Selasa, November 30, 2010

Produk Takaful Dijangka Berkembang 15 Peratus


KUALA LUMPUR 30 Nov. - Produk takaful keluarga di Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar 15 peratus tahun ini didorong oleh peningkatan sentimen pengguna dan kekuatan produk itu sendiri.

Pasaran takaful di Malaysia dan beberapa negara lain, secara amnya amat menarik kerana 65 peratus daripada produknya dibeli oleh orang bukan Islam, kata Dr. Manfred J. Dirrheimer, Pengerusi FWU AG yang merupakan peneraju perniagaan takaful dunia.

Beliau berkata, ini menunjukkan produk takaful itu mampu dijual, bukan kerana kepercayaan agama sahaja tetapi sebaliknya kerana ia mempunyai struktur yang kukuh dan menguntungkan.

Dirrheimer berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Meneroka Potensi di dalam Insurans Hayat/ Perniagaan Takaful Keluarga sempena Konvensyen Pelaburan Syariah Antarabangsa' di sini hari ini.

''Pengguna sebenarnya melihat kepada kelebihan dan ketelusan sesuatu produk sebelum membuat sebarang keputusan dan faktor inilah yang menjadi kekuatan kepada produk takaful,'' katanya.

Khamis, November 25, 2010

Menarik Sekitar Sidang DUN Kedah & Bajet Negeri 2011

Oleh : Azamin Amin *

ALOR SETAR : Sebaik sahaja banjir di negeri ini surut, Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pun membuka tirainya selama tiga hari bermula tanggal 14 November yang dirasmikan oleh KDYMM Sultan Kedah.

Semuanya berjalan dengan lancar dan tenang bahkan berlangsung secara aman' walaupun tanpa 'kehadiran' dua media elektronik arus perdana yang dianggap pembohong sewaktu membuat liputan banjir, membabitkan bantuan kerajaan negeri yang dituduh 'lepas tangan.'

Bukan sahaja rakyat mahupun para petugas, kakitangan kerajaan negeri, sukarelawan, agensi penyelamat dan semua yang terlibat dalam operasi banjir merasa kecewa dengan tuduhan tidak berasas itu, tetapi turut menarik perhatian Tuanku Sultan Kedah yang turut berdukacita dengan perkhabaran itu.

Dalam titah ucapannya sewaktu merasmikan pembukaan sidang DUN Kedah, baginda melahirkan rasa dukacita dengan suara-suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan serta pengorbanan Kerajaan Negeri dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Rabu, November 24, 2010

Harga Sehelai Kemeja MB..!! RM19.00??


(Petikan Kisah MB Kedah bagi yang belum mengenalinya dengan lebih dekat..)

Oleh : AZAMIN AMIN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Perkarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA

Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.

Selasa, November 23, 2010

Takaful Untuk Bencana Alam

Gambaran dari pandangan atas,
keadaan banjir di Kedah


Perabot-perabot yang turut rosak
ditenggelami air banjir


Kereta-kereta yang tidak sempat diselamatkan
kelihatan tersadai dalam banjir yang melanda



Hakikat kehidupan seharian, kita tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada sebarang kemungkinan terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka.

Musibah boleh menimpa kita tanpa mengira darjat, pangkat, umur, bangsa dan warna kulit. Ia mendatangkan mudarat dan penderitaan kepada kita dan akhirnya kita akan menanggung pelbagai beban dan kesulitan.

Lebih malang, kaum keluarga kita sendiri seperti anak dan isteri kita akan turut menderita.

Seringkali bencana alam seperti banjir datang secara tiba-tiba, kita akan menjadi panik dan buntu memikirkan apa yang harus dilakukan seterusnya.

Apabila musibah sebegini melanda, kita tidak akan berfikir panjang, dengan segera kita menyelamatkan diri dan meninggalkan rumah dan harta benda yang lain ditenggelami air.

Selasa, November 16, 2010

Bajet 2011 Kedah Utamakan Kepentingan Rakyat


Bajet 2011 Kedah terus mengutamakan kepentingan rakyat apabila menggariskan empat matlamat besar iaitu merangsang pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat, meningkatkan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan dan memperkasakan tadbir urus pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membentang Bajet 2011 itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, petang semalam untuk kali ketiga sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri .


Persidangan bajet ini diadakan selepas negeri itu baru sahaja dilanda bencana banjir yang cukup luar biasa dan yang turut mengundang suara-suara sumbang pihak yang cuba menafikan usaha dan pengorbanan kerajaan negeri dalam menangani permasalahan itu.


Bajet tersebut juga memperuntukkan RM2.65 juta bagi membantu keluarga miskin tegar melalui beberapa program bantuan.


Kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek perumahan rakyat di atas tanah milik kerajaan negeri di Bandar Tunku Puteri, Batu 4 Tandop, Kampung Kilat, Kampung Berjaya, Kampung Telok Yan dan Kuala Ketil.

Selain itu projek perumahan untuk keluarga miskin di Yan melibatkan 100 unit rumah yang selesa di atas tanah milik kerajaan turut akan disiapkan.
Sejumlah RM6.5 juta juga diperuntukkan kepada projek-projek kecil di semua kawasan DUN bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Khamis, November 11, 2010

Pengikut Berprinsip, Pemimpin Berintegriti

sekumpulan itik pasti mengikut 'sang ketua' ke mana sahaja
arah tujuan itik yang berada di hadapan kumpulan mereka

setiap kita dilahirkan sebagai seorang pemimpin, sama
ada pemimpin diri sendiri, keluarga atau masyarakat


Oleh : Ghazali Mayudin*


Dalam sistem demokrasi, pemimpin organisasi dipilih ahli mengikut prosedur yang ditetapkan bertunjangkan prinsip kebebasan, iaitu sesiapa yang layak bebas untuk bertanding, bebas untuk berkempen dan ahli pula bebas memilih di kalangan calon yang bertanding untuk memimpin organisasi.

Menjadi tanggungjawab ahli yang sayangkan organisasi dan perjuangan untuk memilih pemimpin yang berkaliber dan amanah untuk menerajui organisasi. Tanggungjawab ahli parti politik lebih berat lagi kerana mereka secara tidak langsung memilih bakal pemimpin kerajaan.

Sekiranya bakal pemimpin parti politik, yang kemudiannya bakal memimpin kerajaan, telah melalui tapisan yang ketat dan berkesan di peringkat parti politik, maka kemungkinan besar pemimpin kerajaan adalah mereka yang berintegriti.

Isnin, November 01, 2010

Laporan Ketua Audit Negara 2009 : Pengurusan Kewangan Kedah Dipuji


Sekalung TAHNIAH saya ucapkan kepada pentadbiran Kerajaan Kedah yang dipimpin oleh Dato' Seri Azizan. Ada beberapa sebab untuk saya berkata demikian berdasarkan laporan yang saya baca dan amati sepintas lalu.


1. Mungkin inilah kali pertama Kerajaan Negeri menikmati hasil daripada anak syarikatnya yang mungkian berjumlah puluhan atau ratusan yang diwujudkan. Laporan menyebutkan peningkatan yang diperolehi daripada anak syarikat ini ialah 100 PERATUS. Paling menakjubkan ialah daripada KOSONG (0) menjadi 100 PERATUS. Apa maksudnya? Ia bermaksud kerajaan terdahulu tidak pernah menikmati hasil anak syarikat Kerajaan Negeri. Persoalannya apa tujuan kerajaan terdahulu mewujudkan syarikat-syarikat ini. Adakah untuk syok sendiri atau mewujudkan pendapatan kepada kroni? Kerajaan telah memperolehi RM15.17 juta berbanding KOSONG untuk tahun 2008.

Related Posts with Thumbnails