Assalamualaikum
Tiada definisi spesifik tentang fesyen dan ianya bergantung kepada perspektif individu masing-masing. Ada yang menggayakan fesyen mengikut personaliti masing-masing. Bagi mereka yang perfection, setiap inci kulit haruslah disaluti dengan pakaian dan aksesori yang berjenama. Bagi golongan yang terlebih keyakinan, selagi boleh persegian kain yang membaluti tubuh itu senipis kertas turas dan sesingkat anak langsir. Realiti dunia, hanya segelintir individu berfesyen mendapat kepuasan dan selebihnya hanyut dalam pencarian identiti. Keseiringan fesyen dan masyarakat ini ada paradoksnya. Hendak diperjelaskan, ia mengambil seharian pembacaan.
Aku hanya seorang lelaki biasa dan tidak berlabel mahupun bergenre. Kononnya bersifat universal dan semuanya masuk dan terbuka. Tidak selalu mengemaskini dalam hal semasa dan sememangnya aku dan fesyen agak ketinggalan. Pemahaman tentang gaya pemakaian seolah tiada. Lelaki, apa saja yang hendak digayakan. Sekadar mengenakan kemeja dan jeans, t-shirt dan seluar pendek atau baju melayu serta berkain pelekat. Fesyen berpelekat itu hanya pada hari jumaat dan sekadar menghormati persekitaran pusat ibadah. Aku juga buta benar dalam mengenakan pakaian dengan sedondon. Mujur aku bukan penggemar aksesori.
Disaat penulisan ini dibaca, pastinya perempuan menanti untuk dipuji. Ya, tahu. Perempuan memang pakar, sensitif, cerewet dan tidak boleh disangkal dalam bab kedua pakar mereka, fesyen. Eh yang pertamanya apa? Sudah tentunya kitaran haid, jenama pad dan kesesuaiannya. Berbalik kepada tajuk, kesedondonan pemakaian itu suatu yang perlu dan sering dieksperimentasi golongan-golongan fashionista terutamanya. Dari aspek keserasian warna, manipulasi bentuk badan dan jalur, jenis fabrik dan cuaca, pemilihan spesifikasi kasut dan tali pinggang, kemasan tangan dan sebagainya. Dan ia sama sekali tidak diambil peduli oleh aku.
Aku sekadar penggemar t-shirt. Dan sering memakai t-shirt secara rotation dengan koleksi-koleksi t-shirt yang lain. Hanya menggayakan jeans secara berulang berikutan satu-satunya jeans kegemaran dan sangat jarang dibasuh. Penggunaan boxer dua helai sehari dan seluar pendek sepanjang masa. Tampil dengan aksesori wajib iaitu jam G-Shock di pergelangan kiri dan berambut sedikit messy. Daya kreatif berpakaian memang tidak pernah maju dan aku percaya paras rupa yang kacak mampu menyeri penampilan apa saja. Baiklah, disitu sudah nampak yang aku perasan kacak. Bukan perasan tetapi keyakinan. Fahamkan betul-betul.
Video diatas ini sangat menarik. Aku sekadar ingin berkongsikan dan membawa pembaca sedar dan merenung seketika di dalam arus kemodenan dan rentasan masa, fesyen dunia, Malaysia khususnya telah berkembang sehinggalah tanpa sedar kita berbalik semula kepada zaman-zaman lampau. Seharusnya sebagai seorang muslim atau muslimah, kita harus sedar setiap aspek penggayaan dan penampilan sesuatu yang perlu dijaga sebagai imej Islam sendiri. Aku hanya pandai bercakap dan berpesan tetapi hakikatnya aku juga tersilap dalam hal remeh begini. Fitrah manusia. Lelaki mahupun perempuan sama sahaja dan tiada perbezaan.
Yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri.
Yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri.