Pengkajian dalam ilmu morfologi ini dapat dilihat sekurang-kurangnya dalam tradisi barat yang disusuli kembali sejak zaman Franz Bopp, seorang tokoh berbangsa Jerman. Beliau telah menghasilkan penulisan berkenaan dengan jenis akhiran pertuturan beberapa bahasa serumpun, termasuklah bahasa Jermanik yang diterbitkan pada tahun 1816. Kajian dalam bidang ini telah dibayangi oleh pengkajian dalam bidang fonologi dan sintaksis pada abad ke-20. Untuk memudahkan kita menguasai bidang morfologi ini, beberapa konsep penting dalam bidang ini haruslah difahami terlebih dahulu.
2.0 KONSEP-KONSEP DALAM MORFOLOGI
2.1 Morf
2.1.1 Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya yang bertajuk
Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menyatakan setiap bentuk fonologi yang berlainan sebagai morf. Beliau memberikan contoh morfem {meN-} yang mempunyai enam morf. Setiap morf itu diwakili dengan satu lambang, iaitu meN-.
2.1.2 Jwuan Verhaan (2005) dalam bukunya,
Pengantar Linguistik menyatakan morf sebagai salah satu bentuk alomorfemis dari suatu morfem, tetapi bentuk yang hendak dipilih dianggap mewakili secara konkrit morfem yang bersangkutan.
2.1.3 G. David Morley (2000) dalam
Syntax In Functional Grammar pula menjelaskan morf sebagai “the unit of grammatical form which realizes a morpheme”.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa morf itu ialah unsur yang mewakili morfem yang bersangkutan dan mempunyai bentuk fonologi yang berlainan. Morf ini diberi satu lambang bagi mewakili morfem yang bersangkutan itu. Misalnya
meN- yang melambangkan
me-, men-, mem-, meng-, menge- dan
menye-.
2.2 Alomorf
2.2.1 Dalam buku
Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan, Nik Safiah Karim ada menyenaraikan enam alomorf bagi awalan peN-, iaitu pe-, pem-, pen-, peng-, penge- dan pel-. Menurut beliau, penyebaran alomorf-alomorf tersebut ditentukan oleh faktor fonologi, iaitu jenis huruf pertama yang bercantum dengan awalan tersebut serta faktor perkembangan dan perancangan bahasa.
2.2.2 Jos Daniel Parera (1994) dalam buku
Morfologi Bahasa Edisi Kedua pula menyatakan bahawa setiap perwakilan daripada sebuah morfem tertentu disebut alomorf. Beliau juga berpendapat bahawa alomorf ialah nama untuk bentuk-bentuk perwakilan daripada sebuah morfem berdasarkan linkungannya. Beliau ada memberikan contoh
me-…-kan, mem-…-kan dan
men-…-kan sebagai alomorf daripada morfem yang sama.
2.2.3 G. David Morley (2000) dalam Syntax In Functional Grammar turut menjelaskan alomorf itu sebagai “the variant possible morph of the one morpheme”.
Berdasarkan ketiga-tiga hujah tersebut, alomorf ialah bentuk yang berlainan daripada satu morfem yang sama akibat daripada pengaruh bunyi awal kata dasar yang menerima imbuhan awalan. Misalnya alomorf
penye- digunakan sebelum huruf
s pada awalan kata dasar seperti
semak menjadi
menyemak dan alomorf
pem- pula hadir pada kata dasar yang bermula dengan huruf
p, b, f dan
v.
2.3 Arkifonem
2.3.1 Dalam buku
Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Abdullah Hassan (2005) menyatakan arkifonem itu sebagai fonem yang melambangkan beberapa fonem seperti N dalam morfem {meN-}. N ini berubah menjadi m, n, ny, ng dan nge apabila morfem tersebut bercantum dengan kata dasar berdasarkan huruf pangkal pada kata dasar tersebut dan N mewakili fonem-fonem tersebut.
2.3.2 Menurut Anton M. Moeliano (1996) dalam bukunya
Bahasawan Cendekia: Seuntai Kata Untuk Anton M. Moeliana, arkifonem ialah unsur segmental dalam posisi lemah yang berbeza dan ciri pembedanya bersesuaian dengan pertalian daripada dua unsur.
2.3.3 P.H Matthew (1997) dalam
Oxford Concise Dictionary Of Linguistics menjelaskan arkifonem sebagai “phonological unit characterized by the distinctive features which are common two or more”.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa arkifonem ialah fonem yang ditandakan dengan huruf besar bagi mewakili unsur yang berubah-ubah dalam morfem yang sama akibat daripada pengaruh huruf pangkal pada kata dasar berdasarkan lingkungannya. Huruf besar digunakan bagi mewakili arkifonem. Misalnya
kata jual dan
baca yang menerima morfem {meN-} menjadi
menjual dan
membaca. N ini ialah arkifonem yang mewakili fonem-fonem tersebut.
