Memaparkan catatan dengan label Memaknai Rumi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Memaknai Rumi. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Julai 2021

Memaknai Rumi: Siri 12


"Brother, stand the pain.
Escape the poison of your impulses.
The sky will bow to your beauty, if you do.
Learn to light the candle. Rise with the sun.
Turn away from the cave of your sleeping.
That way a thorn expands to a rose.
A particular glows with the universal. (62)

Dunia hari ini berpusing terlalu laju. Maklumat berubah terlalu pantas. Terlalu banyak informasi bersesak-sesak, yang semuanya mahu masuk ke dalam minda kita. Maklumat melimpah ruah sehingga kita pun tidak tahu apa yang perlu kita perbuat dengan semua maklumat yang ada ini. Semua masalah, baik jauh dan yang dekat, yang ada dan kebanyakannya yang tiada kena mengena dengan kita, semuanya ingin mengisi ruang minda kita. Kita pun kabur, pening, apa yang penting, apa yang tiada gunanya. Hari-hari kita diberi berita.

Ada wazir yang derhaka istana.
Ada kaisar yang tidak mahu melepas kuasa.
Ada skandal pada pemuka agama.
Ada lokap untuk wanita bersuara.
Ada pesukan tewas di negara Suria.
Ada gangguan makhluk halus bernama Kuruna.
Ada itu ini, disini, disitu, disana.

Kemudian ada kita. Kita yang mendapat berita.

Petang ini akhirnya aku memutuskan untuk duduk di halaman senja. Sambil ditemani anak dengan aiskrimnya. Aku putuskan senja ini aku mahu membaca puisi sahaja, bukan berita. Ada satu naskah terjemahan Rumi yang aku simpan. Sekian tahun aku baca tidak pernah habis. Naskah itu bukan untuk dihabiskan segera tetapi untuk dibaca bila seleranya tiba. Bila jiwa inginkan puisi, aku akan menyelaknya seketika, membaca kisah, dan meneka-neka makna aksaranya, sebelum aku simpannya semula.

Maka senja ini adalah senja bersama Rumi, bukan berita. Hari ini aku membaca sebuah puisi. Selepas kisah seorang jelita, selepas kisah panglima, selepas kisah seorang sultan penguasa. Perihal seorang lelaki di Qazwin, yang mahu sesuatu tanpa melalui proses kesakitannya. Maka aku nukilkan disini seperenggan. Dan dibawah adalah terjemahanku diatas Coleman. Meminjam nurun ala nur, ia adalah terjemahan di atas terjemahan. Yang sudah pasti tidak literal, tetapi lirikal.

"Aduhai kekanda,
bertahanlah dalam derita.
Tahanlah diri dari racun tindakan,
yang laju keluar tanpa fikiran.

Maka langit seluruhnya akan tunduk padamu,
menghargai kecantikan, jika kau lakukan itu.
Belajarlah untuk menerangkan lilin,
agar dengan suria kau bangkit menjalin.

Bangunlah dari diselimuti gua mimpi,
agar bisa berkembang membungai bumi.
Hingga akhirnya kau kan bisa bersinar menghapus kelam,
menerangi sekalian alam".

Melalui rangkap ini aku ingin bahaskan sedikit maksud yang aku fahami. Empat baris pertama bagiku mudah, untuk berjaya kita kena melalui prosesnya, kesakitan, kesusahan, tangisan, itu semua adalah kandungan kejayaan. Hari ini kita melihat semuanya hendak dilakukan dengan laju. Kita mahu baca berita dengan klik dan scroll sahaja. Jika dahulu perlu ke kedai, keluarkan duit, beli surat khabar, selak satu persatu, untuk dapat berita perlukan banyak usaha fizikal. Hari ini kita perlu rerakkan ibu jari sahaja. Maklumat juga pantas keluar dan masuk, kita membaca tulisan-tulisan di laman sosial maya, boleh ditulis pendek, pantas, viral, dan penuh sensasi. Tetapi keghairahan kepada kepantasan ini mengorbankan makna, tiada inti dan estetika, tiada renungan yang lama, penelitian yang rapi. Akhirnya kelajuan ini isinya adalah kekosongan.

Empat baris kedua adalah balasan yang kita dapat sekiranya kita bersabar dari tindakan dan perkataan yang reaksionari. Dunia akan melihat kita sebagai seorang yang pandai, pendiam tidak bererti pembodoh, banyak berkata tidak semestinya bijak. Sebaliknya kita berkata dan bertindak apabila perlu, setelah difikir dengan dalam. Tindakan kita adalah tindakan yang berstrategi dan punya makna. Tidak cukup kita hanya mencaci dan merungut, kita perlu nyalakan lilin, perlu berusaha untuk berjaya. Usaha-usaha kecil yang kita kumpul akan menyamai kejayaan yang besar. Ribuan cahaya lilin akan menerangi alam seterang suria.

Empat baris terakhir adalah ajakan untuk bekerja. Untuk bangun dari mimpi-mimpi yang sia-sia. Bangun dari bermalas-malasan. Dengan usahalah kita mampu memperbaik dunia. Bukan dengan keluhan dan omelan sahaja. Ini adalah inti pati puisi Rumi menurut fahaman saya untuk senja ini. Cebisan pengajaran dari Qazwin ratusan tahun yang lalu untuk manusia hari ini.

Ahad, 7 Mac 2021

Memaknai Rumi: Siri 11


 "Love, without which the world does not evolve." (55)

Ada benarnya gumaman Rumi dalam bait ini, perihal pentingnya cinta dalam menggerakkan dunia. Cintalah yang menyebabkan kita mengasihi dan menyayangi pasangan kita, dan dari kasih itu lahir anak-anak baru yang bakal meneruskan kehidupan di dunia. Kecintaan kita pada Tuhan memberi kita asbab untuk berlaku baik dan menyusun kehidupan dunia sebaik yang kita mampu. Kecintaan kita pada ilmu juga misalnya, membuatkan kita meneroka dan mencipta, yang akhirnya menjadikan kehidupan manusia lebih mudah dan bertahan lama.

Namun ini tidak menafikan adanya kebencian dalam dunia ini, ada perkara yang dilakukan atas dasar benci, atas dasar tidak suka. Namun ia tidak bertahan lama, perlakuan itu tidak melahirkan generasi baru, malah seringkali merosakkan, menghancurkan, juga membantutkan perkembangan ketamadunan manusia.

"Do not act in such heat." (56)

Bait ini merupakan amaran, agar kita berhenti berkelakuan apabila diri kita dikawal emosi dan amarah. Emosi ini mungkin saja merupakan perasaan marah, atau kecewa, atau ketika mana akal rasional kita tidak berfungsi sepenuhnya kerana dikawal oleh keghairahan syahwat. Pada ketika itu elok kita duduk diam, mententeramkan diri, sehinggalah akal kita kembali, dan kita mampu mengawal diri. Keputusan dan tindakan yang kita lakukan tanpa sedar ketika kita sedang dikawal emosi sering akan kita sesali di kemudian hari. Ia mungkin sesuatu yang kita tidak boleh padam semula atau tidak boleh kita tarik balik.

"Having the idea is not living,
the reality, of anything.
There's no courage in the idea of battle" (58)

Bait ini bagi saya punya satu pesanan yang dalam. Menyuruh kita bukan hanya berteori tetapi mengotorkan tangan. Bukan bersembang bab kemiskinan tetapi pergi keluar membantu orang miskin, bukan sibuk bersyarah tentang kebahagiaan tetapi berusaha membahagiakan diri, bukan bersembang untuk berjuang tetapi keluar berpeluh dan berpenat di arena perjuangan. Kehidupan sebenar menurut Rumi adalah diluar sana, bukan dalam perangkap pemikiran.

