Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Indochina II - Sebuah Perjalanan

Johor Bahru - Ho Chi Minh, Vietnam - Siem Reap, Kemboja - Bangkok, Thailand - Bagan, Myanmar - Johor Bahru

Sambungan kepada Indochina I - Sebuah Perjalanan.

Koleksi album foto kenangan dipaparkan dalam album Merayap 74.

Aku mengambil keputusan untuk bersandar di sudut berkaca betul-betul bersebelahan pintu LRT. Ini adalah satu-satunya posisi paling selamat, buat mereka yang tidak termasuk dalam kategori OKU, wanita mengandung, warga emas, dan pesakit kategori parah. Setiap kali kau berada dalam posisi ini, kau akan rasa bebas daripada rasa bersalah. Hampir dua bulan aku di sini, menjalani kehidupan yang sedikit berbeza.

Dalam posisi ini juga, jendela LRT bagaikan layar yang bergerak membingkai pemandangan pagi kota lumpur, bersama bayang-bayang hitam bangunan-bangunan pencakar langit yang tumbuh bagaikan cendawan. Sekaligus, mengingatkan aku kepada sosok bayangan anak kecil bernama Mi Hwa yang sedang berdiri di hadapan pintu gerbang kuil Angkor Watt sambil tangan sebelah kanannya memapah di dinding berbatu. Apatah lagi senyuman mesranya, terasa aura lokal menambahkan keseruan perjalanan tempoh hari.

Suhu yang hampir mencecah 32 darjah Celcius benar-benar mencipta sedikit suasana pra-sejarah bersama sinar Matahari terik, memantulkan warna oren keperangan struktur-struktur kuil yang puluhan tahun tersembunyi di dalam hutan ketika zaman kerajaan Khmer. Betul-betul seperti dalam filem Tomb Rider.


Mi Hwa hanya berdiri dan tersenyum. Kami cuba berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan dengan perlahan sedaya upaya merakam setiap sudut interaksi. Ternyata anak kecil ini begitu fasih berbahasa Inggeris dan tidak segan silu memperkenalkan diri sambil menerbang-nerbangkan kain skirt paras lututnya menunjukkan dia berasa senang berjumpa dengan kami. 

Sambil mengipas-ngipaskan tangan, aku duduk bersandar dengan harapan, hilang sedikit udara bahang sekeliling. Padahal itu cuma permainan psikologi. Rakan yang lain turut melabuhkan punggung di atas batu, ada yang menogok air mineral sepuasnya. Sebenarnya sudah lebih 10km kami berjalan dari satu kuil ke satu kuil, dan ini adalah kuil yang terakhir yang dikenali sebagai 'kuil besar' atau Angkor Watt. Untuk menuju dari satu kuil ke kuil yang lain, kami menggunakan khidmat kereta pedati kuda yang agak popular di sini.

(Bersambung)

Sengaja Aku Datang ke Kotamu

“Sengaja aku datang ke kotamu. Lama nian tidak bertemu. Ingin diriku mengulang kembali. Berjalan-jalan bagai tahun lalu.”

Lagu Sepanjang Jalan Kenangan sedang bermain menerusi corong aplikasi Spotify yang baru sahaja aku muat turun semalam. Sedikit sebanyak, kepulangan ke kota ini atas urusan kerja, mengembalikan kenangan saat pertama ditugaskan di sini. Nagoya, lebih khusus. Masjid Baitu-Syakur yang dulu masih dalam renovasi, sekarang sudah hampir siap sepenuhnya. Tiada lagi kanvas terbentang menutupi mimbar. Jemaahnya tetap ramai seperti dulu. Solat Maghrib di sini sendiri, melihat orang-orang yang datang dari seluruh pelusuk daerah di Indonesia, memberikan banyak refleksi terhadap diri. Raut muka, Bahasa pertuturan, tingkah laku mereka mengajar banyak hal. Aku menarik nafas sambil tersengih sendiri.

Dahulu sering disebut, di sini lah, sebelah neraka dan sebelah lagi syurga. Lelucon yang sering diungkapkan apabila ada yang menanyakan tempat aku bermaustatin di sini. Di sebuah rumah kost atau rumah kedai yang mempunyai banyak bilik yang disewakan, rata-rata orang asing seperti aku. Kerana banyak orang asing, ramai yang membuat mulut seringkali orang asing membawa perempuan pulang ke bilik. Tahu sahajalah apa lagi yang dilakukan kalau bawa perempuan pulang. Mustahil bawa pulang kerana mau ajar memasak. Lawak hambar.

Demikian apa pun yang diceritakan orang, tidak kira di mana Bumi dipijak, di situlah langit dijunjung dan di situ lah keperibadian serta prinsip hidup harus dijaga. Tidak perlu terlalu masuk kambing mengembek dan masuk kandang harimau mengaum. Tergantung dalam suasana apa. (Menjelingkan mata)


Hal pertama yang aku lakukan apabila tiba di sini adalah menikmati setiap inci tubuh ayam sambel idjo Podomoro yang sangat kuat memancing nafsu makan. Kalau dahulu, hampir setiap minggu sekali, Ashraful, Syahera, Hamizan dan Esdelyn sering berlumba-lumba mengajak untuk ke sini. Aku hanyalah penggemar dan pengikut yang kadangkala berubah kesetiaan. Mana tidaknya, kalau sudah sebulan empat kali, tidakkah kau merasa bosan? Warong kecil di tepian longkang yang meriah dengan tikus-tikus bagaikan kucing peliharaan. Namun keenakkan ayam bersama sambal hijau mentah yang digaul bersama mentega itu cukup membuat kami lupa akan semua yang buruk itu. Ternyata betul, cinta itu buta. Cuma Alhamdulillah, berkat sokongan pengunjung tegar seperti kami, satu cawangan telah ditubuhkan dengan kondisi restoran yang lebih bersih dan selesa. Ruang atau kedai baru betul-betul bertentangan dengan warung kecil yang lama di Jalan Imam Bonjol. Pengudaraannya lebih bagus, ruang makan lebih luas tetapi para penghibur jalanan tetap melontarkan vokal sambil memetik gitar. Sekarang, mereka akan berdiri di satu sudut, bagai pentas utama. Ada cermin dan sinki di sebelah. Kalau dilihat dari sudut ini, boleh kelihatan sisi belakang tubuh sang penghibur yang bertukar-tukar hampir setiap 10 minit. Macam seni lah menurut aku. Pada malam sekembalinya aku di sini, seorang penghibur jalanan membawa lagu Sepanjang Jalan Kenangan lagi. Ini adalah sebuah kebetulan. 

Walaupun baru sahaja empat bulan meninggalkan kota ini, namun terlalu banyak hal yang aku ditinggalkan. 

Makcik di Golden Triangle

Aku terus mengikuti si makcik separa abad yang sedang menjinjing guni plastik di genggaman tangan kirinya. Entah tong sampah yang ke berapa dia selongkar selepas ini. Melewati Menara Prest1ge. Langkah kakinya begitu deras bagai jeram sungai selepas hujan dan berbelok-belok pula seakan tidak seimbang. Sengaja aku memperlahankan langkah supaya aku kekal jarak di belakang dua saat. Kali ini, dia agak berjaga-jaga apabila mengeluarkan beberapa biji tin minuman daripada tong yang terletak betul-betul di hadapan bar terbuka. Mungkin ditakuti terpegang tin atau botol alkohol. Mulut aku begitu berat untuk memulakan perbualan dan cuma berharap supaya tin alumuniumnya jatuh, supaya aku ada alasan. Tetapi malangnya itu tidak terjadi. Bayangkan, di tengah-tengah kawasan Golden Triangle ini, masih ada golongan yang tidak bernasib baik seperti makcik yang berbaju kurung hijau bunga-bunga ini, berusaha keras mencari rezeki yang mungkin dianggap kotor buat orang lain. Bermacam-macam andaian dalam kepala aku. Mungkin dia adalah ibu tunggal yang mempunyai anak ramai yang masih bersekolah, memaksa dirinya untuk mencari duit lebih. Mungkin juga dia sendiri menghabiskan sisa-sisa kehidupan setelah dibuang keluarga tersayang atas sebab-sebab bodoh yang terbit dalam masyarakat yang terpengaruh dengan drama-drama petang di televisyen. 

Kesian. Sebuah perasaan yang ada di dalam sanubari setiap insan tetapi kita terkadang terlalu takut untuk melakukan kebaikan. Takut dicop 'attention seeker', takut dianggap luar daripada kebiasaan, takut riak dan sebagainya.

Sebaik sahaja berkedip mata melewati lampu isyarat pejalan kaki, si makcik tadi hilang dari pandangan tanpa aku sempat mengenal wajahnya. Mungkin ilham daripada Tuhan.