Assalamu'alaikum w.b.t,
Dukacita dimaklumkan isteri kepada Hj Wan Mohd (Merbok) telah pulang ke rahmatullah pagi tadi.
Alfatihah..
* Hj Wan ialah cucu kepada Hj Mohd Shafie Losong
.::alzubaidi nusantara::.
Wednesday, June 29, 2011
Thursday, November 25, 2010
Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi: Hj Nawawi bin Hj Mohd Tahir
Keturunan Syaikh Ahmad di Perak Darul Ridzuan
Di negeri Perak keturunan Syaikh Ahmad bertumpu di kawasan Pantai Remis, Pengkalan Baru dan Taiping. Di antara tokoh yang menonjol dari keturunannya di Perak ialah Haji Nawawi bin Haji Mohd. Tahir bin Mohd. Amin bin Abdul Rahman bin Syaikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani.
Biografi Haji Nawawi bin Haji Mohd. Tahir
Hj Nawawi lahir pada 1300 Hijrah bersamaan 1881 Masihi dan meninggal dunia pada 21.7.1969. Beliau mendapat pendidikan dari bapa saudaranya Haji Mohd. Shafie Losong di Terengganu dan Tuan Hussain Al-Banjari di Kedah.
Menjadi penasihat agama kepada 5 orang Sultan Perak dari Sultan Alang Iskandar hingga ke Sultan Abdul Jalil. Beliau adalah anggota pengasas Madrasah Idrisiah Bukit Chandan bersama beberapa ulama terkemuka seperti Syaikh Hassan Yamani (bapa kepada Syaikh Ahmad Zaki Yamani – bekas Menteri Minyak Saudi), Syaikh Abdullah Maghribi dan Syaikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi).
Mempunyai 24 orang anak dari 3 orang isteri. Beliau dikenali sebagai Tuan Che’ Wi Janggut Merah disebabkan beliau selalu menginaikan janggut dan rambut beliau.
Ketokohan Beliau
Kalau Haji Shafie Losong dikenali sebagai ulama yang sangat wara’. Haji Nawawi pula dikenali dengan sifat berani dan tegas beliau dalam mempertahankan hukum-hukum Islam. Peristiwa-peristiwa berikut menunjukkan keberanian beliau :-
i. Fatwa mengenai tegahan berkabung dengan melilit kain putih di kepala yang diamalkan oleh para kerabat di raja. Segolongan masyarakat telah mengadukan kepada Sultan Perak mengenai tegahan beliau terhadap perbuatan tersebut. Beliau dipanggil mengadap Sultan. Umum menganggap beliau akan dimurkai Sultan.
Beliau telah datang ke istana dengan membawa kain putih (kain kafan) lalu ditanya Sultan untuk apa kain tersebut. Jawab beliau : “Kalau patik dihukum pancung pada hari ini kerana fatwa tersebut maka inilah kain kafannya”.
ii. Sultan Perak (Sultan Iskandar) telah memanggil para ulama Perak untuk berbuka puasa di istana. Belum pun tiba waktu berbuka Sultan Iskandar menyeru kepada semua yang hadir supaya menjamah makanan. Semua mereka terdiam tidak berani membantah lalu Haji Nawawi bangun memberitahu Sultan dengan kata-kata : “Kalau tuanku hendak masuk neraka masuklah seorang”.
Akhirnya Sultan memuji keberanian beliau menegur Sultan dan Baginda memarahi ulama-ulama yang membisu dengan kata-kata , “Nasib baiklah di negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta”.
iii. Beliau pernah menunggu di tempat yang pernah dijadikan tempat semah jin dengan kepala kerbau secara tahunan. Bagi menghapuskan amalan tersebut beliau telah menunggu di tempat dan waktu yang pada tiap-tiap tahun diadakan acara menjamu kepala kerbau. Apabila tiba masanya jin tersebut telah datang dan menggegarkan suasana sekeliling. Keesokannya bomoh yang meminta supaya dijamu kepala kerbau telah meninggal dunia.
Beberapa Keistimewaan Beliau
1. Sewaktu pemerintahan Bintang 3 (selepas pengunduran Jepun) banyak ulama telah dibunuh. Beliau antara yang menjadi sasaran tetapi dipelihara Allah s.w.t.. Satu peristiwa berlaku di mana kebiasaannya komunis Bintang 3 melarang orang-orang kampung untuk menghadiri pengajian agama di masjid atau surau.
Pada suatu hari anak murid beliau ditanya komunis ke majlis siapa (di masjid) yang beliau hendak pergi. Maka dijawabnya; “Majlis Hj Janggut Merah”. Lalu komunis tersebut tidak jadi menghalang orang tersebut. Apabila ditanya mengapa beliau tidak melarang, maka komunis menjawab bahawa mereka pernah menangkap Hj Nawawi dan dimasukkan ke dalam guni untuk dilemparkan ke dalam laut Pantai Remis. Namun akhirnya mereka mendapati beliau tidak ada, dan yang ada hanyalah batu (padahal pada waktu itu Haji Nawawi berada di rumah). Peristiwa tersebut menimbulkan rasa gerun di hati mereka dan mereka tidak berani mengganggu lagi.
2. Seorang penjual ikan membuat pengakuan kepada penulis bahawa beliau sewaktu kecil sangat nakal dan pernah menuang ikan dari raga (hasil menjala ikan Haji Nawawi) ke atas pasir. Apa yang menghairankan beliau adalah ikan tersebut telah melompat masuk balik ke dalam raga tersebut. Peristiwa itu sedikit sebanyak telah menginsafkan penjual ikan tersebut.
3. Di satu majlis ilmu, Hj Nawawi telah menutup kitab dan memberhentikan kuliah beliau. Beliau memberitahu majlis bahawa isterinya telah bersalin. Apabila ditanya beliau siapa yang memberitahu, beliau menunjukkan burung yang berada di tingkap itu yang memberitahunya. (perkara ini diceritakan oleh seorang anak murid beliau)
4. Di hari kematian beliau, pelepah pisang yang dipotong untuk menutup kawah nasi tidak kering selama lebih kurang 40 hari, walaupun ketika itu musim kemarau.
5. Beliau menguasai pelbagai bahasa seperti Arab, Urdu, Tamil, Cina, Inggeris, Aceh dan lain-lain.
6. Beliau juga mendalami ilmu perubatan Arab-Yunani (Greco-Arabic Medicine) dan Berjaya menghasilkan beberapa jenis formulasi ubat berasas herba termasuk Ma’jun Saidina Ali yang merupakan formula yang diamalkan oleh Saidina Ali karramallahu wajhah.
Penutup
Hj Nawawi tetap dikenang sehingga sekarang sebagai Ulama Perak yang berpendirian tegas dan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi sekarang. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi: Hj Omar Merbok (1858-1938)
Kemunculan ulama di negeri Kedah Darul Aman merupakan satu kesinambungan bagi meneruskan matlamat perjuangan para Nabi dan Rasul supaya manusia tidak jemu-jemu menuntut ilmu fardhu ain dan fardu kifayah. Di dalam konteks ini tidak juga terkecuali penglibatan Haji Omar di dalam mengembangkan ilmu agama kepada masyarakatnya. Baginya menyebar dan mengembangkan ilmu agama adalah merupakan satu ibadah yang diwajibkan ke atas manusia.
Nama penuh Haji Omar Merbok ialah Haji Omar bin Haji Muhammad Amin bin Tok Subuh Abdul Rahman bin Sheikh Ahmad Al-Zabidi Al-Yamani. Beliau dilahirkan di Kampung Kangkung, Simpang Empat, Alor Setar, Kedah pada tahun 1858 dan merupakan anak bongsu dari tujuh orang adik-beradik. Neneknya mengembara dari Yaman ke Acheh dan kemudiannya ke Tanah Melayu semata-mata untuk menjalankan dakwah Islamiah. Di Tanah Melayu, beliau bertemu jodoh dengan seorang gadis di Seberang Prai. Hasil perkahwinannya itu beliau mendapat seorang cahaya mata lelaki yang bernama Muhammad Amin, iaitu ayah kepada Haji Omar.
Haji Omar mendapat didikan awal di kampung halamannya sendiri dan kemudian meneruskan pelajarannya di sebuah sekolah agama pondok di Terengganu. Dalam lingkungan umur dua puluh tahun beliau menyambung pula pelajarannya di Mekah selama tujuh tahun. Sekembalinya dari Mekah, beliau berkahwin dengan Cik Zainab binti Muhammad Saman, seorang gadis dari Bukit Tengah, Seberang Perai. Hasil perkahwinannya itu beliau dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata iaitu Zainal Abidin, Khalijah, Che Ah, Romlah, Rodziah, Mukminah dan Ahmad.
