30 September 2011

Wali fasik merosakkan perkahwinan anak sendiri

Ahmad Baei Jaafar
Akhir-akhir ini kita dipaparkan isu perceraian yang amat menakutkan. Lalu ramai yang memberi ulasan bahawa semuanya berpunca daripada kursus pra perkahwinan yang tidak mencapai sasaran. Kononnya, modul yang disediakan tidak memberi fokus kepada bagaimana membentuk keluarga islami. Dalam kursus itu juga tidak memberi penekanan kepada kaedah mengatasi krisis rumah tangga.
Menurut dakwaan mereka, kesan daripada kekurangan itu, apabila sesuatu pasangan mendirikan rumah tangga, mereka cipta formula sendiri. Ada yang ikut cara Barat, ada juga ikut cara tradisonal dan tidak kurang yang masih mencuba kaedah sendiri. Dalam keadaan itu, apabila berlaku krisis, mereka gagal mengawalnya dan akhirnya berlaku perceraian.
Sebab itu kita sering dapati terdapat keluarga yang hanya bahagia pada tiga bulan pertama perkahwinan. Malah ada yang mentamsilkan ketika itu, kalau kentut pun wangi. Tetapi setelah berlalu tiga bulan, minyak wangi pun dihidu sebagai busuk.
Kita tidak nafikan sebahagian perceraian kerana punca di atas, tetapi ramai lagi yang mendirikan rumah tangga tidak pula mengalami kes seperti itu. Jadi, alasan di atas bukanlah seratus peratus tepat.
Wali fasik punca segalanya
Sebenarnya ramai yang terlepas pandang, bahawa wali amat besar peranan dalam mengharmonikan rumah tangga anak-anak mereka. Semuanya bermula daripada watak wali dalam membesarkan anak, semasa menikahkan anak dan selepas mengahwinkan anak mereka.
Perlu ditegaskan di sini, wali dalam apa jua jenis perkahwinan pun perlu memilik watak orang yang beriman dan bertakwa. Tetapi untuk memiliki watak ini tidak cukup dengan sehari dua sebelum mengahwinkan anaknya. Watak ini perlu dilazimkan lebih lama malah sudah menjadi budaya. Hal ini kerana watak baik ini tidak boleh menjadi realiti dengan hanya sekadar lakonan.
Wali untuk sesuatu perkahwinan disyaratkan adil bukan fasiq. Jadi wali sendiri perlu mempersediakan dirinya sebagai orang yang adil. Apakah kaitan adil dalam perkahwinan anaknya? Dan apakah maksud adil dalam konteks ini?
Adil dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam konteks ini, seseorang wali itu hendaklah bertindak mengikut kehendak syariat. Kalau dia berkata pula, perkataannya mestilah benar, tidak berbohong. Ertinya seseorang wali itu tidak akan melakukan dosa apatah lagi dosa besar.
Wali yang tidak adil dalam syariat disebut fasik. Maka wali fasik adalah ditolok kewaliannya. Jadi, dia tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan anak perempuannya. Jika dia menjadi wali juga dalam keadaan dia sedar kefasikannya, maka perkahwinan anaknya akan berakhir dengan masalah.
Di sini ramai yang tidak faham bagaimana seseorang itu boleh dikategorikan sebagai fasik. Sebenarnya fasik di segi bahasa ialah rosak dan di segi syarak ialah mereka yang mengekalkan dosa kecil. Maknanya orang fasik walaupun pada dasarnya tidak melakukan dosa besar tetapi dia sukar menghindari daripada melakukan dosa kecil.
Walau bagaimanapun jika orang yang sesekali terjebak dalam dosa kecil dan setelah tersedar segera bertaubat, tidaklah dikategorikan sebagai fasik. Inilah sifat orang mukmin yang dikasihi Allah. Oleh sebab itu, mereka yang boleh bertaubat setiap masa apatah lagi setiap kali melakukan dosa kecil, bukan saja terhapus dosa tetapi terus dikasihi Allah.
Dosa kecil yang sering dilakukan umat Islam adalah yang melibatkan sesama manusia. Namun dosa tersebut sukar ditinggalkan oleh mereka kerana sudah menjadi kebiasaan. Antara dosa tersebut ialah, mengumpat, hasad dengki, menipu, hisap rokok, mencari salah orang, mendedahkan kepada ketika keluar rumah dan melihat aurat wanita.
Berdasarkan pengalaman yang lalu, dalam satu hari sekurang-kurangnya satu dosa akan dilakukan seseorang. Tetapi tidak dipastikan berapa ramai pula yang secara sedar bertaubat daripada dosa tersebut?
Fasik tidak boleh elak
Berdasarkan pengalaman itu, tidak ada seorang pun di dunia ini yang terselamat daripada fasik. Jadi, bagaimana agaknya sesuatu pasangan itu boleh diakadnikahkan sedangkan wali masih fasik. Kalau diikutkan syarat wali yang adil sudah tentu tidak seorangpun anak gadis pada hari ini boleh berkahwin.
Menyedari keadaan itu, ulama memutuskan satu kaedah penyelesaian sebelum majlis akad nikah diadakan. Caranya, para hadirin terutama wali, saksi dan pengantin perlu diajak beristighfar, syahadah dan berselawat ke atas nabi. Acara ini sebaiknya dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Nikah di tempat masing-masing.
Amalan ini termasuk dalam usaha bertaubat daripada dosa. Sekurang-kurangnya waktu majlis itu berjalan tidak ada orang yang berdosa di dalamnya. Semoga taubat mereka diterima oleh Allah. Maka atas kepercayaan semua orang sudah bertaubat dan diterima taubat, angkat nikah segera dijalankan.
Walau bagaimanapun taubat yang sekadar tiga kali istighfar, tidaklah sama dengan orang yang benar-benar bertaubat terlebih dahulu. Wali yang sudah sedia berada dalam keadaan taubat sebelumnya tentu lebih baik daripada taubat segera. Setidak-tidaknya anak yang hendak dikahwinkan itu sudah terbiasa dengan sikap ayahnya sudah bertaubat.

