Sabtu, 20 Mac 2010

MONDAY BLUES


“Aduh, cepatnya Isnin, belum puas bercuti”.

“Malasnya nak pegi keje esok…”

Pernahkah anda merasa sedemikian? Paling tidak terlintas di hati? Kalau bagi dipihak diri saya selalu jugak mengalami perasaan begitu, namun berjaya ditangkis bila memikirkan yang kerja itu satu amanah. Takut juga kalau-kalau termakan gaji yang tidak sepatutnya. Menurut pembacaan saya dalam majalah Nur, sindrom’ ini disebut sebagai ‘Monday Blues’.

‘Monday Blues’ ini sebenarnya mampu membantutkan kreativiti kerja kita. Kejayaan di dunia dan akhirat tidak akan tercapai selagi kita mempunyai sindrom ini. Di sini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang tips untuk menangani sindrom ini. Tips ini saya ringkaskan dari artikel yang dinukilkan dari majalah Nur edisi Mac.

Tips Tangani Monday Blues:

-Tidur lebih awal pada malam Ahad dan elakkan aktiviti luar pada malam itu.

-Lakukan persiapan untuk esok hari lebih awal (bukan pada waktu pagi Isnin).

-Bertenang dan tarik nafas setiap kali bangun pagi. Jangan lupa berdoa selepas solat subuh agar anda diberi kekuatan dan semangat untuk menempuh kehidupan harian.

-Bersenam setiap pagi

-Rancang perjalanan anda setiap hari. Keluar lebih awal utuk mengelakkan diri daripada terperangkap ke tempat kerja, terutama pada hari Isnin. Ia mungkin boleh menjejaskan emosi anda.

-Jangan lupa berniat kerana Allah sebelum keluar ke tempat kerja. Mulakan dengan lafaz basmalah.

-Jika timbul rasa malas, bosan dan tidak bersemangat cepat-cepat sedarkan diri anda. Buka minda dan hati. Cuba fikirkan…bukankah sifat negatif itu sifat syaitan? Mahukah diri kita dibelenggu dengan perasaan itu? Sebagai insane yang beriman, insyaAllah anda akan mampu menepis mood yang negatif itu.

-Hayati keindahan alam mampu mengundang ketenangan. Bagaimana? Apabila anda melangkah ke luar rumah, cuba perhatikan langit, cahaya matahari dan pohon-pohon sekitar anda. Hirup udara nan segar di pagi hari dan bersyukurlah anda masih dipanjangkan usia dan mengagumi ciptaan-Nya.

-Mulakan sarapan anda di pagi Isnin dengan secawan kopi panas. Walaupun minuman berkafein kurang digalakkan dari segi kesihatan, tetapi jika ia diambil secara sederhana, ia tidaklah memudharatkan. Pasti mengantuk anda hilang selepas itu.

-Pastikan pada hari Jumaat, sebelum anda pulang kerja, kemaskan ruang kerja anda terlebih dulu. Cara ini menjadikan minda kita tidak berserabut untuk memulakan kerja pada hari Isnin. Untuk aroma harum, titiskan minyak aroma terapi pada potpouri di atas meja anda.

-Bayangkan perkara-perkara positif pada malam Ahad. Jika anda ada masalah yang perlu diselesaikan esok. Jangan cuba lari daripada masalah, kerana makin dilari, kita makin dikejar.

-Fikirkan idea-idea kreatif yang boleh anda aplikasi di tempat kerja esok hari. Catat apa jua idea anda dan cuba laksanakan satu persatu. Sudah tentu membahagiakan jika idea tersebut memberi faedah kepada diri dan semua yang lain

-Dari segi penampilan diri, anda boleh ubah suai asalkan masih kelihatan sopan dan anggun.Kata orang warna mampu merangsang mood yang ceria dan bersemangat.

-Amalkan gaya hidup yan sihat iaitu pemakanan atau diet yang betul, bersenam secara konsisten dan sentiasa berfikiran positif. Dengan cara ini anda mampu menagani apa jua situasi di samping terus berdoa kepada Allah.

-Mulakan hari anda dengan senyuman kerana senyuman itu satu sedekah. Jangan lokek juga memuji orang lain kerana melihat orang lain bahagia akan turut membahagiakan diri anda.

Sekadar itu perkongsian dari saya. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkannya, terutama buat diri saya yang akan mula menemui anak-anak didik Isnin nanti. Memang terasa akan mengalami ‘Monday Blues’ memandangkan cuti sekolah hanya berbaki satu hari je lagi.

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"