperdebatkan boleh menyebabkan perselisihan faham seperti isu murtad. Isu murtad hangat diperdebatkan sebelum ini berikutan pengkristianan Zarina Jailani atau nama kristiannya Liena Joy. Isu ini telah menimbulkan perselisihan faham antara agama dimana Islam melarang penganutnya menukar agama manakala fahaman agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha menganggap kebebasan beragama adalah hak asasi manusia. Oleh hal yang demikian, sekiranya soal agama terlalu diperdebatkan melalui internet khususnya ia amat memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat hari ini.
Di samping itu, dari segi kebudayaan pula, teknologi komunikasi dan penggunaannya banyak memberi kesedaran kepada masyarakat dan negara luar dengan kekayaan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia. Contohnya; perayaan bulan Citrawarna Malaysia. Penyiaran dan sambutan bulan Citrawarna ini menjadi satu platform sebagai alat memupuk dan mengetengahkan budaya masyarakat Malaysia.
Namun begitu kewujudan media baru hari ini iaitu internet banyak memberi kesan negatif kepada kehidupan masyarakat hari ini. Hal ini demikian kerana, budaya yang tidak tahu asal usulnya masuk ke Malaysia menerusi media tersebut dan masyarakat terdedah dengan budaya tersebut seperti budaya kuning iaitu, Punk, Skin Head, Black Metal dan sebagainya. Kesenangan untuk mendapatkan hiburan beracuan barat yang terlampau juga memberi kesan kepada sosial masyarakat Malaysia terutama golongan remaja. Keadaan ini bermakna ia memberi impak negatif kepada minda masyarakat seandainya masyarakat tidak menilai dengan sebaik-baiknya budaya itu malah menerima budaya itu mentah-mentah dan diguna pakai secara berleluasa dan terhormat.
Begitu juga dalam konteks pendidikan dimana menerusi media massa ia dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk tujuan pendidikan. Menerusi televisyen, banyak rancangan pendidikan seperti Pendidikan Di 9 dan juga di Astro yang bermanfaat untuk pelajar. Media cetak pula menyisipkan Didik, Minda Pelajar dan lain-lain.
Namun begitu, kandungan pendidikan dilihat masih sedikit berbanding kandungan hiburan yang mendominasi ruangan media massa. Kewujudan internet pula dilihat amat bermanfaat untuk pelajar kerana pelajar boleh mendapatkan pelbagai maklumat ilmiah untuk proses pendidikan. Begitu juga, pelajar universiti yang perlu membuat kerja kursus boleh mendapatkan maklumat menerusi internet untuk tujuan tersebut. Namun, internet juga ada kesan negatifnya kerana boleh menggalakkan budaya plagiarism di kalangan pelajar yang sekaligus memberikan kesan kepada pembangunan minda pelajar.
Sebagai kesimpulannya, memperkatakan tentang teknologi komunikasi dan sejauhmanakah ia bermanfaat kepada masyarakat kita perlu melihat dalam dua aspek iaitu media massa dan media baru. Jika dilihat keseluruhannya tidak dapat dinafikan bahawa kandungan dalam media massa banyak memberi maklumat berguna kepada masyarakat dalam konteks perpaduan, keagamaan, budaya dan pendidikan dimana ia mampu menjana minda masyarakat yang cintai budaya sendiri dan juga berpotensi menggalakkan perpaduan, mempertingkatkan ilmu serta mewujudkan masyarakat yang berpegang teguh kepada agama masing-masing. Namun perlu diingat bahawa semua ini mampu dijana seandainya masyarakat menggunakan segala maklumat tersebut sebaik-baiknya dan pada masa yang sama media massa perlu mempertingkatkan lagi maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat berbanding hiburan dalam masyarakat. Dalam konteks media baru memang jelas bahawa masyarakat memang bebas menggunakan medium tersebut dalam pelbagai konteks. Namun, kebebasan yang diperolehi itu haruslah dimanfaatkan dengan cara yang betul dan untuk tujuan yang betul.
