Nota Ringkas Pasca Muktamar 59


Pasca Muktamar PAS Pusat kali ke 59, saya menjangkakan beberapa perkara yang hangat dibincang sebelum ini akan selesai. Begitulah polemik yang menjadi kebiasaan berlaku disaat saat akhir pemilihan pucuk pimpinan.

PAS Sabah juga saya kira mengambil bahagian dalam muktamar kali ini. Dalam sesi perbahasan ucapan dasar, wakil PAS Sabah ada mengutarakan berkenaan perlantikan calon naib presiden daripada borneo untuk Sabah dan Sarawak. Hal ini bagi memastikan suara dari sabah benar benar menjadi keutamaan di peringkat kepimpinan PAS Pusat.

Umno-Bn sudah hampir tewas sebenarnya di semenanjung. Mujur Sabah menjadi 'talian hayat' kepada mereka dengan kemenangan hampir disemua kawasan Dun dan Parlimen. Faktor faktor seperti pembangunan sangat memberi kelebihan kepada umno-bn dan sebaliknya menjadi satu hambatan kepada Pakatan Rakyat untuk mencipta sejarah pada PRU ke 13.



Pemuda Negeri Sabah



Pemerhatian saya, masih jelas ketidakseimbangan diantara kawasan kawasan yang hadir sebagai perwakilan. Seingat saya usaha untuk mengangkat gerak kerja pemuda ke peringkat nasional telah dimulakan sejak 4 tahun yang lalu. Namun, idea yang telah dilontarkan oleh ketua pemudanya iaitu sdr. Lahirul Latigu masih tidak mampu diangkat oleh hampir kebanyakkan perwakilan kawasan. Hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat mampu menyinggung isu isu tersebut.

Beberapa saranan telah dilontarkan dalam muktamar sebelum ini bagi memposisikan pemuda pas negeri agar dilihat mampu menguasai dan menjuarai isu negeri seperti penglibatan secara langsung dengan isu yang menjadi denyut nadi rakyat Sabah seperti isu tanah, perkara 20, dasar kabotaj, perjanjian 1963, royalti minyak dan beberapa isu kritikal di Sabah. Namun, isu isu seperti ini masih kurang disentuh oleh muktamar pemuda baru baru ini.

Mungkin bagi pemerhatian saya, isu dalaman parti lebih mendominasi suasana muktamar dan menjadikan isu sebenar yang lebih penting dan genting untuk dibahas di letakkan ke tepi oleh perwakilan.

Saya percaya kita semua tahu isu isu berat seperti kes kes penyelewengan hak rakyat yang berleluasa di Sabah. Cumanya, bagaimana caranya agar isu isu ini menjadi satu 'dokumen' dan bukti rasmi kepada penyelewengan tersebut dan valid untuk dikemukakan di mahkamah atau jika tindakan tersebut di cabar oleh pihak lawan. Saya yakin, penguasaan terhadap isu akan menggerakkan mekanisma bantahan rakyat seperti himpunan aman, demonstrasi, memorandum dan lain lain. Sayangnya, isu isu berat ini hanya berlegar di sekitar gadget gadget ahli sahaja.

Penguasaan terhadap isu juga penting kerana ia menjadi satu asas kepada permulaan pembinaan polisi-dasar cadangan yang menepati keperluan rakyat negeri Sabah. Ia bukan kerja mudah.  Polisi-dasar ini perlu mantap isinya, menyeluruh kandungannya dan merakyat cara perlaksanaannya. Melontar isu ke tengah tengah gelanggang bukan semudah itu, yang pastinya mengundang dan membuka medan perlawanan dengan pihak yang satu lagi.

Mampukah kita mempertahankan hujah dengan fakta yang kuat dan kukuh? Mampukah kita berhadapan serangan balas dari pihak lawan yang jauh lebih berpengalaman dalam politik di Sabah ? Kita ada hujah dan fakta, tetapi kita mungkin belum mahir seni tempurnya kerana kurang pengalaman berlimang dengan sepak terajangnya.

