Я люблю Россию и Я против этой войны.
Hampir setiap hari sekarang saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Ukraine dengan hati yang sedih. Bagi saya penyelesaian kepada keganasan bukanlah dengan mencetuskan keganasan yang baharu, keganasan tidak dapat dirawat dengan perang. Catatan ini bukan catatan perbahasan geo-politik, atau analisa siapa salah, atau propaganda untuk menghasut kita untuk menyokong mana-mana pihak yang berkonflik, saya sekadar mahu mencatat rasa hati melihat apa yang belaku.
Rusia merupakan negara yang dekat dengan hati saya. Takdir menentukan bahawa perjalanan hidup saya tersulam bersama dengan negara yang hebat ini. Rusia merupakan rumah kedua saya, 4 tahun saya berkelana di buminya. Selepas Malaysia, tiada negara lain yang saya pernah menetap lebih lama selain dari Rusia. 4 tahun mencari ilmu disana penuh dengan kenangan yang indah. Saya menetap di sebuah bandar di tepi Finski Zaliv bernama Sankt Peterburg. Sebuah bandar yang cantik, damai, penuh sejarah, dan merupakan ibukota Rusia sebelum Moskva.
Pada mulanya saya tinggal di Avtova sebelum berpindah ke Prospek Stachek. Siapa pun yang menjejakkan kaki ke bumi Rusia pasti mudah jatuh cinta padanya. Negaranya yang indah penuh dengan pemandangan yang mendamaikan. Saya rindu berjalan-jalan di tepi Sungai Neva melihat aliran airnya semasa musim panas. Pada musim sejuk pula, Neva akan membeku membolehkan saya berjalan di atasnya. Saya juga rindu melihat-lihat buku di Dom Knigi, kedai buku ikonik di tengah-tengah bandar berhadapan dengan Kazanski Sabor. Pada hari Jumaat kami akan berhenti di Metro Gorkovskaya dan solat bersama ratusan Muslim yang lain di Masjid Sabornaya.
Melihat salji-salji turun buat kali pertama memang mengasyikkan. Bumi terlihat aman dan bersih ketika musim sejuk kerana semuanya terlitup dalam salji yang tebal. Musim sejuk di Rusia, walaupun cantik, begitu menyakitkan hidung kerana kesejukannya. Musim sejuk inilah yang membantu mengalahkan tentera Napoleon dan Hitler. Ketika musim sejuk siangnya singkat dan malamnya lama. Saya lebih gemar minum kopi panas sambil melihat ribut salji di luar dari tingkap. Beberapa tahun di Rusia, musim yang saya gemari bukanlah musim sejuk, tetapi musim luruh. Pertama kerana cuacanya tidak terlalu sejuk, dan tidak terlalu panas. Berbeza dengan cuaca yang sama pada musim bunga, musim luruh tiada salji separuh cair yang membasahi kasut. Dan yang lebih menggembirakan adalah dedaunan yang berubah kepada warna emas. Ketika musim luruh, saya akan mendaki Bukit Voronya, melihat permandangan kuning keemasan, sambil dibuai angin. Hanya Tuhan yang tahu perasaan yang muncul melihat permandangan seperti itu. Ketika musim buah-buahan tempatan, saya akan memborong buah Chereshnya, dan makan dengan gembira buah yang sama setiap hari. Coklat kegemaran saya pula adalah Aleyonka, coklat sedap dan pembalut coklat juga ikonik, saya suka gambar anak kecil comel pada pembalutnya.
Orang Rusia juga bagi saya merupakan orang yang baik. Mereka kreatif, baik hati, periang, mudah berkawan, dan suka membantu. Kebanyakan guru-guru saya semuanya baik dan rapat dengan saya. Cikgu kegemaran saya adalah Chernov, syarahannya biasanya diselitkan dengan jenaka dan juga pengajaran-pengajaran hidup walaupun subjeknya adalah enjin, pam dan kompresor. Penyelia projek tahun akhir saya adalah Chistyakov, walaupun digeruni pelajar, bagi saya beliau baik sahaja dengan saya serta banyak memudahkan saya untuk lulus cemerlang. Walaupun orang luar mungkin melihat orang Rusia sebagai garang, susah tersenyum, dan ganas, namun jika kita mengenali mereka secara peribadi, segala prejudis itu senang dan cepat sahaja hilang.
