1)
Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa
sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti
mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang
untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang
membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam,
Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2)
Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah
waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya
adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar
menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang
diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika
waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai
Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ;
jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (
Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis
Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4)
Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu
kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah
puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada
keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5)
Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala
berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua
solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah
yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara
berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6)
Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah
untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran
redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith
riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan
niat". (Riwayat al-Bukhari)
7)
Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.
Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat
pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di
Ramadhan ini.
8)
Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9)
Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini
adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran
oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa
waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan
sahur, tetapi waktu amaran sahaja.
Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk
imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti
ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq
(subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10)
Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke
masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan
berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu,
fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan
fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11)
Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram,
samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan
dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat
nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang
terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan
RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan
'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus
untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ
إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ
حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ
لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam
perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di
mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku...
sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan
dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu
mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa
sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram,
insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar,
kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa
meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan
Al-Basri.
12)
Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (
Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya :
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)