PAS Sabah ada seorang dua figura yang boleh berdiri sebaris dengan tokoh politik lawannya dan punya pengalaman yang tidak kurang hebatnya. Sebelum ini kedengaran desas desus mengatakan PAS Sabah masih belum mendapat penghormatan yang sewajarnya daripada rakan rakan pakatannya. Maka langkah sewajarnya perlu diambil tindakan segera. Mahu imej PAS Sabah lebih segar dan bersedia dihormati kawan mahupun lawan? faktor figura sangat penting di catur sebaiknya kerana ia akan menentukan corak perubahan dan menentukan tahap penerimaan masyarakat Sabah seterusnya meruntuhkan tembok lama 'PAS parti semenanjung'.


Negara Berkebajikan Vs Autonomi For Sabah




Masih ada kerisauan dikalangan aktivis mengenai tuntutan autonomi untuk negeri sabah dan beberapa lagi isu yang berkaitan dengan hak rakyat Sabah yang menuntut kerajaan persekutuan bertindak dengan adil. Tuntutan ini menjadi satu suara kesepakatan dikalangan rakan rakan pakatan rakyat untuk diangkat menjadi suara rakyat menuntut hak mereka terhadap kerajaan BN yang memerintah. PAS sabah bagaimana? rasanya belum ada suara yang begitu lantang menuntut hak yang sama seperti yang dilaungkan oleh DAP dan PKR.

Seimbas lalu suara dari tuntutan-tuntutan tersebut seolah olah bertentangn dengan semangat federalisme. Ditambah lagi kenyataan beberapa tokoh lama tempatan yang menuntut hak yang sama sangat keras 'kenegeriannya' dan kurang enak di dengar oleh orang 'malaya'.

Perkara ini harus dimurnikan dengan segera. Tidak perlu timbul kerisauan bahawa jika PAS menuntut hak yang sama, maka kita juga senada dengan parti tempatan seperti Star dan Sapp. Tidak perlu risau terbawa bawa rentak pihak lain. Dokumen buku jingga pakatan rakyat sabah dan dokumen negara berkebajikan lebih memadai dan mencukupi untuk memenuhi tunturan rakyat sabah. Mudahnya, tuntutan tuntutan tersebut adalah huraian kepada kedua kedua dokumen iaitu buku jingga dan negara berkebajikan.


Pasca Konvensyen PAS Sabah

Saya terlewat sedikit tiba di lokasi konvensyen yang diadakan di Tawau. Beberapa kertas kerja yang sempat saya ikuti daripada kalangan akademik membuka pelbagai respon terhadap isu yang dibincangkan. Dalam banyak banyak topik perbincangan itu, soal penerimaan masyarakat sabah terhadap Pas masih menjadi isu yang sering dibangkitkan dalam usaha memenangi setiap pilihanraya umum.

Dalam satu slot pembentangan, antara isu utama kesukaran melarutkan Pas dalam kompleksiti masyarakat di sabah iaitu masih kentalnya ikatan kekeluargaan yang akhirnya menjadi penentu kepada arah sokongan politik. Istilah 'war lord' yang diguna pakai terbukti begitu berkesan meraih undi secara pukal khususnya dikalangan masyarakat luar bandar. Soalnya, apakah ada faktor lain yang boleh memberikan impak yang sama seperti peranan yang dimainkan oleh 'war lord' ini?

Saya lantas mencadangkan, satu satunya faktor itu iaitu golongan agamawan iaitu para ustaz. Golongan ini ada tempatnya disisi masyarakat sabah. Mereka dihormati sama seperti penghormatan kepada 'war lord'. Justeru, keberadaan Dewan Ulama dalam Pas seharusnya digerakkan dengan lebih agresif. Bersediakah Dewan Ulama Negeri Sabah ?

Selain beberapa slot yang penting, saya juga mencadangkan agar wakil dewan pemuda dapat mempersembahkan angka dan alasan yang konkrit. Kritikan itu ada benarnya, namun pendengar tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan dan akhirnya berakhir dengan respon yang agak emosi.

....Seterusnya, kita nantikan pula munaqasyah. Asah hujah, tajamkan idea !







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Anak Muda Sabahan, Bangkit!



Anak Muda GEGAR dan Calon Muda DUN Tg Batu di pejabat SUHAKAM

Berita tentang penahanan lima aktivis Mahasiswa dari UMS KAL mungkin tidak sehangat isu pencerobohan di Lahad Datu. Jika disiar di media, mungkin hanya beberapa keratan akhbar sahaja yang ambil peduli. Bezanya dengan isu Lahad Datu, ia isu kedaulatan negara dan pencerobohan pihak asing.

Saya tidak perlu lagi mengulas isu Lahad Datu ini kerana semua isi dan sudut pandang telah habis diulas berminggu-minggu samada pengulas profesional ataupun pengulas amatur di warung kopi. Kenapa saya beralih kepada isu penahanan anak muda ini?..mungkin ada sesuatu yang perlu kita lihat dari sudut pandang sebuah kebangkitan jauh di timur Malaysia.

Walaupun secara fizikalnya saya tidak bersama anak muda ini, tapi jiwa saya sentiasa bersama dan merasai denyut kesedaran mereka membela rakyat khususnya di Sabah.

Anak Muda Ada Sejarahnya

Mengapa kebangkitan anak muda sering di sinonimkan dengan kebangkitan yang emosional ? Adakah bermaksud anak muda ini bila menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan sesetengah pihak, ia lebih kepada lantunan emosi? Apakah nilai rasionaliti langsung tidak diambil peduli ? saya kira itu hanya pandangan selapis, yang hanya melihat kemaraan anak muda hanya tindakan yang spontan. Namun, lihatlah kepada sejarah. Ketika parti politik oposisi mengambil langkah 'selamat' berhadapan kezaliman pemerintah, anak muda dari kalangan mahasiswa terpelajar tidak gentar berhadapan kekerasan polis, berarak menuju parlimen, akhirnya sebuah kerajaan akur, mengikut kemahuan mahasiswa Indonesia. Pemerintahan Pak Suharto terpaksa tunduk kepada rakyatnya, di tangan mahasiswa. Kemenangan untuk anak muda.

Jelas sekali, kebangkitan anak muda ada rasionalnya. Ia bergerak dengan emosi, kerana faktor sekelilingnya yang dinafikan hak, di zalimi oleh penguasa.

Dari Emosi Kepada Rasionaliti

Saya kira yang melihat kebangkitan anak muda cuma emosi semata-mata, adalah satu bentuk pandangan yang emosi juga. Tidak melihat kepada kesan jangka panjang dan apa yang berlaku disekirnya. Jika kebangkitan anak muda ini dilihat emosional, rasionalnya kerana faktor faktor seperti kemunduran sistem pendidikan, prasarana yang masih ketinggalan jauh, jurang kemiskinan yang semain melebar dan pelbagai lagi. Inilah yang berlaku di Sabah!

Hakikatnya, kebangkitan anak muda adalah lahir dari rasionaliti, menyedari kekusutan yang berlaku lalu timbul kemahuan untuk merobah suasana.

Anak Muda Sabahan

Iya, kesedaran itu sudah tiba. Walaupun gelombangnya masih belum sepenuhnya, saya yakin jika kita sama-sama meneliti dengan saksama, dari nurani, gelombang kesedaran anak muda Sabahan ini akan mengalir ke fasa yang seterusnya.