"A branch of blossom does not look like seed" (60)

Dalam bait ini saya membacanya dengan agak filosofikal. Saya teringat akan dialektik Hegel, mungkin juga Hegel mendapat idea dialektiknya dari Rumi. Benih yang berubah menjadi sebatang pohon dan mengeluarkan bunga adalah tumbuhan yang sama, tetapi masing-masing adalah objek yang berbeza. Masing-masing punyai warna berlainan, kelembutan berlainan, bau berlainan, juga rasa yang berlainan, walaupun asalnya adalah tumbuhan yang sama. Dialektik Hegel membawakan konsep perubahan dalam kerangka falsafah ini, walaupun perubahan berlaku, kita melihat sesuatu yang baru, namun di lapisan falsafah ia berasal dari perkara yang sama, perubahan itu bergantung kepada bentuk sebelumnya. Tanpa bentuk sebelumnya perubahan itu tidak dapat berhasil.

Itulah hakikat kehidupan, hakikat kehidupan adalah perubahan. Dari hidup kepada mati. Dari tiada kepada kelahiran. Dari tua kepada muda. Semuanya berubah. Saya teringat akan kisah ombak kecil yang diceritakan Morrie, ombak itu sangat takut untuk menghampiri pantai, kerana dia akan terhempas, dan hilang. Menghempas pantai dan hilang itu seolah satu kematian yang menakutkan bagi si ombak kecil. Maka ombak besar menasihatinya, kau bukan ombak tetapi sebahagian dari lautan. 

Ahad, 21 Jun 2020

Memaknai Rumi: Siri 10



"How to cure bad water? Send it back to the river.
How to cure bad habits? Send me back to you.

Look as long as you can at the friend you love,
no matter whether that friend is moving away from you
or coming back toward you." (52)

Manusia adalah makhluk sosial. Ahli biologi ingin meletakkan manusia sekadar hanya seokor lagi binatang yang tujuannya hanya makan dan membiak. Ahli ekonomi mengatakan manusia bersikap dengan rasional. Ahli politik mengatakan sifat manusia itu selalu berkonflik. Namun semua teori-teori ini mempunyai limitasi dan terurai pada sesuatu titik sosial.

Pada titik sosial itu manusia tidak dapat ditulis secara sempurna dalam mana-mana formula. Manusia itu pentingkan diri dalam masa yang sama dia bersifat altruis. Manusia itu rasional dalam masa yang sama emosional. Manusia berperang dalam masa yang sama mereka berdamai. Manusia adalah makhluk sosial yang tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana formula.

Apabila dikatakan manusia itu makhluk sosial, kewujudannya sentiasa bergantung pada manusia lain. Pada waktu kecilnya dia bergantung pada ibubapa. Ke sekolah dia bergantung kepada gurunya. Di liburan dia bergantung pada temannya. Di dewasa dia bergantung pada isteri dan suaminya. Di waktu tua dia bergantung pada anak dan cucunya. Dia makhluk sosial, orang disekelilingnya bukan sahaja mempengaruhi dia secara fizik, tetapi juga dalam hal-hal yang abstrak seperti kegembiraan, kebahagiaan, kesedihan, kemarahan atau kesepian.

Saya ingat ketika ayah meninggal dunia, perasaan sedih itu sangat dalam. Walaupun secara fizik saya sudah tidak bergantung pada ayah dari sudut kelangsungan kehidupan. Tetapi keterikatan sosial itu masih ada dan erat, ia mampu menyebabkan hati berasa sangat sedih, sepi, dan murung. Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan saya perbuat tanpa sokongan keluarga dan teman sekeliling. Itulah sebabnya Rumi menintakan bahawa untuk mengubati penyakit-penyakit sedih dan sepi ini kita perlu kembalikan diri kepada manusia, kembali bersosial agar kesepian itu dapat dipadam. Jika tidak dipadam secara keseluruhan pun mungkin melupakannya buat seketika agar dapat dilalui hidup dengan sediakala.