Adalah tidak lengkap jika seseorang yang menuntut di Mekah tidak membuka sekolah agama ataupun mengajar agama kepada masyarakatnya. Begitulah dengan Haji Omar yang mengambil inisiatif membuka sebuah sekolah agama mengikut sistem sekolah pondok di Kampung Sungai Kedak, Seberang Perai. Pada tahun 1928, setelah lima tahun mengajar di sini, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Merbok pula. Ada yang berpendapat bahawa selain daripada membuka sekolah agama, beliau juga berhasrat untuk memugar tanah untuk menanam pokok getah. Ini disebabkan permintaan terhadap getah adalah tinggi pada ketika itu.
Pada tahun 1933, Haji Omar dengan bantuan masyarakat tempatan telah membersihkan sebidang tanah di satu kawasan bukit yang berhampiran dengan Merbok. Dan kawasan yang diterokai ini dikenali dengan nama Bukit Haji Omar hinggalah sekarang.
Sekolah pondok yang dibuka oleh Haji Omar dikenali dengan nama Madrasah Bukit Haji Omar. Selain daripada pelajar tempatan terdapat juga pelajar-pelajar daripada Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Jambi (Indonesia) yang datang menuntut di madrasah tersebut. Antara mata pelajaran yang diajar di sini termasuklah membaca Al-Quran, Tafsir, Hadis, Fiqh, Usuluddin dan Sirah.
Selain daripada mengajar, Haji Omar juga gemar menulis tentang hal-hal agama. Menurut anaknya, Haji Ahmad, bapanya telah mengarang beberapa buah kitab mengenai Usuluddin, tetapi sayangnya kitab-kitab itu telah hilang dari simpanannya. Adalah dipercayai juga bahawa Haji Omar mempunyai kekuatan luar biasa kerana beliau dapat mematahkan besi sebesar jari kelingking dengan menggunakan tenaga fizikalnya sahaja.
Apabila perjalanan sekolah pondoknya agak mantap, Haji Omar ke Mekah sekali lagi pada tahun 1938 untuk menunaikan rukun Islam kelima. Kali ini beliau ditemani oleh isteri dan anaknya, Ahmad. Beliau hanya sempat berada di Tanah Suci selama empat belas hari sahaja kerana diserang demam panas lalu meninggal dunia. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ma’ala di Mekah.
Suatu hal yang agak menarik juga ialah empat orang daripada menantunya, setelah berguru kepadanya, akhirnya membuka madrasah masing-masing. Haji Ishak misalnya, membuka sebuah Madrasah di Pengkalan Baru, Pantai Remis, Perak. Haji Othman Yunus mengasas pembukaan sekolah Pondok Besar, Kedah. Haji Ismail dan Lebai Abas pula menjadi ulama yang terkenal di Merbok.
Walaupun Haji Omar telah meninggal dunia, namun kegiatan menyebarkan ilmu melalui sekolah pondoknya tetap diteruskan oleh anak-anak, para menantunya dan juga cucu-cucunya. Mulai tahun 1982, Madrasah Bukit Haji Omar diberi nafas baru dengan beberapa penyesuaian baru supaya ia dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Islam Merbok atau nama ringkasnya YAPIM. Jadi, penglibatan Haji Omar dalam bidang ilmu pendidikan tetap mengharum bak setanggi untuk sepanjang zaman.
Dipetik dan diedit daripada Siri Ulama’ Kedah, oleh Ismail Restu.
MADRASAH ZUBAIDIYAH MERBOK
Madrasah Zubaidiyah Merbok didirikan pada tahun 1988 sebagai kesinambungan usaha-usaha Haji Omar Merbok mendirikan Madrasah Bukit Haji Omar dan Yayasan Pengajian Islam Merbok (YAPIM), menyediakan sekolah rendah dan menengah Islam, pusat jagaan anak yatim dan aliran Tahfiz Al-Quran.
Kini mudirnya ialah saudara Hanif Ghazali-cicit kepada Haji Omar Merbok. Kemudahan-kemudahan seperti asrama, surau, dewan dan lain-lain lengkap disediakan di sini.
Keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi: Hj Mohd Shafie Losong
Seperti yang telah disebut sebelum ini, sejumlah besar keturunan Syeikh Ahmad Al-Zabidi bermastautin di Kedah seperti di Tanjung Maseri Alor Setar, Merbok, Kuala Kangkong, Langgar, Sungai Kedak dan Yan. Di Terengganu pula, sejumlah besar mereka menetap di sekitar Losong Haji Mohd Shafie (Hj Mohd Shafie Losong adalah cucu kepada Tok Subuh Abdul Rahman) yang berhijrah ke Terengganu untuk belajar dari Tokku Paloh (Syed Abdul Rahman Al-Idrus) dan terus berumahtangga dan membuka pengajian pondok di Losong, Kuala Terengganu. Kampung tersebut dikenali sebagai Losong Haji Mohd Shafie sehingga sekarang.
Hj Mohd Shafie hidup sezaman dengan Tok Kenali Kelantan. Tok Kenali pernah berkata: "Tidak ada orang lain (di zaman itu) yang lebih dalam ilmu tasawwufnya dari Hj Mohd Shafie Losong"
Ketokohan Hj Mohd Shafie
Hj Mohd Shafie Losong terkenal sebagai ulama yang sangat warak dan penuh dengan kekeramatan. Sewaktu Terengganu dilanda kemarau pada awal kurun ke-20, pemerintah Terengganu akan bertanya kepada beliau di mana tempat yang perlu digali perigi kerana tempat yang ditunjukinya biasanya akan mempunyai air.
Beliau selalu berjalan dalam keadaan tunduk bagi menundukkan pandangan dari aurat wanita. Di sebelah rumah beliau terdapat sebuah pondok kecil tempat beliau bermuqorrobah dengan Allah swt. Beliau adalah pengamal Tariqat Syatariah. Isteri beliau Allahyarhamah Hajjah Su pernah menceritakan di akhir-akhir hayat beliau, Hj Shafie begitu asyik berzikrullah sehingga kadangkala beliau lupa untuk makan, lalu disuap makanan oleh isteri beliau. Begitulah gambaran seorang ulama kekasih Allah. . Sewaktu penaklukan Jepun beliau dilihat menghembus sesuatu ke arah kapal terbang Jepun dan bom tentera Jepun tidak jatuh di sekitar tempat beliau menetap. Beliau pulang ke rahmatullah pada tahun 1947. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Monday, November 22, 2010
SEDIKIT CATATAN IJTIMA' AIDILADHA AL-ZUBAIDIY 20 NOV 10'
Ucaptama: Ayah Chik Hj Abdul Rahim bin Hj Mohd Shafie
(Generasi ke-4 Sheikh Zabidi yang masih ada, dari Losong, Terengganu)
Ucapan wakil keluarga Zubaidi di Perak:
Hj Mohd Rejab bin Haji Nawawi (Pak Ndak Jab)
Presentasi daripada penyelaras Binnawawi dan AlZubaidi:
Hj Zabidi bin Hj Nawawi
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil Zubaidi international saudara 'Isa Zubaidiy (mantan setiausaha agung Persatuan Arab Malaysia). Beliau melahirkan rasa gembira di atas majlis yang diadakan dan bersedia menjadi 'linkman' kepada usahawan-usahawan dari keluarga Zubaidiy untuk perniagaan di peringkat global. Pada masa ini beliau mempunyai ladang ternakan di Perth, Australia.
(Generasi ke-4 Sheikh Zabidi yang masih ada, dari Losong, Terengganu)
Ucapan wakil keluarga Zubaidi di Perak:
Hj Mohd Rejab bin Haji Nawawi (Pak Ndak Jab)
Presentasi daripada penyelaras Binnawawi dan AlZubaidi:
Hj Zabidi bin Hj Nawawi
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil Zubaidi international saudara 'Isa Zubaidiy (mantan setiausaha agung Persatuan Arab Malaysia). Beliau melahirkan rasa gembira di atas majlis yang diadakan dan bersedia menjadi 'linkman' kepada usahawan-usahawan dari keluarga Zubaidiy untuk perniagaan di peringkat global. Pada masa ini beliau mempunyai ladang ternakan di Perth, Australia.
Subscribe to:
Posts (Atom)