Penangkapan lima aktivis mahasiswa adalah satu lagi fasa yang menuntut kita sama sama mewarnai kesedaran dikalangan anak muda ini. Sentimen ini mesti dimainkan dikalangan anak muda kerana mereka juga punya hak mengundi bagi menentukan kepimpinan negara ini. Kenapa tidaknya, golongan ini adalah penentu yang mampu memberi impak berskala besar pada PRU yang ke 13 tidak lama lagi.

Anak muda yang terlibat dalam GEGAR dan GM13 mesti meluaskan lagi pengaruh keserata pelusuk Sabah, memanggil anak muda turun ke gelanggang beraktivitas. Belum pernah dalam politik Sabah, melalui pemerhatian saya, ada satu platform yang mewakili anak muda sabahan yang sebahagian besarnya tidak berpihak kepada mana mana parti politik. Sebahagiannya besarnya belum ada kesedaran tersebut!

Anjakkan baru ini melalui GEGAR dan GM13, anak muda Sabahan usah ragu lagi untuk berperanan mengubah lanskap politik dengan terlibat secara langusng. Penahanan Mahasiswa GM13 di Labuan baru-baru ini, membuktikan komitmen anak muda kepada perubahan, bukannya omong kosong!

..saya katakan begitu, kerana di Sabah, belum pernah lagi berlaku penahanan Mahasiswa atas faktor nasional. Isunya, Teraju pemerintahan negara telah lari dari acuan pemerintahan sebenar untuk memakmurkan negara, membela rakyat.

Di Mana Anak Muda Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah ?

Satu kekurangan yang dapat saya rasai dari kebangkitan ini iaitu keterlibatan mahasiswa UMS yang belum kelihatan (mungkin disebalik tabir). Jika UM di Kuala Lumpur menjadi pusat melahirkan tokoh tokoh mahasiswa yang kini menerajui pemerintahan negara, saya rasa UMS juga harus bergerak ke arah itu. Bagaimana Mahasiswa UMS ?..usah bicara soal perjuangan, jika takut pada cabaran!

PAS dan Anak Muda

Saya tidak mahu menyinggung banyak soal ini. Apa yang berlaku sekarang sememangnya wajar untuk ditingkatkan lagi. Saya memetik Ucapan Tuanku Raja Nazrin dalam satu ucapannya dalam satu seminar mengatakan bahawa PAS kini menjadi saluran terbaik bagi anak muda, terlibat menyumbang bakat dan kepakaran yang mereka punyai.

Namun, setiap tempat ada irama dan lagunya sendiri. Rentak politik di semenanjung semestinya berbeda sedikit daripada Sabah. Maka, saya ingin menegaskan perlunya kepada 'ijtihad' sendiri di kalangan sebahagian pimpinan PAS agar tidak terlalu terikut-ikut atau terbawa bawa masalah di semenanjung ke Sabah. Ada yang perlu kita raikan dan ada yang perlu kesampingkan dalam melayani kebangkitan anak muda.

Sejarah, budaya, pendidikan dan lain-lain ini semua mesti menjadi pertimbangan. Memberikan keutamaan kepada yang lebih utama seperti yang digariskan oleh ulama tersohor seperti Prof Dr Yusuf Al Qardawi dan lain lain. Jika kita memberikan satu semangat kepada anak muda ini, ia mampu melaksanakan 100 gerakkerja, tapi jika kita memberikannya 100 ketakutan, ia hanya mempu melaksanakan 1 perkara sahaja. Lihatlah sendiri....

..berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan ku goncang dunia ini...








Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Pergilah Menuju Bakti, Adindaku


Mencari sebab untuk apa, menulis di blog yang telah lama ditinggal...

Kemahuan sentiasa tercetus setiap kali idea tercipta....Namun, kekuatan belum juga mahu menggerakkan gerak hati lekas-lekas menumpahkan apa saja yang ia mahu.

Kali ini, kemahuan benar-benar kuat untuk mencoret, kerana ada satu dorongan. Dorongan inilah yang menjadi alasan agar perancangan sebelum ini tidak kandas seperti yang sebelumnya.



Saya menerima mesej daripada seorang sahabat, adindaku Muhd Nadir An Nuri memberitahu pemergiannya  menyambung pengajian di Universiti Islam Gaza. Sebelum itu, beliau merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti di Syria yang sedang tenat bergolak sekarang.

Jika dia manusia biasa-biasa, belum ke Syria lagi niat sudah di batalkan kerana sebab-sebab yang difikirkan memang wajar untuk tidak kesana. Tapi sehingga ke hari ini, bukan saja dapat hidup di tengah suasana masyarakat, budaya dan muka bumi yang berbeza dengan suasana di tanah airnya, malah mampu memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam di sana.

Itulah peribadinya yang saya kenal sejak dulu. Semangatnya, kemahuannya sentiasa membara yang tidak mudah di lemahkan oleh alasan yang remeh temeh kebanyakkan anak muda seusianya. Sewaktu menuntut di UMS dulu, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pergi jauh ke pedalaman Sabah mendekati masyarakat disini. Hasilnya, lahir anak tempatan yang punya kesedaran Islam.

Peribadi seperti adindaku ini juga yang setengah naqib dan abang-abang tidak berapa selesa. Bukan kerana buruknya atau sebagainya. Malah seriang mendapat label 'keras kepala'(dengan izin), bergerak sendiri, menyusahkan organisasi atau 'terlalu laju' dan lain lain lagi. Saya antara yang dekat dengannya memilih untuk tidak menggunakan label-label seperti itu.

Saya melihat jauh ke dalam dirinya. Apa bakatnya yang terpendam, cuba saya fahami dan selami. Pada masa yang sama saya belajar dari sikapnya, ketekunanya dalam setiap tindakan dan gerak kerja. Ya, memang ada, jika digilap bakat itu akan tumbuh dengan sempurna. Soalnya bagaimana?

Apakah kaedah membentuk jiwa manusia itu sama seperti terbentuknya logam dan bahan bahan pejal? Bentuknya sudah siap, acuannya sudah ada, ikut saja. Atau berikan saja dua pilihan, yang satu hitam dan yang satu putih. Pilihan antara dua sahaja, tiada pilihan lain!?...anda akan merasa sempit memikirknnya.

Membentuk manusia kata cendekiawan perlu ada 'Pedagoginya'. Seorang guru contohnya, melangkah masuk ke kelas dengan pelbagai karenah murid-murid, perlu ada pedagogi. Begitu juga dengan seorang petani, melangkah ke bendang perlu ada pedagogi. Apakah seorang naqib atau senior dalam perjuangan tidak perlu kepada pedagogi?..

Betapa harmoninya, petak petak sawah kelihatan 'HIJAU' kerana sawah padi yang cukup isipadu bekalan air. Air itu pula mengalir dari parit-parit kecil yang dibentuk sedemikian rupa dari tali air utama. Dari sungai di alirkan ke tali air, dari tali air ke parit dan alur kecil, dari alur terus mengalir mengairi petak sawah.  Lihat pedagogi seorang pesawah!...alam mengajar kita sunnatullah.

Boleh saja kaedah hukuman di guna pakai. Apakah pertimbangannya sudah cukup matang? jika belum, kita telah memilih lebih banyak aksi-aksi pertembungan yang natijahnya adalah lemah dan perpecahan. Kesan pukulan, dari 'BIRU' menjadi lebam, bengkak kemudian bernanah.

Pedagogi mengacu keberkesanan tarbiah, seperti sang pesawah menangani derasnya arus sungai, dialirkan ke tali air, dialirkan pula ke alur dan parit kecil akhirnya sampai ke petak yang segar meng 'HIJAU' sawah padinya. Tidak lama lagi kita akan tuai hasilnya, percayalah.

Pergilah adindaku ke medan bakti...kami telah menuai hasilnya, gaza menjadi saksinya. 



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer