kata-kata hikmah..

Pesan Luqman Hakim pada anaknya, Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun, biarkanlah dia yang mengharap sesuatu darimu

Khamis, 29 Oktober 2009

rasa bersalah..


baru-baru ini, saya memandu ke tempat kerja. Tak perlu tergesa-gesa kerana dah sangat hampir dan masih belum masuk waktu kerja.. Saya bersabar mengekor sebuah motor yang terhenggut-henggut nak masuk ke simpang jalan. Tapi, entah kenapa sewaktu hampir dengan simpang di selekoh, hati sangat geram tengok seorang apek yang menaiki motor yang saya ekori sejak tadi masih lagi terhegeh-hegeh di depan saya. Oleh kerana sangat panas hati dan geram, saya terus memotong apek itu di simpang jalan menyebabkan si apek sangat marah dan memaki hamun saya. Saya memberhentikan kereta dan meminta maaf darinya.

Natijah dari hal ini menyebabkan saya sangat susah hati kerana bersikap biadab. Seharian saya sakit kepala kerana rasa menyesal dan bersalah. [Padanlah muka...!]

Saya berharap Allah Azzawajalla akan berikan kebaikan padanya.

berbalik kepada rasa bersalah, hakikatnya rasa bersalah merupakan satu peringatan sebagai nikmat yang luar biasa agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati dalam setiap langkah yang akan diambil. Selagi rasa bersalah dapat bersarang dalam jiwa kita setiap kali kita melakukan kesalahan atau kesilapan, selagi itulah kita sentiasa diberikan ruang untuk memperbaiki diri dan kembali kepada Allah.

Atas rasa bersalah atau sesal akan disusuli dengan bertaubat sesuai dengan disebutkan di dalam mukjizat Rasulullah SAW yang ditinggalkan kepada kita sebagai berikut:-

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
"Atau berkata: ` Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! [Az Zumar: Ayat 53-57]

Apakah yang menyebabkan rasa bersalah dapat bersarang di hati kita sebaik kita melakukan kesalahan??!
pastinya dari detik hati, kebenaran akan kesalahan yang dilakukan, teguran daripada orang yang perihatin, amarah dari pihak yang teraniaya dan banyak lagi. Ini semuanya merupakan taufik dari Allah SWT sebagai kasihnya Tuhan yang sentiasa memerhati dan sentiasa menyayangi kita.
Tidakkah kita patut berasa malu?!

Rasa bersalah membuktikan kita mempunyai rasa takut akan diazab Allah atas kesalahan atau kesilapan yang dilakukan. Bahkan, kebanyakan azab yang diturunkan Allah pada waktu akhir zaman ini tidak menunggu selepas roh dicabut atau di akhirat. Kerana itu, banyak kesukaran, bala, bencana, nasib malang seperti disaman, kemalangan, kecurian, disamun dan sebagainya datang namun ramai antara kita tidak menyedari ia berlaku berakibat dari kesalahan yang kita lakukan dan masih ingin menyalahkan takdir dan pihak ketiga atau sesiapa atau apa saja yang boleh dijadikan alasan sebagai faktor penyebab ditimpa nasib yang tidak baik.

Anas bin Malik RA berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahwa Allah SWTberfirman:-
Wahai Anak Adam!
Selagi engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.
[Hadis Imam al-Tirmizi]

Oleh itu, usahlah berputus asa dan membiarkan rasa bersalah yang menimpa sehingga menghina diri sendiri atau sehingga tiada daya untuk meneruskan tanggungjawab yang perlu dibereskan semata-mata kerana bersedih dan berdukacita atas perkara yang telah kita lakukan. Jadikan ia sebagai kekuatan dan peringatan yang kekal di minda untuk tidak mengulanginya di masa hadapan.

wallahualam...
untuk renungan: bagaimana dengan orang yang tak dapat merasa bersalah meski jauh di sudut hati tau perkara yang diucap atau diperlakukan adalah bersalahan?!

Tiada ulasan: