Curahan perasaan hati seorang wanita Melayu Islam, sebagai panduan dan ingatan buat diri sendiri yang masih terlalu kerdil dan hina di sisi Tuhan Yang Maha Esa Maha Mulia.
Tuesday, December 28, 2010
RINDU
Wednesday, October 27, 2010
Kembara Rohani 2

Friday, October 15, 2010
Kembara Rohani
Wednesday, September 29, 2010
Kena tulis sesuatu
Saya sekarang sedang menekuni beberapa buah buku untuk persiapan rohani dan jasmani. Juga sedang agak sibuk bermarhaban rumah ke rumah. Ohhh Segamat kaya marhaban. Juga sedang agak sibuk menguruskan itu ini.
Kesibukan itu ini bukanlah punca utama untuk kurang menulis namun semangat saya sekarang tertumpah kepada perkara lain. Menulis perlu ada semangat.
Akan menulis lagi bila ada semangat di Segamat.
Wednesday, September 22, 2010
Ramadan ke 26, 27, 28, 29, 30
Sudah tiga minggu tidak meninggalkan catatan di sini, rasanya saya sudah lupa apa yang perlu dinukilkan di diari maya ini.
Yang pasti, Ramadan ke 26, 27, 28, 29 dan 30 sememangnya istimewa kerana berada dalam lingkungan ahli keluarga tercinta. Dalam sibuk tidak berapa sibuk bersedia untuk sambutan Syawal dan terharu dengan keberangkatan pergi Ramadan yang mulia, kami agak sedih dengan keputusan ujian darah bayi Ina, adik saya. Bacaan 'kuning'nya melebihi had biasa. Doktor Klinik Kesihatan Serendah beri Ina 3 pilihan: Hospital Sg Buloh, Selayang atau Kuala Kubu Baru. Tentu sahaja kami pilih KKB kerana untuk ke sana tidak perlu melalui trafik yang keterlaluan sibuknya. Maka Rabu malam Khamis, Ina dan bayinya, Asyraaf dihantar Firdaus dan emak ke KKB. Itu ialah malam terakhir solat sunat Tarawikh. Suami pula balik ke Sg Sumun sebentar. Saya tidak dapat mengerjakan solat tersebut di surau secara berjemaah. Sedih.
Namun, selepas Firdaus dan emak kembali dari Hospital, peluang solat berjemaah datang bergolek.
"Kak Ngah nak jemaah Tarawikh dengan adik ke?" tanya Daus. Alhamdulillah, Tarawikh terakhir dapat disempurnakan secara berjemaah dengan adik lelaki sendiri.
Khamis Ramadan ke 30, kami berbuka dengan lauk pauk Syawal. Ketupat daun palas belum dikukus dan takbir Syawal pun bergemaaaa
Sunday, September 5, 2010
Ramadan keduapuluhlima
Alhamdulillah, hari yang ceria, hari yang bahagia bersama ahli keluarga tercinta. Pukul 4pm mendapat satu lagi khabar gembira, Ina selamat melahirkan seorang lagi cucu lelaki buat emak di Serendah menjadikan bayi itu cucu lelaki emak ke9. Fatihah masih mempertahankan kedudukan sebagai satu-satunya cucu perempuan...Tahniah!
Saturday, September 4, 2010
Ramadan keduapuluhempat
Jumaat ini ialah persekolahan terakhir anak-anak sebelum Syawal. Semuanya telah teruja untuk pulang beraya di Serendah. Mereka asyik mengira berapa hari lagi mereka wajib berpuasa. Kita pula mengira berapa hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita yang masih berusaha mencari yang terbaik...
Ustaz Omar bercerita tentang banyak perkara di Tazkirah Jumaat pagi tadi. Bagi saya, bagilah Ustaz ini 5,6 jam pun, kita tidak akan bosan mendengar tazkirahnya. Beliau banyak pengalaman. Beliau bersuara lembut. Beruntunglah bagi sesiapa yang sentiasa merapatkan diri dengan mereka yang berilmu. Ustaz bercerita tentang amalan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat. Surah ini panjang dan penuh dengan kisah menarik. Saya teringat kepada ayah seorang sahabat yang akan sampai awal ke masjid sebelum solat Jumaat semata-mata kerana ingin membaca surah Al Kahfi sehingga selesai. Setiap surah dalam Al Quran ada kelebihan tersendiri.
UiTMJ kelihatan sunyi. Pelajar telah mula meninggalkan bumi Segamat. Begitu juga dengan Ramadan...
Friday, September 3, 2010
Ramadan keduapuluhtiga
Kelas petang itu kelas terakhir pelajar pengangkutan. Kami sudah selesai menggantikan kelas untuk minggu hadapan. Ada dua lagi kumpulan yang akan membentangkan tugasan mereka. Kedua-duanya kumpulan pelajar lelaki. Slides mereka kosong, hambar, tiada bunga, tiada kupu-kupu yang terbang, tiada apa-apa. Kosong. Namun, mereka dapat bentang dengan baik sekali. Mereka menjiwai topik. Lancar. Saya menghargai pelajar perempuan yang cukup kreatif bermain dengan slides mereka. Terkadang saya leka memerhati kupu-kupu perbagai warna di layar putih. Namun, mereka kurang menjiwai topik. Tetapi mereka hanya berusia 19 tahun, masih terlalu muda belia. Masih banyak masa untuk memperbaiki kelemahan pembentangan. Atau mereka malu barangkali kerana banyak pasang mata akan memerhati mereka semasa pembentangan.
6pm, saya terus memandu pulang ke rumah. Misi memasak kueh tiow goreng mesti dilaksanakan. Itu permintaan Fadhli. Jika tidak, pasti si sihat itu akan merajuk dengan mata berair...
Thursday, September 2, 2010
Ramadan keduapuluhdua
Banyak peristiwa berlaku kebelakangan ini. Saya yakin peristiwa-peristiwa itu terjadi kerana rupa, rasa dan roh unik Malaysia. Kerana faktor-faktor rupa, rasa dan roh tersebut, Malaysia melahirkan gempa bumi yang tersendiri. Tidak mengorbankan nyawa, tetapi mengecewakan Ustaz Hasrizal dan saya, antaranya...
Ya Allah, ini doa khususku di 22 Ramadan, semoga Islam terus mekar di bumi Malaysia, semoga Melayu Islam kembali kepada roh Islam, semoga roh Islam meresapi kehidupan kami Ya Allah, semoga Islam kembali dihormati, semoga Islamnya Melayu bukannya layu di tasik madu yang menghanyutkan kami jauh dari agamamu....
Wednesday, September 1, 2010
Ramadan keduapuluhsatu
Hanya tinggal 9 hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita. Perlu lebih tekun beramal ibadat. Buat wanita yang tidak dapat berpuasa penuh, kita ganti dengan membaca tafsir Quran dan buku-buku agama yang lain. Moga dapat menggantikan solat wajib dan solat sunat yang lain. Namun tetap tidak sama kan?
Buat yang masih belum beraya, teruskan pemburuan Lailatul Qadar. Hanya keampunan dan kerahmatan Allah yang kita harapkan...
Tuesday, August 31, 2010
SALAM KEMERDEKAAN KE53


Ramai yang telah melupakan semangat Rukun Negara.
Kepercayaan kepada Tuhan. Rakyat yang beragama dan mengamalkan agamanya adalah rakyat yang berkeperibadian tinggi.
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri.
Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang yang paling utama. Ia perlu diterima sepenuhnya dan dihormati.
Kedaulatan Undang-Undang. Patuhilah semua undang-undang yang tiada buruknya jika dipatuhi.
Kesopanan Dan Kesusilaan. Rukun ini andai diamalkan akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati agama yang dianuti.
Ayuh, rakyat Malaysia, jangan segelintir sahaja yang bersungguh-sungguh mempertahankan kemerdekaan dan segolongan yang lain mentertawakannya...
*sumber gambar dari internet
Ramadan keduapuluh
Saya memulakan kelas pertama pagi Isnin pukul 8am. Pelajar nampak kurang ceria. Mungkin telah mula terkenangkan kampung halaman. Ketika berehat dari sejam kuliah yang pertama, saya membacakan hadis tentang Lailatul Qadar dan Aidilfitri. Mereka nampak berminat. Yang tertidur mula terjaga. Saya menggesa mereka agar menghargai 10 Ramadan terakhir. Sesiapa yang belum pernah bangun solat sunat cubalah bangun, rasai kelainan solat ketika banyak mata yang sedang tertutup rapat. Rasai rapatnya hubungan kita dengan Allah pada masa itu. Jika boleh, renunglah langit, kita akan merasa kebesaranNya. Rasailah dinginnya udara pukul 3-4 pagi. Cubalah...
Saya minta pula wakil kelas, Hidayat mengalunkan zikir taubat. Bekas pelajar SMKA Segamat ini sering diminta berdoa dan membawa ayat Al Quran sepanjang bulan Ramadan dan dia tidak pernah menolak.
Sejam yang kedua, saya mulakan tajuk ketiga terakhir dalam silibus Business Law. Sale of Goods. Memandangkan Aidilfitri semakin menghampiri, banyak contoh biskut raya dikaitkan dengan tajuk. Kelas berjalan lancar...
6.30pm, saya membawa anak-anak ke Masjid As-Syakirin, UiTMJ bagi memenuhi undangan majlis ringkas meraikan pelajar Iqra. Dapat kain pasang yang berwarna ceria. Terima kasih CITU. Terima kasih Prof. Berbuka dengan ayam kurma, kerabu mangga yang hmmmm sungguh sedap dan dua kuih tradisional Kelantan yang manis dan lazat. Terima kasih Ustaz dan Kak Nor. Sekitar 7.50pm, bergegas pula ke Segamat Seafood, ada program Iftar bersama AJK Kelab Inspirasi. Sambil makan, kami bersembang dan bergurau, program yang merapatkan lagi hubungan kami...Saya ingatkan mereka, jangan lambat balik! Sebelum pukul 11pm!
Ya Allah, nikmatnya Ramadan ke20, banyak sungguh rezeki pemberianMu...
Ramadan kesembilanbelas
Sampai di Segamat, berehat sebentar sebelum solat Zuhur. Bahan-bahan masakan disediakan terlebih dahulu agar selepas Asar, saya boleh terus memasak. Fatihah telah mula menunjukkan ciri-ciri anak perempuan dengan meminta pisau dan memotong sayuran buat lodeh. Fadhli vacuum seluruh ruang tamu. Farhan dan Fahim melipat kain baju. Suami jadi mandur yang tegas sepanjang hari. Anak-anak 'bertuah' ini bila abah ada, semuanya akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mendengar kata. Kalau mamanya yang suruh, perkataan 'kejap' sentiasa diucap sehingga menjadi 'lama'...
Malam sekitar pukul 9.45pm, kami menerima kunjungan jiran lama yang membawa jemputan khusus. "Datang seawal mungkin ye Ani, kalau boleh hari Khamis tu dah ada, banyak kerja ni, Jumaat dah akad nikah, kita dah masak-masak untuk orang rewang, malamnya berinai, kita buat roti jala dan kari, Sabtu hari besarnya..." perkataan 'kita' oleh Kak Zaharah dari Taman Dedap membayangkan hubungan kami yang rapat. Ini kenduri sulung Kak Zaharah. Dijadualkan berlangsung pada 9 Syawal. "Akak tak bagi Ani kad, datang jemput mulut je ni, kalau bagi kad, jadi jemputan aje nanti..." Saya faham maksudnya. Bergotong royong di Jementah memang telah sebati di kalangan jiran tetangga. Keberkatan Syawal akan lebih dirasai...
Monday, August 30, 2010
Ramadan kelapanbelas
Gambar-gambar di atas diambil ketika saya dan dua adik tercinta bersama-sama keluarga berbuka puasa sekitar Tanjung Pelepas. Restoran ini mendamaikan. Hembusan angin melekakan. Puluhan ekor ketam dan ikan belacak bangga menunjukkan diri. Terbongkok-bongkok anak-anak saya menyaksikan hidupan laut di sisir pantai.
Sunday, August 29, 2010
Ramadan ketujuhbelas
Sesungguhnya rezeki Allah itu sentiasa ada...Saya dikhabarkan berita gembira. Berita yang dinanti selama ini. Jumaat ini Jumaat yang akan dikenang sampai bila-bila.
17 Ramadan 1431H...terima kasih Allah...
Ramadan keenambelas
Hari Khamis hari terakhir IID 2010 UiTMJ. Walau berlangsung dalam bulan puasa, team Nurzea menunjukkan komitmen yang jitu. Walau dijemput merasmikan IID 2010 tanpa minuman dan makanan, orang besar BPJI Shah Alam tetap datang dan berucap penuh semangat. Itulah kerja ikhlas namanya. Semoga dapat ganjaran dari Allah. Team saya pula meraikan pingat emas kami dengan berjanji akan makan-makan di Hadratulmaut JB selepas bulan puasa...
Sebelum ke DST tempat IID berlangsung, saya terserempak dengan bekas pelajar. Sekitar Jun lalu, saya menerima beberapa panggilan daripadanya meminta nasihat tentang rayuan masuk semula ke UiTM. Dia dibuang pengajian! Dia benar-benar susah hati sampai rasa ingin bunuh diri. Saya memintanya beristighfar beberapa kali kerana urusan hidup mati itu urusan Allah. Sebaik sahaja masuk bertugas semula selepas bercuti 10 hari di Serendah, dia membawa borang rayuan. Wajahnya serabut. Saya langsung lupa kepadanya selepas membantunya mengisi borang rayuan (dia nyata begitu lemah dan terkejut dengan keputusan pembuangan). Dia kini nampak sangat ceria. Senyumannya lebar. "Saya dah tak ponteng kelas lagi Puan" itulah kata-katanya kepada saya semasa berselisih. Dia telah berubah? Saya doakan dia tabah dengan kehidupannya...
Thursday, August 26, 2010
Ramadan kelimabelas
Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Waktu beginilah terasa seksa menghabiskan puasa. Tambah lagi kalau ibubapa telah mula membeli baju raya dan membakar biskut raya. Masa kecil dahulu, baju raya kami tiga beradik macam boria, maksudnya sama sahaja. Tetapi entah apa lainnya saya, warna baju untuk saya tidak sama dengan yang dua lagi. Kalau emak dan abah beli baju warna biru untuk kak long dan adik, saya pula warna coklat. Bila dilihat kembali foto-foto lama, saya sahaja yang berlainan warna. Tetapi tidak pula saya ingat kenapa saya berbeza. Nanti balik beraya ini, saya akan tanya emak...
Tentang biskut raya pula, setiap tahun, emak akan membuat kuih gunting dan biskut mazola. Itu biskut wajib. Seingat saya, arwah abah paling minat kuih gunting yang pekat rasa serbuk kari dan ditambah dengan hirisan daun kari. Emak dan abah akan sama-sama menggoreng kuih gunting sehingga selesai.
Ibadat Ramadan semasa zaman kanak-kanak tiada langsung yang lekat dalam fikiran saya. Agaknya saya kurang beribadat semasa kecil...
Buat kita yang telah mengerti kemanisan Ramadan, apabila hari begitu pantas berlalu, hati jadi sayu....
Tuesday, August 24, 2010
Ramadan keempatbelas
Semester ini, alhamdulillah, saya tidak pernah membatalkan kelas. Tempoh saya sebagai perunding JAWHAR telah tamat. Jadi saya tidak perlu berulang alik ke Putrajaya lagi. Oleh yang demikian, hubungan saya dengan pelajar agak rapat. Saya hampir mengingati kesemua nama pelajar. Perasaan sayang kepada mereka cepat terbentuk dan mereka memandang saya seperti seorang emak. Tempoh lima minit berehat selepas sejam pertama saya isi dengan sedikit tazkirah. Minggu lepas, dengan penuh hati-hati saya menyentuh isu puasa dan wanita yang tidak bertudung. Saya kisahkan apa yang telah dikatakan oleh Dr Yusof Qardawi tentang isu ini. Saya ambil berat tentang pelajar perempuan yang begitu baik, sopan, aktif, cantik namun masih belum terbuka hatinya untuk bertudung. Saya cakap dengan penuh berhemah. Alhamdulillah, pagi tadi salah seorang daripada mereka telah mula bertudung. Sungguh cantik Nabilah di mata saya. Rambut hitamnya yang ikal mayang telah ditutup dari pandangan bukan muhrim. Saya ucapkan tahniah kepadanya dan berharap ia akan berkekalan.
Aqilah ialah bekas pelajar saya yang sekarang menyambung pengajian peringkat Sarjana di Scotland. Dia menelefon saya tengahari tadi. Di sana pukul 5 pagi katanya. Puasa 20 jam, puan, terangnya. Dugaan betul...Dia akan pulang ke Malaysia bulan Disember ini. Apa yang menggembirakan hati saya ialah dia mendapat A untuk subjek Investment Law. Sebaik mendapat tajuk tugasan daripada pensyarahnya pada awal Mac lalu, dia terus menelefon saya. Tajuknya berkisar tentang perlindungan kepada pelabur melalui undang-undang UK. Dia buntu bagaimana untuk menyiapkan tugasan tersebut. Dengan penuh kasih sayang, saya menggariskan beberapa panduan dan buah fikiran menerusi emel. Dia menyiapkan tugasan tersebut dan mendapat gred yang baik.
Dua pelajar ini saya harap akan berjaya dunia dan akhirat. Ilmu yang disampaikan dan bermanafaat akan membantu saya di alam kubur nanti...InsyaAllah!
Ramadan ketigabelas
Pagi Ahad itu, kami adakan solat-solat sunat yang dipimpin oleh Ustazah Salmah, pesara Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia bermula dengan sedikit penerangan tentang solat yang akan kami dirikan. Kami mulakan dengan solat taubat 2 rakaat, solat Dhuha 2 rakaat, solat hajat 2 rakaat dan disudahi dengan solat sunat tasbih 4 rakaat. Malu rasanya untuk menulis di sini yang inilah pertama kali dalam hidup saya bersolat sunat tasbih! Namun, kenikmatan mengerjakannya hanya Allah yang tahu. Selesai semua solat sunat, Ustazah melagukan zikir Wahai Tuhan, Ku Tak Layak Ke SyurgaMu Namun Tak Pula Aku Sanggup Ke NerakaMu Ampunkanlah Dosaku Terimalah Taubatku.. Ustazah minta kami dengar sahaja dan membayangkan betapa banyaknya dosa kita padaNya, pada suami, pada adik beradik..
Maka ramailah jemaah wanita hari itu teresak-esak, teresak-esak, teresak-esak....
Sungguh bermakna kepulangan saya Ramadan ini, diwarnai ibadat yang saya harapkan diterima Allah...
Monday, August 23, 2010
Ramadan kedua belas
Saya mendapat emel dari seorang bekas pelajar IPB tentang perbualan online beberapa orang remaja kota di Facebook yang menghina ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam. Si Salleh ini merasakan betapa rupa, warna kulit dan butir peribadinya di dalam kad pengenalan telah menyusahkan hidupnya. Andai benar semua ini, apakah peranan kita? Sekadar membaca, menggeleng-gelengkan kepala dan beristighfar? Marilah kita berdoa agar anak-anak kita akan hidup dalam iman dan mati juga dalam iman...
Kembali kepada cerita Serendah. Emak meminta saya menyediakan juadah berbuka hari ini. Tiada masalah. Saya mula mereka-reka menu yang jarang dimasak. Maka inilah antara hasilnya: Kerabu kerang, masak lemak cili padi telur itik campur belimbing buluh dan siakap tiga rasa.
Ramadan kesebelas
Sampai di Serendah elok-elok waktu untuk berbuka. Emak sihat-sihat sahaja. Alhamdulillah. Ina, adik saya yang sedang sarat mengandung telah berada di Serendah sejak awal Ramadan. Dua dulang hidangan telah disiapkan emak. Ada macam-macam lauk yang saya rindui. Yang paling sedap kari ayam. Kari masakan emak cantik warnanya. Rasanya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Selesai berbuka, emak mengajak saya bertarawikh di Surau Al-Mustaqim Desa Anggerik. Solat di sini agak berbeza dengan di Segamat. Selesai Isya', kami bertahlil untuk para gemulah ahli keluarga. Kemudian, tarawikh empat rakaat. Penceramah luar dijemput untuk memberi tazkirah selama 30 minit. Akhirnya kami sambung lagi Tarawikh empat rakaat dan diikuti Witir tiga rakaat. Kami selesai beribadat pada pukul 10.30 malam. Sebelum pulang, jemaah dijemput menikmati hidangan yang agak berat. Jemaah wanita tinggal makan sahaja. Kesemua kerja menyiapkan hidangan sehingga mengemas dilakukan jemaah lelaki.
Pengalaman ini amat berharga buat perantau seperti saya...wahh ayat sedih...
Selamat berbuka semua
Friday, August 20, 2010
Ramadan kesepuluh
Petang ini saya akan bertolak pulang ke Serendah. Anak-anaklah yang paling teruja. Rindukan Atok itu salah satu sebab yang saya rasa bukanlah faktor terbesar. Padang yang besar di hadapan rumah Atok itulah faktor yang paling besar. Tapi bulan puasa ini mungkin mereka akan berjalan lemah gemalai sahaja sekitar padang. Saya pun apalah kurangnya. Rumah emak itulah yang sering bermain di fikiran kerana itulah rumah terakhir didiami arwah Abah dan Kak Long. Ya Allah, berilah khabar-khabar gembira kepada mereka berdua, muslimin muslimat, mukminin mukminat, luaskanlah tempat tinggal mereka di sana, permudahkanlah urusan mereka...sampaikanlah doa kami anak-anaknya yang cuba menjadi anak yang soleh dan solehah.
Saya tidak akan bersiaran secara langsung dari Serendah kerana masalah talian internet:)) Buat Ida di UiTM Pahang, balik dari Serendah nanti, Kak Ani tayang gambar lagi ek!
Doakan kami selamat sampai dan selamat kembali ke Segamat...
Thursday, August 19, 2010
Ramadan kesembilan
Sebentar tadi saya sekeluarga bersolat Tarawih di Masjid Jamek Segamat. Sementara menunggu Isya', ada kariah masjid yang membahagikan bungkusan murtabak kepada jemaah. Anak-anak saya sangat senang hati. Bulan Ramadan banyak murtabak kata mereka, sampai dah tak nampak burger!
Imam tarawih di Masjid ini tidak membaca ayat-ayat lazim sebaliknya membaca surah-surah panjang. Bacaannya lunak walau agak laju. Al-Hafiz memang terbiasa membaca laju barangkali. Jadi makmum boleh membaca Al Fatihah dalam keadaan tenang dan tidak terkejar-kejar.
Ramadan ini tetap seperti bulan-bulan biasa bagi segelintir manusia beragama Islam. Buktinya bacalah surat khabar tiap-tiap hari. Kes buang bayi makin menjadi walau ada peringatan tegas daripada Dato' Shahrizat Jalil. Kes pasangan ditangkap khalwat tetap berlaku. Kes berkelakuan tidak senonoh turut tidak berkurangan. Kes amuk kembali kedengaran. Saya terasa sangat sebak mengenangkan anak sekecil 8 tahun yang parah disimbah cuka getah oleh bapanya sendiri. Dadah memang musuh keluarga bahagia. Keluarga hancur kerana dadah. Semua ini berlaku kerana manusia tidak merindui dan mencintai Allah. Jika benar kita cinta Allah, pasti kita sanggup korbankan perasaan kita. Seperti pasangan yang bercinta, kerana kekasih, kita lupa ibubapa, yang kelihatan di mata dan ingat di hati adalah kekasih kita. Kita sanggup berkorban apa sahaja. Jadi jika kita mencintaiNya, segala rasa yang terbit dari nafsu dapat kita kawal.
Bagaimana mencintai Allah? Saya juga masih belajar mencintaiNya. Saya juga masih sedang berusaha melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang. Saya sedang cuba memperbanyakkan amalan sunat dan meninggalkan yang makruh. Saya dalam proses mencintaiNya...
Semoga Ramadan kali ini mendewasakan hubungan seorang hamba dengan Pencipta...
Wednesday, August 18, 2010
Ramadan kelapan
Pagi ini pagi Kelab Inspirasi. Tiga exco Kelab ada temujanji dengan saya bagi mengemaskini maklumat terkini Kelab. Saya berdoa setiap perancangan yang telah kami susun dipermudahkan Allah dan memberi kebaikan kepada banyak pihak. Terima kasih exco Kelab, jasa kalian pasti dibalas Allah...
Kualiti gambar memang kurang memuaskan. Bukan mata anda yang bermasalah. Gambar yang biasa-biasa ini sengaja ditayang untuk Ida di Pahang:))
Tuesday, August 17, 2010
Ramadan ketujuh
Setiap tahun, pasti ada sekali dua saya terbabas dari bangun bersahur. Anak-anak jadi mangsa...Namun, saya berdoa agar esok, saya mampu bangun lebih awal dari masa yang telah ditetapkan. Cuba untuk mengukuhkan kebiasaan solat sunat. Mohon Allah permudahkan. Perkongsian ilmu di UiTMJ tengahari tadi mengingatkan lagi peri pentingnya solat.
Saya ada dua tempat yang ingin dituju pukul 12 tadi. Tadarus Al-Quran di Bilik Seminar atau Wacana Akademia di Bilik Sekretariat. Saya pilih yang kedua. Tajuk Biomekanik Solat menarik hati. Apatah lagi Prof Kamil adalah salah seorang panelnya. Kata-kata Prof ada sentuhan tersendiri. Moga Allah merahmati mereka yang tidak jemu-jemu memberi peringatan buat saya yang sering lupa...
Kelas saya berderet hari ini. Dari pukul 8 ke 4 petang. Tenaga berkurangan (alasan untuk tidak memasak:)) Tomyam semalam tidak bersentuh. Saya panaskan. Terfikir tentang lauk tambahan. Telur dadar pun lauk juga:) Jimat tenaga...
Monday, August 16, 2010
Ramadan keenam
"Tadi masa kakak cakap assalamualaikum, ada air hujan masuk dalam mulut kakak"
"Aaaa, habisla puasa ko..."usik Fahim.
"Agaknya siapa ye sembahyang minta hujan?" tanya Farhan.
Rasanya sudah lama Segamat tidak hujan yang betul-betul lebat. Suasana sangat sejuk. Makin laparlah anak-anak. Dua tiga kali mereka menjenguk masuk ke dapur. Saya masak ringkas sahaja hari ini. Asalkan digemari anak-anak. Nasi masa bersahur tadi dipanaskan. Saya buat tomyam ayam bersayur cendawan.
Sunday, August 15, 2010
Ramadan kelima
Semalam kami berbuka di Juara Ikan Bakar, bersebelahan Hotel Neo Pegasus. Suami kata mari kita cuba buffet RM9, lauk campur. Ada lebih dari 10 lauk dan sayuran. Ulaman dan empat jenis sambal belacan pun ada. Di atas meja telah terhidang kuih, kurma dan sebekas air sirap. Kami hanya tinggal mengambil nasi dan lauk pauk. Sebekas besar air sirap tambahan juga disediakan. Rasanya amat berbaloi harga RM9 dengan lauk pauk yang terhidang. Cubalah! Selesai makan sekitar 7.55pm, kami pulang dengan perut yang amat kenyang. Ketika azan Isya berkumandang, suami pantas mengajak saya ke surau Kg Sedeng. Alhamdulillah...
Pagi ini, kami meneruskan tadarus seperti biasa. Selesai tadarus ringkas (anak-anak asyik menguap), saya keluarkan daging dari peti sejuk. Niat hati ingin dibuat daging panggang. Tapi tiada resepi. Selepas ini, kenalah mencari resepi untuk menyedapkan hidangan buat suami tercinta...
Saturday, August 14, 2010
Ramadan keempat
Sabtu yang sunyi...sehingga ke pukul 11am, cuaca masih seakan pukul 8am. Selesai solat Dhuha, saya mengajak anak-anak bertadarus. Untuk mengelakkan mereka hilang tumpuan, masing-masing membaca satu ayat, ikut giliran. Alang kata dia masuk tadarus di sekolah, ustaz suruh dia baca juz 25. Bila ditanya bila hendak mula membaca, dia kata nantilah:) Itulah bagusnya sekolah agama, perasaan mencintai Al-Quran telah mula dipupuk sedari kecil. Harapan saya biarlah anak-anak ini mencintai Al-Quran tanpa paksaan.
Suami ajak berbuka di luar hari ini. Ala buffet. Saya ikut sahaja. Lagipun, anak-anak jarang berjumpa ayah mereka. Biarlah sekali sekala berbuka di luar...
Friday, August 13, 2010
Ramadan ketiga
Perlu memikirkan lauk. Teringin makan ayam. Lalu ayam diperap dengan madu, serbuk oregano, daun basil dan sedikit garam. Agar ada rasa Inggeris...lalu dibakar selama 30 minit. Fatihah minta air sirap bandung. Dalam kesederhanaan menu, Sasai menghantar sepinggan penuh mihun goreng. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah...
Thursday, August 12, 2010
Ramadan kedua
Kari udang campur kentang dan kacang panjang dipanaskan. Tapi, hati terdetik untuk menggoreng nasi. Bawang kecil, bawang putih, cili api dan ikan bilis dikisar halus. Ditumis mesra bersama nasi. Goreng telur mata kerbau. Timun dihiris. Rupanya, tepat detik hati saya. Anak-anak berselera makan sahur. Teh strawberi Cameron Highland melengkapkan sahur kami. Pukul 6am, anak-anak mula segar. Alhamdulillah, tiada yang tidur semula.
Semalam, suami pulang. Selepas berehat sebentar, kami ke surau Kg. Sedeng. Kariah surau tidak ramai. Ramai warga emas. Namun, imam tarawihnya masih muda. Awal 40an. Bacaanya bagus. Ada lahjah Arab walau berbangsa Jawa. 20 rakaat dengan ayat-ayat lazim.
Sekarang 6.35am. Perlu bersiap menghantar anak-anak ke sekolah. Angah minta dihantarkan pukul 6.40am. Semangat awal Ramadan...
Wednesday, August 11, 2010
Ramadan pertama
4.45am turun ke dapur, memanaskan lauk semalam. Teringin makan sayur. Kobis dirincih kasar, digoreng bersama-sama bawang besar dan ikan bilis.
5am, naik semula ke tingkat atas untuk kejut anak-anak dari lena. Tidak seperti Ramadan yang lepas, kali ini misi tersebut lebih mudah dilaksanakan. Tanpa perlu saya mendukung sikecil yang sudah besar, tanpa perlu saya geletek tapak-tapak kaki, tanpa perlu saya menjerit sesudah memanggil, kesemua mereka turun bersahaja. Alhamdulillah, mereka telah bersedia untuk bangun sahur. Di meja makan, tiada yang tertidur, tiada yang menangis minta disuapkan, tiada yang merajuk, tiada yang tolak pinggan dan cawan, tiada yang garu-garu kepala yang tidak gatal tanda protes, kesemua mereka makan bersahaja. Alhamdulliah, mereka semakin matang. Milo suam dihirup. Gigi digosok. Air kosong segelas diminum. Kembali ke tingkat atas. Bersedia untuk solat Subuh. Alhamdulillah, Ramadan kali ini, anak-anak saya telah dewasa....dan saya bertambah tua...
Tuesday, August 10, 2010
Salam Kemaafan di Gerbang Ramadan
Gembiranya hati kerana masih bernafas sehingga kini, terima kasih Tuhan kerana memberi peluang bertemu RamadanMu buat sekian kalinya...
Hari ini sebelum memulakan kuliah, saya menjadi ustazah sebentar, memberi sedikit tazkirah tentang mulianya Ramadan dan pengisian masa di dalam bulan yang mulia ini. Saya kata, kita selalunya take five selepas sejam kuliah. Apa kata dalam bulan Ramadan ini sewaktu rehat lima minit, kita buka tafsir dan bincang tentang ayat-ayat tertentu. Nampaknya semua mereka teruja. Namun saya pula yang bertanya dalam hati, layakkah saya? Apapun, apabila ada niat untuk membuat sesuatu yang baik, teruskanlah, moga Allah membantu.
Petang tadi, saya siap-siap memasak agar sahur nanti, lauk itu akan dipanaskan sahaja. Selepas maghrib, saya membawa anak-anak ke surau Taman Pelangi. Jemaah sini bersolat sunat Tarawih 20 rakaat. Imam membaca ayat-ayat lazim. Mungkin malam esok, saya ingin cuba solat di surau atau masjid lain. Jika ada hafiz yang dilantik menjadi imam solat tarawih, tentu bacaannya dari surah-surah yang lebih panjang. Tentu lebih terkesan. Tentu lebih asyik. Tentu lebih rindu....
Ramadan, bulan yang sungguh manis buat manusia lemah seperti saya...
Wednesday, July 28, 2010
Dari Dapur Iran...dan menjelang Ramadan.
Dari Dapur...
Tuesday, July 20, 2010
Suatu Fakta
Sambil melangkah, pandangan saya tertumpu kepada sekumpulan lelaki dan wanita Cina yang bersenam mengikut muzik. Senaman tai-chi. Saya melangkah lagi. Kali ini, saya melihat sekumpulan lagi, bangsa yang sama, bersenam mengikut alunan muzik yang lebih rancak. Saya teruskan langkah. Saya memperlahankah langkah apabila melalui sekumpulan wanita muda Cina yang bersenam aerobik. Mata saya mencari-cari kelibat kaum Melayu. Tiada dalam kumpulan tersebut. Yang ada ialah sepasang lelaki dan perempuan yang sedang bergurau di pondok berhampiran. Saya teruskan langkah. Terpandang lagi sekumpulan manusia bukan Melayu bukan India yang berpakaian t-shirt putih dan berseluar hitam sedang bersenam lembut mengikut alunan muzik. Saya panjangkan langkah lagi hingga menghampiri sekumpulan pemuda Cina yang sedang bermain bola keranjang. Sepanjang dua pusingan perjalanan saya di taman, hanya 10 ke 15 bangsa saya yang bersenam. Selebihnya bangsa mereka. Dari yang muda hinggalah ke nenek-nenek.
Saya hanya mampu tersenyum sendiri apabila memikirkan di mana bangsa saya berada saat ini. Mungkin masih di rumah, sambung tidur selepas Subuh. Mungkin di hadapan tv, menonton Tanyalah Ustaz seperti emak saya di Serendah. Mungkin ke pasar bagi memastikan hidangan tengahari yang enak bermutu buat ahli keluarga di hujung minggu. Mungkin sedang menyiram bunga dan menabur baja di dalam pasu. Banyak kemungkinan lain yang selalu dibuat oleh bangsa saya yang kurang mementingkan senaman termasuklah yang sedang menaip ini...
Yang menariknya, semasa bersarapan bersama-sama adik, saya diberitahu hanya 30% penghuni kawasan sekitar taman tersebut adalah bangsa mereka. Selebihnya bangsa kita.
Monday, July 19, 2010
Inspirasiku...
Kebetulan, saya sudah siapkan slides power point. Jadi ucapan saya tersusun. Saya ucapkan tahniah kepada siswa siswi kerana telah memilih Kelab Inspirasi, sebuah kelab yang telah memenangi Anugerah Kebajikan Masyarakat dan Sosial tahun sudah. Saya ceritakan secara ringkas beberapa aktiviti Kelab yang memberi inspirasi dan motivasi kepada ahli. Saya hebahkan betapa perlunya soft skills kepada siswa siswi. Saya sedarkan betapa indahnya menjadi hamba Allah umat Muhammad yang berbakti kepada masyarakat luar. Saya luahkan betapa seronoknya meneroka bumi Allah dengan aktiviti outdoor seperti yang kami lalui semester lepas di Kem PLKN Mersing. Saya bisikkan betapa ruginya siswa siswi yang hanya terperuk di kampus tanpa mengambil peluang bersosial secara sihat dalam aktiviti-aktiviti Kelab. Saya kisahkan betapa malangnya siswa siswi yang terlibat dengan aktiviti sosial negatif hugging, kissing, touching, clubbing, drinking dan mengenepikan empowering, sharpening, enriching melalui aktiviti sosial positif Kelab. Saya bacakan kata-kata hikmah Luqmanul Hakim dan kata-kata nasihat Dato Dr Haji Fadillah Kamsah.
Selebihnya saya serahkan kepada mereka untuk turut sama menyokong aktiviti Kelab dan mencabar mereka agar memberikan buah fikiran yang lebih baik untuk aktiviti semester hadapan.
Di mana kita Melayu?
Orang Islam percaya kepada takdir. Jika kita berkata 'itu sudah ditakdirkan' apabila perkara yang ditakuti Mufti itu terjadi, ialah selemah-lemah kepercayaan kita pada takdir. Kita perlu berusaha. Jangan sampai satu hari nanti, hak beragama dan mempertahankan agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan kita dipinda. Bila sudah cukup majoriti undi, kita akan menjadi mangsa takdir yang kita bentuk sendiri.
Kita bukan racist. Islam menggalakkan kita berbaik sesama manusia tidak kira agama dan kepercayaan. Islam tidak pernah menyuruh kita menghina agama lain. Kaum lain bebas beribadat. Bebas merayakan hari kebesaran mereka. Sedang pertambahan cuti Deepavali juga mungkin akan dipertimbangkan Kabinet. Cuma sebagai manusia, apabila kita diberi kuasa dan mandat kepercayaan, kita akan menentukan sesuatu yang memberikan banyak faedah kepada mereka yang sealiran dengan kita dan pada masa yang sama cuba sebaik mungkin untuk tidak menindas hak orang lain. Itu secara logiknya. Kita akan jadi lebih sensitif kepada isu agama. Kaum di Malaysia pula kaum yang beragama, bukan free thinker. Kita lebih peka dalam bab mempertahankan agama masing-masing.
Oleh itu wahai umat Islam Malaysia, kita perlu bersatu. Tulisan ini mungkin tidak sampai jauh, namun buat yang dekat, berdoalah agar perpaduan yang diseru Mufti Perak itu disahut segera oleh pemimpin-pemimpin Islam negara. Lupakanlah seketika hal gula dan pasir. Kerana perkara-perkara manis yang sedang dikecapi oleh kita sekarang mungkin akan terhakis sedikit demi sedikit...
Saturday, July 10, 2010
Dilema Islam di negara Islam
Kebetulan salah seorang trainer ESQ yang juga dua pupu saya bermalam di rumah saya semalam.
Kesempatan itu saya ambil dengan berbincang mengenai perkara yang mendukacitakan dalam sejarah motivasi diri secara lebih islamik. Sebelumnya, sempat saya membaca posting panjang lebar UZAR tentang module ESQ. UZAR bagi saya bersikap sangat realistik. Beliau tidak akan memberi komen melainkan beliau membuat penyelidikan terlebih dahulu. Ikutlah yang sepatutnya. Melalui penulisan UZAR, ESQ HALAL namun perlu membuat sedikit perubahan module agar tidak mengundang perbahasan.
Saya yang belum berkesempatan mengikuti sebarang program ESQ, tidak berani membuat sebarang komen. Namun bila membaca komen UZAR yang saya kagumi kerana penulisan ilmiahnya, saya juga merasakan seperti yang difikir UZAR.
Meletakkan tajuk ESQ HARAM di muka hadapan akhbar perdana sememangnya mengundang banyak implikasi ke atas pembangunan Islam di negara Islam, Malaysia.
Implikasi yang paling utama bagi saya ialah terserlahnya ketidakseragaman suara Mufti-mufti se Malaysia. Kenapa hanya seorang Mufti sahaja yang mengharamkannya? Mungkin beliau mempunyai pandangan tersendiri. Seperti pandangan segelintir Mufti tentang ASB.
Namun ada yang berkata itulah indahnya Islam. Perbezaan pendapat melahirkan perbincangan akademik yang sihat.
Isu ESQ ada kaitannya dengan dengan pegangan akidah. Lalu apa kesannya andai ada beberapa pendapat berkenaan akidah, perkara pokok dan bukannya perkara ranting. ESQ perkara pokok.
Dilema...
Monday, July 5, 2010
Hajar dan kisahnya
Saya membaca buku karangan seorang penulis Iran, Dr. Ali Shariati: Haji Suatu Perjalanan Ibadah. Ada cerita menarik tentang Siti Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim. Siti Hajar adalah seorang wanita berkulit hitam dari Afrika, dipilih oleh Siti Sarah kerana dengan kekurangan rupa paras Hajar maka berkuranganlah cemburu Sarah. Namun, kerana kemuliaan Hajar, Allah telah mengiktiraf kedudukannya, ditolak tepi rupa dan warna kulitnya, diangkat menjadi ibu kepada Nabi Ismail dan bertambah istimewa lagi kawasan yang dipijak Hajar semasa berlari-lari mendapatkan air buat Nabi Ismail dijadikan tempat saie bakal Haji. Saya tertarik dengan cerita ini yang penuh dengan cerita sisi. Tentang sisi wanita yang cemburu. Sisi terbinanya tempat ibadat utama Muslimin Muslimat terutamanya.
Saya mencari-cari cd dalam kereta. Himpunan lagu bertemakan wanita mulia dalam Islam sering dimainkan. Namun, selepas dibelek senarai judul lagu, tiada satupun mengenai sejarah wanita mulia ini. Saya tahu Saiyidatina Khadijah hebat sejarahnya, Saiyidatina Fatimah mulia keturunannya, Saiyidatina Aisyah luhur cintanya, Rabiatul Adawiyah dengan kisah zuhudnya, Asiah isteri Firaun dengan kesabarannya, namun ada sesuatu yang hebat tentang Siti Hajar yang jarang direkodkan dalam bentuk nasyid. Sekurang-kurangnya, di Tanah Haram, terbinanya Hijir Ismail dan terletaknya Hajarul Aswad...Hijir dan Hajarul, ada kaitan dengan nama Siti Hajar.
Saya pasti akan mencari buku tentang wanita hebat ini...
Langkah-langkah Haji
Kini saya sedang menghayati semula penulisan Prof Dr Haji Kamil yang saya kagumi, Travelog Haji. Buku terbaharu Puan Roza juga sudah diselesaikan. Travelog Cinta Abadi ditulis penuh perasaan. Pasangan ini memang berbakat besar dalam bidang penulisan. Dan tekun!
