Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Disember 2012: "Perwatakan dan rupa paras suami kelihatan muda walaupun saya sebaya
dengannya. Tambahan pula, sikapnya yang peramah tidak kira lelaki atau
perempuan membuatkan saya selalu cemburu, bimbang ada yang akan jatuh hati
padanya."
JAWAPAN:
Mungkin
ada di kalangan pembaca yang pernah dengar pendapat orang tua kita; elakkan
berkahwin dengan lelaki sebaya kerana wanita akan lebih cepat tua berbanding
lelaki. Benarkah? Hakikatnya, tua yang dimaksudkan adalah menyamai maksud
luahan puan dalam kes kali ini. Secara fitrahnya, wanita khususnya yang
berkahwin dan melahirkan anak akan melalui proses perubahan hormon dalam tubuh
sekaligus menyebabkan perubahan pada bentuk fizikal. Bukan sahaja menyumbang
kepada bentuk tubuh yang besar tetapi mempengaruhi paras rupa.
Mungkin
sebahagian pembaca berfikir, sekarang telah ada teknologi yang mewujudkan pula
pelbagai jenis ubat-ubatan bagi menangangi kes seumpama ini. Betullah! Saya
setuju tetapi bantuan ubat-ubatan masih belum mampu mengembalikan keaslian diri
seseorang. Namun, isu yang utama dalam kes ini bukanlah asli atau original atau
barang kelas kedua atau apa sahaja. Perkara paling penting bagi mengukuhkan
hubungan suami isteri bukanlah berkaitan bentuk fizikal dan paras rupa
semata-mata. Sebaliknya bahagia dalam hidup berumahtangga akan dikecapi apabila
sama-sama saling kasih mengasihi, melaksanakan tanggungjawab yang perlu dan
wajar menurut syariat dan turut menerima kekurangan pasangan bukan sahaja
kelebihannya.
Berbeza usia, paras rupa, latar
belakang keluarga dan pendidikan malah berbeza perwatakan, minat dan
kecenderungan bukan alasan untuk tidak boleh hidup bahagia bersama. Saya, anda, kita semua mempunyai satu persamaan iaitu kita
berbeza! Berbeza rupa, berbeza minat, berbeza gaya hidup, berbeza pendapat,
berbeza pemikiran dan macam-macam lagi. Perbezaan ini yang jadikan kita UNIK
dan tersendiri. Perbezaan bukan bererti tidak serasi atau tidak boleh hidup
sekali. Malah perbezaan jadikan hidup bersama sebagai perkara istimewa, sama
ada sebagai rakan malah sebagai pasangan. Bagaimana? Terima perbezaan dan
sesuaikan.
Merujuk
kepada kes, memang ada asas untuk puan cemburu tetapi jangan dilayan cemburu
puan berlebihan. Sebaliknya keistimewaan yang dimiliki oleh suami diterima
sebagai satu bonus dan disesuaikan dengan perwatakan puan pula. Bukan salah
suami jika ada yang jatuh hati kepadanya. Kelebihan yang dimiliki oleh suami
memang menjadi kegilaan kebanyakan wanita namun bukan bererti suami puan juga
bakal bertindak serupa. Puan perlu percaya kejujuran suami. Kerisauan
berlebihan boleh bertindak sebagai doa, seperti mengharapkan agar ada wanita
yang jatuh hati dan diberi respons positif oleh suami. Mahukah keadaan tersebut
berlaku?
Sememangnya
cemburu itu fitrah terutama kepada kaum wanita. Diriwayatkan, Sayidatina Aishah
r.anha pernah bertindak mengekori Rasulullah SAW pada waktu tengah malam ketika
sedar Rasulullah SAW keluar tanpa memaklumkan kepadanya yang sedang tidur.
Diekorinya Rasulullah SAW hingga jelas di matanya, Rasulullah SAW mengunjungi
makam Baqi’ dan berhenti seketika serta membacakan tiga doa. Usai berdoa,
Rasulullah SAW kembali ke rumah. Tindakan Sayidatina Aishah diketahui oleh
Rasulullah SAW lalu baginda Rasul menjelaskan: “Jibril datang kepadaku dan
menyampaikan agar aku segera ke Baqi’. Aku sangkakan kau tidur lena maka aku
keluar tanpa memaklumkannya kepadamu.”
Nah! Isteri
Rasulullah SAW juga boleh bersikap cemburu, boleh timbul curiga dalam dirinya
sedangkan sedia maklum, suaminya adalah manusia pilihan. Apakah bererti kita wanita
akhir zaman ini boleh bertindak berlebihan pula. Ya lah! Kalau begitu perlakuan
isteri yang punya suami manusia terpilih, maka wanita yang punya suami dengan
pelbagai kekurangan boleh lah bertindak lebih lagi. Betul kah? Betullah tapi
masih perlu dalam batasan. Mengambil iktibar daripada kisah dikongsikan tadi,
perkara yang perlu dilakukan ialah bersikap berterus terang. Puan boleh luahkan
rasa tidak selesa puan kepada suami. Nyatakan, puan kagumi dan berbangga dengan
kelebihan suami tapi risau jika perlu berkongsi kelebihan tersebut dengan
wanita lain.