Media massa dan media baru dilihat mempunyai perbezaan yang ketara dalam dalam konteks menggalakkan proses demokrasi yang sebenar-benarnya. Media massa yang sepatutnya beroperasi sebagai medium untuk masyarakat sebaliknya gagal menjalankan tanggungjawabnya lantaran pelbagai faktor. Dalam kepincangan tersebutlah, munculnya media baru sebagai wadah baru kepada masyarakat untuk memanfaatkannya sebagai alat demokrasi yang ideal.
Apakah faktor yang menyebabkan kegagalan media massa berfungsi sebagai medium demokrasi kepada rakyat dan apakah pula sebabnya media baru dikatakan muncul sebagai medium terbaik untuk proses demokrasi di kalangan masyarakat? Persoalan inilah yang akan dikupas dalam perenggan seterusnya.
Media massa dilihat gagal menjana peranannya di dalam proses demokrasi sebagai medium untuk memaparkan berita/laporan yang signifikan, konkrit dan berkualiti tinggi. Media massa pada hari ini dilihat lebih cenderung untuk memaparkan berita yang remeh temeh dan tidak bernilai kepada rakyat. Contohnya; tidak lama dahulu media ‘disesakkan’ oleh berita tentang isu kebocoran siling. Apakah relevannya isu tersebut dipaparkan sebagai berita utama dan diulang-ulang paparannya?
Media massa juga dilihat lebih mengutamakan komersialisasi berbanding tanggungjawab sosial. Lantaran inilah menyebabkan media massa lebih menumpukan kepada berita yang sensasi dan hiburan yang boleh dijual. Akibat desakan untuk mengaut keuntungan juga, media massa sewenang-wenangnya sanggup mereka-reka dan menokok-tambah cerita serta membelakangkan adab dan tatasusila masyarakat. Media yang sepatutnya membangunkan minda masyarakat sebaliknya ‘menghancurkan’ lagi masyarakat.Di Malaysia, media arus perdana dikuasai oleh pihak kerajaan. Media dilihat tidak lagi berperanan secara bebas dan adil serta sanggup membelakangkan falsafah berkhidmat secara saksama untuk semua demi kepentingan sendiri dan pihak kerajaan. Tanpa mempedulikan kesahihan fakta, berita tentang kerajaan sentiasa dipaparkan secara positif. Sebaliknya, apa saja dilakukan oleh pembangkang sekalipun betul tetap dikatakan salah. Keadaan ini dengan jelas adalah bertentangan dengan konsep media harus beroperasi dalam iklim demokrasi dan menafikan hak masyarakat untuk disajikan dengan laporan/berita yang betul dan tepat.
Di sebalik kegagalan media massa beroperasi di bawah iklim demokrasi terus hangat diperkatakan, media baru muncul sebagai medium yang paling sesuai untuk memupuk dan memperluaskan proses demokrasi. media baru atau secara spesifiknya internet memberikan pengguna peluang untuk memberikan atau berkongsi idea dan pandangan tentang sesuatu isu yang berlaku. Selain itu juga, pengguna boleh meluahkan ketidakpuashatian atau mengkritik sesuatu perkara yang tidak dipersetujui. secara bebas dengan pengguna-pengguna lain.
Terdapat pelbagai medium di dalam internet yang membolehkan masyarakat menggunakan kemudahan internet secara maksimum dalam proses demokrasi. Contohnya; internet membolehkan kita mencipta weblog peribadi, terlibat dalam forum, ‘video conferencing’, kemudahan ‘Internet Relay Chat’, ‘newsgroup’, email dan lain-lain lagi. Melalui medium-medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik.
Media baru juga berperanan dalam proses demokrasi kerana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja. Menerusi internet, kita boleh mendapatkan apa saja maklumat yang kita ingini tanpa sekatan dari sesiapa.Selain itu, media baru adalah medium yang paling berpotensi dalam memupuk proses demokrasi kerana elemen kepantasan yang dimiliki. Sebagaimana yang diketahui, internet adalah jaringan komunikasi maya yang menyalurkan pelbagai maklumat dengan pantas. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila internet sentiasa mendahului media tradisional dalam memaparkan sesuatu isu. Selain itu, internet yang bebas dari penguasaan sesiapa dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang isu yang berlaku. Dalam konteks politik, pemaparan maklumat yang tepat ini adalah tanpa ‘bias’ kepada mana-mana parti politik.