Emak telah mendapat jemputan Allah menunaikan fardhu Haji musim ini. Firdaus akan menemaninya. Bakal Haji muda ini selalu terbabas subuhnya gara-gara menonton perlawanan bola sepak. Lalu saya meminta emak mengejut Firdaus dari lena dengan memanggil Haji, Haji bangun Subuh! Ternyata berkesan!
Buku karangan Prof saya baca dengan penuh teliti. Jika sebelum ini saya membaca sekadar menimba pengalaman manis Prof di Tanah Haram tapi kali ini saya baca dengan tujuan memahami secara terperinci bagaimana langkah-langkah menunaikan Haji. Setiap tajuk kecil saya cuba fahami dengan gambaran di minda. Dari umrah sunat sejurus tiba di Mekah sehinggalah Tawaf Wada' dan berlanjutan ke bumi Madinah. Penulisan Prof santai namun bermaklumat. Jika kita membaca buku Panduan Haji dan Umrah yang disediakan oleh Tabung Haji, mata akan layu setelah beberapa ketika. Namun sekiranya membaca buku Prof, insyaAllah, kita mampu menghabiskan banyak bab yang diolah dengan gaya bahasa yang menarik.
Pengalaman Prof saya ceritakan kemudiannya kepada emak. Emak mendengar penuh khusyuk. Untuk membaca sendiri, agak sukar bagi emak. Nanti, andai dibaca dan ditelek, tulisan-tulisan itu akan mengembang dan menguncup sendiri. Dan emak akan menutup dan menyimpan kembali buku tersebut. Pening, katanya. Saya ceritakan pada emak bagaimana suasana di hadapan Kaabah kelak, semasa melontar, suasana di Mina, tahallul, solat di Raudah, seolah-olah saya sudah ke sana. Malam itu, saya tertidur bertemankan buku-buku Haji. Lampu yang terpasang ditutup emak. Khusyuk sampai tertidur, kata emak.
Penulisan Prof membantu memahamkan bakal Haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah. Untuk warga emas seperti emak, anak-anaklah yang perlu berusaha menerangkan seringkas-ringkasnya agar perasaan gelisah mereka mengenai langkah-langkah Haji akan berkurangan.
Tuesday, June 22, 2010
Cerita 22 Jun 2010
Ada alasan untuk menyepi sekian lama, alasan yang tersimpan di hati, tak perlu diluahkan. Alasan biasa-biasa pastinya.
12.25 pagi, suami menelefon, menyanyikan dua versi lagu yang bermesejkan ucapan ulang tahun. Terima kasih abang!
5 pagi, hujan turun dengan lebatnya. Saya bermalas-malasan dahulu menikmati bunyi curahan hujan pagi dan kemudiannya membuka pintu di anjung kamar. Alunan curahan hujan bertemankan sahutan si kodok sungguh melekakan. Indah. Saya hamparkan sejadah berhampiran pintu. Biarlah solat Subuh ini ditemani hawa dingin hujan yang segar.
Allah Maha Pemurah, hari yang bahagia ini, saya dikhabarkan dengan berita-berita gembira. Hari ini hari yang berjalan lancar. Panggilan telefon dari Tabung Haji mendebarkan walau belum memastikan apa-apa. Panggilan seterusnya dari MIA juga menawarkan satu pengalaman baharu andai tiada halangan. Panggilan dari emak dan adik beradik serta rakan sahabat menambah ceria. Kunjungan Siti Mariam dan Intan ke kamar pejabat menghilangkan sunyi kampus dan kami meneruskan perbualan di meja makan. Siti belanja. Semoga murah rezekimu dan dipermudahkan sarjanamu.
Di rumah, selepas solat Maghrib bersama anak-anak, kami ke Mawa De Village. Saya belanja sempena meningkat umur setahun lagi. Tapi memang saya yang akan bayar pun setiap kali keluar makan dengan anak-anak. Abah mereka di KL.
Saya memesan lempeng. Anak-anak memesan nasi goreng yang pelbagai jenis. Along yang teruja dengan Piala Dunia memesan Brazil Fried Rice. Lempeng sampai dahulu. Lima jejari tangan kanan mencubit pantas, dicicah sambal tumis ikan bilis. Kemudian, nasi-nasi goreng sampai. Mereka menikmati penuh selera. Saya yang kononnya ingin mengurangkan pengambilan nasi terkulat-kulat. Lempeng yang sepatutnya mampu mengenyangkan dikongsi lima. Saya pesan pula roti bakar, butter dan kaya. Anak-anak selesai makan. Roti akhirnya sampai. Pantas juga tangan-tangan mereka membahagikan roti tersebut kepada 5 bahagian. Akhirnya birthday mom tidak juga kenyang...
Sampai di rumah, kami solat Isyak berjemaah. Dan kini, saya mengadap komputer, menyimpan memori indah 22 Jun 2010...Syukran Ya Allah.
Monday, April 26, 2010
Kalau tidak kerana amanah
Ustaz ini amat jujur orangnya. Perkara-perkara peribadi yang akan dirahsiakan mereka yang bergelar 'motivator', didedahkan sejujurnya. Ujian kerenah anak-anak diperincikan..hanya mereka yang mempunyai anak-anak dan mengambil berat amanah Allah ini akan memahami apa yang dialami ustaz dan isteri.
Saya sedang diuji anak. Anak yang sulung itu, yang sihat itu sedang menguji kesabaran dan keimanan saya.
Saya sudah agak popular di sekolahnya. Ramai warga pendidik di situ sudah mengenali saya. Along sedang mengalami masalah penyesuaian diri dari alam sekolah rendah ke menengah. Sepatutnya tidak berlaku kerana dia sudah menginjak usia 13 tahun. Namun ia telah dan sedang berlaku. Kaunseling dan ubat-ubatan telah diuruskan. Along hanya perlu menguatkan hati. Ketakutannya kepada beberapa orang guru otai di sekolah perlu diatasi. Selalu saya berpesan, kita hanya perlu takutkan Allah, bukan manusia. Kita perlu hormat guru kerana mereka lebih dewasa tetapi tidak perlu takut. Takut hanya pada Allah.
Pagi tadi saya menemannya hingga ke kelas. Dia berwajah ceria. Saya duduk di kantin sekolah sementara menunggu waktu rehatnya. Dia datang menghampiri bersama sepinggan nasi lemak mewah sambal merah pekat. Berselera makan. Kemudian melangkah yakin ke kelas Bahasa Melayu sambil tersenyum manis ke arah saya.
Kalau tidak tekenangkan dia sebagai sebuah amanah dari Allah, mungkin akan saya abaikan sahaja pergolakan dalam dirinya. Mungkin ia akan berakhir dengan lari dari kelas dan lepak-lepak di kedai minum. Tapi ini amanah. Amanah yang perlu saya langsaikan. Amanah yang akan ditanya kelak.
Saya menunggu hari esok dengan harapan yang dia akan tabah menghadapi dunia baru, sebuah fakta kehidupan.
Friday, April 23, 2010
Cerita pagi Jumaat di Serendah HULU SELANGOR
Hari ini Jumaat, pagi Jumaat. Sekejap lagi saya ada mesyuarat KIK. Agaknya sungguh penting mesyuarat ini yang terpaksa diadakan dalam minggu peperiksaan. Saya menurut perintah. Pagi Jumaat ini saya terkenang kisah di Serendah HULU SELANGOR minggu sudah.
Serendah HULU SELANGOR memang meriah. Padang bola di hadapan rumah emak saya dibersihkan melalui gotong royong. Alhamdulillah. Di hadapan rumah Puan Hamidah yang tersorok dan tidak perlu ditempuhi orang-orang besar itu kekal bersemak samun. Ada tin-tin kosong yang digenangi air tempat nyamuk aedes berumahtangga.
Di kiri kanan jalan perang poster jelas kelihatan. Buluh digunakan untuk menaikkan bendera-bendera parti. Tentu stok buluh hutan yang digunakan untuk membuat lemang Syawal ini akan berkurangan.
Jalan berlopak sudah diturap. Itu biasa. Jalan dalam di Kg Sedeng Segamat pun selalu diturap. Terima kasih JKR.
Malam minggu saya bawa emak ke rumah Tok Lang, nenek saudara saya yang risau anak-anak daranya masih tidak berpunya. Saya tersenyum sendirian mengenangkan lagu ibuibubapakbapak nyanyian kumpulan Indonesia itu. Di sana-sini ada khemas panas PKR dan BN. Ramai petugas sedang minum-minum makan makan sembang sembang. Meriah! Saya melepasi sebuah dewan serbaguna, bendera PKR PAS berkibaran megah. Banyak sungguh kenderaan di perkarangan dewan. Banyak sungguh juga janji yang berkumandang di dalam dewan. Mungkin!
Petang Ahad itu, ketika saya bersiap-siap untuk balik ke Segamat tercinta (hmmmm), rumah emak dikunjungi seorang wanita berbasikal.
"Dik, petang nanti Dato' S dari Perlis nak datang . Dalam 4.30. Emak adik kan ibu tunggal, jadi Dato' nak bagi sumbangan sikit. Dato' confirm malam semalam. Itu yang akak lambat bagitau ni."
Saya maklumkan adik tunggal lelaki tentang kehadiran Dato' yang sungguh jauh kediamannya di utara tanah air dan sanggup turun padang berjumpa ibu tunggal di Serendah HULU SELANGOR. Adik saya teruja. Dia selongkar almarinya yang selalu dikemas emak untuk mencari seluar track suit lambang dacing.
Malam Ahad itu, sebelum melelapkan mata di atas katil di rumah di Segamat, saya menelefon adik. Teruja ingin tahu apakah sumbangan Dato itu.
"Adik tunggu dari 4.30 sampai 10.30 malam ni, bayang Dato' pun tak ada. Adik dah pakai kain pelikat petak petak biru putih hijau. Esok nak keje ni kat Kalumpang HULU SELANGOR. Selamat tidur".
Saturday, April 10, 2010
Dinner tanpa band
Anak muda hanya akan rasa puas hati kalau ada band?
Sejauhmana band mempengaruhi jumlah kehadiran ke majlis makan malam?
Apakah hukumnya di sisi undang-undang Islam?
Hilangkah kemeriahan majlis tanpa band?
Adakah band tersebut akan meningkatkan ingatan kita pada Allah?
Adakah diberkati majlis itu nanti?
Hmmmmm....siapa boleh jawab. Benda yang biasa jadi luar biasa bila tiada...
Friday, April 9, 2010
Sheikh Nuruddin Al-Banjari
6.45 petang, dentuman guruh menakutkan. Janjinya, selepas Maghrib Sheikh akan memulakan ta'alim. Anak-anak kata, mama, dah nak hujan ni. Saya balas, tak apa, kita naik kereta bukan jalan kaki. Mesej suami minta izin untuk ke surau.
7.20 malam, kelibat Sheikh kelihatan di dalam surau. Penghadang memisahkan pandangan. Selesai solat dan berqasidah, Sheikh memulakan syarahan. MasyaAllah, memang bernas amat. Ulasannya tentang hadis-hadis pilihan short but very sweet. Beliau pandai mengambil hati dengan menuturkan loghat utara sesekali. Usikan tentang 'hal suami isteri' dengan bahasa yang halus mencuit mereka yang hadir. Jawapan kepada persoalan-persoalan dijawab mesra Melayu.
Selepas Isyak, kami makan berdulang. Lauknya ringkas tapi menyelerakan. Selesai makan, segera saya menuju ke meja yang dipenuhi buku-buku karangan Sheikh. Yang paling mengujakan (malu nak mengaku) apabila Sheikh keluar dari surau lantas saya berserta dua lagi Muslimah meminta jasa baik Sheikh untuk menandatangani buku yang telah dibeli. Terpaksalah saya mengaku yang Sheikh ini 'elok' rupanya. Perawakannya sungguh menyenangkan. Tenang.
Sampai ke rumah, saya terus meneliti penulisan beliau. Himpunan hadis yang membantu umat Nabi Muhammad agar hidup dalam keberkatan Allah...
Terima kasih Sheikh!
Wednesday, April 7, 2010
Bila Terasa Teruk
Bila diri terasa teruk, saya pujuk dengan membaca buku yang telah saya hadiahkan kepada seorang rakan petang tadi. Tajuknya Malam Pertama di Syurga. Dia juga mengalami banyak ujian sejak akhir-akhir ini. Ujian kesihatan dan ujian kehilangan.
Entah mengapa, bila diri terasa teruk, saya akan mencari sesuatu yang manis. Saya pujuk hati dengan membaca dan yakin dengan janji-janji syurga Allah. Walau diri terasa teruk, saya tetap mengharap syurga Allah. Pernah saya mendengar alim ulamak berkata, kita ini layaknya Darul Salam sahaja kerana Firdaus adalah untuk para Nabi dan sahabat. Ada pula yang berhujah, kita minta juga Firdaus, beri atau tidak, itu urusan Allah.
Bila diri terasa teruk, bayangan keindahan dan kenikmatan Syurga menenggelamkan rasa teruk itu. Bila membaca janji-janji Allah, kesedihan terubat, kekusutan terungkai, sekurang-kurangnya buat seketika...
Hari-hari di Syurga...berbahagialah kita...
Sunday, April 4, 2010
Rendang Ayam
Tiba-tiba air mata memenuhi kantung mata. Saya terbayangkan andai sahaja saya tinggal di sekitar Selangor atau berdekatan rumah emak, sudah pasti saya akan membuat penghantaran sebekas rendang ke dapur emak. Dan mungkin kami akan berbual-bual sekejap di dapur sambil menghirup air teh o panas kurang manis kegemaran emak. Mungkin bila azan zuhur berkumandang, saya akan solat dahulu sambil mendoakan arwah abah dan kak long, semoga mereka tenang di persemadian abadi. Atau mungkin bila terasa mengantuk usai solat, akan bermalas-malasan sebentar di ruang tamu emak. Mungkin juga emak akan segera ke dapur sebelum Asar, membancuh tepung gandum, gula merah, telur, yis mauripan dan perap sekejap sebelum dikukus dan bila sudah boleh dipotong, apam akan digolekkan ke dalam kelapa parut yang digaulkan secubit garam. Selepas Asar, mungkin kami akan ke kubur abah dan kak long. Dan mungkin, sebelum Maghrib saya akan memandu pulang ke rumah kerana esok anak-anak akan kembali bersekolah.
Ohh begitu jauh angan-angan ini yang tidak pasti bila akan berlaku. Betapa 4 jam perjalanan ke Serendah dari Segamat menghalang angan-angan itu menjadi kenyataan. Hanya kerana rendang ayam, perasaan menjadi begitu sayu. Terus menekan pad handphone. Rasa bersalah bersarang di hati.
Emak, doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan Ya Allah berikanlah peluang untuk menjaga emak diusia emasnya. Takdirkan kami ke arah itu...
Wednesday, March 24, 2010
Bicara Pagi dan Cuci Kereta
Kini, telah lebih 12 tahun, saya menjadi pemandu bagi anak-anak saya. Diam semasa memandu adalah perkara biasa. Radio menjadi teman setia. Kadang IKIM, kadang Sinar, kadang Klasik. Memang sesuai dengan umur. Namun, bila berdiam, mood anak-anak tidak ceria. Sampai ke sekolah, bersalaman, buka pintu kereta, ambil beg di boot, lambai bai-bai mama, bai bai...dan saya akan memandu terus ke pejabat. Ada yang bermuka kelat ditinggalkan. macam tidak puas hati.
Pagi tadi, saya buntu. Perasaan bercampur baur. Ada masalah? Biasalah, semua itu asam garam sebuah kehidupan. Tiba-tiba sahaja saya terkenangkan senario berdiam diri di dalam kereta Ustaz. Kami agak tertekan ketika itu. Atau saya sahaja berperasaan begitu? Mungkin! Saya mencari-cari ide bagaimana untuk menceriakan suasana. Saya perlu berbicara dengan anak-anak yang sedang leka dibuai perasaan yang entah apa. Ternampak di tepi jalan sebuah kedai mencuci kereta yang berdinding warna hitam dan dilakari gambar haiwan termasuk monyet. Saya mendapat ide.
"Alang, kalau mama nak cuci kereta, mama tak nak cuci kat kedai ni"
"Kenapa?"
"Nanti, tengok-tengok keluar monyet cucikan kereta mama, nanti melompat-lompat atas kereta, kuku dia tajam, nanti habis calar kereta ni."
Hahahahaha..
Pagi ini, senyuman lebar menghiasi wajah anak-anak yang melambai-lambai. Mereka masih terbayangkan bagaimana monyet mencuci kereta mama. Saya pula memandu ke UiTM dalam keadaan yang tenang kerana telah bergelak ketawa dengan anak-anak, cuma untuk sebuah lawak jenaka yang akan dibakulsampahkan andai masuk pertandingan Raja Lawak.
Friday, March 19, 2010
Hadiah
Beliau berkreatif dalam berbicara. Serampang dua mata. Biar syariat terpelihara. Simpulan keluarga terjaga.
Kita pandai berbicara kepada orang luar tetapi dalam lingkungan keluarga sendiri, lidah kelu tidak terucap. Takut dilabel 'terlebih-lebih'.
