Mungkin anda pelik mendengar perkataan Pesisir Luar Pantai bukan? Itu bukan lah sesuatu yang pelik kerana ketika pertama kali saya mendengar perkataan itu, tanpa ragu-ragu saya terus membuat muka seperti memakan makanan yang masam. Anda dapat bayangkan? Ya seperti itu.
Sekarang saya berada di pesisir luar pantai Thailand. Mungkin anda pelik bagaimana di tengah lautan ada sambungan internet. Pelik tetapi benar dan inilah buktinya. Semasa saya bekerja di pelantar pesisir luar pantai di Malaysia, rata-rata semua tidak menyediakan kemudahan internet untuk semua orang. Kemudahan internet ada tetapi hanya untuk membuat kerja dan dikhaskan hanya untuk orang-orang tertentu di atas pelantar. Tetapi tidak di Thailand. Kemudahan internet disediakan untuk semua orang. Maka semua orang tanpa segan silu boleh menggunakan kemudahan internet selama mungkin. Seperti saya ini. Setiap masa memeriksa emel untuk membuat kerja dan membuat rujukan bersama orang-orang di ofis saya. Terasa seperti berada di darat.
Berada di Thailand mungkin suatu perkara yang susah untuk semua orang kerana kita perlu mengadaptasi gaya kehidupan dengan pekerja-pekerja warganegara Thailand di atas pelantar ini. Tetapi bagi yang sudah biasa, bekerja di sini bukanlah satu masalah yang besar. Ternyata rakyat Thailand memahami kehendak orang-orang Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Mengapa? Setiap kali saya hendak makan, mereka sentiasa akan menunjukkan makanan mana yang dimasak menggunakan daging khinzir. Tetapi alhamdulillah setiap hari mesti ada makanan laut. Mungkin ada sedikit keraguan tentang periuk yang sama digunakan untuk memasak tetapi apakan daya, darurat sudah keadaan di sini.
Tetapi berada di Thailand adalah lebih baik daripada berada di negara China. Sekurang-kurangnya masih ramai lagi rakyat Thailand terutamanya di selatan Thailand yang beragama Islam. Ok saya sudah mengarut tak tentu pasal. Kegirangan kerana esok saya sudah boleh balik ke darat.
P/S : entri penuh bahasa melayu kerana terlalu banyak berbahasa Inggeris di atas pelantar.