Kontradiksi ini jelas menunjukkan bahawa media baru adalah medium yang lebih baik untuk proses demokrasi berbanding media massa. Namun begitu, media massa tidak seharusnya dipersalahkan secara total kerana penguatkuasaan undang-undang juga menjadi penyebab utama kegagalan mereka dalam proses demokrasi. Dalam masa yang sama, kebebasan menggunakan internet pula boleh menjadi ancaman kerana ia terdedah kepada penyalahugunaan untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu. Oleh itu, masyarakat perlulah memanfaatkan media baru sebaik-baiknya untuk tujuan yang betul.


Apabila memperkatakan tentang teknologi komunikasi dan demokrasi kita tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan konsep pemilikan iaitu siapakah yang memiliki dan menguasai teknologi komunikasi atau dalam konteks ini media massa.
Terdapat dua jenis pemilikan media massa di Malaysia iaitu pemilikan oleh kerajaan dan pemilikan oleh golongan kapitalis. Sebagai contohnya; Radio Televisyen Malaysia (RTM) dimiliki secara langsung oleh pihak kerajaan. Manakala, media massa swasta dimiliki oleh golongan kapitalis. Contohnya; TV3, NTV7, 8TV dan TV9, Radio Hot FM dan Fly FM dimiliki oleh Media Prima Berhad. Begitu juga dengan Astro yang beroperasi di bawah MEASAT Broadcast Network Systems iaitu anak syarikat Astro All Asia Networks plc, sebuah syarikat konsortium rangkaian kerajaan dan syarikat swasta. Manakala, media cetak iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! dimiliki oleh Kumpulan Utusan (M) Berhad. New Strait Times Press yang di bawah Media Prima pula memiliki Berita Harian, Harian Metro, New Strait Times (NST) dan Malay Mail. Begitu juga dengan media-media massa yang lain yang dimiliki oleh golongan kapitalis. Walaupun media massa swasta dimiliki oleh golongan kapitalis namun hakikatnya ia mempunyai perkaitan dengan kerajaan menerusi pemilikan tidak langsung iaitu pemilikan ekonomi serta kawalan undang-undang. Sebagai contohnya; Media Prima Berhad adalah dimiliki oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Manakala, MRCB adalah di bawah Khazanah Nasional iaitu satu organisasi yang dimiliki oleh kerajaan. Khazanah Nasional juga merupakan antara pemegang syer utama Astro All Asia Networks. Begitu juga halnya dengan Kumpulan Utusan yang merupakan ’sayap kiri’ UMNO. MCA pula pemegang saham terbesar The Star, Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. MIC pula memiliki Tamil Nesan. Itu adalah sebahagian daripada keadaan yang menunjukkan bagaimana media massa di Malaysia ini dimiliki oleh pihak kerajaan dan golongan kapitalis yang dominan. Secara keseluruhannya kesemua media massa adalah di bawah kawalan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Pemilikan media massa oleh kerajaan sama ada pemilikan langsung, tidak langsung serta menerusi kawalan undang-undang jelas mencacatkan sistem demokrasi dimana ia akan menghalang teknologi komunikasi untuk berfungsi sebagai medium demokrasi kepada masyarakat. Ini kerana pemilikan oleh kerajaan ini menyebabkan kebebasan pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat akan tersekat sekaligus menyebabkan masyarakat tidak mampu untuk mendapatkan maklumat yang pelbagai dari pelbagai pihak serta dinafikan hak untuk menyuarakan pendapat menerusi media massa. Manakala, amalan sistem kapitalisme dimana golongan kapitalis menguasai sistem teknologi komunikasi menyebabkan ketidakseimbangan dan ketidaksamaan peluang dan akses untuk menggunakan teknologi komunikasi di kalangan masyarakat. Golongan berkepentingan dan golongan atasan lebih mempunyai peluang untuk mengakses teknologi komunikasi berbanding masyarakat kebanyakan yang terus terpinggir dan tidak mendapat apa-apa manfaat daripada perkembangan sistem teknologi komunikasi. Golongan kapitalis juga mengeksploitasi teknologi komunikasi untuk kepentingan masing-masing dan berorientasikan keuntungan yang sekaligus menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pada hari ini terdapat pelbagai medium teknologi komunikasi yang menyampaikan maklumat yang berbeza serta mempunyai corak dan genre media yang juga berbeza. Namun, ia tidak mencukupi dan bermakna apa-apa kerana kawalan kerajaan dan golongan kapitalis ke atas teknologi komunikasi menafikan hak masyarakat umum untuk memanfaatkan teknologi komunikasi untuk kepentingan semua lapisan masyarakat.
