Dilema Perkahwinan Ogos 2011:
"Saya dan suami berkahwin pada usia yang agak lewat. Kini saya sudah 32 tahun. Saya tahu tahap kesuburan wanita akan mula menurun setelah mencecah usia 35 tahun. Ini membimbangkan saya kerana suami masih tidak mahu menimang cahaya kerana mahu mengejar kerjayanya. Saya bingung kerana setiap kali membicarakan hal ini suami akan melenting. Bagi saya kalau sekadar dapat seorang anak pun sudah mencukupi asalkan kami ada penyambung zuriat."
JAWAPAN:
Anak
biasanya dinobatkan sebagai permata hati atau cahayamata; membuktikan kehadiran
seorang anak di dalam sesebuah perkahwinan adalah amat bererti dan bermakna.
Tidak cukup syarat jika sesebuah perkahwinan tidak mempunyai cahayamata. Malah
ada kes perkahwinan berakhir semata-mata kerana pasangan, sama ada isteri atau
suami, tidak mampu memberikan anak kepada perkahwinan tersebut. Bukan sekadar
kehendak masyarakat sebaliknya kehadiran cahayamata adalah antara hikmah
perkahwinan disyariatkan.
Firman
Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Wahai manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu daripada asalnya seorang
diri (Adam) dan daripadanya pula diciptakan seorang isteri (pasangan) dan
daripada kedua-duanya melahirkan keturunan yang banyak, yang terdiri daripada
pasangan lelaki dan wanita.” Ayat ini menjelaskan, perkahwinan antara seorang
lelaki dan wanita menjadi satu wadah atau jalan untuk meneruskan keturunan
keluarga.
Berbalik
kepada kes puan, sebenarnya bukan kes luar biasa walaupun kes sebegini hanya
satu daripada 25 atau 30 kes. Saya pernah berdepan dengan kes serupa; suami
enggan mempunyai anak dan setelah bersabar hampir enam tahun, si isteri melawan
dalam diam. Dia ditakdirkan mengandung dan melahirkan kembar lelaki seiras.
Dengan harapan suami akan berubah setelah kehadiran anak, malangnya dirinya
diceraikan.
Saya
kongsikan kes ini bukan untuk menakutkan puan tetapi sebagai satu pengajaran
dan peringatan. Hakikatnya, tindakan isteri dalam kes tadi tidak salah atau
dalam erti kata mudah; tidak boleh disabitkan nusyuz sebab tidak mematuhi
kehendak suami untuk tidak mempunyai anak. Perlu difahami, seorang isteri boleh
disabitkan sebagai nusyuz dengan dua alasan. Bagi Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, nusyuz isteri ialah
kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya,
sikap saling membenci antara keduanya termasuklah keluar rumah tanpa izin
suami. (al-Fiqh al-Islami Wa
Adillatuhu). Isteri juga dianggap nusyuz jika meninggalkan rumah
dengan tiada sebab syarie atau enggan mengikut suami berpindah ke rumah lain.
Di dalam kitab
Nizam al-Usrah fil Islam menjelaskan perempuan nusyuz ialah perempuan yang
meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri
daripadanya, mengelak diri dari suaminya atau menyebabkan suaminya marah. Prof.
Dr Wahbah menjelaskan dua tanda isteri dianggap nusyuz. Pertama; melalui
perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan bersikap degil atau enggan
ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra.
Kedua; melalui perkataan seperti berinteraksi dengan suami dengan perkataan
yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut.
Dalam kes tadi
termasuklah kes puan jika puan mempunyai hasrat untuk bertindak membiarkan diri
puan hamil secara diam-diam; tindakan tersebut tidak termasuk dalam kategori
nusyuz seperti dijelaskan. Kenapa bukan nusyuz sedangkan suami melarang
daripada hamil? Kita kembali kepada kaedah asas, hamil atau tidak bukan
kehendak kita sebaliknya kehendak Allah SWT. Ada pasangan yang melakukan
pelbagai ikhtiar dan usaha agar dapat hamil tapi masih tidak berjaya hamil.
Malah ada pasangan yang berusaha keras untuk tidak hamil tetapi kerap juga
terjadi kehamilan yang biasanya dilabelkan sebagai “accident”.
Namun; biarpun
perbuatan tersebut bukan nusyuz, saya nasihatkan agar puan tidak berusaha untuk
hamil secara diam-diam. Jalan terbaik ialah puan berbincang dengan suami;
berapa lama masa yang suami perlukan untuk membina kerjayanya? Jika sukar
berbincang kerana suami cepat melenting, tak perlu bercakap sebaliknya tulislah
surat atau kirimkan emel. Gunakan bahasa yang mudah tetapi dengan antonasi
mendayu dan merayu. Luahkan hasrat puan untuk menjadi seorang ibu. Ceritakan
keseronokan yang bakal diperolehi bila memiliki anak. Sebagai contoh, kepenatan
seharian bekerja akan hilang bila balik kerja disambut keletah si kecil. Puan
boleh juga ceritakan mengenai kepayahan hidup masa depan andai tiada anak walau
mempunyai pekerjaan yang baik. Tapi pastikan, penjelasan berhikmah. Kalau ada
kes terdekat yang berkaitan dan boleh dikongsikan, ceritakalah dengan suami
dalam surat atau emel tersebut.
Andai tidak
mendapat maklumbalas positif daripada suami, puan sendiri berterus terang
dengan suami; berikan suami tempoh masa setahun untuk melaksanakan sebahagian
impian kerjayanya dan selepas tempoh tersebut, puan mohon ihsan suami untuk
benarkan puan hamil dan mempunyai anak. Puan luahkan kesanggupan untuk
menguruskan anak tersebut nanti tanpa mengganggu suami puan. Pengakuan tersebut
memang seolah perangkap makan diri tetapi ia sebagai satu umpan. Biar suami
benarkan puan hamil dulu dan nanti puan boleh usahakan pula untuk menarik hati
suami mendekati, menyayangi dan turut serta menguruskan anak tersebut,
insyaAllah.
Ingat! Kita
merancang tetapi segala keputusan bergantung kepada Allah. Puan masih belum
terlalu terdesak sebenarnya jadi saya mohon, jangan terlalu stress atau
tertekan dengan masalah dihadapi. Tekanan akan mengganggu hormon dan
pembentukan kualiti telur. Saya akui, mengikut ilmu perubatan, risiko bagi wanita yang berumur lebih
dari 35 tahun untuk hamil adalah tinggi terutamanya bagi mereka yang baru
pertama kali hamil.
Antara
risiko seperti yang ditemui dari kajian perubatan ialah :
- Kualiti telur yang dihasilkan oleh ovari adalah rendah – menyebabkan risiko yang tinggi untuk mempunyai zuriat yang lemah dan mudah sakit.
- Wanita yang hamil di usia yang lanjut selalunya mudah terkena diabetes (kencing manis) sewaktu hamil kerana kesukaran untuk mengawal kandungan gula dalam darah melalui diet, senaman dan gaya hidup.
- Kemungkinan untuk bersalin normal adalah rendah kerana faktor usia menyebabkan puan tidak kuat untuk meneran sewaktu proses bersalin. Oleh itu kemungkinan untuk puan bersalin cesarean adalah tinggi
- Risiko keguguran juga adalah tinggi apabila mengandung di usia melebihi 35 tahun
- Kemungkinan besar akan berlaku masalah risiko chromosome yang tidak normal iaitu bayi yang dikandung boleh mengalami Down Syndrome.
Namun, kemajuan
teknologi moden kini banyak membantu mereka yang beurmur lebih dari 35 tahun
untuk hamil. Terdapat hospital yang menyediakan rawatan dan pemeriksaan diawal
kehamilan bagi menentukan sama ada janin yang dikandung adalah sihat dan normal
atau sebaliknya. Jika janin yang dikandung tidak normal, doktor akan
menasihatkan pesakitnya untuk menggugurkan kandungan tersebut. Tetapi jika
sebaliknya, maka kandungan tersebut boleh diteruskan.
Perlu
difahami, setiap yang berlaku itu mempunyai sebab dan hikmah. Cara terbaik,
berusaha dapatkan persetujuan suami. Saya bimbang, andai tiada persetujuan
suami dan ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak dikehendaki
oleh puan, suami akan berterusan menyalahkan puan dan kesan jangka panjang akan
lebih buruk berbanding risiko hamil di usia lewat. Panjatkan doa kepada-Nya,
jika mempunyai anak itu terbaik untuk masa depan perkahwinan kalian, lembutkan
hati suami untuk menerima cadangan puan mempunyai anak dan jika sebaliknya,
tabahkan hati puan untuk terus redha dan bersabar hingga tiba waktu dan ketika
yang sesuai. Segala rahsia hidup ini dalam ketentuan-Nya, percayalah!!