Ahad, Februari 27, 2011

Baldi Yang Bocor


Ada sebuah taman yang indah, dan tukang kebunnya sangat bangga dengan taman itu. Ia menjaga kebunnya dengan hati yang riang.. Setiap hari dia akan berjalan ke gudang taman kecil yang terletak di hujung dari taman itu. Di sana, ia akan mengisi baldi penyiram dengan air yang jernih dari sungai kecil berhampiran taman. Ia akan membawa baldi itu ke kebun bunga untuk menyirami bunga-bunganya.

Dia menggunakan dua baldi, untuk menyiram bunga yang ia simpan di gudang taman
itu. Salah satu baldi masih berkilat dan baru dibeli dari sebuah kedai tanaman.. Manakala baldi yang satu lagi sudah buruk dan tua. Baldi itu sudah lama melakukan tugasnya untuk menyiram tanaman dengan setia, tetapi sekarang dia sudah tidak berdaya lagi.

Kebiasaannya tukang kebun itu akan mengisi kedua baldi itu setiap hari dan membawa kedua baldi itu serentak ke kebun bunga. Baldi yang baru merasa sangat bangga akan dirinya. Dia dapat menampung penuh air sepanjang perjalanan menuju kebun bunga tanpa menumpahkan air sedikit pun..

Baldi yang lama merasa malu bila dibandingkan. Dia tahu dia sudah mempunyai lubang-lubang kecil. Setiap pagi, dia sangat sedih melihat dirinya ketika sampai di taman bunga telah menumpahkan banyak air sepanjang jalan yang dilalui. Kadang-kadang mereka berbicara satu sama lain ketika dibawa berdampingan oleh tukang kebun.

“Lihat betapa hebatnya saya.” Kata baldi baru menyombongkan diri. “Bagaimana hebatnya saya bila si tukang kebun dapat membawa air sepenuh mungkin untuk taman bunganya setiap harinya. Saya hairan mengapa ia masih menggunakan kamu padahal kamu hanya usaha yang sia-sia.” Baldi tua menjawab, “Saya tahu, saya hanya usaha yang sia-sia tetapi itulah yang terbaik yang dapat saya berikan. Saya senang masih digunakan untuk membantu tukang kebun itu.”

Suatu hari tukang kebun itu mendengar percakapan mereka. Ketika ia sampai ke taman bunga, ia menyirami bunga seperti biasan. Ia menyiram penuh air dari baldi yang baru dan setengah penuh air dari air yang tersisa dari baldi tua yang bocor. Ketika sudah kosong, ia mengangkat kedua baldi itu dan berkata kepada mereka, “Terima kasih kepada kalian berdua. Kalian telah mengerjakan tugas kalian dengan baik. Sekarang saya akan mengembalikan kalian ke dalam gudang tetapi dalam perjalanan pulang, kalian perhatikan jalan yang kita lewati setiap hari.”

Kedua baldi itu mengikuti permintaan tukang kebun. Mereka memperhatikan sepanjang jalan yang dilalui. Di sisi baldi baru, hanya ada tanah kering, tetapi di sisi yang lain, di sisi di mana dilalui baldi tua yang bocor, ada barisan rumput muda yang segar. Barisan itu dalam waktu dekat akan berubah menjadi barisan bunga liar yang cantik sepanjang jalan dari gudang ke taman bunga.


p/s : Moralnya apa ya? Hmm... Lihatlah pada pandangan yang positif dalam setiap perkara terutama apabila menghadapi rencah-rencah kehidupan, walaupun pada luarannya seakan-akan negatif atau buruk pada nilaian kita..(",)



Sabtu, Februari 26, 2011

SILATURRAHIM Dapat Panjangkan Usia


Kita semenjak dari Nabi Adam As, tidak dapat hidup tanpa mempunyai kawan. Oleh itu dalam kehidupan manusia dalam apa jua sekalipun mereka memerlukan hubungan sesama manusia yang lain. Ini kerana manusia tidak mungkin dapat hidup tanpa keluarga, kawan, sahabat handai, jiran dan seterusnya masyarakat.


Hubungan sesama manusia ini dipanggil "SILATURAHIM". Silaturahim ini ibarat satu tali yang mengikat seorang Islam dengan orang Islam yang lain. Apabila silaturahim terjalin, maka terbentuklah satu rangkaian besar umat Islam yang bakal mengukuhkan sesebuah komuniti Islam. Oleh itu, silaturahim antara perkara yang diberikan keutamaan dalam kehidupan masyarakat Islam. Allah berfirman yang bermaksud:

"Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang berteingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (al-Hujarat:10)


SILATURAHIM ini dapat memanjangkan usia seseorang. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya. Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya". Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup.

Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya. Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,
"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?". Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."


Begitulah betapa ajaibnya silaturahim, kerana ia mampu memanjangkan umur seseorang. Oleh itu penulis berharap kepada pembaca dan penulis blog yang lain gunakanlah kemudahan dan kecanggihan IT ini untuk memanjangkan silaturahim, dan janganlah menggunakan kelebihan yang "dianugerahkan" Allah ini untuk menyebarkan ilmu maksiat yang bukan dapat menyumbang "pahala" malah mendapat "dosa" yang berpanjangan. Seperti mana Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya :

"Dan orang yang paling erat hubungan silaturahimnya (sesama keluarga atau saudaranya). Dan orang yang paling banyak mengajak kebaikan serta orang yang paling banyak dalam melarang berbuat kemungkaran." (HR: At-Thabrani)


Sabtu, Februari 19, 2011

Bola Golf dan Secawan Kopi




Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan.

Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!".

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut.


Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.

Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh.
Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan secawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak
ketawa pelajarnya berkurangan. "Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda...

Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh.

Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara- perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu..." "... anda tidak akan mempunyai ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda.

Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda." "Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda.

Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain.

Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting.
Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan kopi bersama rakan-rakan..."

Renungan untuk semua. Apabila kehidupan anda seakan terlalu penuh dan tampak sukar untuk diuruskan, apabila 24 jam sehari seperti tidak mencukupi, ingatlah kisah ini...

Ahad, Februari 13, 2011

Rasulullah SAW Dengan Sebiji Limau



Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda.

Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak.

Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda.

Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut.

Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula.

Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.


Sabtu, Februari 12, 2011

Mesir : Cabaran Sebenar Baru Bermula



Salam.

Syukur Alhamdulillah. Berita melaporkan diktator Mesir, Hosni Mubarak telah berundur, meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum Naib Presiden Omar Suleiman.

Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.

Berita pengundurannya itu disambut meriah oleh lebih sejuta rakyat Mesir yang berkumpul di Dataran Tahrir di Kaherah selama 18 hari sebelum ini.

Presiden dan keluarganya sebelum itu dilaporkan meninggalkan istana Presiden di ibu negara ke Resort Laut Merah Sharm el-Sheihh, tempat yang sering dikunjunginya sebelum itu, di mana beliau mempunyai sebuah istana di situ.

Pengumuman itu disambut dengan gembira oleh rakyat Mesir, yang telah lama hidup di bawah pemerintahan kuku besi yang menekan & menindas mereka, terutamanya para pendokong Islam termasuklah di Palestin.

Pun begitu, seorang pegawai kanan pembangkang terbesar Mesir, Ikhwanul Muslimin, menyuarakan kebimbangan dengan tindakan tentera Mesir mengambil alih pemerintahan dengan merampas kuasa.

“Ia nampaknya satu rampasan kuasa tentera. Saya bimbang. Masalahnya bukan Presiden tetapi rejim yang memerintah,” kata Essam al-Erian.

Benar, Mubarak hanyalah ikon daripada rejim yang memerintah. Rejim yang telah menjadi penjilat untuk Amerika & Israel Zionis. Sebagai boneka Amerika, dia sememangnya telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Pengundurannya juga tanpa sebarang hukuman terhadap segala kesalahan & jenayahnya, khususnya kepada umat Islam.

Pada masa ini, Mubarak mungkin sedang bersenang-lenang dengan keluarganya di istananya di Resort Laut Merah Sharm el-Sheihh.

Perletakan jawatan itu cuma akan menyekat sedikit kebebasannya, di samping menyekat peluangnya untuk mengaut lebih banyak harta rakyat, tapi harta yang telah dikumpulkannya sendiri sudah cukup banyak.Tapi Islam mengajar umatnya bahawa dunia itu cuma sementara. Seandainya Mubarak tidak bertaubat, pastinya dia akan dihukum dengan setimpal oleh Allah di hari pembalasan nanti. Hanya tunggu masa saja Mubarak.

Rakyat Mesir telah mengorbankan harta & nyawa mereka demi menjatuhkan diktator yang zalim ini. Tapi ini cuma permulaan. Mubarak mungkin tiada tapi rejimnya masih ada. Amerika dan Zionis pula pasti tidak akan membiarkan saja apa yang berlaku. Pelbagai kemungkinan akan berlaku. Tidak mustahil yang menggantinya ini lebih teruk daripada Mubarak, atau rakyat Mesir akan dipecahbelahkan.

Apapun, rakyat Mesir mesti terus bersatu & tidak leka. Ikhwan Muslimin pastinya adalah yang terbaik untuk memimpin Mesir sebagaimana Islam yang menjadi tunggak perjuangan mereka adalah jaminan yang terbaik untuk keadilan kepada umat manusia Mesir, tidak kira samada mereka muslim, atau kristian dll.

Gerakan Islam ini pasti akan terus diganggu & diperangi oleh Amerika & sekutunya, sepertimana yang telah diberitahu oleh Allah bahawa mereka sekali-kali tidak akan redha, selagi kita tidak mengikuti mereka.

Perjuangan di antara yang haq & batil ini akan berterusan di mana-mana pun pelusuk dunia ini, tapi keputusannya di akhirat tetap DUA sahaja. Samada kamu dengan Islam & kebenaran, atau kamu pilihlah kebatilan, tak kiralah apa versi atau nama yang kamu beri; kebangsaan, nasionalis, sekular, liberal, dll.

Syabas rakyat Mesir, tapi ini cuma permulaan. Cabaran sebenar baru bermula. Seperti mana kata pemimpin pertama Ikhwanul Muslimin As-Syahid Imam Hassan al-Banna, "Tegakkan Islam di dalam diri kamu, & Islam akan tertegak di negara kamu."

Teruslah berjuang demi Islam yang adil kepada seluruh manusia, insyaAllah.

Allahuakbar!!


Ahad, Februari 06, 2011

Berkat di Sebalik Membaca Bismillah


"Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap.

Setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja."


Sabtu, Februari 05, 2011

Lima Perkara Aneh




"Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar sebuku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.


Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu."

Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."


Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar."


Related Posts with Thumbnails