Pihak pemerintah pula tidak cuba untuk melakukan sesuatu dalam memperbaiki kepincangan yang berpunca daripada pendominasian golongan kapitalis ke atas teknologi komunikasi yang jelas membelakangkan kepentingan masyarakat umum. Sebaliknya, mereka membiarkan saja keadaan tersebut berterusan dan dalam masa yang sama terus mengawal teknologi komunikasi menerusi pemilikan langsung, tidak langsung dan menerusi undang-undang untuk memastikan teknologi komunikasi berfungsi dan menjaga kepentingan mereka semata-mata.
Sistem kapitalisme yang sepatutnya memanfaatkan kewujudan teknologi komunikasi untuk pembangunan dan kelestarian masyarakat keseluruhannya jelas gagal untuk dijana sebaliknya golongan kapitalis yang mendominasi teknologi komunikasi mengeksploitasi teknologi komunikasi untuk kepentingan masing-masing serta pihak berkepentingan. Tanggungjawab kepada masyarakat langsung tidak dipedulikan. Sehingga ke hari ini masih belum ada lagi manfaat yang besar telah dilaksanakan oleh mereka kepada masyarakat menerusi teknologi komunikasi. Sebaliknya, mereka terus mengskploitasi media massa untuk mengaut keuntungan dengan melimpahkan ruangan media massa dengan berita dan kandungan hiburan, seks, sensasi dan kandungan lain yang boleh dijual. Mereka pula terus ’bias’ kepada pihak kerajaan kerana bimbang ditarik balik permit pengoperasian yang akan menjejaskan matlamat mereka untuk mengaut keuntungan. Tidak dinafikan bahawa operasi teknologi komunikasi membantu meningkatkan ekonomi negara. Namun, siapa yang mendapat manfaat darinya? Sudah tentu golongan kapitalis itu sendiri, pihak berkepentingan dan juga pemerintah. Manakala, tiada apa yang perlu diperkatakan lagi tentang pemilikan kerajaan ke atas teknologi komunikasi kerana ia jelas membelakangkan amalan demokrasi. Media massa yang dimiliki oleh kerajaan sama ada secara langsung, tidak langsung dan menerusi kawalan undang-undang menyebabkan kandungan media massa terus bermanfaat kepada pihak kerajaan sahaja. Ia sekaligus menafikan hak rakyat untuk mendapatkan kepelbagaian maklumat daripada pelbagai pihak.
Hakikatnya, pemilikan oleh kerajaan dan golongan kapitalis ini jelas menggagalkan teknologi komunikasi untuk muncul sebagai medium demokrasi kepada masyarakat. Keadaan ini akan berterusan seandainya golongan kapitalis terus mengutamakan kepentingan masing-masing untuk mengaut keuntungan dan mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat keseluruhannya. Begitu juga, keadaan ini akan bertambah parah seandainya pihak pemerintah terus menyalahgunakan kuasa yang mereka miliki dengan menggunakan teknologi komunikasi untuk manfaat mereka semata-mata dan tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk memiliki teknologi komunikasi.



Berbicara tentang soal penyalahgunaan media massa, siapakah yang menyalahgunakan media tersebut? Rakyat atau pihak pemerintah?
Pelbagai perundangan digubal bagi mengawasi operasi media cetak dan media penyiaran di negara kita. Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Penyiaran, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pelbagai undang-undang digunakan sewenang-wenangnya yang menghalang media massa berfungsi secara bebas.
Siapakah yang mencipta undang-undang tersebut? Pastinya pihak kerajaan. Jadi amat jelas pihak pemerintahlah yang menyalahgunakan media massa.
Melalui undang-undang inilah kerajaan terus bermaharajalela dengan menghukum mana-mana media yang menyiarkan berita yang mengkritik kerajaan dengan alasan yang amat menjengkelkan – BOLEH MENGANCAM KEAMANAN NEGARA. Di atas kertas Malaysia memang sebuah negara demokrasi. Namun, secara praktisnya TIDAK SAMA SEKALI.
Penyalahgunaan ini menghalang hak-hak rakyat untuk menyampaikan pandangan secara bebas dan mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu isu. Sebaliknya media menjadi medan kepada kerajaan untuk menyebarkan ideologi demi memperkukuhkan kedudukan politik di Malaysia.
Penyalahgunaan ini semakin teruk berlaku apabila menjelangnya pilihanraya. Pihak kerajaan dengan rakusnya menggunakan media massa untuk menyebarkan propaganda dalam mempengaruhi rakyat. Mereka tidak kisah jika rakyat berpecah belah asalkan kepentingan mereka terjaga. Rakyat yang inginkan gambaran sebenar tentang situasi yang berlaku dinafikan hak-hak tersebut apabila media massa dengan mudahnya memperkotak-katikkan rakyat dengan cerita rekaan.
Manakala, akhbar alternatif yang diterbitkan oleh pihak pembangkang atau pihak berkecuali amat susah untuk beroperasi dengan lancar. Harakah dan Suara Keadilan sebagai contoh perlu melalui prosedur yang amat melecehkan dan diberikan kawalan yang sangat ketat serta boleh ditarik balik permit penerbitan bila-bila masa sahaja oleh KDN. Inikah keadilan dan ketelusan yang kononnya ditegakkan oleh kerajaan Malaysia?
Sememangnya amat bahawa jelas penyalahgunaan media massa sedang berlaku di Malaysia. Tetapi yang menyalahgunakannya bukanlah rakyat sebaliknya pihak pemerintah yang menguasai negara. Penyalahgunaan ini jelas adalah satu pencabulan terhadap sistem demokrasi yang menafikan kebebasan rakyat dalam bersuara.


Walaupun rancangan penubuhan Kerajaan Elektronik telah dihebahkan di media cetak dan elektronik, tetapi sejauh manakah penglibatan orang awam di dalamnya? Kefahaman mengenai Kerajaan Elektronik yang diterangkan hanya sekadar kecanggihan teknologinya yang disediakan di jabatan-jabatan kerajaan dan capaiannya sehingga ke rumah untuk kemudahan orang awam berserta dengan peralatan seperti 'electronic purse' dan kad pintar dan "pasport pintar".
Orang awam hanya sekadar pengguna dan penerima teknologi, seharusnya kefahaman mengenai Kerajaan Elektronik jauh menjangkaui skop teknologi canggih yang disediakan.
Individu dan masyarakat tempatan harus menggerakkan inisiatif sosial melalui teknologi maklumat. Apa yang dimaksudkan dengan penglibatan masyarakat di sini ialah hak dan tanggungjawab yang bukan sahaja melibatkan persoalan-persoalan teknikal tetapi penglibatan dalam proses membuat keputusan dan suatu dasar awam yang membentuk masa depan masyarakat dalam penubuhan Kerajaan Elektronik.
Kita juga harus mengetahui perkara-perkara yang perlu difikirkan mengenai peranan aktif masyarakat bagi meningkatkan kualiti hidup dalam Kerajaan Elektronik.
Bagaimana dapat kita lindungi kebebasan individu dan sivil dalam kerajaan elektronik yang semakin telus?
Adakah hak pengguna dilindungi dengan penubuhan Kerajaan Elektronik? Memandangkan penglibatan masyarakat dalam teknologi maklumat semakin meluas, bagaimanakah dapat kita lakukan untuk memaksimumkan peluang dan menjadikannya lebih bermakna dan memuaskan?
Adakah Kerajaan Elektronik dan MSC membawa kita bersama ke arah pembentukan komuniti baru atau membawa perpecahan berdasarkan pasaran?Dapatkah kita menggunakan Kerajaan Elektronik untuk mengembangkan arus pembangunan ekonomi yang akan membawa kepada pengagihan kekayaan secara wajar dan tidak dikuasai oleh segelintir?•Bagaimana Keraiaan Elektronik dapat digunakan untuk menggalakkan "demokrasi elektronik" atau hanya menjadi bahan manipulasi media?