Persahabatan manusia mungkin disebabkan talian keluarga, mungkin juga disebabkan institusi-institusi sosial yang lain yang dilalui sepanjang kehidupannya. Dalam persahabatan inilah ada penawar bagi kesunyian, penawar kepada kegilaan, penawar kepada kekosongan. Sebab itu Rumi menyuruh kita merenung sahabat dan teman yang kita sayang, pada mereka kita kutip sumber kekuatan dan kehidupan. Walaupun mereka biasa-biasa sahaja, bukan karyawan atau ilmuan, namun pertukaran kata-kata disulami gelak ketawa dengan secawan kopi sudah cukup untuk membuat kita bahagia.


Jumaat, 22 Mei 2020

Memaknai Rumi: Siri 9



Saya suka menyimpan puisi-puisi Rumi, berbanding dengan buku-buku lain, yang biasanya saya akan cuba berusaha seupaya untuk menghabiskannya secepat mungkin, puisi-puisi Rumi saya simpan dan membacanya dengan perlahan. Kadang-kadang berbulan-bulan sebelum saya berpindah dari satu puisi ke puisinya yang lain. Tentulah saya bukan seorang insan yang boleh menghadap Rumi dalam teks asal yang berbahasa Farsi, tetapi translasi ke Bahasa Inggeris juga masih mempunyai aura untuk menjentik jiwa.

We know separation so well because we've tasted the union. (47)

Perpisahan merupakan sebahagian daripada intipati kehidupan, malah mungkin ia adalah tujuan kehidupan itu sendiri. Sejak kita lahir, kehidupan kita dipenuhi perpisahan. Kita mula dengan menyusu bersama ibu kita, kemudian semakin besar kita berpisah dengan susu dan mula mengunyah makanan-makanan ruji. Kita belajar berkawan dan bermain di tadika, taska, kemudian seiring usia kita, kita tinggalkan guru dan rakan-rakan kita di tadika. Begitulah seterusnya, ke sekolah, universiti, kita bersama dengan rakan-rakan yang kita kenali sepanjang hidup, tiba masanya kita akan berpisah dengan mereka.

Ada perpisahan yang sementara, ada pula yang kekal tak mampu digugat oleh kuasa manusia. Kita akhirnya akan berpisah dengan orang yang kita sayangi, ayah kita, ibu kita, atuk nenek kita, isteri dan suami kita, anak-anak kita, walaupun mungkin pada saat ini tak tercapai dek akal kita untuk berpisah dengan mereka, tetapi apabila saatnya tiba, kita hanya ada air mata. Begitu jugalah dengan kehidupan yang kita nikmati ini, akhirnya kita akan berpisah dengannya, dan berlayar ke samudera abadi, yang hujungnya adalah takdir yang tak dapat kita singkapi.

Mungkin kita takut akan perpisahan, kita tak dapat bayangkan kesedihan yang bakal menimpa kita. Kenapa? Kata Rumi, hal ini adalah kerana kita telah menikmati kebersamaan. Kita telah merasai kemanisan kasih sayang, kita telah menyentuh kehangatan kehidupan, ia telah sebati dengan diri dan perasaan kita. Kita tak mampu untuk sedih jika kita berpisah dengan orang yang kita tidak pernah jumpa, yang kita tidak kenal nama, yang kita tidak pernah bertukar kata dengan mereka. 

Sama ada kita takut, kita sedih, kita mahu atau tidak mahu, mampu atau tidak mampu, kehidupan tidak akan pernah peduli. Kehidupan tetap akan memberikan kita perpisahan, kerana ia adalah batu bata kehidupan. Sebelum kita diberi perpisahan, masa yang kita ada sekarang adalah apa yang kita boleh genggam, boleh abaikan. Atau mungkin, boleh kita hargai.

Rabu, 1 Januari 2020

Memaknai Rumi: Siri 8 - Edisi Khas



Hari demi hari kita selak, kita telaah dan hayati, akhirnya kita tiba di pagi baru. Kita tutup tahun 2019 untuk memasuki dekad baru. Pagi ini terasa aman, mataharinya bersinar ceria, anginnya lembut mendinginkan jiwa. Mari mulakan dekad ini dengan mencari bahagia, melihat kedalam diri, memberi makna kepada sesuatu yang kita gelarkan sebagai kehidupan. Mari kita mulakan dekad baru, tahun baru 2020 ini dengan Rumi.