Wali fasik anak juga fasik
Wali yang tidak dibiasakan dengan amalan baik lazimnya akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh sebab itu, mana-mana ibu bapa yang ada anak perempuan eloklah membuat persiapan awal dengan bertaubat. Bukan tunggu hari hendak diakadnikahkan anaknya. Pada masa yang sama didiklah anak agar menjadi anak solehah dan isteri solehah.
Semua ini penting sebelum terjadikan ikatan perkahwinan kerana biasanya orang fasik akan lupa banyak perkara, antaranya:
1. Lupa agama; mereka cuai dalam soal solat lima waktu, apabila malas dan sebuk, solat boleh ditinggalkan begitu sahaja. Malah dalam soal tauhid sesekali akan berlaku pula syirik setidak-tidaknya syirik khafi.
2. Lupa adab; mereka ini sudah tidak ambil kisah soal adab sopan. Tidak tahu bagaimana menghormati orang lain termasuk ibu bapa. Pergaulan dengan manusia banyak mengikut budaya Barat.
3. Banyak dosa; mereka ini memandang dosa seperti lalat singgah di atas hidung sahaja. Mereka tidak rasa serius untuk menolaknya.
Jika dalam keadaan ini mereka berkahwin juga, walaupun beristighfar banyak kali dilakukan belum tentu amalan buruk itu boleh dibuang daripada dirinya. Mungkin ketika itu semua dosa sudah diampunkan tetapi kesan dosa lama sukar dibuang daripada hati. Jadi, usaha di atas perlu dilakukan bagi menyelamatan perkahwinan anak-anak mereka.
Baiki kesilapan
Bagi mereka yang sudah mendirikan rumah tangga dalam kedudukan di atas eloklah melakukan sedikit muhasabah. Bertaubatlah mengikut cara yang disyariatkan iaitu empat perkara:
1.            Sesali kesilapan lalu
2.            Tidak berniat untuk mengulanginya lagi
3.            Tidak mengulangi kejahatan itu lagi.
4.            Minta maaf daripada manusia yang pernah dia berdosa.

Setelah bertaubat binalah semula hubungan suami isteri dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai kebahagian rumah tangga, adalah dicadangkan kedua-dua belah pihak supaya menyenaraikan sebanyak mungkin apa yang anda suka dan juga apa yang dibenci. Setelah itu, senarai suami hendaklah diberi kepada isteri dan sebaliknya senarai isteri diserahkan kepada suami.
Berdasarkan senarai itu, bandingkan mana yang sama dan mana yang tidak sama. Mungkin daripada senarai yang sama, sudah ada kesefahaman. Tetapi pada senarai yang tidak sama, perlu dibincang bagi mencari titik persamaan. Dan kalau boleh, biarlah masing-masing boleh berkompromi agar dengan itu tidak akan mengecilkan hati mana-mana pihak.
Percayalah dengan cara itu krisis rumah tangga yang sering dialami oleh orang Islam ekoran saksi fasik akhir-akhir ini dapat dibanteras. Jadi, pepatah nasi sudah menjadi bubur tidak boleh diamalkan dalam konteks ini. Hal ini kerana setiap perkara yang berlaku ada jalan penyelesaiannya. Yang penting suami tahu peranan dan tanggungjawabnya, dan isteri pula tahu peranannya dan kewajipannya.

17 September 2011

Selamat Hari Malaysia ke 48


Ahmad Baei Jaafar
Hari Malaysia ke 48 disambut oleh rakyat Malaysia dengan pelbagai cara pada hari ini. Pada peringkat negara diadakan sambutan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Banyak pihak yang dilibatkan dalam acara gilang gemilang itu. Selain tenaga manusia yang digunakan dengan ramai, wang juga banyak telah dibelanjakan untuk tujuan itu.
Rakyat Malaysia yang selebihnya cuti satu hari. Bagi mereka hari ini adalah hari merdeka kerana tidak dikontral oleh sesiapa. Bagi mereka sambutan hari Malaysia cukuplah dengan menonton siaran langsung perbarisan di Dataran Merdeka di kaca televisyen. Namun tidak kurang juga yang mengembil peluang cuti ini dengan pergi berkelah di pantai atau membeli belah di pasar raya.
Walau bagaimanapun ada juga rakyat Malaysia yang bekerja pada hari ini. Mereka bekerja untuk terus membangunkan negara sebagai sebuah negara maju dan berdaulat. Mereka terus berjuang untuk meninggikan Islam melalui tulisan, lisan dan seumpamanya. Ada juga mereka bertugas di hospital juga di dalam hutang..
Sebenarnya sebagai rakyat Malaysia kita perlu sayangkan Malaysia, malah kita patut rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan kita patut rasa cinta kepada negara. Tetapi saya rasa hairan juga kalau ada rakyat Malaysia yang tidak sayang, tidak cinta dan tidak rasa bangga menjadi rakyat Malaysia hanya kerana Malaysia dipimpin oleh orang yang mereka benci.
Wahai rakyat Malaysia, sempena hari Malaysia saya ingin mengajak kalian supaya mengenal pasti sekali gus dapat membezakan antara perkataan Malaysia, kerajaan Malaysia, pemimpin dan rakyat Malaysia.
Malaysia: Ialah bumi kurniaan Allah yang kalau dilihat dari sudut geografinya bersempadan dengan Thailand di sebelah utara dan selatannya bersempadan dengan Singapura. Kemudian ditambah lagi Sabah dan Sarawak di seberang Laut China Selatan.
Kerajaan Malaysia: Bumi Malaysia yang diperintah dan tadbir oleh orang yang diamanahkan Rakyat dalam satu undian lima tahun sekali.
Pemimpin: Ketua pentadbir kerajaan Malaysia yang dipanggil Perdana Menteri.
Rakyat: Semua penduduk Malaysia yang bernaung di bawah pemimpin tersebut dan tinggal dalam negara Malaysia sebagai warga negara.
Berdasarkan definisi di atas, mengapa kita harus benci kepada Malaysia. Dengan kita cinta dan sayang kepada Malaysia tidak semestinya kita cinta atau sayang kepada pemimpinnya. Malah dalam konteks ini orang politik daripada golongan pembangkang patut lebih sayangkan Malaysia kerana mereka sedang berkira-kira untuk memerintah Malaysia.
Kalaulah anda tidak sayang dan cintakan kerajaan Malaysia tidak mengapa. Tetapi persoalannya mengapa anda tidak mahu sayangkan kerajaan Malasyia? Kita perlu sedar, kerajaan Malaysia bukan kerajaan BN dan rakyatnya ialah rakyat Malaysia bukan rakyat BN. Kalau dia tidak adil kepada rakyat bukan masalah kita. Itu kesalahan pemimpin kepada Allah kerana tidak amanah. Jadi tidak rugi kalau kita tidak membenci kerajaan Malaysia kerana Allah akan beri pahala kepada kita.
Begitu juga pemimpin, Perdana Menteri Malaysia, dia bukan perdana menteri BN tetapi Malaysia yang kita semua rakyatnya. Sebagai rakyat kita ada hak dalam kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri itu. Oleh sebab itu, Perdana Mmenteri tidak boleh lebihkan orang partinya sahaja kerana orang parti lain juga rakyatnya.
 Oleh sebab itu tiada alasan untuk kita tidak sayangkan Malaysia. Apatah lagi kita dilahirkan di bumi Malaysia. Kalau orang bukan warga negara berada dalam negara ini boleh sayang kepada Malaysia mengapa pula kita tidak sayang. Mereka yang menumpang kasih di negara ini mendapat nikmatnya di sini mengapa pula kita di sini tidak mahu mengambil nikmat. Nikmat tidak akan datang bergolek atau melayang.
Sebenarnya, setiap orang rakyat Malaysia wajib berjuang mempertahankan Malaysia, dan membangunkan Malaysia. Apapun parti politik anda tidak penting, tetapi mesti ada dalam jiwa kita sebagai pejuang. Kita berjuang bukan untuk mencari keuntungan duniawi, untuk mengaut keuntuangan harta benda tetapi untuk kepentingan rakyat dan Islam.
Tetapi sebagai ahli politik terutama pemimpin yang memerintah, anda perlu ingat, perjuangan anda perlulah dengan ikhlas kerana Allah. Kalau tidak ikhlas kemungkinan kita akan termasuk dalam kategori berjuang atas asas asabiah. Pada hari ini kita dapati ramai pejuang termasuk pemimpin negara apabila orang daripada kumpulannya berbuat salah, dia akan cari jalan untuk membela atau menafikan kesalahannya. Tetapi kalau kesalahan berada di pihak lawan dia akan berjuang habis-habisan untuk mendedahkannya. Inilah bentuk asabiah yang dilarang oleh Rasulullah.

12 September 2011

Nikah untuk selamatkan iman tingkatkan ibadah


Ahmad Baei Jaafar
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, al-Ihya’ Ulumuddin, ada menyenaraikan beberapa tujuan berkahwin yang antaranya menghilangkan tekanan perasaan terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadat. Dengan perkahwinan juga, seseorang itu dapat memelihara diri daripada godaan syaitan yang akan membawa ke arah perkara yang haram.
Berdasarkan itu amat wajar setiap manusia berkahwin bagi menyelamatkan iman. Apatah lagi pasangan yang sedang bercinta, segeralah berkahwin kerana mereka berdua terdedah kepada tekanan tersebut. Pada masa yang sana ibu bapa yang mempunyai anak baik lelaki mahupun perempuan, perhatikan keinginan mereka. Jika mereka sudah ada rasa keinginan untuk berkahwin, lihatlah dengan serius apakah dia sudah benar-benar layak atau tidak.
Jika mereka layak iaitu, ilmu agamanya sudah matang, ada kemampuan yang boleh menjamin kehidupan mereka, maka segerakanlah perkahwinan mereka sebelum terjadinya perzinaan. Sebaliknya jika tidak layak atau belum layak bimbinglah mereka ke jalan yang betul dan pantaulah pergerakan agar tidak melakukan perkara yang haram.
Sebenarnya hubungan lelaki dengan perempuan perlu ada batas, bukan dilepas bebas sesuka hati mereka. Namun begitu pemantauan ibu bapa janganlah sampai anak kita itu rasa takut ketika di hadapannya, tetapi akan liar dengan gejala sihat di belakang kita. Inilah yang kita bimbangkan.