Sejarah mereka merupakan sejarah yang panjang, penuh revolusi dan tribulasi. Namun orang-orangnya tetap mempunyai imaginasi yang sama seperti kita, perasaan yang dalam dan penuh kemanusiaan, rasional dan emosional. Antara kata-kata yang sangat saya minati yang ditulis oleh Svetlana Alliluyeva (anak kepada Stalin) ketika saya membaca biografinya adalah tulisan beliau tentang bagaimana kecintaan orang Rusia kepada keindahan laut. Svetlana menulis: “Pushkin berbicara dengan lautan. Pasternak mendengar lagu-lagunya. Gorky pula berkata laut juga boleh ketawa”.
Mungkin ada yang bertanya, jika benar orang Rusia itu rasional, punya perasaan yang mampu berkasih sayang, kenapa perang ini menunjukkan sisi mereka yang sebaliknya?
Kita harus membezakan rakyat biasa dengan kerajaan. Yang mengishtiharkan perang adalah kerajaan. Saya sangat tersentuh hati melihat orang-orang di bandar yang saya duduki dahulu, Sankt Peterburg, berdemonstrasi beramai-ramai menolak perang. Walaupun kemudian mereka dipukul dan ditangkap polis. Juga bagaimana media-media yang berani melaporkan apa yang terjadi sehingga kerajaan memaksa mereka ditutup. Saya percaya, rakyat Rusia merupakan orang-orang yang mencintai keamanan dan persahabatan.
Jean-Paul Sartre menulis bahawa “when the rich wage war, it's the poor who die”. Bagi saya tentera yang dikerahkan perlu berhenti dari mengikuti arahan. Biarlah presiden, jeneral, dan orang-orang kaya yang mahukan perang itu pergi berperang sendiri. Mereka mudah mengishtiharkan perang kerana bukan mereka yang perlu mati di medan perang, tetapi orang-orang muda dan orang-orang miskin yang dikerahkan.
Perang bukanlah jalan menyelesaikan konflik. Sejarawan ulung, Howard Zinn pernah mengutarakan bahawa terdapat seribu satu cara boleh kita gunakan selain berperang untuk menyelesaikan konflik. Kegagalan memilih cara lain menggambarkan kemalasan berfikir, kekeringan idea, serta pemikiran primitif bahawa membunuh boleh menyelesaikan masalah. Menurut Robert Fisk, wartawan yang melihat sendiri perang, beliau mengatakan bahawa perang menggambarkan “the total failure of the human spirit".
Oleh sebab itu, saya merasakan serangan Rusia ke atas Ukraine adalah salah. Saya tidak menyokongnya walaupun saya mencintai Rusia. Tidak menyokong Rusia tidak bererti kita secara automatik menyokong Barat dan Amerika Syarikat. Ini adalah pemikiran binari. Sebaliknya tidak menyokong Rusia merupakan komitmen kita yang konsisten menolak keganasan. Kita menolak keganasan yang dilakukan kepada Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan, dan kali ini Ukraine. Kita perlu konsisten, pengeboman Saudi Arabia ke atas anak-anak Yaman adalah sama kejam dengan pengeboman Israel kepada anak-anak Palestin. Walaupun kita sedar Barat dan Amerika Syarikat bersifat hipokrit, etnosentrik (eurosentrik), dan rasis, kita boleh menolak keganasan mereka dalam masa yang sama menolak juga keganasan Rusia. Kita tidak perlu memilih, kerana ia bukanlah pilihan binari.
Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan juga alumni yang menghubungi saya bertanyakan pendapat. Tulisan saya ini bukanlah berniat untuk mendahului mana-mana kenyataan rasmi persatuan yang saya anggotai. Ia hanya coretan perasaan saya atas kapasiti peribadi. Sekadar menulis semula pandangan saya secara publik akan apa yang telah saya sebutkan dalam ruang tertutup dengan pandangan yang umum. Seruan kita haruslah bagi menamatkan konflik, bukan berpihak kepada mana-mana. Tiada siapa yang untuk dalam peperangan kecuali pembekal-pembekal senjata.
Apa yang kita perlukan adalah keamanan dan persahabatan.