Seorang
suami yang menghargai akan memahami kerisauan puan dan akan bertindak mengawal
sikap sendiri. Dia boleh teruskan sikapnya yang peramah cuma dia akan sentiasa
beringat, puan tidak suka jika dia melayan seseorang wanita yang lain secara
berlebihan, insyaAllah! Sebaliknya, jika puan berdiam diri, tidak luahkan
kegelisahan yang puan alami, suami tidak akan faham atau berpendapat isterinya
tidak kisah kerana sedia memahami. Rasulullah SAW memahami kegelisahan Aishah
maka baginda berterus terang. Sebagai manusia biasa, sikap ini perlu kita
teladani.
Jangan
bertindak berdiam diri. Masalah utama komunikasi sesama setiap insan khususnya
suami isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan
sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri
untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan
berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah.
InsyaAllah! Sama-sama memahami akan dikecapi. Puan juga perlu yakin dengan
kelebihan diri sendiri yang mampu menjadi tarikan kepada suami. Menarik itu
abstrak malah berbeza mengikut pendapat individu. Menarik bukan saja pada rupa
paras dan bentuk tubuh. Menarik juga boleh terdapat pada sifat, sikap, cara
berbual malah layanan seseorang. Setiap individu punyai tarikan yang tersendiri
untuk memikat individu lainnya. Jangan terlalu rendah diri hingga tidak
bersyukur dengan anugerah Ilahi!
Puan juga perlu berusaha untuk
menambah mekarkan kasih sayang bersuami isteri. Biar nampak ‘perbezaan usia’
antara puan dan suami walau sebaya, andai kasih sayang kekal utuh dan segar
antara kalian, takkan ada masalah biar suami disogok dengan wanita yang jauh
lebih menarik dan baik berbanding puan. Ingatlah! Cinta
adalah satu perasaan yang muncul dalam diri bila berhadapan dengan satu situasi
sahaja; MEMERLUKAN! Lantas, bila diri memerlukan dan diperlukan; usia, rupa, pangkat
malah sikap bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa syarat. Yang
penting; sama-sama memerlukan! Dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT
menyebut tentang cinta iaitu keinginan: “Diperhiaskan (pada pandangan) manusia
kecintaan (hubb) terhadap apa yang diingini....”
Yakinlah, andai masih wujud rasa cinta dalam diri
suami kepada puan, puan akan kekal di hatinya tanpa berkongsi dengan sesiapa.
Lantas, usahakanlah untuk tambah mekarkan kasih sayang. Tips paling utama: menjauhkan diri
daripada syak wasangka terhadap pasangan. Kesilapan anda terlalu mudah menaruh
syak kepada pasangan boleh menyebabkan kasih sayang bertambah hambar dan boleh
menjadi pudar. Anda juga perlu bajai kasih sayang anda bersama pasangan.
Ingat!! Kasih sayang bak benih tanaman. Jika benih tersebut sentiasa disiram
dan dibaja, ia akan tumbuh subur. Sebaliknya jika dibiarkan tanpa siraman dan
baja, ia akan layu dan mati.
Untuk kembali menyiram kasih yang mula
layu, anda perlu gunakan luahan sayang dan belaian mesra. Luahkanlah rasa kasih
anda dalam nada yang amat romantis dan menggoda, ciumlah pasangan anda dengan
penuh rasa cinta. Bimbang dikatakan buang tebiat? Ketepikan kebimbangan
tersebut!! Lakukan saja dan jika benar perkataan tersebut keluar dari mulut
pasangan anda, jawablah dengan penuh kasih sayang dan suara menggoda: Anda
lakukan semua tu sebab rasa cinta dan rindu yang amat sangat kepada pasangan
anda!!
Lakukanlah kejutan. Sebagai contoh,
jika selama ini hari jadi suami atau majlis ulangtahun perkahwinan hanya
disambut biasa, sekadar ucapan, kad dan hadiah, tukarlah kebiasaan tersebut
kepada satu majlis hari jadi agak luar biasa,tak perlu besar, cukup disambut
dengan bersama suami dan anak-anak tetapi dalam suasana yang berbeza daripada
sebelum ini. Anda juga perlu imbangi antara kerjaya dan rumahtangga.
Keseimbangan wujud apabila anda berjaya memberikan tumpuan tidak berbelah
bahagi kepada rumahtangga dan kerjaya. Tips paling penting; berdoa. Sentiasa
berdoa agar kasih sayang suami isteri sentiasa utuh, kekal dan mekar hingga ke
akhir hayat. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja sebaliknya berdoalah setiap
ketika kecuali tika qadha hajat – buang air kecil atau besar. InsyaAllah,
dengan segala ikhtiar dan doa anda kepada-Nya, kasih sayang suami isteri akan bersemarak
dan kekal hingga akhirnya, tanpa orang ketiga, insyaAllah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan