Suasana beraya di malaysia 2009

Alhamdulillah pada tahun ini saya dapat bersama keluarga tercinta berpuasa ramadhan bersama-sama. Menyambut hari raya pada tahun ini amat berbeza dan bermakna buat saya. Setelah 2 tahun saya tidak beraya bersama-sama keluarga. Akhirnya saya dapat jua menyambut berhari raya bersama-sama..Sekian sahaja..


Malam Lailatulqadar


Firman Allah s.w.t : " Sesungguhnya kami telah menurunkanya ( Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhanya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar." (Surah Al-Qadr : 1-5)
Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr kerana keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampuni dosanya yang telah lalu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, mari sama-sama kita merebut peluang, perbanyakkan amal ibadah, supaya ramadhan pada kali ini lebih baik dari ramadhan tahun lepas..insyaallah..wallahua'lam.

Malam Lailatulqadar

Orang Munafik menurut Al-quran dan Sunnah

UMAT islam sejak dari zaman Rasulullah S.A.W sampai ke hari ini tidak terlepas dari angkara dakyah dan propaganda orang-orang munafik yang amat busuk hati mereka terhadap kebenaran dan kejayaan islam. Orang munafik sentiasa memusuhi Allah dan Rasulnya serta umat islam di mana-mana sahaja sepanjang masa. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan, meragukan, dan menghancurkan umat islam dengan berbagai cara supaya sikap, pemikiran dan ideologi mereka agar dapat dijiwai dan diamalkan oleh umat islam secara total, sehingga menyalahi segala aspek ajaran dan hukum Allah.

Secara umumnya perkataan munafik dalam istilah agama ialah seseorang yang memperlihatkan keimanan pada zahirnya, tetapi menyembunyikan kekafiran pada zahirnya. Menurut Imam Nawawi, apabila orang beriman mempunyai atau menyerupai sifat-sifat munafik, maka ia disebut nifak iaitu melahirkan sesuatu yang menyalahi keadaan hatinya. Justeru itu jika sesorang muslim yang mempunyai sifat nifak sedangkan ia tidak menyedarinya, maka kemungkinan berlakulah percampuran antara kekafiran dan keimanan di dalam hati dan jiwanya jika tidak diiringi dengan penyesalan dan memohon keampunan Allah.

Firman Allah bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, takutilah kepada Allah dan katakanlah perkataan betul, nescaya diperbaikinya (diterimanya) amalan kamu dan diampuninya dosamu. Barangsiapa yang mengikuti Allah dan Rasulnya, maka sesungguhnya ia telah menang dengan kemenangan yang besar.” ( Al-Ahzab:70-71)

Landasan hidup orang munafik adalah kekafiran, rasa pengecut dengan menyembunyikan kekafirannya. Apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman mereka berpura-pura beriman, tetapi ternyata dalam hati dan jiwa mereka penuh dusta dan palsu semata-mata.

Pada hakikatnya orang-orang munafik lebih merosak dan lebih jahat daripada kafir walaupun mereka sama-sama hidup dalam kekafiran. Orang munafik amat licik dan dapat menipu dan menyesatkan orang-orang beriman. Mereka mempunyai ideologi dan matlamat yang tersendiri untuk memperdayakan umat islam agar menyimpang dari segala kebenaran.

Ulama ahli sunnah waljamaah telah membahagikan tanda-tanda munafik atau nifak kepada dua macam iaitu:

Pertama: (Nifak I’tiqadi) iaitu dalam bentuk keimanan. Nifak jenis ini menyebabkan mereka terkeluar dari agama kerana dalam hatinya mendustakan Allah, Rasul, Kitab, dan sebagainya. Meskipun pada zahirnya ia tampak mengakui kebenarannya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan firman Allah yang bermaksud:

“Di antara manusia ada yang berkata: kami telah beriman kepada Allah dan hari kemudiannya, padahal mereka itu bukan orang-orang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka tiada menipu (orang lain) hanya diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit (syak wasangka), lalu ditambah Allah penyakit itu dan untuk mereka seksa yang pedih kerana mereka berdusta." (Al-Baqarah 8-9)

Kedua: Nifak Amali. Iaitu dalam perbuatan yang menyalahi ajaran Al-quran dan sunnah serta ijmak ulama.

Rasulullah SAW bersabda:

اية المنافق ثلاث: اذا حدث كذب, واذا وعد اخلق و اذا ؤتمن خان. رواه مسلم

Er tinya:
“Ada tiga tanda orang munafik, jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan jika dipercayai ia khianat.” (HR: Muslim).

Perbuatan ini telah bertakhta dalam jiwa masyarakat islam tanpa disedari. Dengan demikian setiap individu muslim wajib mengekang diri agar selamat dari bahang nifak. Umar Al Khattab r.a. pernah berwasiat kepada umat islam dengan berkata:

“ Perhitungkan dirimu sebelum kamu diperhitungkan dan timbangkanlah dirimu sebelum kamu ditimbangkan serta bersiap-siaplah untuk hari pembalasan yang besar (hari kiamat).”

Sekian. Wallahua’lam.

Pergi Tak Kembali




Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


sekadar gambar hiasan
Setiap manusia yang hidup pasti melalui kematian. Kematian pasti menjemput kita samada dalam keadaan sihat walafiat, kaya raya, tua, muda, miskin, dan lain-lain. Sesungguhnya malaikat izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita tidak akan pilih kasih atau menangguh-nangguhkan tugasnya.

Firman Allah s.w.t bermaksud :
“ Di mana sahaja kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas menara-menara yang kukuh.”
(Surah An Nisa’ ayat 78)

Kehidupan kita di atas muka bumi hanyalah pinjaman sementara sahaja. Kita tidak akan kekal melainkan Allah s.w.t. Apabila kita menyedari bahawa kematian merupakan suatu yang hakikat yang pasti berlaku, maka menjadi suatu kewajipan ke atas umat islam untuk menguruskan jenazah sabagai satu penghormatan terakhir daripada orang-orang yang masih hidup terhadap si mati. Kaitan daripada itu, menjadi kewajipan jugalah mempelajari cara-cara menguruskan jenazah.

Semalam, ahad pada tarikh 15 ramadhan 1430 H bersamaan 5 september 2009 telah kembali seorang insan ke rahmatullah. Arwah bernama haji syamsul azmal bin jamaluddin, 38. Arwah merupakan sepupu kepada saya. Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. Arwah menghidap sakit hati, jangkitan kuman seluruh tubuh serta sistem pendarahan yang tidak berfungsi lagi dan telah menghembuskan nafas terakhir di hospital selayang. Semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman kepada Allah dan dimasukkan ke dalam syurganya..amin ya rab..

Ingin berkongsi sedikit pengalaman, buat pertama kali semalam saya sempat menimba sedikit sebanyak pengalaman di dalam pengurusan jenazah. Setibanya jenazah di rumah arwah, jenazah di bawa masuk sekitar jam 1:30 petang. Pada jam 3 petang bermulalah proses mandian jenazah. Saya sempat bersama-sama ahli keluarga arwah memandikan jenazah sehingga selesai. Setelah selesai jenazah dikafankan. Sebelum menutupi wajah arwah buat kali terakhir, ahli keluarga arwah diizinkan untuk melihat dan menkucupi wajah arwah buat kali terakhir. Masa itu semua menjadi sedih dan suasana menjadi sepi dan sayu. Setelah selesai jenazah dikafankan sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam keranda.

Kira-kira jam 5 petang, jenazah dibawa ke masjid sri makmur yang berdekatan dekat rumah arwah. Tepat jam 5:30 petang solat jenazah dilakukan. Setelah selesai jenazah dibawa ke tanah perkuburan islam yang terletak di belakang masjid sahaja. Kemudian jenazah di masukkan ke dalam kubur dan dikebumikan seterusnya dibacakan bacaan talqin dan doa.

Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsi bersama. Akhirnya, marilah kita mengambil kesempatan daripada kehidupan, kesihatan, kelapangan, usia muda, dan kesenangan yang dianugerahkan ini untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan kebaikan dan kebajikan untuk menuju ke alam baqa’ iaitu hari yang tidak ada manfaat lagi harta mahupun anak pinak. Hanya nilai ibadah dan amal soleh sahaja yang akan mendapat perhitungan Allah s.w.t di akhirat kelak.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
“ Apabila matinya anak adam akan terputus segala amalannya melaikan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.” (Hadith riwayat muslim)

Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
“ Daripada Amru bin Maimun Al Audiy RA katanya: “Rasulullah s.a.w ada bersabda kepada seorang lelaki dan menasihatinya: “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa senangmu sebelum datang masa susahmu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu.” (Hadith Riwayat Tirmizi)

Sekian sahaja Al-fatihah buat arwah, wallahua’lam.