Thursday, May 30, 2013

Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Sah


Mula-mula ia membasuh kedua belah tangan tiga kali, kemudian beristinja’ dan menghilangkan segala macam kenajisan yang ada pada badan, kalau memang ada. Sesudah itu, barulah ia berwudhu’ kerana mahu bersembahyang, sebagaimana yang telah kita huraikan sebelum ini, kecuali membasuh kedua belah kaki, maka hendaklah ia menangguhkannya dahulu.
Kemudian mulalah ia menyirami badan dengan air, bermula dari kepala, kemudian bahagian kanan, kemudian bahagian kiri pula.
Selesai menyirami air, ia pun menggosok bahagian hadapan dari badan, kemudian bahagian belakang pula. Dan hendaklah ia menyela-nyela rambut yang di atas kepala, begitu juga dengan janggut, supaya air itu sampai ke pangkal tempat tumbuhnya rambut-rambut itu, samada rambut-rambut itu lebat mahupun tipis.
Seorang perempuan yang mandi wajib tidak perlu menghuraikan siputnya, kecuali kalau ia bimbang air tidak akan sampai ke celah-celah rambut, dan hendaklah ia memelihara pula lipatan badannya (agar air dapat meratai seluruh badannya).

Mandi itu menjadi wajib dengan empat perkara:-.
1. Kerana keluar air mani.
2. Kerana persetubuhan.
3. Kerana haidh.
4. Kerana nifas.

Selain dari mandi-mandi tersebut di atas itu adalah sunnat hukumnya, seperti mandi kerana dua hari Raya, kerana hadir sembahyang Juma’at, kerana berihram, kerana wuquf di Arafah, kerana masuk negeri Makkah dan bagi orang yang memandikan orang mati.

Rukun Mandi Wajib
(cukup 3 rukun ini, mandi wajib anda Sah)
    Niat
    Menghilangkan najis di badan sama ada yang jelas (‘ayni) atau tidak jelas (hukmi)
    Menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Jenis Niat Mandi Wajib
1. Keluar mani atau keluar haid dan nifas
“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.
“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

2. Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri
“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

3. Mandi disebabkan keluarnya darah nifas
“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.


Sunat Ketika Mandi Wajib

    mengadap kiblat
    membaca basmalah
    membasuh dua tapak tangan
    mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi
    menggosok seluruh anggota badan dengan tangan
    berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus
    tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan
    membasuh sebanyak tiga kali

sumber: yanieluvislam.blogspot.com

Wednesday, May 29, 2013

Sedekah tambah rezeki

APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.
Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.
Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?
Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.
Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.
Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.
Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.
Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.
Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: 
“Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)
 Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”
Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.
Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.
Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental.
Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.
Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.
Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.
Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.
Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.
Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.
Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.
Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.
Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: 
“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”
Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya:
 “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Sumber: Harian Metro

Tuesday, May 28, 2013

Kebaikan Halba


Rasulullah saw bersabda :
' Sekiranya umatku tahu akan kelebihan Halba nescaya mereka sanggup tukarkannya dengan sebanyak timbangan emas '(Books of Sufi Healing m.s.58)

Pada suatu hari Rasulullah saw menziarahi sahabat Saad bin Abi Waqqas yang sedang sakit. Rasulullah saw menyuruh dipanggil tabib. Al Harith Ibn Qaldah datang merawat Saad bin Abu Waqqas. Beliau mengesyorkan agar Saad makan Halba dan Korma Ajwa'. Dengan izin Allah, Saad pun sembuh dari sakitnya. Rasulullah saw kemudiannya bersabda :
' Gunakanlah Halba sebagai ubat'( Qamus Al-Tibb ? Ahad Qodamah-Mesir)


KEGUNAAN Halba
1. Diminum sebagai teh untuk- Melancarkan haid- Menghilangkan kembung,sebu dan senak- Pencuci perut- Menguatkan jantung- Menghilangkan lender tekak- Melegakan sakit kepala/ migraine- Membuang angin- Menyembuhkan buasir- Senggugut- Merangsang rahim- Kegemukan- Kurang berat badan- Mengawal kencing manis- Radang kulit dan Bisul
2. Teh Halba + Madu- Kurangkan ketagihan rokok dan dadah- Anemia
3. Untuk anak2 yang baligh- kecergasan- kekuatan badan- Tumbesaran
4. Untuk ibu menyusu- Banyakkan air susu
5. Halba juga adalah ramuan tradisi menambahkan nafsu lelaki dan wanita. Memanaskan buah pinggang dan organ pembiakan. Menjadi amalan kuno tabib China untuk rawatan mati pucuk.. Halba merupakan antara ubatan yang tertua di dunia dan digunakan oleh Al-Abqirad ( Hippocrates) iaitu bapa perubatan Yunani.
Di Terengganu halba adalah salah satu ramuan dalam adunan nasi dagang.
 

MANA NAK DAPAT Halba?
Halba boleh dibeli di kedai mamak atau dah di pek secara komersil dipasaraya. Semoga ada manafaat kepada orang ramai yang berpenyakit tetapi tidak perlu berbelanja mahal untuk mencari penawarnya. InsyaAllah sembuh dengan izin Allah jua..
--

Monday, May 27, 2013

Solat Sunat Dhuha – Kunci Rezeki



Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-
Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu.
Di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” – Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi
Hadis-hadis diatas jelas menunjukkan tentang kelebihan solat sunat dhuha dan betapa besar ganjarannya apabila kita menunaikan solat sunat dhuha dan sentiasa beristiqamah dengan solat sunat ini. Tambahan pula antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaan mengenai solat sunat ini, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” – Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Doa Solat Sunat Dhuha:
 
Sumber: 1. http://www.mohamadazhan.com
                  2. http://nursyirah.wordpress.com

Tuesday, May 21, 2013

Nak Jadi Baik Memang Lambat

"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"
Ustaz N memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.
"Masih ada sinar" Ustaz N menjawab pendek.
Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman Syurga ilmu. Marvellous!
Ustaz N menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."
"SMS masuk, Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.
"Terima kasih, Ustaz. Macam mana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"
Ustaz N tersenyum. "Pernah tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"
Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!
Ustaz N menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."
Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.
"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."
Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.
"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita."
Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik:
Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.

Sumber: solaharith.blogspot.com

Monday, May 20, 2013

Berhati-Hati Ketika Mengharap


"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?"
Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.

Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.
Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.
Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.
Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?
Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.
Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.
Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.
Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.
Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.
Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?
Harapan tak tertunai, bahkan iman terungkai-rungkai ikatannya.
"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda."
"Hanya aku seorang yang boleh diharapkan."
Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.
Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?
Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.
Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.
Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.
Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.
Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.
Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.
Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.
Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.
Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.
Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?
Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.
"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan."
Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.
Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.
Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.
Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.
Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.
Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.
Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.
Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.

"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." - Al-Insyirah: 7-8
Wallahua'lam.

Sumber : iluvislam.com

Sunday, May 19, 2013

Ubat Kepada Malas

Adakah anda merasa malas? Jika benar, cepat-cepatlah berusaha melawan sikap malas. Malas ialah attitude yang negatif wajib dihindari oleh semua orang Islam. Sesetengah kita mungkin tidak dapat melepaskan diri dari sikap ini. Ada yang diuji dengan tahap malas yang keterlaluan, ada yang diuji dengan tahap malas yang sedikit. Apa pun bentuk malas yang ada, hakikatnya malas bukan satu ajaran Islam. Malas menurut al-Quran adalah attitude orang munafiqin. Firman Allah Taala [al-Nisa’ : 140] :
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas : “Ini adalah sifat orang munafikin dalam amalan paling baik da paling mulia iaitu solat. Apabila mereka hendak solat, mereka solat dengan malas kerana mereka tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak takut (khashyah) dan tidak memahami maksud solat”.
Oleh itu, jika anda ada sikap malas, cepat-cepat buangkannya kerana ia sifat orang munafik. Orang yang munafik ialah orang yang cuba menipu Allah Taala. Tetapi, bagaimanakah cara hendak buangkan sikap malas? Saya cuba bawakan beberapa kaedah menghilangkan rasa malas menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Pertama : Doa dan perbanyakkan doa
Gunalah senjata utama orang mukmin iaitu doa. Tokoh terkenal, Ibn Qayyim dalam karya beliau al-jawab al-kafi li man sa’ala an al-dawa’ al-shafi, menjelaskan ubat pertama dan kedua untuk mengubati jiwa mukmin ialah berdoa dan bersungguh-sungguh dalam doa.
Doa ialan ubat paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian dan penyakit. Antara doa yang diajar oleh baginda s.a.w ialah :
اللهم إني أعوذ بك من الهرم والحزن، والعجز والكسل، والبخل والجبن، وغلبة الدين، وقهر الرجال
Maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung denganMu dari penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki”. [al-Bukhari]
Antara doa Nabi juga :
اللهم إني أسألك الثبات في الأمر، والعزيمة على الرشد
Maksudnya : “Ya Allah, aku memohon dariMu ketetapan dalam urusan kerja dan keazaman atas hidayat”.
Semuanya menunjukkan bahawa doa yang dapat menghalang sikap malas seseorang. Kalaulah Nabi boleh berdoa sebegini, inikan pula kita umatnya. Wajiblah kita mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam semua sunnahnya.