•Bagaimana dapat kita maksimumkan ekuiti dalam konteks pasaran dan mengelakkan kemunculan golongan yang kaya dan miskin maklumat atau kemunculan bentuk yang dikenali sebagai "information apartheid"?
•Bagaimana dapat kita galakkan kebebasan bersuara dan mengukuhkan demokrasi di bawah Kerajaan Elektronik?
•Bagaimana dapat kita gunakan Kerajaan Elektronik untuk memulihara masyarakat kita (dan atau mewujudkan yang baru), memperkayakan atau mempelbagaikan dan merangsangkan penghidupan kita?
Cara kita berhubung, menyelesaikan dan mencorakkan persoalan-persoalan ini akan mengemukakan kesan penting kepada kemanfaatan keseluruhan dalam ciri kerja dan pembangunan ekonomi tempatan.
Contohnya, apabila majoriti rakyat mempunyai komputer dan capaian kepada Internet dan mula mengundi dalam semua isu, kita diberitahu kesemua masalah perwakilan dalam sistem demokrasi akan dapat diatasi. Ia boleh menggalakkan penglibatan rakyat dalam sistem politik kita dan mengekalkan kedaulatan kerajaan.
Dalam masyarakat siber rakyat bukan sahaja akan lebih dimaklumi tetapi juga berupaya meminggirkan kumpulan pendesak atau kumpulan kepentingan awam untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.
Namun, perkara yang berkaitan dengan pengundian secara elektronik juga menimbulkan masalah lain yang dikatakan menjejaskan dialog awam, ketiadaan penglibatan secara bersemuka. Dengan ketiadaan pembuktian fizikal dalam pengundian oleh rakyat, bagaimana kita mengetahui pengiraannya betul? Pengundian secara elektronik bukanlah demokrasi elektronik.
Adakah pemimpin itu boleh dipercayai untuk menjalankan tugasnyanya dengan baik.Inilah persoalan yang perlu difikirkan...
Untuk memahami sepenuhnya peranan rakyat dan penglibatannya dalam kerajaan elektronik, terutamanya berhadapan dengan cabaran dunia yang semakin hebat yang mengemukakan masalah baru mengkehendaki perubahan yang bersesuaian dengan faktor selain daripada yang bersifat teknlogi.
Oleh itu,adalah menjadi tugas kita untuk memastikan lebuh raya maklumat tidak meminggirkan apa yang kita nilai dalam masyarakat atau membawa kita Ke tempat yang tidak kita suka.
Teknologi komunikasi adalah merupakan medium yang paling penting dan ideal dalam proses pengembangan amalan demokrasi khususnya di negara-negara membangun di mana masih sukar bagi rakyat untuk menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu secara bebas dan terbuka.Di sebalik kegagalan media massa beroperasi di bawah iklim demokrasi terus hangat diperkatakan, internet muncul sebagai medium yang paling sesuai untuk memupuk dan memperluaskan proses demokrasi disebabkan kebolehan interaktif dan keupayaan volume, kederasan, akses dan ketepatan yang dimiliki. Internet menggalakkan masyrakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik dan seterusnya memupuk proses demokrasi. Elemen-elemen inilah yang menjadikan internet sebagai medium terbaik untuk amalan proses demokrasi.