Minggu sudah, ketika makan sekeluarga, saya bercerita dengan adik-adik tentang rahmat Allah. Bertuahnya kita andai Allah memberi rahmat kepada kita selamanya. Tahap iman yang ada bergantung pada masa dan keadaan. Firdaus, the only son in the family menambah betapa bertuahnya juga Si Pemberi Hadiah Tudung Hijau tadi kerana rahmat Allah datang kepadanya dalam keadaan dirinya sekarang. Firdaus lelaki yang sedang meningkat usia. Tercari-cari bakal suri. Pilihan hati sebelum ini cantik menawan. namun entah mengapa, hubungan tidak kekal lama. Emak risau dengan hubungan Daus. Saya mengerti kerisauan emak. Lantas dia berkata kepada emak, 'doakan adik, insyaAllah doa emak didengar dan dirahmati Allah'.
Ringkas bunyinya. Doa emak termakbul dan mungkin dirahmatiNya.
Hadiah hebat dari Allah.
Hujan
Emak bilang Serendah sering hujan terutama sebelah petang membawa ke Maghrib. Betul! Setibanya saya dan anak-anak ke Serendah petang itu, terus saya bergegas solat. Saya melangkah lesu ke ruang tamu rumah. Duduk bersebelahan emak yang sedang berbaring mengadap peti tv. Diusia sebegini, rancangan berbentuk agama memang menjadi pilihan hati emak. Saya merenung keluar melalui pintu kayu yang terbuka luas. Merenung sepohon mata kucing yang sedang lebat berbunga. Kasihan abah, tidak sempat merasa hasil tanamannya. Semoga buah-buahan syurga menjadi gantinya. Tiba-tiba sahaja deraian hujan turun dengan lebat. Titisan air hujan keras kedengaran menghempap bumbung. Segera saya berlari anak menuju ke ruang rehat luar yang menempatkan sebuah meja bulat dan empat kerusi mengelilinginya. Saya renung hujan dalam-dalam. Terasa rindu pada hujan. Andai sahaja umur sekarang sebaya dengan anak bongsu, sudah pasti saya melompat-lompat kesukaan dan membiarkan diri ditimpa hujan. Cukup puas hati ini menikmati dingin udara Serendah. Hujan berhenti apabila seruan azan Maghrib berkumandang.
Bumi UiTM Johor tidak terik pagi ini. Tidak juga hujan.
Hidup diteruskan.
Thursday, March 11, 2010
Taranum, indahnya Al-Quran
Lenggok alunan ayat-ayat suci tersebut sungguh menyentuh hati. Saya pasti semua yang hadir tentu 'hilang' dalam 'asyik'nya mendengar bacaan oleh Juara Qariah Tilawah Al-Quran, peringkat Antarabangsa yang ke 51 tahun lalu. Lebih bagus lagi kalau kita memahami maknanya. Andai sahaja memahami, pasti air mata akan mengalir dek kesedihan atau kegembiraan. Sedih takkala Allah memberi gambaran murkaNya kepada makhluk bernama manusia yang tahu hukum tetapi mendengar bisikan syaitan yang melalaikan. Gembira pula apabila mendengar janji-janji Allah kepada hambaNya yang berusaha bertakwa sepanjang detik dan ketika. Kita pasti tersenyum kepuasan apabila memahami surah-surah yang menjanjikan balasan Syurga yang begitu banyak digambarkan Allah. Kita berusaha untuk kekal konsisten menjadi kita yang lebih baik.
Lalu membaca surah-surah dengan bertaranum menjadikan kita manusia yang cinta Al-Quran. Itu yang dapat dilihat malam semalam. Warga pelajar UiTM Johor cintakan bacaan Al-Quran secara bertaranum. Namun, apa yang lebih penting, pengetahuan tentang tajwid perlu dipelajari terlebih dahulu.
Indah sungguh Al-Quran.
Wednesday, March 3, 2010
Repot Polis?
Saya agak terkejut, agak kasihan dengan anak, agak terasa dengan guru tersebut. Saya berfikir dahulu sebelum bertanya suami tentang apa tindakan yang patut diambil.
"Anak kita mungkin nakal masa di kelas, guru pula mungkin penat, keadaan dalam kelas mungkin agak panas, murid-murid mungkin agak bising, jadi guru mencubit dengan perasaan agak geram..." kata suami.
Jadi, kami diamkan sahaja perkara itu dan menasihatkan anak kami supaya jangan nakal di dalam kelas, buat semua kerja sekolah, jangan melawan nasihat guru, hormat guru, kasih guru.
Anak itu juga pernah bergurau di dalam kelas. Pensil warna merah jambu yang baru di asah kawan dicucuk di atas tapak tangannya. Mereka bergurau. Tiada guru di dalam kelas pada waktu itu. Tiada kakak atau abang darjah enam yang mengawasi kelas. Murid-murid dibiar tanpa pengawasan.
Anak bertuah itu pulang ke rumah. Dia menunjukkan tapak tangannya yang membengkak. Apabila saya picit di kawasan yang bengkak itu, keluar nanah berwarna merah jambu. Warna itu sungguh menawan hati. Terpaksa dibawa ke klinik. Kawasan tersebut terpaksa dibelah sedikit untuk dikeluarkan segala nanah yang bermaharajalela.
Saya terus berjumpa Guru Besar keesokannya. Saya berbincang dari hati ke hati tentang tanggungjawab sekolah untuk menjaga keselamatan murid-murid tanpa guru di dalam kelas. Murid-murid perlu diawasi. Memadailah dengan menempatkan pelajar yang lebih dewasa supaya kelas dalam keadaan terjaga sekurang-kurangnya. Kecuaian membawa padah. Guru memegang tugas menjaga keselamatan murid dalam kawasan sekolah. Guru Besar menerima dengan hati terbuka.
Saya tidak perlu 'repot' polis.
Friday, February 19, 2010
Kata-kata mereka yang direka-reka
Pesalah zina wanita yang disebat adalah satu kes diskriminasi kata mereka.
Undang-undang jenayah syariah bercanggah dengan undang-undang sivil kata mereka lagi.
Sebat pesalah zina dianggap melanggar hak asasi manusia kata mereka.
Hukuman sebat dikatakan zalim dan tidak berperikemanusiaan kata mereka juga.
Penyelidikan mengatakan hukum sebat bukanlah satu hukuman yang bersifat mencegah kata mereka lagi.
Kata saya:
- Adakah Allah telah mendrikiminasi wanita di dalam hukumanNya?
- Siapakah yang mengeluarkan firman tentang hukuman sebatan? Dan siapa pula yang membuat undang-undang sivil?
- Adakah hak asasi manusia itu diiktiraf sepenuhnya oleh Al-Quran?
- Zalim atau tidak adalah hak Allah. Jika sudah dinyatakan dalam Al-Quran, layakkah kita mengatakan hukuman sebat itu zalim? Layakkah?
- Adakah penyelidikan hukuman sebat ke atas pesalah zina pernah dibuat?
Berani sungguh mereka yang sanggup mereka-reka namun mengata-mengata Pencipta mereka.
Tuesday, February 2, 2010
Undang-undang apa lagi yang perlu?
Akta Kanak-Kanak 2001 mewajibkan seseorang pengamal perubatan yang memeriksa seseorang kanak-kanak dan disyaki telah dicabul, untuk membuat laporan polis. Dan inilah yang terjadi di Kuala Lumpur Khamis lepas. Hasil laporan doktor yang merawat, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun didapati telah dicabuli sepupunya yang berusia 13 tahun. Ya Allah, sebaya anak sulung saya!!!! Kanak-kanak 5 tahun sudah mampu mengingati perkara-perkara penting dalam hidupnya. Dia akan hidup dalam memori tersebut. Kemungkinan trauma.
Saya menyalahkan teknologi dalam hal-hal malang seperti ini. Dan juga penyedia teknologi. Dan juga penguatkuasa yang memantau teknologi. Juga ibubapa yang memberikan telefon berkamera kepada anak-anak mereka. Masalahnya, kita ada cukup undang-undang. Namakan sahaja, Akta Komunikasi? Ada! Akta Kanak-Kanak? Ada! Kanun Keseksaan? Ada! Kita ada undang-undang yang cukup lengkap. Namun, mengapa masih berlaku kes-kes seumpama?
Apa yang kita tiada? Kita tiada ehsan terhadap kanak-kanak...dan 'kita' itu ramai jumlahnya dalam masyarakat. Pembunuh Nurin masih lepas bebas, penculik Sharlinie?
Doakan yang terbaik buat anak-anak kita..moga Allah melindungi mereka...