NuffNang

Selasa, 11 Julai 2017

Mengimbau kembali jasa Si Merah - Modenas Elegan 150cc

Assalamualaikum,

Kenangan aku ke Taman Negara..
Aku sekarang ditugaskan untuk bekerja di luar kawasan buat sementara waktu. Lama aku termangu untuk memikirkan kenderaan yang praktikal untuk aku ulang alik dari Senawang ke Kuala Pilah. Walaupun jangkauan masa tidaklah sejauh mana, namun keadaan jalan dan kesesakan mengharungi jalanraya ini di waktu pagi membuatkan aku berfikir untuk mencari jalan alternatif.

Mengharungi perjalanan berbukit dan berlikuan merentasi kawasan kampung dengan laluan sempit dan sesak sepanjang 30km setiap hari, memungkinkan aku menambah perbelanjaan harian andainya aku mengemudi jentera 4 roda. Nak pinjam motor girlfriend aku, ternyata tidak berupaya kerana dia akan menghantar puteraku ke sekolah setiap hari. Lalu aku terpandangkan motor merah yang ternyata coversetnya sudah reput dimamah usia.

Elegan 150 aku ternyata sudah tua. Namun motor ini adalah salah satu kenderaan yang paling praktikal untuk aku tunggang. Motor ini telah banyak berjasa buat aku. Sedari menelusuri perjalanan ulang alik dari Springhill ke Senawang yang melangkau 30km sehala suatu ketika dahulu, hinggalah membawa aku menerjah seluruh pelusuk semenanjung Malaysia. Inilah jenteranya, Modenas Elegan 150cc buatan 2006.

Membuat keputusan untuk membaiki kembali motor tua ini ternyata bisa merobek poketku. Namun aku tegar kerana aku masih sayangkan jentera tua ini. Nilai sentimentalnya membuatkan aku tidak lokek untuk mengorek tabung untuk membaikinya. Ternyata sekali sudah terlalu banyak bahagian yang perlu aku baiki. Namun membiarkannya reput dan terbungkam ke tanah pastinya menunjukkan betapa aku kejam dan tidak pandai menghargai.

Kini aku membelai kembali si merah usang aku. Membelah kedinginan kabus pagi di kaki gunung Angsi hinggalah menelurusi perkampungan tradisional disepanjang jalanan. Mengimbau kembali perjalanan perjalanan yang pernah aku buat bersama si Merah ini. 

Ternyata si Merah ini masih utuh dan mampu membuatkan aku tersenyum sendirian walaupun banyak sekali bahagian tubuh badannya yang aku terpaksa ikat dengan menggunakan cable tied. Ya, dia sudah tua, kudratnya tidak sehebat ketika dia berada di usia muda dahulu. Sedar tak sedar, usia aku pun telah menginjak 11 tahun lebih tua berbanding ketika aku mula mula menunggang si Merah ini.

InshaAllah andainya diberikan ruang waktu dan kesempatan, aku ingin menunggang kembali jentera ini mengembara seperti dahulu. Biarlah diketawakan orang, namun hanya aku yang tahu nikmatnya menunggang jentera ini....







Please Click..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...