Monday, June 27, 2011

Beban

Assalamualaikum



Pagi buta yang sejuk, gelap dan berkabus. Hati keriangan ekoran sebentar lagi aku dan seperjuangan akan berkelah di Port Dickson kononnya. Aku telah diberi tanggungjawab untuk menghiburkan mereka-mereka di seperjalanan ke sana. Makanya, aku perlu membuat beberapa persembahan akustik di dalam bas nanti. Sehingga saat ini, aku masih lagi memegang gitar. Memetik dan membiasakan diri dengan gitar yang sudah lama aku tinggalkan.


Lagu dimainkan. Dan lagu itu terdendang di dalam kepala. Masih bermain dan melintas dengan pantas. Mengimbau perkara yang tidak perlu. Teringat kepada yang tidak pernah mengingati. Merindui seseorang jauh lebih membebankan dari mencintai seseorang yang masih.


Dan aku terbeban.


Thursday, June 23, 2011

Bangkit

Assalamualaikum


Nobody knows just why we're here, could be fate or random circumstance. At the wrong place and the wrong time. Children suffering, old man dying, family crying. I'm in the middle of hell, looking around. Surrounding by sickness. And if the universe conspired to meld our lives or to make us fuel and fire, then now, where ever they will be, so too shall I be. Close your eyes and dry your tears because when nothing seems clear, you'll be safe here.


*****

Antara bait-bait kematian yang sempat aku tulis di sebuah kertas untuk seluruh pesakit Denggi ketika berada di wad sepanjang ketiadaan aku disini. Dan Alhamdulillah aku sudah pun melepasi masa sukar aku yang sememangya antara beban terbesar yang ditanggung badan ini dalam seumur hidup. Aku harap itu yang terakhir. Aku tidak mahu ke sana lagi. Pasti.





Terima kasih kepada Macy Humaira, Lyana, Syida Shukor, Ernie Syafika, Encik Hilizan, Qiqi, Innz dan yang lain-lain yang tidak tercatat disini diatas keprihatinan. Mereka semua kebangkitan saya.


Thursday, June 16, 2011

Roda

Assalamualaikum



Dunia itu ibarat roda.


Ayat pemanis saat hidup persis najis. Alasannya hidup berputar bak roda. Terkadang di atas. Terkadang di bawah. Bezanya cuma roda berputar di atas paksi tanpa henti. Hidup pasti terhenti. Itu aku pasti.


Dunia tak lagi diibaratkan seperti roda.


''Kenapa kau mesti buang masa dengan benda yang dah mati?''


"Untuk ke syurga pun kita perlu mati dulu."

#Gadis.


******


Sayugia diingatkan, ia hanyalah sebuah karya gadis dan tidak perlu diselami kerana yang tersirat tidak selalunya mencerminkan peribadi. Aku juga tidak pernah menjadi diri sendiri di dalam ruangan tanpa pena ini. Kerana hakikat nukilan itu ialah sebaik-baik realiti.



Saturday, June 11, 2011

Gadis dan Tuhan

Assalamualaikum

Gadis


Tuhan itu sifatnya maha adil. Ditariknya satu nyawa yang kau sayang. Digantikan pula dengan satu jiwa baharu meski memorinya tak lagi sama. Rambut kau yang sedikit kusut tetapi lembut itu dibelai seakan sama DNA nya. Air liur kau yang menjejes sampai mencecah ke leher baju dilapkannya setiap kali itulah ia terjejes. Ah. kau memang menjengkelkan. Namun tak pernah pula dia beranggapan begitu. Syukur.


"Tuhan. Tolong beritahu ayah saya. Yang saya rindu dia"


Dan gadis kecil itu menangis dan terus menangis. Perit hati dia. Lebur jiwa dia. Dia sahaja yang rasa. Rasa tak terhargakan. Rasa kian terabaikan. Rasa tak lagi didengarkan. Tak terniat hendak menjadi perhatian. Cuma dia mahu tahu bagaimana rasa dihargakan.


"Kalau lah dia tahu macam mana aku sayang dia."


Gadis tadi memecah sepi. Cuba meluahkan pada teman yang jiwa dia rasa percaya. Dia bercerita dari abjad satu hinggalah yang terakhir. Dia memaki tuhan dan menangis lagi.


"Sekurang-kurangnya kau ada tuhan, boleh dimaki. Aku Atheis. Aku tak ada tuhan. Paling tidak pun aku maki diri aku sendiri. Kau kira dah cukup bertuah
."


Kata teman yang jiwa dia rasa percaya tadi.


Gadis tadi terdiam.


**********

Gadis adalah seorang sahabat, sahabat lama saya kira. Perkenalan melebihi tiga belas tahun rasanya dan seorang yang dilahirkan tanpa bapa. Perempuan kuat, membesar bersama adik-beradik yang beribukan wanita berhati besi. Cantik dan kegilaan. Penulisan diatas merupakan karya beliau sendiri, dan sedikit penyuntingan dilakukan demi penerimaan akal pembaca. Doakan gadis ini supaya rasanya seperti kita-kita. Kerana ciri seorang kawan itu saling mendoakan.



Monday, June 6, 2011

Time Machine

Assalamualaikum




Jika benar Doraemon wujud, hanya satu yang terpinta, sebuah Mesin Masa. Kononnya sebuah mesin yang mampu membawa kita ke suatu dimensi lampau, merentasi paradoks masa. Seperjalanan ke masa lampau tersebut, terlihatkan rentetan pengalaman kehidupan yang bodoh-bodoh belaka, memalukan tak semena, terpejam tak terlayankan. Terasa tidak percaya yang berlaku bodoh itu aku. Memasukkan data ke dalam Mesin Masa, kembali ke masa lalu dengan harapan untuk mengubah nasib dan memperbetulkan keadaan di sana.


Tingkatan Dua, 2003 agaknya. Saat dimana aku dalam kegemilangan hidup. Mempunyai rakan sekelas yang sentiasa membahagiakan dan kini semakin kehilangan. Ketika jiran-jiran kesayangan masih belum berpindah. Saat aku memiliki keluarga bahagia. Sebelum ibu bapaku berperang besar. Sebelum aku menemui cinta pertama. Sebelum aku mengenal rokok. Sebelum aku memilih untuk berpindah sekolah. Sebelum segala realiti kehidupan yang gelap mula ditunjukkan tuhan. Sebuah kemuncak yang mustahil untuk kembali lagi.


Sekembali di zaman itu, ubah semua. Hargai persekitaran. Menjaga kejiranan. Menyayangi keluarga. Meleraikan sengketa. Memilih untuk tidak bercinta. Tidak menyentuh rokok. Tidak berpindah ke sekolah lain. Malangnya, Doraemon hanya fantasi jepun dan Mesin Masa sebuah dongeng. Tidak sempat berbuat apa. Tidak terfikir sesuatu dan rasionalnya. Jika kembali sekadar melihat sebuah teladan hidup. Hidup perlu diteruskan. Cari kehidupan yang manis. Walau pahit yang ditemui mendatang, mungkin kemanisan datang kemudian? Siapa tahu.


Kenapa mesti Doraemon? Bodohnya penulisan. Semakin hari semakin tumpul.



p/s: Sebuah lagi fantasi yang membosankan. Maaf.


 

Direkabentuk Khas untuk Encik Psychopath