Sabtu, 17 Oktober 2009

Perkara Dilarang Ketika Solat

 Menempelkan satu kaki dengan yang lain ketika berdiri.

 Berdiri di atas satu kaki

 Duduk di antara dua sujud dengan kedua-dua lutut terangkat ke atas dan telapak tangan di lantai atau duduk di atas lutut dan jari kaki tegak berdiri tanpa kaki menyentuh lantai.


 Memasukkan kedua-dua tangan ke baju ketika berdiri, rukuk dan sujud. Keadaan itu menyerupai orang Yahudi dalam solat mereka.

 Menangkat pakaian (sarung dan celana) ketika sujud sama ada dari arah depan atau belakang. Hal yang sama bagi lelaki menyelak rambut ketika solat. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Aku diperintahkan bersujud di atas tujuh anggota tubuh dan tidak menyingkap pakaian atau rambut".

 Bercekak pinggang atau menjauhkan kedua-dua pangkal lengan dari dada.

 Menyambung antara bacaan al-Fatihah dan takbiratul ihram serta antara rukuk dan bacaan surah. Hal ini tidak disukai jika seseorang itu menjadi imam. Sepatutnya, ia berdiam diri sebelum membaca al-Fatihah dan rukuk.Makmum pula hendaklah tidak menyambung takbiratul ihramnya sendiri dengan takbiratul ihram imam serta ucapan salamnya dengan salam imam.Ia perlu berdiam diri sejenak sebelum takbiraul ihram mengikut imam dan sebelum mengucapkan salam selepas salam imam.Bagi imam dan makmum, jangan sesekali menyambung ucapan salam pertama dengan yang kedua dan memisahkan kedua-duanya dengan diam sejenak.

 Solat dalam keadaan mahu membuang air kecil atau besar kerana ia boleh mengganggu khusyuk dalam solat.

 Jangan bersolat ketika perut dalam keadaan sangat lapar apatah lagi ketika itu makanan disediakan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya "Apabila diserukan solat Isya sedang makan malam siap, dahulukan makan sebelum mengerjakan solat Isya kecuali apabila waktu solat tinggal sedikit atau hatinya mantap, tidak terpengaruh."

 Beberapa ulama salaf berkata: Empat perkara tidak patut dilakukan dalam solat iaitu berpaling, mengusap muka, mempermainkan batu kerikil (di tempat solat) dan solat di tempat lalu lintas.

 Beberapa larangan solat yang lain ialah menyilangkan jari kedua-dua tangan, mempermainkan sendi jari tangan atau kaki sehingga mengeluarkan bunyi, menutup wajah dengan kain dan memasukkan kedua-dua tangan di antara kedua-dua paha ketika rukuk.

Isnin, 28 September 2009

Kesalahan Tatabahasa Yang Sering Dilakukan Oleh Pelajar Semasa Menulis Karangan

Kesalahan tatabahasa sering dilakukan oleh murid. Jumlah kesalahan tatabahasa yang banyak menunjukkan anda tidak mahir menulis karangan. Kesalahan ini akan menjejaskan markah anda. Oleh itu, jangan memandang enteng terhadap kesalahan-kesalahan berikut:-
Kesalahan serius yang kerap dilakukan murid semasa menulis karangan adalah seperti berikut :

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana :Namun, Tetapi, Malah, ManakalaSepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)…..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)

2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)

3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.

4. Memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.

5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……

6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…

7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.

8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…

9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.

10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)

11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…

12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.

13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).

14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……

15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.

16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.

17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya … Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…

18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…

19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).

20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.

21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.

Jumaat, 11 September 2009

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.

1.) PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

2.) PENYERAPAN
Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan lain-lain.


3.) PENGAYAAN
Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.


4.) PEMULIHAN
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.


5.) PENILAIAN
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.

Selasa, 25 Ogos 2009

Bunga yang Indah

Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:

"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl:53.....

RENUNGILAH IA BUAT MU MUSLIMAH....

Ahad, 23 Ogos 2009

Kuasa Seorang Perempuan

KUASA LAYANAN PEREMPUAN
Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.

KUASA DOA PEREMPUAN
Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

KUASA TAQWA PEREMPUAN
Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.
Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.
Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.
Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw: "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Ulangtahunku ke-22


Genap sudah umurku 22 tahun. Seperti tidak percaya, tetapi itulah hakikat sebuah kehidupan. Pelbagai dugaan dan cabaran hidup yang telah dilalui. Semua itu mengajarku erti dewasa dan tabah menghadapi kehidupan ini. Walau apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan. Sebagai khalifah di bumi Allah S.W.T ini kita layak diuji dengan selayak-layak ujian. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kepada kawan-kawan, ku ucapkan ribuan terima kasih kerana hadir dalam hidup ini. Sayang kamu semua....untuk mak dan abah, terima kasih kerana berjaya mendidik along hingga ke tahap ini. Kasih sayang mak dan abah tiada penggantinya.