Kedua : Lawanlah syaitan dan nafsu
Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Syaitan melatih nafsu manusia agar menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.Tidakkah kita pernah mendengar hadis Nabi s.a.w. :
يعقد الشيطان على قافية رأس أحدكم إذا هو نام ثلاث عقد يضرب مكان كل عقدة عليك ليل طويل فارقد فإن استيقظ فذكر الله انحلت عقدة فإن توضأ انحلت عقدة فإن صلى انحلت عقدة فأصبح نشيطا طيب النفس وإلا أصبح خبيث النفس كسلان
Maksudnya : “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas”.
Hadis ini menunjukkan bagaimana kita perlu mencegah malas dengan cara yang diajar oleh Nabi s.a.w. Malas itu puncanya datang dari syaitan. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah Taala.

Ketiga : Carilah ilmu 
Saya akhiri tulisan kali ini, dengan kaedah ketiga untuk menghapuskan sikap malas. Iaitu timbalah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmulah seseorang itu menjadi orang yang rajin dan cergas dalam hidupnya. Sebagai contoh, ilmu tentang fadilat dan kelebihan ibadat, menyebabkan seseorang rajin beribadat dengan syarat adanya keyakinan yang kuat tentang apa yang dipelajari. Oleh itu, orang yang mempunyai ilmu berkenaan fadilat solat jemaah, sangat rajin mengerjakan solat jemaah. Orang yang mempunyai ilmu tentang kelebihan dan fadilat solat Duha, akan menjadi rajin dan cergas untuk melaksanakannya.
Sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda :
أثقل الصلاة على المنافقين صلاة العشاء وصلاة الفجر، ولو يعلمون ما فيهما لأتوهما ولو حبواً
Maksudnya : “Solat paling berat bagi orang munafiqin ialah solat isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apakah (ganjaran) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak”.
Lihat kepada kata-kata Nabi : “Sekiranya mereka mengetahui apakah ganjaran”, menunjukkan pentingnya ilmu tentang kelebihan dan fadilat sesuatu ibabdat, kerana ia membantu anda menjadi rajin dan cergas dalam melakukannya.
Akhirnya, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri sendiri adakah kita masih malas? Sekiranya masih bergelumang dengan malas, ayuhlah kita hilangkan sikap malas yang ada pada diri kita. Janganlah menjadi pengikut syaitan dan nafsu, tetapi jadilah pengikut iman dan akal.

Thursday, May 16, 2013

Orang Beriman Sebagai Penolong


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
 “Sesungguhnya penolong kamu hanya Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman sebagai penolong, merekalah yang mendapat kemenangan.” (Surah al-Maidah 5: 55-56) 
Biarpun manusia merupakan kejadian makhluk yang paling sempurna ciptaan Allah, tetapi manusialah yang paling terkedepan dalam kehilangan sifat-sifat manusiawinya. Sedangkan makhluk-makhluk yang lain masih kekal dengan sifat-sifat tabiinya masing-masing dalam meneruskan kehidupan makhluk tersebut mengikut ketetapan Rabbul Jalil. 

Logiknya lembu tidak pernah cuba untuk menjadi singa, supaya nampak lebih gagah, malah ia tetap dengan tabiinya memakan rumput, mengeluarkan susu dan sebagainya. Singa pun tak pernah menabalkan dirinya bebas membaham sesiapa sahaja, hanya sekadar untuk keperluan dan kelangsungan kehidupan spesiesnya sahaja, tidak lebih dari itu.
Namum manusia yang tidak beriman sanggup melakukan apa sahaja, meredah dan membaham apa jua yang boleh menguntungkan, mencampuradukkan yang hak dan batil, bermuka-muka dengan sesiapa sahaja demi kepentingan diri sendiri.
Sebab itu kita begitu yakin bahawa keyakinan , penghayatan dan perlaksanaan tuntutan kalimah tayyibbah ini sebenarnya menjadi pengukur untuk mengangkat dan membezakan seseorang itu sebagai manusia sebenarnya atau sebaliknya.
Tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan Allah s.w.t.

