Feb 18, 2010

Baik, dan Terbaik.




“Abg Ammar, Ameer nak kuih donut!” pinta adikku sambil menuding ke arah 2 ketul donut yang terhidang indah di atas meja makan.

“Nah, amik ni, makan bagi habis tau!” aku hulurkan salah satu donut yang ada.

“Tak nak, Ameer tak nak yang donut ni.” Adikku tiba merungut.

“Ameer nak donut yang besar tu!” Ameer merengek sambil menghentak-hentakkan kaki.

“Haish budak ni.” Balasku.

******

Suatu ketika selepas Ameer mandi, “Abg Ammar, tolong carikkan Ameer baju nak pakai.” Minta Ameer.

Lantas, aku ke almari baju dan memberi Ameer beberapa helai baju yang sesuai untuknya.

“Ameer tak nak baju ni!” bentak Ameer.

“Ameer nak baju yang power tu, yang Ben10 tu.” Rungutan Ameer buat aku terus mencari-cari baju yang diinginkannya walau entah ada tak baju itu.


******

Dari kedua-dua peristiwa tadi, buat saya sering terfikir-fikir kenapa budak-budak kecil ni suka memilih? Fitah manusia itu dapat dilihat dari zaman kanak-kanak kerana mereka itu masih dalam keadaan yang suci dan sering bertindak mengikut naluri bersih manusia yang tidak terbias dengan pemikiran-pemikiran kotor (walau bi’ah saiyiah sekarang sangat syadid). Apa pun, mereka sebenarnya masih dalam keadaan fitrah.


Ameer Hafiz. Adik ku yang paling bongsu. Ragamnya seringkali

mencuit hati, tapi kadang2 agak 'hyperactive'.


Jadi, fitrahnya manusia itu sukakan yang baik dan terbaik. Kalau dalam kisah tadi, Ameer nak yang donut besar dan nak baju yang power. Meski istilah ‘baik & terbaik’ ini bersifat subjektif, namun Islam itu sebagai agama fitrah sememangnya telah menggariskan istilah ini dalam konteks yang sesuai dicapai oleh peranan kita sebagai seorang manusia. Allah tidak sesekali mengharapkan manusia itu mencapai tahap kesempurnaan, kerna itu diluar kadar kemampuan manusia. Tetapi, Allah menganjurkan hamba-Nya untuk menjadi baik dan terbaik dalam setiap apa yang kita lakukan. Sifat ihsan yang diajarkan dalam agama jelas menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan tahap terbaik dalam amalan.


Pepatah melayu ada mengatakan, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.” Kata saya, alang-alang buat baik, biar buat yang terbaik. Bukanlah saya bermaksud untuk mengambil mudah hal kebaikan, cuma kita ambil kebaikan itu sebagai satu kemestian. Mudahnya, amalan yang baik adalah perkara yang tidak boleh lari dari kehidupan kita. Dari kita bangun dari tidur sehingga kita kembali melelapkan mata meneruskan sisa-sisa kehidupan, terbentang banyak perkara kebaikan dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besarnya. Cuma persoalannya, terbaikkah apa yang kita buat?


Kalau dalam solat, apakah kita mampu yakin solat yang kita tunaikan benar-benar terbaik? Dalam amalan bantu-membantu orang lain, adakah bantuan itu adalah terbaik yang mampu kita curahkan? Dan macam-macam lagi yang boleh kita nilai. Apa pun, janganlah dilakukan sesuatu perkara bagai melepas batuk di tangga. Namun, apa yang ingin sekali saya tekankan dalam melakukan yang terbaik adalah dalam kita melakukan kewajipan sebagai seorang da’ie. Walau kita di peringkat mana pun, selagi mana kerja amar makruf wa nahi mungkar kita laksanakan seharusnya dilakukan dengan sebaik mungkin. Walau ia perkara kecil yang mungkin kita nampak tidak memberi sebarang impak yang mendalam terhadap perjalanan dakwah.


Namun, boleh jadi amalan yang kecil itu diterima Allah jika ia dibuat dengan sebaik mungkin berbanding amalan yang besar itu dilakukan secara sambil lewa. Janganlah mengambil kira kecil atau besar, banyak atau sedikit, sunat atau wajib, yang penting ia adalah terbaik yang mampu kita lakukan. Ingat! yang penting kualiti, bukan kuantiti.


Semoga entri ringkas ini dapat kita sama-sama amalkan khususnya diri saya sendiri. Janganlah menjadikan tidak tahu atau tidak pandai sebagai alasan, kerna Allah tidak lihat pada hasil tetapi Allah melihat pada usaha kita. Apa yang penting? kita buat, dan bila buat pastikan yang terbaik yang mampu kita hasilkan. InsyaAllah..


WaAllahu 'Alam.


Related Posts with Thumbnails