Kemelut Bahasa Melayu
LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa
Melayu bagai air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau
dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan
atau bahasa pasar? Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu
mengenai Bahasa Melayu.
Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf
lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu diiktiraf
bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa
antarabangsa.
Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.
Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang,
ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman
Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa
penting perhubungan diplomatik.
Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal
selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya
seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati,
terutamanya pejuang bahasa seperti Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang
Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan
di Universiti Pengajian Asing Beijing.
Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga
90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus
kerana tidak lagi dipelajari.
Dr. Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam
andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu
di mayapada ini.
"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu
tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama
sebagai bahasa ilmu.
"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan
perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar,
sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.
Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.
Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa
pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah
kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.
Begitu tinggi kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan
melalui pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut
sejarah.
Antaranya catatan pengembara Cina, I-Ching yang juga seorang pendita
Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang
menggunakan bahasa Melayu.
I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ketujuh.
Dr. Awang turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van
Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara
1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa
tamaddun tinggi.
"Van Linschottenmenyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu
di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan
bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.
Menurut Dr. Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn
menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana
sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa
Perancis atau bahasa Latin di Eropah.
"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke
alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.
"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.
"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa
Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang
memandang rendah," kata Dr. Awang.
Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera,
Pasai) sekitar abad ke-13 hingga ke-19 sesudah kedatangan agama Islam
menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa
tamaddun Melayu.
Seperti kata Dr. Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah
atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan,
undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.
"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu,
apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun
ke-15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di
samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak
dan sebagainya," kata Dr. Awang.
Beliau merujuk kepada seorang ulama besar dari Gujerat, Nuruddin
al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik
sebagai mufti oleh Sultan Acheh.
"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu.
"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang
ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak
mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan
pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulama pun dalam Bahasa
Melayu," kata Dr. Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa,
Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).
Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan
kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.
Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilainya diturunkan ke darjat yang rendah.
"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes
pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa
vernakular Cina dan India.
"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat
pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan
anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai
petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris.
"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu
ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada
satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu
sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial
orang Melayu," kata Dr. Awang.
Jadi katanya, fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan.
Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui
Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem
pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib
1960 kemudian memperkukuh dasar itu.
Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.
Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta
Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun
1996.
Menurut Dr. Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan.
"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup
jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud
rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat
rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam
sistem pendidikan.
"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan
dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam
seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun,"
katanya.
Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?
Bagi Dr. Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan
tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan
natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.
"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.
"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.
Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di
negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran
terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.
Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana
bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha
untuk memajukannya.
Cuma seperti kata Dr. Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering
berubah.
"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula
terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas.
Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan
semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang
merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri,
seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.
"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor
rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti
wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar untuk hubungan komunikasi biasa
sahaja.
"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang
rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua
sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang
lain," katanya.
Dr. Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan
bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa
penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi
pengajian tinggi.
Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas
dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun
kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu.
Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian
tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar.
Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan
matematik dalam Bahasa Melayu kembali dilaksanakan seperti yang
diuar-uarkan tanpa sebarang penangguhan.
Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar?
Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal
sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau
gemilang dalam lipatan sejarah? - BERNAMA