Segera berkahwin
Setiap manusia perlukan pasangan hidup. Adam yang diciptakan dan ditempatkan di dalam syurga setelah dimasukkan nafsu, telah melahirkan rasa jemu hidup seorang diri, lalu meminta diadakan pasangan untuknya. Itulah realiti lelaki dan wanita di muka bumi ini. Malah setelah lelaki berusia baligh rasa inginkan wanita sudah mula berputik. Di sinilah perlunya bantuan ibu bapa dalam memahami kehendak mereka.
Kalau mereka dilihat sudah layak berkahwin, carilah calon yang sesuai dengan anak masing-masing. Mungkin ramai yang dah lupa, dalam budaya masyarakat Melayu tahun sebelum 60-an urusan mencari jodoh diserahkan kepada ibu bapa. Anak-anak ketika itu boleh menerima cadangan dan rancangan ibu bapa mereka. Hal ini kerana peluang untuk mereka mencari sendiri agak terhalang.
Kenapa tak percaya? Sebenarnya dahulu, wanita banyak berada di rumah dan kalau mereka keluar rumah pun dalam keadaan malu. Dalam keadaan itu tentulah sukar bagi lelaki untuk berkenalan dengan wanita tersebut. Oleh sebab tidak tahu status sebenar wanita tersebut maka ibu bapa perlu keluar merisik kalau-kalau anak perempuan itu masih belum berpunya.
Keadaan ini mungkin tidak jauh berbeza dengan masyarakat lain. Khadijah sendiri yang dikatakan merisik Muhammad tetapi hakikatnya masih melalui pembantunya Maisarah. Bagitu juga masyarakat India, terdapat wakil pihak wanita yang merisik pihak lelaki.

Memilih calon yang syari’i
Dalam Islam perkahwinan mestilah mengikut proses yang dibenarkan syariat. Walaupun zaman telah berubah, pendekatan merisik orang orang tua masih releven. Oleh sebab itu tidak wajarlah lelaki atau perempuan mencari calon sendiri. Selepas pikat seorang, pikat yang lain pula kononya tidak sesuai. Akhirnya semuanya tidak jadi.
Islam menyediakan panduan yang tidak rugi mereka yang mengikutnya. Dalam soal memilih calon Islam meletakkan keutamaan kepada lelaki, namun tidak salah kalau perempuan yang meminati seseorang lelaki menentukan calonnya. Walau apapun pilihan calon isteri atau suami hendaklah yang menepati kehendak Allah dan Rasul.
Pemilihan ini penting kerana hubungan yang serasi atau sekufu sahaja yang boleh menjadi rumah tangga yang dibina itu sempurna sifat. Cuma persoalan sekarang bagaimana proses mencari? Ya, kalau zaman dahulu ibu bapa yang mencari tetapi pada zaman ini, semuanya sudah berubah, lelaki atau perempuan mencari sendiri pasangan mereka. Peranan ibu bapa hanya pada pusingan terakhir. Jadi, hilanglah keberkatan.
Dalam hal ini Rasulullah memberi panduan dalam memilih isteri. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dikahwini wanita itu (untukdijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannyadan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama,nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelas di sini lelaki boleh membuat pilihan malah itulah yang biasanya menjadi pilihan lelaki iaitu, wanita ada duit, wanita yang berketurunan yang baik-baik, wanita yang ada rupa dan wanita yang beragama. Cuma dalam hadis ini Rasulullah mencadangkan agar lelaki itu lebih memilih yang bergama. Hal ini kerana dengan memilih isteri yang beragama banyak urusan rumah tangga dapat dibantu oleh isteri tersebut.
Tetapi apa yang sering berlaku pada hari ini, walaupun berkawan dan bercinta bertahun-tahun belum boleh buat keputusan.  Apabila dirasakan agak serasi barulah dia menghantar wakil merisik. Agaknya apa yang hendak dirisikkan lagi sebab kenalan mereka sudah lebih daripada merisik. Tegasnya soal agama tidak diberikan perhatian langsung. Kesannya apabila berkahwin terbungkar segala rahsia yang selama ini tidak dedahkan.

Sifat suami dan isteri
Sebenarnya perkahwinan yang mengikut panduan Islam akan menserlahkan keindahan sesebuah kehidupan. Suami dan isteri sudah tahu hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan dalam rumah tangga. Masing-masing sudah tahu kekuatan dan kelemahan pasangan untuk saling bekerjasama dalam membina rumah tangga bahagia.
Dalam hal ini isteri perlu tahu apakah hak suami yang mesti dipatuhi oleh isteri. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الزَوْجِ عَلَى الْمَرْأَةِ أن لا تَهْجُرْ فِرَاسَهُ وأن تَبِرَّ قِسْمَهُ وَأَن تُطِيعَ أمْرَهُ وَأَن لا تَخْرُجَ الا بإذنه وان لا تُدخِلَ اليه من يَكْرَهُ.
Maksudnya: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri ialah; tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. (Riwayat al-Tabrani)
Pada masa yang sama suami perlu tahu apakah hak isteri yang perlu diberi perhatian olehnya. Sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِ أن يُطْعِمَهَا اِذَا اَطْعَمَ وَيَكْسُوهَا إِذَا اكْتَسَى وَلا يَضْرِبْ الوَجْهَ وَلا يُقَبِّحْ ولا يَهْجُرْ اِلاَّ فِى البَيتِ.
Maksudnya: Hak isteri yang wajib dijaga oleh suami ialah memberi makan kepada isteri apabila dia makan, memberi pakaian kepadanya apabila dia memakai pakaian, jangan memukul muka isteri, tidak menghina isteri, dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.
Jika suami isteri tahu peranan masing-masing tidak akan berlaku pelanggaran peranan atau salah menyalah antara satu sama lain. Pada masa yang sama ada rasa bersama dan bekerjasa dalam membina rumah tangga yang harmoni.

Iman dan ibadah
Sebenarnya untuk menjadi pasangan ini dapat menjaga semua kehendak Allah dan Rasul, perkahwinan itu mesti diasaskan atas rasa keimanan yang mantap. Maknanya suami dan isteri benar-benar takut kepada Allah dan mengharapkan reda-Nya. Suami yang beriman akan mendorong dirinya untuk melakukan yang terbaik terhadap isterinya. Selain kuat ibadah kepada Allah mereka tidak akan menganiayai isterinya sebaliknya terus membimbing isteri ke arah kebaikan.
Suami yang beriman akan mendorong isterinya untuk melakukan ibadah bersama apatah lagi solat fardu. Dengan hubungan baik itulah syaitan rasa kecewa kerana peluang untuk menggoda pasangan itu agak tipis. Ruang untuk mengajak mereka melakukan maksiat sudah semakin sukar. Oleh sebab itu kalau mereka boleh istiqamah dengan cara ini hidup mereka akan bahagia selama-lamanya.
Selain itu, isteri yang boleh reda dengan didikan suami dan sanggup mengikut kehendak suami itulah hakikat bahawa isteri tahu peranan dan tanggungjawabnya. Tetapi kedudukan isteri ini harus selalu dikawal kerana syaitan sentiasa mencari peluang untuk merosakkan rumah tangga yang bahagia.
Sebenarnya, pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan ada jaminan untuk bahagia hingga ke akhir hayat nanti. Demikian jika hubungan suami dan isteri itu dapat dikukuhkan dan dapat ditingkatkan iman dan taqwa. Walau bagaimanapun hasil pengalaman yang lampau banyak menyedarkan saya bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak terhasil dengan lakonan.
Jadi, binalah perkahwinan di atas asas iman dan taqwa agar nanti setiap perjalanan hidup dalam bantuan Allah.

05 September 2011

Adat menyambut Idulfitri boleh diteruskan?


Ahmad Baei Jaafar

“Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” itulah ucapan yang selalu diucapkan oleh orang Melayu sempena menyambut hari raya Idulfitri. Malah ucapan itu kini telah diterjemahkan dalam bentuk kad ucap selamat sejak awal Ramadan lagi. Budaya ini turut dikongsi oleh umat Islam di Singapura sehingga ke hari ini.
Selain itu satu lagi budaya yang boleh dimasukkan dalam kategori adat Melayu. Adat yang dimaksudkan ialah bersalaman pada pagi hari raya. Acara ini bermula pada pagi hari raya sebelum masing-masing menuju ke masjid untuk solat Idulfitri. Dalam acara itu, anak-anak akan menghadap ibu bapa dan sebelum itu isteri menghadap suami untuk melafazkan ucapan selamat. “Minta maaf banyak-banyak,” atau “minta maaf zahir dan batin” itulah ucapan lazim yang dilafazkan setiap kali berjumpa sanak saudara.
Saya tidak pasti bagaimana masyarakat Islam di negara lain memulakan sambutan hari raya mereka. Apakah dalam masyarakat mereka turut diadakan acara menghadap bapa, memohon kemaafan yang dimulai oleh isteri. Setelah itu anak-anak akan bersalam memohon kemaafan kepada bapa dan ibu. Mungkin keunikan adat ini hanya dimilik oleh orang Melayu sahaja.
Persoalannya, adakah adat ini boleh diteruskan atau dikembangkan kepada masyarakat lain? Adakah adat ini sesuai dengan Islam?
Walaupun adat dan budaya ini tidak dilakukan oleh Rasulullah dan Sahabat tetapi amalan itu didapati tidak bercanggah dengan hukum Islam. Bahkan ada yang dianjurkan oleh Islam. Antaranya Islam menganjurkan umat Islam saling bermaaf-maafan dan saling bersalaman.
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW pernah naik mimbar kemudian berkata: Amin, Amin, Amin” Ditanyakan kepadanya: “Ya Rasulullah, engkau naik mimbar kemudian mengucapkan Amin, Amin, Amin?” Beliau bersabda: “Sesungguhnya Jibril a.s datang kepadaku, dia berkata: “Barang siapa yang memasuki bulan Ramadan tapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia,  katakan “Amin”, maka akupun mengucapkan Amin….”
Maknanya kalau seseorang ada dosa, dia perlu minta maaf dan kalau orang minta maaf, maka kita harus memaafkannya. Cuma dalam hadis ini dianjurkan kita memohon keampunan sebelum Ramadan.
Dalam hadis yang lain malaikat Jibril berdoa: “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri; Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Aamin sebanyak 3 kali.“
Berdasarkan itu tidak salah bersalaman dan bermaafan pada pagi hari raya Idulfitri, dan tidak salah juga selepas solat hari raya, sesama jemaah bersalaman dan memohon kemaafaan. Tetapi janganlah jadikan amalan itu hanya bermusim sedangkan dosa yang dilakukan adalah setiap hari. Ingatlah sifat orang mukmin ialah apabila melakukan dosa segera meminta maaf, apatah lagi berdosa dengan Allah.
Selain acara itu, ada lagi sahabat andai yang menjemput kawannya ke rumah mereka. Budaya ini amat baik kerana saling ziarah menziarah ini boleh mengeratkan persaudaraan, menghapuskan permusuhan dan dapat menjernihkan kehidupan yang kelam sebelumnya. Cuma dalam hal adalah tidak digalakkan bersalaman antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.
Namun begitu, berdasarkan hadis di atas alangkah baiknya kalau semua umat Islam memulai pada Ramadan kali ini dengan bersalaman dan memohon kemaafan sesama kita sebelum menjelang Ramadan. Dengan cara ini semua umat Islam dapat melakukan puasa dalam keadaan tidak ada dosa. Bayangkan kalau semua umat Islam dalam keadaan bersih, sudah tentu doa dan ibadahnya mudah diqabulkan.