Sumber: Majalah Solusi #20, 2010

Tuesday, May 14, 2013

Allah Ajarkan Tentang Keyakinan Kepada-Nya

Bagaimana jiwamu hari ini? Ada Allah dalam jiwamu? Kalau ada,pasti terasa.Kalau ada,rasa tenang hari ini ,kalau ada, di hati hanya mahu berbuat baik sahaja.Allah itu teman hidupmu, itu kata guru saya. Bila Allah ada dalam jiwamu maka ketika itu Allah menemanimu tapi bila Allah tidak ada dalam hatimu, ketika itu syaitan jadi teman setia maka jiwamu hari itu resah, mudah marah, mudah buruk sangka.Pastikan tidak, kerna syaitan sedang duduk bersemayam dalam hatimu.Justeru tunduklah dirimu pada kehendak-Nya bukan kehendak syaitan.
Tetapi kalau Allah yang bertakhta di dalam jiwamu, maka seluruh diri dan tubuhmu hanya cenderung kepada yang baik-baik sahaja.Tidak suka marah, tidak suka buruk sangka, tidak suka mengumpat, suka menolong orang.Itulah kehendak Allah dan jiwamu ketika itu yang dekat dengan Allah akan tunduk pada kehendak-Nya.Simple sahaja kan?Justeru bila jiwamu resah gelisah, datanglah kepada Allah tapi datang kepada Allah dengan jiwamu bukan sekadar dengan jasadmu.
Saya ingin merakamkan kefahaman saya tentang keyakinan kepada Allah dan hubungkaitnya dengan kehidupan kita. Hidup kita kadangkala nampak rumit dan sulit dengan pelbagai masalah. Ketika kita berhadapan dengan masalah-masalah ini, cuba kita perhatikan sejauh mana keyakinan kita kepada Allah saat itu. Rasa kerumitan dan hidup rasa penuh kepayahan ada kaitannya dengan keyakinan kita kepada Allah.Bila keyakinan kepada Allah itu tidak kukuh berpasak di dalam jiwa kita maka kita rasa berhempas pulas menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sakit kepala, tekanan jiwa, marah adalah antara kesannya.

Namun sebaliknya apabila keyakinan kepada Allah Yang Maha Hebat, Yang Maha Besar, Yang Maha Menguruskan Rezeki berpahat teguh di dalam hati ianya akan melahirkan pergantungan total 100% kepada Allah sehingga mampu menghasilkan kepasrahan yang tulen apabila berhadapan dengan ujian dan halangan di dalam kehidupan. Hamba Allah yang begini akan menghadapi kehidupan dengan mudah, tenang dan segalanya dapat dirasakan diurus oleh Allah dengan cukup sempurna. Bukan bererti dia tidak berusaha. Orang yang benar-benar yakin dengan Allah, hidupnya hanya untuk Allah. Justeru apa yang dilakukan akan dilakukan dengan sungguh-sungguh dan sebaik mungkin kerana ia di lakukan untuk Allah, harus bagi yang terbaik dan bukannya untuk dirinya atau manusia lain. Justeru,fokus dengan peranan dan tanggungjawab, bahagia melakukan kerana Allah, dilimpahi cahaya Allah yang sentiasa menerangi hatinya dan membimbingnya ke jalan yang benar dan penuh kebahagiaan. Allah sentiasa ada di dalam jiwanya; setiap waktu dia sedar bersama Tuhan yang sangat dicintainya.Kesannya ,rezekinya diurus, hidupnya diurus.Cukup sempurna.
Justeru,mahu rezeki dari Allah? Mahu bayar hutang rumah, hutang kereta, bil elektrik, bil telefon dan sebagainya?Maka,yakin kepada Allah dengan penuh kesedaran setiap waktu dan saat.Mungkin sekadar di otak dan di fikiranmu kata yakin tapi di mana keyakinanmu itu bawa dalam hidupmu selama ini?
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Sumber:  iluvislam.com

Monday, May 13, 2013

SETIAP YANG BERNAFAS PASTI MERASAI MATI

Firman Allah Taala yang bermaksud:

" Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya." 
 (Surah Al-A'raf: ayat 34)

 ' Solat Itu Tiang Agama '  dan itulah yang diterapkan kepada kita sejak azali, meninggalkan solat diibaratkan meruntuhkan agamanya, Tidakkah kita sedar berapa banyaknya waktu telah kita tinggalkan? Hari ini? Semalam? Kelmarin? Minggu lepas? Bulan lepas? atau tahun lepas?.

Sesungguh besarnya dosa meninggalkan solat, Maka penuhilah tanggungjawab ibadah solatmu sebaiknya. Buat para ibu bapa turutilah saranan Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anakmu.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka (bila tidak mu) pada usia 10 tahun dan pisahkan mereka ditempat-tempat tidur". - HR. AHMAD DAN ABU DAWUD


 
Tempat tinggal Roh.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad.

Maka berkata Abu Bakar R.A :

“ Roh itu menuju ketujuh tempat ”
 
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari Kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat.



Telah bersabda Rasullullah S.A.W: “Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya”

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Kelompok manakah kita?  Bersediakah kita menghadapi kematian?  Menghadapi hari pengadilan?

Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak 5 Kali

1. Aku rumah yang terpencil, maka akan senang dgn selalu membaca Al-Quran.

2. Aku rumah yg gelap, maka terangilah aku dgn selalu sembahyang malam.

3. Aku rumah penuh tanah dan debu, bawalah amal soleh yg menjadi hamparan.

4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.

5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nankir, maka banyaklah bacaan "Laa illallah, Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

wallahua'lam

JANGAN TINGGALKAN SOLAT YA !

Thursday, May 9, 2013

Izinkan Hati Ini Kembali PadaMu

Pasti hati setiap daripada kita akan sebak sebaik sahaja memikirkan segala dosa yang pernah kita lakukan. MashaAllah. Begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allahu rabbi. Masihkah ada pengampunan dariNya.
Sahabat-sahabat yg ku sayangi. Setiap daripada kita dilahirkan dalam keadaan, situasi dan fikrah keluarga yang berbeza-beza. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang hidup seperti zaman jahiliyah. Ada yang miskin, kaya dan sebagainya. Namun jangan pernah perlekehkan semua ini kerana ia adalah ketetapan dariNya. Maka jangan lupa panjatkan syukur padaNya, terutama bagi kita yang automatik menjadi umat Islam sejak dilahirkan..
Alhamdulillah. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa bagi peluang untuk kita bertaubat. Walau dosa yang telah kita lakukan itu tinggi menggunung mencecah langit sekalipun, sekiranya kita bertaubat dan menyesali perbuatan kita itu dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan diterima olehNya kerana Allah itu Maha Pengampun. Jadi sahabat-sahabat yang ku kasihi, jika anda selama ini hidup dalam kejahilan dan ingin kembali ke jalan yang diredhaiNya, maka teruskanlah langkahmu. Jangan pernah menolak panggilan dari Ilahi ini, capailah hidayah dariNya ini. Kerana sekali engkau menolak, mungkin sukar untuk engkau mendapatnya kembali.
Sedarlah sahabat. Bukan kita yang memilih untuk hidup dalam latar belakang keluarga yang macam mana. Jadi pada sahabat-sahabat yang sudah tersedia hidupnya dalam latar keluarga yang berfikrah Islam, bersyukurlah. Anda sangat bertuah kerana ramai sahabat-sahabat kita yang perlu meraba-raba mencari cahaya. Sangat sukar dan perit ya sahabat. Bukan perkara yang mudah untuk mengubah diri, tambahan pula jika keadaan keluarga yang hidup dalam kejahilan.

Ana sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan. Didikan dari keluarga itu sudah ada, belajar di sekolah agama dan sebagainya. Akan tetapi, masih ramai juga yang dari menutup aurat bertukar menjadi menutup rambut. Kenapa perlu berhijrah dari bertudung labuh ke tudung biasa? Ana bukan ingin menyalahkan sesiapa, tapi ana sedih kerana kita diberi kesempatan dan peluang tapi ibarat mensia-siakannya.
Sedangkan sahabat-sahabat kita yang baru diketuk pintu hatinya dengan hidayah dari Allah seringkali menitiskan air mata, betapa cemburunya dengan mereka yang berfikrah itu. Betapa bersyukur saat mengenakan tudung yang labuh, walaupun tudung yang labuh itu tidak dapat menutup dosa-dosa yang dilakukan itu. Kadangkala di salah sangka oleh masyarakat sekeliling dek kerana hijrah yang dilakukan itu seperti terlalu ketara. Sedangkan diri hanya inginkan perubahan, inginkan pengampunan dariNya. Kenapa mesti dicerca, dicemuh, disindir. Ada juga yang apabila kelemahannya terpancar, lalu terus dihukum "selama ini tersilap menilai dirinya". Tambahan pula jika diketahui masa lalunya adalah kurang bernasib baik, jahil. "Patutlah, memang dulu dia jahil pun. Sekarang je pakai tudung labuh." Astaghfirullah. Kepada yang pernah berbuat demikian, letakkan diri anda di tempat mereka. Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah merasainya. Tahukah sahabat, dengan hanya mengenangkan perkara ini, mereka kembali menitiskan air mata. Betapa kuatnya hati meronta-ronta agar diputarkan balik masa. Ingin bersihkan jiwa dari segala noda kerana khuatir tiada pengampunan dariNya.
Namun, walau apa jua keadaan sekalipun, marilah sama-sama kita kembali mendekatkan diri padaNya. Marilah kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dalam kalangan manusia. Manusia ini memang tidak akan pernah sempurna. Kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.
Semoga Allah menerima taubat kita. Jangan pernah merendah-rendahkan sahabat yang lain. Astaghfirullah. Istighfar ya sahabat-sahabat. Istighfar. Semoga hati kita bersih dari sifat riak dan takabbur ini. Semoga husnudzon yang sentiasa menjadi pilihan kita. Semoga Allah izinkan hati kita untuk kembali padaNya.

Sumber: uniqueummah.blogspot.com

Wednesday, May 8, 2013

KELEBIHAN BULAN REJAB..

Rejablah masanya bulan menabur benih. Amalan pada Rejab dapat menyucikan badan dan pahala amalan baik dalam bulan ini dilipat-gandakan.

Rejab adalah bulan Allah, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan bertaubat.

Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalam Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali dalam Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

Kelebihan Rejab daripada bulan lain seperti kelebihan al-Quran daripada kitab lain.

Seseorang yang memuliakan bulan Rejab, maka Allah akan muliakannya dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

Rejab adalah pembukaan kepada bulan kebaikan dan berkat. Jika tahun diibaratkan sebagai pohon, Rejab ibarat waktu bercucuk-tanam dan keluarnya daun.

Rasulullah SAW bersabda: “Rejab adalah bulan bertanam, maka berniagalah kamu semoga Allah merahmati kamu pada bulan Rejab kerana ia adalah musim untuk berniaga dan makmurkanlah waktu kamu (dengan beramal) dalamnya kerana ia adalah waktu berbuat amal.”

AMALAN
Umat Islam digalakkan beribadat sebanyak mungkin dalam bulan Rejab sebagai satu latihan sebelum mereka menghadapi bulan Ramadan kerana pada bulan ini Allah SWT banyak memberikan Rahmat-Nya.

Ia adalah permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti istighfar dan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”

Rejab sebagai bulan penebus dosa serta menambah ganjaran pahala juga mempunyai banyak kelebihan dan bermanfaat. Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:

Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun

Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.

Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir

Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah

Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya

Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan

Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.

Dari Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa membaca kalimah berikut, pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan di antara waktu Zuhur dengan Asar; nescaya disuruh dua malaikat untuk menghapuskan surat kejahatan.”

اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمُ الَّدِىْ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ تَوْبَةَ عَبْدٍ ظَالِمٍ لاَ يَمْلِكُ لِنَفْسِهِ ضَرًّا وَلاَ نَفْعًا وَلاَ مَوْتًا وَلاَ حَيَاةً وَلاَ نُشُوْرًا.

Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.

Tuesday, May 7, 2013

Allah Menguji Kerana Manusia Mampu Menghadapinya

“Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Surah al-Baqarah : 155)
Berat sungguh beban yang ditanggung oleh jiwa ibarat sebuah lori yang sedang membawa muatan yang melebihi had yang dibenarkan, merangkak-rangkak mendaki bukit. Di jalan yang rata pula bisa dikalahkan oleh kenderaan yang lebih kecil “cc” kelajuannya. Bagaimana berat rasa yang ditanggung oleh jiwa bergantung kepada tahap kemampuan seseorang menyerapnya. Apabila seseorang itu gagal menyerap beban dijiwanya akibat ujian yang sedang ditimpakan ke atasnya, makan tekanan dijiwanya akan bertambah berat. Semakin lama beban yang ditanggung itu semakin bertambah sehingga jiwanya tidak mampu menanggung lagi bebanan yang ada. Derita sungguh menanggungnya, ibarat kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Mata-mata banyak sekali yang melihatnya. Ada yang simpati, ada yang kehairanan, malah ada juga yang tidak ambil peduli. Namun, orang yang menanggungnya lebih hebat dari yang melihatnya.
Melayan perasan kerana ujian yang sedang melanda hanya menambah beban yang ada dijiwa. Semakin dilayan, semakin hebat kesannya. Semakin derita rasa dijiwa. Rasa sedih akan menjalar disetiap pelusuk jiwanya sehingga dia merasakan dialah yang paling derita dan orang-orang disekelilingnya pasti tidak memahaminya. akhirnya menjadilah dia orang yang berputus asa kerana ketidakmampuan menanggung derita dijiwanya.
Ya Allah, Apa yang diuji oleh-Mu adalah apa yang termampu ditanggung oleh hamba-hamba-Mu.
Sedarlah wahai manusia, Allah tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan apa yang termampu dihadapi oleh mereka. Sebagaimana firmannya yang bermaksud :
Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…. (al-Baqarah 286)
Malah Rasulullah SAW sendiri turut menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud :
Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab:
“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Cuma sebagai hamba, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk mengahadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berhadapan dengan ujian yang sedang menimpanya. Sudah pasti jiwanya akan semakin lemah dan akhirnya putus asa semakin mendekatinya. Inilah yang paling ditakuti bakal menimpa seseorang manusia itu. Ya, putus asa!
Berusahalah dan yakinlah Allah akan membantumu.
Wahai manusia, yakinlah dengan sepenuhnya bahawa Allah akan membantumu. Berusahalah dan bertawakallah kepadaNya dengan sepenuh jiwa. Pasti pertolongan Allah itu akan datang kepadamu. Tiada pergantungan yang sehebat-hebatnya melainkan meletakkan sepenuh kebergantungan itu kepada Allah semata-mata. Percayalah, makhluk tiada upaya walau sebesar zarah sekalipun untuk membantumu, melainkan Allah jualah yang berkuasa menyelesaikan masalah yang sedang dibebani olehmu itu.
Setiap yang diuji itu semuanya baik-baik belaka.
“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya. (Imam Muslim)
Apabila seseorang itu telah mencapai tahap kebergantungan dan keyakinan yang sebenar-benarnya kepada Allah, maka segala ujian yang menimpanya itu akan diterima dengan redha dan kesabaran. Sekiranya datang kesedihan dalam hatinya maka bersegeralah dia beristigfar memohon keampunan kepadaNya dan akhirnya hatinya kembali tenang menerima ujian yang sedang menimpanya. Pada mereka, setiap ujian itu semuanya baik-baik belaka.
Khabar gembira apabila diuji
RAsulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.” (Imam al-Bukhari dan Muslim)
Allah berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah : 6)
 Sumber: myibrah.com


Thursday, May 2, 2013

Apa Patut Kita Buat Jika Terlupa Rakaat Masa Solat?


Itulah bijaknya syaitan melalaikan kita dan betapa lemahnya kita kerana terpedaya dengan tipu helah syaitan. Konsepnya mudah sahaja apabila terlupa dalam solat iaitu hendaklah membina atas keyakinan.
Contohnya terlupa bilangan rakaat sama ada tiga atau empat rakaat. Cuba ingati semula susur galur solat untuk mempastikan bilangan yang yakin. Jika tidak dapat, maka ambillah rakaat yang paling sedikit iaitu tiga rakaat.
Sabda Nabi S.A.W :
“Jika seseorang daripada kamu syak dalam solatnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah rakaat yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan solatnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan”. (Hadis Riwayat Muslim)
 
Jadi tak perlulah untuk menghentikan solat lalu memulakan solat baru. Jangan pula diambil bilang rakaat yang banyak . Kalau ambil bilangan rakaat yang banyak lalu pada hakikatnya kurang, maka solat itu tidak sempurna. Tetapi kalau diambil bilangan rakaat yang sedikit lalu pada hakikatnya sudah terlebih , itu tidak mengapa.

sumber: harianislam.com

Template by:
Free Blog Templates