Elemen pertama iaitu kebolehan interaktif dan keupayaan volume adalah satu potensi internet yang membenarkan penglibatan aktif pengguna di dalam media. Dalam konteks hubungan dengan proses demokrasi, internet memberikan pengguna peluang untuk memberikan atau berkongsi idea dan pandangan tentang sesuatu isu yang berlaku. Selain itu juga, pengguna boleh meluahkan ketidakpuashatian atau mengkritik sesuatu perkara yang tidak dipersetujui. Di dalam internet, terdapat pelbagai laman web yang membenarkan pengguna untuk menghantar pandangan tentang pelbagai isu termasuklah politik. Antara lawan web tersebut ialah Malaysiakini.com, bincang.net, amnet dan sebagainya. Pengguna juga boleh bersembang secara bebas dengan pengguna-pengguna lain. Ini boleh dilakukan di dalam forum mahupun ‘chatting’. Contohnya; di dalam weblog ‘bincang.net’ terdapat forum perbincangan yang membolehkan pengguna untuk terlibat dalam perbincangan politik dengan pengguna-pengguna lain tentang apa-apa sahaja isu semasa. Sebagai contoh, dalam perbicaraan kes berprofil tinggi Altantuya, media tradisonal dilihat gagal untuk menyelongkar dan mendedahkan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku. Seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh media tradisional dalam pemaparan laporan kes tersebut. Jadi, ketika inilah internet memainkan peranan yang demokratik dengan membenarkan rakyat untuk berdebat tentang isu tersebut secara terbuka. Menerusi internet, pengguna dengan bebas boleh memberikan pandangan tentang isu tersebut termasuklah memdedahkan perkara yang disembunyikan sehingga akhirnya kita mendapat gambaran yang jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku. Penglibatan yang interaktif ini adalah didasarkan keluasan ruang di dalam internet. Terdapat pelbagai medium di dalam internet yang membolehkan masyarakat menggunakan kemudahan internet secara maksimum dalam proses demokrasi. Contohnya; internet membolehkan kita mencipta weblog peribadi, terlibat dalam forum, ‘video conferencing’, kemudahan ‘Internet Relay Chat’, ‘newsgroup’, email dan lain-lain lagi. Melalui medium-medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik.
Seterusnya, internet berperanan dalam proses demokrasi kerana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja. Menerusi internet, kita boleh mendapatkan apa saja maklumat yang kita ingini tanpa sekatan dari sesiapa. Dari isu politik, pendidikan, ekonomi, sosial sehinggalah isu budaya. Semuanya boleh didapati di internet. Dalam konteks memupuk proses demokrasi, internet menawarkan pelbagai informasi tentang politik luar negara umumnya dan di dalam negara khasnya. Dari informasi yang telah lama berlalu sehinggalah baru berlaku semalam. Kadang kala kita terlepas pandang isu-isu politik yang dipaparkan di dalam media tradisional contohnya di akhbar dan televisyen. Jadi, dalam keadaan ini kita menggunakan internet untuk mencari isu-isu tersebut. Begitu juga, terdapat isu-isu yang berlaku tetapi tidak dipaparkan di dalam media tradisional. Dalam situasi ini juga, kita boleh menggunakan internet untuk mengakses isu-isu tersebut. Dalam situasi yang lain, kita ingin mengikuti perkembangan sesuatu isu dan pastinya internet membenarkan kita untuk berbuat sedemikian. Contohnya; kita ingin mengetahui perkembangan terkini pilihanraya umum. Siapakah calon-calon, strategi yang diambil oleh calon, propaganda dan sebagainya. Menerusi internet, kita akan dapat semua maklumat tersebut. Internet juga bukan sahaja membenarkan kita mengakses informasi dalam negara tetapi juga negara-negara lain. Mendokong konsep ‘dunia tanpa sempadan’ yang menghubungkan jutaan manusia di seluruh dunia dalam rangkaian elektronik global, internet menyalurkan pelbagai maklumat dan berita dalam pelbagai lapangan. Pengguna boleh mendapatkan maklumat tentang situasi politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan England sebagai contoh. Begitu juga, pengguna boleh mengakses informasi tentang konflik dan pergolakan yang berlaku di negara-negara yang diancam peperangan seperti Palestin, Iraq, Pakistan dan lain-lain. Selain itu, menerusi e-kerajaan iaitu portal elektronik kerajaan ia membenarkan kita untuk mengakses pelbagai maklumat berkaitan kerajaan antaranya melibatkan maklumat ekonomi, pendidikan, hal ehwal pengguna dan politik pastinya.