2.4 Morfofonem
2.4.1 Pitsamai Intrachat (1987: 29) menjelaskan fonem-fonem yang berlainan yang diubah daripada arkifonem disebut morfofonem kerana fonem-fonem itu adalah fonem-fonem ubahan daripada arkifonem dalam satu morfem. Beliau memberikan contoh arkifonem N dalam morfem {meN-} boleh diubah menjadi /φ/, /n/, /m/, /ɲ/ dan /ŋ/ bergantung pada lingkungannya.
2.4.2 Jos Daniel Parera (1994) dalam
Morfologi Bahasa Edisi Kedua pula berpendapat morfofonem ialah fonem-fonem yang berlainan yang diubah daripada arkifonem.
2.4.3 Pendapat ketiga pula diutarakan oleh P.H Matthew (1997) dalam
Oxford Concise Dictionary Of Linguistics. Beliau menyatakan yang morfofonem ialah “…the basic unit recognized in a morphophonemic level of analysis. It is usually symbolized by the use of a capital letter within brace brackets”. Perkara utama yang dinyatakan oleh beliau ialah morfofonem itu sebagai unit asas dalam peringkat analisis morfofonemik.
Berdasarkan ketiga-tiga pendapat tersebut, morfofonem ini terjadi apabila morfem mengalami perubahan morfofonemik akibat daripada pengaruh huruf awal pada kata dasar yang menerima morfem terikat berbentuk imbuhan berdasarkan lingkungannya. Perubahan morfofonemik ini berlaku dengan mengubah arkifonem dalam morfem dan arkifonem ini adalah ciri morfofonem.
2.5 Morfem Bebas
2.5.1 Abdullah Hassan (2005: 120) dalam bukunya,
Linguistik Am Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menjelaskan morfem bebas secara ringkas sebagai morfem yang boleh wujud bersendirian. Beliau ada memberikan contoh perkataan
peluh yang boleh hadir secara bersendirian sebagai sebuah kata.
2.5.2 Jwuan Verhaan (2005) dalam buku
Pengantar Linguistik pula menegaskan morfem bebas dapat berdiri sendiri, iaitu boleh terdapat sebagai satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia,
kata cinta, makan dan
satu adalah morfem bebas.
2.5.3 Mark S. Letourneau (2001) dalam buku
English Grammar mentakrifkan morfem bebas yang disebut “free morphemes” dalam bahasa Inggeris sebagai “…morphemes that can occur by themselves in a phrase or sentence”. Beliau memberi contoh perkataan “write” yang boleh berdiri sendiri dalam rangkai kata atau ayat.
Secara ringkasnya, tidak terdapat perbezaan yang ketara tentang morfem bebas berdasarkan pendapat yang diutarakan oleh mereka yang berlainan negara ini. Dapat dirumuskan di sini bahawa morfem bebas ialah morfem yang boleh berdiri sendiri dan difahami maksudnya tanpa kehadiran morfem lain. Misalnya perkataan
murid, jual dan
baik yang dapat berdiri sendiri dan difahami maknanya tanpa perlu menerima morfem lain untuk membolehkannya berfungsi sebagai kata.
2.6 Morfem Terikat
2.6.1 Abdullah Hassan (2005: 120) menegaskan morfem terikat mesti digunakan bersama sekurang-kurangnya satu morfem lain. Beliau memberikan contoh kata
berpeluh daripada cantuman
ber- dan
peluh. Imbuhan awalan
ber- ialah morfem terikat kerana
ber- tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan suatu bentuk lain dalam penggunannya. Menurut Abdullah Hassan (2005) lagi, kata akar seperti kata
anai juga merupakan morfem terikat. Kata
anai ini tidak boleh wujud bersendirian jika tidak digandakan menjadi
anai-anai.
2.6.2 Jwuan Verhaan (1995) turut menghuraikan morfem terikat sebagai morfem yang tidak terdapat sebagai kata tetapi selalu dirangkaikan dengan satu atau lebih morfem yang lain menjadi satu kata. Misalnya dalam bahasa Indonesia,
ber- dalam
bersatu dan
memper- dalam
mempersatu hanya merupakan bahagian kata dan morfem-morfem itu ialah morfem terikat.
2.6.3 Dalam bahasa Inggeris pula, morfem terikat yang dikenali sebagai “bound morphemes” dijelaskan oleh Mark S. Letourneau (2001) sebagai “…morphemes that cannot occur by themselves”. Beliau ada memberi contoh morfem terikat
-s, -er dan
-ing yang perlu hadir bersama dengan morfem lain bagi membolehkan morfem jenis ini membentuk kata seperti dalam kata “
writes”, “
writer” dan “
writing”.
Secara ringkasnya, morfem terikat ialah morfem yang tidak boleh wujud bersendirian tanpa kehadiran morfem lain. Morfem terikat ini terdiri daripada imbuhan dan kata akar. Kata akar seperti
tapa, tari dan
rama memerlukan unsur dan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar
tapa perlu menerima imbuhan seperti
ber- menjadi
bertapa bagi menunjukkan perbuatan.