This mirror inside me shows...
I can’t say what, but I can’t not know! (42)

Bait rangkap ini menangkap hati. Dalam diri kita ada perasaan, yang selalu membuatkan kita merasakan kita tahu sesuatu, kita merasai sesuatu, merasai emosi yang kita tidak dapat ungkapkan dengan kata-kata. Itulah perasaan, satu pengetahuan yang kita tak bisa ungkapkan. Ia adalah bukti bahawa sesuatu yang tidak dapat diungkapkan, tidak dapat ditulis, tidak dapat diceritakan, tidak semestinya tidak wujud. Ia wujud tetapi dalam bentuknya yang tersendiri, didalam hati, tak tertafsir oleh sebarang ilmuwan mahupun karyawan. Maka dipermulaan baru ini, carilah bahagia jauh di dalam diri, ia wujud wahai teman.

The axe doesn’t worry how thick the branches are.
It cuts them to pieces. But not the leaves.
It leaves the leaves alone. (43)

Setiap insan punya kekuatan mereka sendiri. Seperti daunan yang kelihatan lembut, mudah melayang, meliuk-liuk ditiup angin. Tetapi apabila kapak datang, dahan yang keras yang menjadi mangsa, dedaun lembut dibiarkan tidak cedera. Dalam kita merenung tahun baru ini, terimalah kelemahan-kelemahan kita, kesilapan yang tak mungkin dapat kita betulkan, perkataan yang telah keluar dan tak mungkin kita padam kembali. Dalam masa yang sama carilah kekuatan dan kelebihan yang kita ada dicelah-celah kelemahan kita. Gunakanlah ia untuk menempuh cabaran di masa hadapan.
Dan dalam kita menempuhi cabaran masa hadapan, jangan kita risaukan masalah-masalah yang bakal dan mungkin timbul. Teruslah mara dan berusaha. Ibarat kapak yang tak pernah memikirkan kekuatan atau ketebalan kayu. Ia terus sahaja menghayun, mengapak, sehingga akhirnya dahan yang paling keras pun terbelah. Begitu jugalah kita dalam menghayuni kehidupan, teruslah bekerja membelah segala masalah.

Mari kita akhiri dengan sebuah cerita oleh Rumi.

Ada seorang anak muda mencari sebuah nasihat, dia mahu bertanyakan soalan kepada ahli bijak pandai. Orang-orang kampung memberitahunya, ada seorang Sheikh yang sangat tinggi keilmuannya, carilah dia dihujung kampung bermain dengan kanak-kanak. Sheikh ini mempunyai pengetahuan yang mendalam, tetapi ia menyembunyikannya dengan berlakon gila dan bermain dengan kanak-kanak.

Maka pergilah pemuda tadi mencari Sheikh tersebut. Dia menjumpai Sheikh tersebut sedang menaiki kuda mainan dan bermain dengan anak-anak. Anak muda tadi bertanya, mengapa Sheikh tersebut menyembunyikan kebijaksanaannya?

“Mereka ingin aku bekerja untuk mereka, mereka mahu aku menjadi hakim, menjadi magistret, menjadi penafsir kepada lembaran-lembaran perkataan. Tetapi pengetahuan aku tidak mahukan itu semua. Ia mahu menikmati dirinya sendiri” kata Sheikh tersebut.

I am a plantation of sugarcane, and at the same time
I’m eating the sweetness. (46)

Walaupun sudah 747 tahun, kisah yang dibawakan Rumi ini masih relevan pada tahun 2020. Kita sering melihat ilmu sebagai tiket untuk kita memasuki alam pekerjaan. Kita mengejar sekeping sijil sarjana muda untuk kita hantar sebagai umpan mencari pekerjaan. Maka hilanglah kemanisan ilmu itu, ilmu yang kita kumpul dan pelajari tidak dapat kita rasai, tidak dapat kita hirup dan resapi, akhirnya kita hanya menjadi robot dan pekerja di kilang dan pejabat. Kita terlupa kehidupan yang kita ingin hidupkan, kita terlupa keilmuan kita.

Sheikh itu menyambung lagi, bahawa apabila keilmuan itu dipergunakan dan diremehkan hanya untuk karier dan pekerjaan, ia akan selalu risau akan pandangan orang lain. Ia tidak lagi jujur dengan ilmunya, tetapi sering menggunakannya untuk habuan dunia. Dia bercakap apa yang orang mahu dengar, dia sorokkan apa yang manusia tidak mahu dengar. Luntur keilmuan kepada sekadar hiburan.

Bagi Sheikh tersebut ilmunya adalah untuk Tuhan, dia telah jatuh cinta dengan Tuhan. Maka biarkanlah dia menjadi orang yang jatuh cinta, yang nampak seperti orang gila di mata orang lain. Kerana orang yang tidak gila sentiasa risau, risau tentang pandangan orang lain, risau akan apa yang bakal terjadi, risau dengan masalah itu ini. Tetapi tidak bagi orang gila, orang gila tidak risaukan apa-apa.

Let the lover be disgraceful, crazy,
Absentminded. Someone sober
Will worry about things going badly.
Let the lover be. (46)

Maka untuk tahun baru ini, mungkin kita wajar tinggalkan pandangan-pandangan manusia. Kita berikan ia pada Tuhan! Selamat tahun baru sidang pembaca!

Ahad, 15 September 2019

Memaknai Rumi: Siri 7



Ignorance is God’s prison.
Knowing is God’s palace.
When you are with everyone but me,
you’re with no one.
When you are with no one but me,
you’re with everyone. (28)

Kita suka tinggal di kampung kita, makan makanan kita, minum minuman kita, bercakap dengan masyarakat kita, dalam bahasa kita, di negara kita. Kita selesa dengan ke-kita-an, tak mampu keluar dari kampung halaman. Biar kita dilontar di cerok dunia manapun, baik di teluk Finland, atau di seberang Atlantik, kita kembali mencari ke-kita-an.

“Ah! Adakah kau benci dirimu sendiri?”

Bukan teman, ilmu adalah keluasan. Alam adalah buku kurniaan tuhan, buatmu kembara dalam mukasuratnya. Lalu kau akan temui teluk-teluk baru, rasa-rasa baru, warna-warna baru, suara-suara baru, mereka bukan bermaksud membunuhmu teman, mereka adalah kitab yang terbuka bagi kita belajar dan kenal-kenalan.

Kita takut akan kegelapan, namun bagaimana mahu berjumpa emas yang tertanam di pelusuk dunia? Bukankah kita perlu menggalinya? Menyusur lombong-lombong gelap agar beroleh butir emas dan permata yang tersimpan. Jangan cemuh mereka yang berani menempuh kegelapan, engkau sendiri harus belajar menjadi berani. Tidakkah engkau bosan hai teman dengan keterangan, walaupun idea-ideanya telah basi dengan beredarnya gerabak zaman.

Tatkala menyusur gelap peganglah tali Tuhanmu, biarkan air mata itu tumpah di helaian sejadah, dukamu luruskan dengan keheningan subuh, dalam sujud dan ibadah. Jika Tuhan bersamamu apakah lagi yang perlu kau takutkan teman? Bisa ular? Gigitan harimau? Semuanya dibawah telapak kakinya. Maka merebahlah sujud, peganglah tali itu, kau akan banyak dikala sedikit, kuat dikala lemah, teguh dikala runtuh.

Jangan sengketa lagi, jangan ragui hati. Tebarlah mencari ilmu, kemanapun teluknya, sedalam manapun gelapnya. Asalkan kau berpegang akan tali Nya, masakan kau kan binasa.

Memaknai Rumi: Siri 6



This is not a day for asking questions,
not a day on any calendar.
This day is conscious of itself.
This day is a lover, bread, and gentleness,
more manifest than saying can say.  (41)

Ada satu perkara menarik pada ‘minda’ manusia. Ia sering bertanya soalan, berfikir, sehingga manusia itu penat dengan berfikir sahaja! Hari ini bukan lagi hari berfikir, kita harus tutup minda, berhenti berfikir. Hari ini kita perlu merasa hidup dan bertemu dengan jiwa. Tinggalkan minda dan soalan-soalannya yang tidak kunjung putus. Hiduplah dengan jiwa!

Hiduplah sekarang, jangan biar mindamu melayang tetapi hayatilah angin yang bertiup. Sedarkan jiwa dan nikmatilah makanan dengan sebenar-benar nikmat, setiap kunyahan, setiap rasa di lidah, setiap gumpalan yang melepasi kerongkong, jangan berfikir sekarang, sekarang masa makan.

Hari ini hari untuk kita mencintai, rasailah kebahagiaan mencintai manusia lain, baik yang besar mahupun kecil, yang kita gelar kawan, atau yang kita bisikkan sayang. Bercintalah tanpa berfikiran, kerana berfikiran akan membuatkan kau lelah lagi, hingga percintaan itu tidak dapat dinikmati. Jadikan mindamu seperti mesin, ia alat buat kau berfikir, namun setelah kau berfikir berkenaan dengan kerja atau pelajaran atau apa pun, tutuplah ia, tekan butang kuasa, biarkan ia rehat. Tidak perlu berfikir sepanjang masa, hanya ketika perlu sahaja.

Dengan ini, kau bisa nikmati bahagia.

Memaknai Rumi: Siri 5



But don’t be satisfied with stories, how things
have gone with others. Unfold
your own myth, without complicated explanation,
so everyone will understand the passage,
We have opened you. (41)

Kita sering hidup dalam angan-angan, kita membaca kisah-kisah manusia lain yang ‘berjaya’, mengagumi mereka, mengulang-ulang kisah, bahkan kita menghafal kisah-kisah mereka. Tetapi sekadar kenangan untuk motivasi itu tidak cukup.

Kita perlu menyentuh mentari dengan jari sendiri untuk merasai kesejukan. Kita harus tidur di dalam ribut salji sendiri bagi mengetahui maksud kepanasan. Kisah-kisah itu tidak cukup, kita perlu mengorak langkah sendiri, melukis sendiri lukisan kisah hidup, merasa sakit, merasa kalah, merasa pedih, untuk memahami makna hidup, makna bahagia, dan makna berjaya.

Jika kita hanya termenung dengan kisah orang lain, sehingga lupa menulis kisah sendiri, kita menjadi seperti ayam dan lembu sahaja, sepanjang sejarah peradaban tidak pernah dikenang, sekadar hidup dan mati sahaja dalam sejarah yang panjang. Sepatutnya ada kisah yang kita tulis bagi mencubit jiwa-jiwa generasi mendatang, agar mereka mempunyai kisah-kisah baru, jika tidak mereka hanya mengulang hafal kisah yang sama yang kita hafal, keilmuan tidak berkembang, kemanusiaan tidak bertambah kemajuan budayanya.

Namun tika kita menulis itu tidak perlulah kita hebahkan pada manusia, cukup kejayaan kita menjadi penyampai berita. Mereka bertanya “mengapa usahamu begini tidak begitu?”, maka janganlah kau sibuk menjawab dan memberi penerangan, kelak kau lelah, sementara tulisan kisahmu tak sudah! Biar kisah itu siap dahulu, dan mereka tidak akan bertanya lagi selepas itu. Kerana soalan itu enggak lagi pantas, apabila engkau sudah berjaya diatas pentas!

Ahad, 8 September 2019

Memaknai Rumi: Siri 4


I've said before that every craftman
searches for what's not there
to practice his craft.

A builder looks for the rotten hole
where the roof cave in. A water carrier
picks the empty pot. A carpenter
stops at the house with no door. (24)

Manusia sentiasa mencari kekosongan, ia datang kepadanya dan mengisinya. Begitulah canda Rumi, seorang tukang kayu mencari lautan kosong, dia menjumpainya dan mengisinya dengan perahu. Kita kata kita bencikan kekosongan tetapi kita menjumpai tenang di dalam hening subuh. Kita kata kita bencikan kesepian tetapi kita menjumpai jiwa dalam perpustakaan yang sunyi jauh dari hiruk pikuk manusia.

Kita kata kita bencikan miskin, tapi kita selalu menghabiskan ratusan ringgit untuk meninggalkan kota dengan segala kekayaannya, lalu termenung di pondok usang miskin yang sederhana menghayati tenggelamnya cahaya suria.

Rumi terus bercanda tentang bencinya manusia pada mati, lalu dia bercerita tentang si Attar. Buat apakah si Attar itu? Ah mungkin itu akan kita candakan lain kali.

Tetapi jiwamu yang hilang, carilah dia dalam kosong dan kesunyian.

Ahad, 4 November 2018

Memaknai Rumi: Siri 3


Free of who I was, free of presence, free of
dangerous fear,hope,
free of mountainous wanting. (21)

Saya sering berfikir alangkah indahnya jika saya boleh hilang dari kewujudan, tanpa ada rasa takut terhadap apa-apa, tiada perasaan sayang atau cinta. Atau lahir sebagai insan baru tanpa masa silam, hidup sebagai kertas putih yang belum dicemari sebarang dakwat, bebas melakar lukisan masa depan baru, mengarang kisah kehidupan baru tanpa sebarang keterikatan.

Manusia sering terperangkap dengan masa. Asyik dengan nostalgia memoria masa silam. Asyik dengan impian dan masa depan yang diidamkan. Sehingga dia lupa, dia hanya mempunyai masa kini, dia hidup di hari ini, jam ini, minit ini, detik ini. Masa silam dan masa depan merupakan dimensi yang mustahil dicapai manusia, ia hanya fragmen imaginasi dalam kisah sains fiksyen. Namun begitu sukar manusia keluar dalam perangkap masa ini, perangkap yang dicipta oleh minda mereka sendiri. Dia terpenjara mengejar dimensi yang mustahil untuk dimiliki, dalam masa yang sama mengabaikan satu-satunya peluang yang ada – masa kini, sekarang.

Hiduplah sekarang, nikmatilah saat ini, tinggalkan semalam dan esok.

Memaknai Rumi: Siri 2


But if the frog could be completely silent,
then the snake would go back to sleeping,
and the frog could reach the barley. (21)

Adakala dalam hidup berdiam diri merupakan satu yang menyelamatkan. Kata-kata seringkali digunakan sebagai senjata untuk meluka orang lain, ada ketika kata-kata memakan diri. Hari ini teknologi membenarkan kita berkata-kata tanpa bersua muka, tanpa sebarang bunyi kita boleh menyampaikan mesej dan makna. Kewujudan teknologi membolehkan seorang yang secara fizikal sosialnya pendiam, nampak seperti peramah di media sosial. Dan media sosial seolah menggambarkan manusia tidak pernah berhenti dari berbicara, bercerita. Bercerita berkenaan dengan semua perkara, mempunyai pasangan baru, anak baru, kasut baru, rumah baru, pekerjaan baru, semuanya diceritakan. Tiada yang tertinggal, makan di restoran mana, pergi melancong di mana, berjumpa siapa, segalanya didedahkan, ditaip dan di digitalkan dalam bentuk data. Tanpa sedar mereka akhirnya menjadi maklumat awam, bukan lagi insan yang unik dengan misteri dan teka-teki.

Selasa, 23 Oktober 2018

Memaknai Rumi: Siri 1



Close both eyes
To see with the other eye.
Why do you stay in prison 
When the door is so wide open? (3)

Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara baru, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah ke perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada ditangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkah keluar. Ada alam baru yang hijau segar menanti ketibaanmu.