Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.
Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi?
Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka. Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.
Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.
Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).
Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh. Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.
Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.
Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.
Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.
Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?
Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.
Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.
Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.
Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.
Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?
Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.
Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.