2.7 Kata Akar
2.7.1 Berdasarkan pendapat Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata akar ialah bentuk morfem terikat yang bukan imbuhan. Mereka turut menggolongkan kata akar ini sebagai segelintir daripada kata dasar seperti kata akar
tapa yang menjadi dasar bagi perkataan
pertapaan dan
nyala dalam perkataan
nyalaan.
2.7.2 Pendapat kedua pula dikemukakan oleh Pitsamai Intrachat (1987) dalam bukunya,
Sintaksis Predikat Dalam Bahasa Malaysia. Beliau menyatakan kata akar ialah morfem terikat yang tidak boleh berdiri sendiri, misalnya
tari yang perlu digabungkan dengan morfem lain seperti
pe- menjadi
penari.2.7.3 Menurut teori Ferdinand De Saussure (1991: 24) dalam buku
Linguistic Theory The Discourse Of Fundamental Works, kata akar disebut sebagai “the root (racine) is the irreducible element common to all words of same family – the element in which the meaning common to all related words reaches the highest degree of abstraction and generality”. Perkara utama yang disentuh di sini ialah kata akar tidak boleh dikurangkan atau dipisahkan lagi kepada bentuk yang lebih kecil.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata akar ialah morfem terikat yang bukan daripada bentuk imbuhan. Kata akar tidak boleh berdiri sendiri kerana memerlukan morfem lain bagi melengkapkan maknanya, contohnya kata akar
rama dan
juang. Kata akar
rama perlu digandakan menjadi
rama-rama dan
juang ditambah dengan perkataan
semangat juang bagi melengkapkan maknanya.
2.8 Kata Dasar
2.8.1 Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997: 69) dalam
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Mereka menyatakan kata dasar ini turut terdiri daripada morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Contohnya perkataan
bernyala dan
pekebun. Kata dasar bagi
bernyala ialah
nyala yang merupakan kata akar, manakala kata dasar bagi
pekebun ialah
kebun yang merupakan morfem bebas.
2.8.3 Ch. A. Van Ophuijsen (1983) dala
m buku
Tatabahasa Melayu yang diterjemah oleh T.W Kamil daripada buku yang berjudul
Maleiche Spraakkunst juga mentakrifkan kata dasar sebagai kata yang menurut peraturan bahasa yang berlaku sekarang, tidak dapat dipulangkan kepada bentuk yang lebih sederhana. Beliau menambah lagi kata dasar Melayu yang bersuku kata tunggal terdapat sedikit sahaja seperti
kata mas, wang, moe dan
koe.
2.8.4 Konsep kata dasar ini turut dijelaskan oleh Ferdinand De Saussure (1991: 24) dalam
Linguistic Theory The Discourse Of Fundamental Works. Beliau menyatakan “The radical is generally the common element in a series of related words and conveys the idea common to every word”. Daripada pendapat beliau ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa kata dasar merupakan bentuk atau unsur utama yang menjadi dasar dalam kata dan membawa idea untuk setiap kata.
Secara ringkasnya, kata dasar ialah kata yang terdiri daripada morfem bebas dan morfem terikat yang bukan imbuhan, iaitu kata akar. Kata dasar ini merupakan kata yang menjadi idea utama dalam setiap kata dan tidak boleh dipulangkan dalam bentuk yang lebih kecil lagi. Misalnya kata
jalan ialah kata dasar bagi
berjalan yang merupakan idea utama dalam kata tersebut dan tidak boleh dipisahkan menjadi
ja dan
lan kerana tidak lagi berfungsi sebagai kata.
2.9 Kata Tunggal
2.9.1 Konsep kata tunggal ada dijelaskan oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1997) dalam
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Mereka mentakrifkan kata tunggal sebagai bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk dasar, yakni yang tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata tunggal ini terbahagi kepada dua jenis. Pertama, kata tunggal yang merupakan unit bebas dan boleh berdiri sendiri sebagai satu ayat seperti kata
itu, pergi dan
saya. Kedua, kata tunggal yang merupakan jenis kata tugas seperti
di, untuk dan
yang.
2.9.2 Menurut Drs. Zainuddin (1992) dalam buku
Materi Pokok Bahasa dan Sastra Indonesia pula, kata tunggal ialah bentuk kata yang belum mendapatkan tambahan, belum diberi imbuhan atau belum mengalami perubahan bentuk. Beliau memberi contoh perkataan
mandi, pergi, tulis dan
baca yang tidak menerima sebarang perubahan atau tambahan unsur-unsur lain.
2.9.3 R.L Trask menyebut kata tunggal sebagai “singular word”, iaitu “In a language with the grammatical category of number, that form of a word (most often a noun) which is tipically used to talk about a single object such as dog, tree and idea”.
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa kata tunggal ialah kata yang tidak menerima sebarang bentuk imbuhan dan perubahan bentuk. Kata tunggal ini berpotensi mengalami perubahan bentuk melalui proses pengimbuhan (
pelajar dan
makanan), penggandaan (
baik-baik dan
gunung-ganang) dan pemajmukan (
warganegara dan
atur cara). Kata tunggal boleh dibahagikan kepada empat golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata seperti
tin, sen serta
lap dan dua suku kata atau lebih seperti
doa, suara serta
masyarakat.