Rabu, Mac 09, 2011

Segenggam Garam


Suatu pagi, seorang anak muda yang dirundung malang bertemu seorang tua yang bijaksana. Langkah anak muda itu longlai dan air mukanya kelihatan pucat tidak bermaya serta seperti orang yang tidak bahagia. Tanpa membuang masa, anak muda itu menceritakan semua masalahnya. Impiannya tidak tercapai dan gagal dalam kehidupan dan percintaan sambil Pak Tua yang bijak itu mendengarnya dengan teliti dan saksama.

Dia kemudian mengambil segenggam garam dan meminta anak muda itu mengambil segelas air.

Dia menabur garam itu ke dalam gelas sebelum mengacaunya dengan sudu. "Cuba, minum ini dan katakan bagaimana rasanya...", ujar Pak Tua itu. "Masin sampai pahit, pahit sekali," jawab anak muda itu sambil meludah ke sisinya sedangkan Pak Tua itu tersenyum melihat telatah tamunya.

Kemudian, dia mengajak tetamunya itu untuk berjalan ke tepi telaga di dalam hutan berhampiran tempat tinggalnya. Mereka berjalan beriringan dan akhirnya sampai ke tepi perigi yang tenang itu. Pak Tua itu menabur segenggam garam ke perigi itu dan menggunakan sepotong kayu untuk mengacau dan mencipta riak air yang mengusik ketenangan telaga itu.

"Cuba ambil air dari telaga ini, dan minumlah". Sebaik anak muda itu selesai meneguk air, Pak Tua berkata: "Bagaimana rasanya?" "Segar." sahut tamunya.

"Apakah kamu rasa masin garam di dalam air itu?", tanya Pak Tua lagi. "Tidak," jawab si anak muda. Pak Tua menepuk punggung anak itu lalu mengajaknya duduk berhadapan, bersimpuh di tepi telaga itu.

"Anak muda, dengarlah. Pahitnya kehidupan adalah umpama segenggam garam, tak lebih dan tak kurang. Jumlah dan rasa pahit itu sama dan memang akan tetap sama. Tapi, kepahitan yang kita rasakan sangat tergantung dari wadah atau tempat yang kita miliki. Kepahitan itu akan diasaskan daripada perasaan tempat kita meletakkan segalanya. Itu semua akan tergantung pada hati kita.

"Jadi, saat kamu rasakan kepahitan dan kegagalan dalam hidup, hanya ada satu hal yang boleh kamu lakukan. Lapangkanlah dadamu menerima semuanya. Luaskanlah hatimu untuk menampung setiap kepahitan itu. Luaskan wadah pergaulanmu supaya kamu mempunyai persekitaran hidup yang luas. Kamu akan banyak belajar daripadanya," katanya.

Pak Tua itu terus memberikan nasihat dengan berkata: "Hatimu adalah wadah itu. Perasaanmu adalah tempat itu. Kalbumu tempat kamu menampung segalanya. Jadi, jangan jadikan hatimu itu seperti gelas, buatlah laksana telaga yang mampu merendam setiap kepahitan dan merubahnya menjadi kesegaran dan kebahagiaan."

Lalu, kedua-duanya pulang. Mereka sama-sama belajar pada hari itu. Pak Tua, si orang bijak itu, kembali menyimpan 'segenggam garam' untuk anak muda yang lain, yang sering datang padanya membawa keresahan jiwa.


Selasa, Mac 08, 2011

Tujuh Perkara Ganjil


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Jumaat, Mac 04, 2011

Ia Menyucikan Hati...



Seorang Muslim tua Amerika hidup di suatu kawasan perladangan di suatu pergunungan timur Kentucky dengan cucu lelakinya yang masih kecil. Setiap pagi datuknya bangun lebih awal dan sering duduk di meja dapur membaca Al-Qurannya. Cucu lelakinya ingin menjadi seperti datuk dan cuba untuk mencontohinya sebaik mungkin.

Suatu hari cucunya bertanya, 'Datuk, Saya
cuba untuk membaca Al-Quran seperti datuk tetapi saya langsung tidak memahaminya, dan apa yang saya faham pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutup al-Quran. Saya tidak faham, jika demikian untuk apa saya baca al-Quran.? "

Dengan tenang datuk bangun dan mengambil bakul arang dan mengeluarkan arang tersebut sambil menghulurkan bakul tersebut dan berkata , 'Bawa bakul arang ini ke sungai dan penuhkan bakul ini dengan air"

Anak kecil itu melakukan seperti yang diperintahkan datuk, mengambil air dan berlari dengan cepat ke rumah, tetapi bakulnya kosong belum sempat dia sampai ke rumah. Dia kemudian berulang lagi sekali mengambil air, dan berlari lebih laju, tetapi dia masih tidak berjaya untuk membawa pulang air. Dengan termengah-mengah dia mengatakan kepada datuknya bahawa mustahil membawa air dari sungai dengan bakul lalu dia pergi untuk mengambil baldi sebagai gantinya.

Datuknya lantas berkata, 'Atuk bukan nak air dari baldi tetapi atuk mahu air dengan bakul ini. Kamu hanya perlu berusaha lebih keras lagi,". Dia kemudian turut keluar mengekori cucunya untuk melihat percubaan cucunya.

Pada waktu itu, anak kecil itu sedar bahawa perkara itu amat mustahil,, tetapi dia ingin membuktikan kepada datuknya bahawa meskipun dia berlari secepat mungkin, air tetap akan keluar dari bakul sebelum ia sampai ke rumah.

Anak itu kembali mencelupkan bakulnya ke sungai dan berlari sekuat tenaga, tetapi ketika ia sampai di depan datuknya bakul itu sudah kosong. Dia sudah kehabisan tenaga dan terus berkata," Lihatlah tok, mana boleh bakul itu menampung air.
Ia langsung tak berguna!"

"Jadi kamu fikir ini kerja sia-sia ?" Orang tua itu berkata, "Lihatlah bakul arang itu"

Anak itu melihat ke dalam bakul bekas arang itu dan untuk pertama kalinya menyedari bahawa bakul besi itu sekarang berbeza rupanya. Bakul itu telah berubah dari bakul arang yang kusam dan kotor kepada sebuah bakul yang kini bersih, luar dalam. "Bakul ini bersih tok!" ujarnya.

"Cucuku sayang, itulah yang terjadi ketika kamu membaca Al-Quran. Kamu tidak boleh memahami atau ingat segalanya, tetapi ketika kamu membacanya, kamu akan berubah, luar dan dalam. Ia akan menyucikan hatimu. Itu adalah kurnia dari Allah di dalam hidup kita. "

Anak kecil itu tersenyum mengerti lantas memeluk datuknya dan menyedari bahawa apa yang dia lakukan setiap pagi mencontohi datuknya tetap memberi kesan pada dirinya.

Related Posts with Thumbnails