Terkesima apabila mendengar kata-kata Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam sebuah kitab karangannya.
“Apabila melihat orang muda beliau mengatakan mereka ini beruntung, apabila melihat orang tua beliau mengatakan mereka juga beruntung, dan apabila beliau melihat orang kafir pula, beliau juga mengatakan mereka juga beruntung.”
Sambung beliau lagi, “Orang muda ini, kehidupannya dipenuhi dengan amal semenjak dari kecil lagi, sekiranya dia mati pada usia ini, tentu sedikit persoalan malaikat di akhirat.”
“Aku melihat orang tua ini juga beruntung, walau usianya telah lanjut, sekiranya dia menemui ajalnya, tentunya dia juga di kalangan orang yang beruntung kerana hidupnya dipenuhi amal ibadah.”
“Begitu juga apabila melihat orang kafir ini, walaupun dilahirkan kafir, hidup dalam cara hidup kafir, tetapi, seandainya di akhir hayatnya dia memeluk islam pastinya dia menemui Allah dalam keadaan putih dan bersih dari kekotoran.” Bukankah itu juga dinamakan sebagai beruntung. Tetapi bagaimana pengakhiran hayat kita? Tak tahukan…
Di sebabkan ini masalah utama kita, buatlah amal kebaikan seikhlas hati. Suburkanlah ia dengan rasa kecintaan kepada Allah s.w.t.
Begitulah Imam al-Ghazali rahimallah memberikan pencerahan jiwa kepada umat-umat selepasnya. Walau siapa pun kita, dan sehebat mana pun kita. Bukanlah nilai kemewahan itu menjadi ukuran, tetapi taqwa kita di sisi-Nya.
Syukur alhamdulillah, semakin hari semakin subur ajaran Islam dan penyebaran dakwah dilakukan. Sedar atau pun tidak, ramai generasi muda yang mula berjinak-jinak untuk mendengar kuliah di corong-corong radio, televisyen, internet. Tak lupa juga yang menghadiri majlis-majlis ilmu di surau-surau, masjid-masjid, dan sebagainya. Sedikit sebanyak dengan ilmu yang diperoleh itu mampu menutup kekurangan dalam melakukan ibadah seharian.
Moga-moga dengan hari kelahiran junjungan besar Muhammad s.a.w. memberi erti kepada seluruh umat manusia untuk istiqamah dalam melakukan kebajikan dan kebaikan. Malah, apabila di padang Mahsyar nanti kita akan tergolong di kalangan umatnya yang ikhlas dalam melakukan ibadah malah menerima syafaat Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya dipertemukan dengan Allah secara langsung.
Daripada Abu Hurairah, orang ramai bertanyakan Rasulullah s.a.w.:
“Wahai Rasulullah, adakah kami akan melihat tuhan kami (Allah) pada hari kiamat? Rasulullah s.a.w. berkata : “Adakah kamu akan binasa sekiranya matahari itu tidak mempunyai awan, adakah kamu akan binasa sekiranya bulan memancar sinaran purnama di malam hari? Mereka berkata: Tidak… Nabi s.a.w. berkata : Demikianlah apa yang akan kamu lihat, Allah akan bersama hamba-hambanya di hari kiamat.
Katanya : “Barang siapa yang menyembah sesuatu maka ia akan mengikutnya, sesiapa yang menyembah matahari, maka dia akan mengikut matahari sebagai tuhannya; sesiapa yang menyembah bulan, maka dia akan mengikut bulan sebagai tuhannya; sesiapa yang suka dengan perkara taghut, maka dia akan mengikut taghut sebagai tuhannya. Maka tinggallah umat yang akan mendapat syafaat dan golongan yang berpura-pura, dan Allah akan datang kepada mereka dalam keadaan yang mereka tidak kenali.”
Sebelum saya mengakhiri kalam saya, pesanan untuk diri saya dan juga para pembaca sekalian. Berdasarkan dari hadis nabi ini, “Barangsiapa yang menyembah sesuatu dia akan mengikutnya..” Bererti apa –apa sahaja yang menjadi kecenderungan kita di dunia ini, sehingga mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Maka, nantikan janji Allah di atas kesalahan yang dilakukan itu.
Justeru, halakan kecenderungan itu dengan mengamalkan perintah-Nya dan Sunah nabi s.a.w.
Wallahu ta’ala a’lam