Selain itu, internet adalah medium yang paling berpotensi dalam memupuk proses demokrasi kerana elemen kepantasan yang dimiliki. Sebagaimana yang diketahui, internet adalah jaringan komunikasi maya yang menyalurkan pelbagai maklumat dengan pantas. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila internet sentiasa mendahului media tradisional dalam memaparkan sesuatu isu. Contoh yang berlaku adalah apabila Perdana Menteri – Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan rasminya membubarkan parlimen baru-baru ini yang menandakan demam pilihanraya bermula. Internet tidak memerlukan masa yang lama untuk menyebarkan berita tersebut kepada masyarakat. Berlainan dengan media tradisional yang perlu menunggu pada malamnya atau keesokannya untuk mengumumkan berita tersebut. Begitu juga, pelbagai maklumat yang diperlukan boleh diperolehi secara pantas secara online. Kita tidak perlu lagi bersusah payah mengambil masa yang lama ke perpustakaan atau ke jabatan-jabatan untuk mencari secara manual maklumat tersebut. Cara yang pantas pastinya melalui internet.
Elemen terakhir iaitu ketepatan melengkapkan potensi media baru sebagai medium yang paling efektif dalam menggalakkan proses demokrasi. Kebanyakan laporan atau berita yang dipaparkan di media tradisional tidak menjelaskan keadaan yang sebenarnya kerana sebagaimana yang diketahui media tradisional dimiliki oleh golongan pemerintah sesebuah negara contohnya apa yang berlaku di Malaysia sendiri. Penguasaan kerajaan ke atas media massa menyekat kebebasan media untuk melaporkan berita yang tepat kerana terhalang oleh pelbagai undang-undang dan peraturan yang menjaga kepentingan pihak kerajaan. Sebaliknya, internet yang bebas dari penguasaan sesiapa dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang isu yang berlaku. Dalam konteks politik, pemaparan maklumat yang tepat ini adalah tanpa ‘bias’ kepada mana-mana parti politik. Sesuatu isu yang dipaparkan ‘bersih’ dari segala elemen ‘distortion’ dan rekaan kerana ia dilakukan oleh pengguna yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Contohnya; persidangan parlimen yang membincangkan pelbagai isu yang berbangkit dimana perdebatan melibatkan pihak wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Jadi, dalam memaparkan topik perdebatan tersebut, media tradisional pastinya memberikan laporan yang menyebelahi pihak kerajaan kerana media dikawal oleh kerajaan dan secara tersirat memburukkan pihak pembangkang walaupun adakalanya dalam sesuatu isu tampak jelas adalah salah kerajaan namun diubah ‘jalan cerita’ demi menjaga kepentingan pihak kerajaan. Di sinilah internet akan memainkan peranannya dalam proses demokrasi apabila memaparkan isu perdebatan tersebut secara tepat dan tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak. Sepertimana yang dilaksanakan oleh Malaysiakini.com yang memaparkan isu-isu politik dari perspektif yang lebih adil, telus dan tepat tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik.
Jelaslah bahawa elemen interaktif dan keupayaan volume, kepantasan, akses dan ketepatan adalah merupakan elemen teras yang dimiliki oleh internet yang berpotensi dalam pemupukan proses demokrasi. Kesan-kesan positif daripada penggunaan media baru dalam proses demokrasi ialah menjana masyarakat yang lebih berinformatif dan memahami, penglibatan dalam perbahasan tanpa batasan, penglibatan dalam institusi politik yang mana penglibatan melalui akses yang mudah dan senang, kuasa membuat keputusan tanpa memerlukan pergerakan fizikal serta ia akan mempertingkatkan akauntabiliti dan perwakilan ahli politik dalam berkhidmat kepada rakyat. Namun, dalam pada itu, terdapat beberapa masalah yang dikenalpasti dan boleh menjejaskan potensi internet dalam proses demokrasi. Terdapat jurang digital di dalam masyarakat kerana masih ada golongan masyarakat yang tidak mampu memiliki internet kerana faktor ekonomi. Mereka yang berpendapatan rendah dan menganggur tidak akan mampu untuk menggunakan internet. Penggunaan internet walaupun dikatakan berpotensi dalam proses demokrasi namun perlulah menganalisis dan menyelesaikan masalah yang wujud agar media baru dapat berperanan dengan lebih baik dalam proses demokrasi. Masyarakat pula tidak seharusnya menyalahgunakan internet. Ia seharusnya digunakan sebagai medan untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pendapat secara kolektif tentang pelbagai isu. Bukannya untuk menyebarkan fitnah yang boleh menggugat keamanan negara.
