Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Beberapa Rasa Damai di Pulau Abang

Cuaca nampaknya tidak begitu mendukung pada pagi itu. Dari jendela kereta, kelihatan Matahari ditapis dengan gumpalan kumulonimbus yang gemuk-gemuk dan menurut perkiraan aku, sampan kami bakal di penuhi dengan titis-titis air hujan yang menghentam ganas nanti. Namun begitu, kami redahi jua bersama bekalan roti-roti, jajan, keropok ikan, dan beberapa botol Pocari Sweat yang membusung dalam beberapa kantung plastik. Sepertinya, bekalan makanan ini bukan saja cukup untuk sehari perjalanan malah cukup untuk tiga hari perjalanan. Sesekali, aku bersiul lagu 'Sweet Disposition' kerana suasana begitu tepat dengan melodi dan makna lagu ini. Antara rasa damai pada hari cuti bekerja yang jarang aku dapatkan.


Elsa yang berbaju kuning, santai bersandar di daun pintu tetapi mukanya langsung berubah sangsi saat aku menekan punat kamera. Lain pula reaksi Hawa yang sedang duduk bermanja di atas riba abangnya, Heru. Kind of simple pleasures in life that could revert back to you during childhood. This is Pak Jamal's family, one of 300 native Malay families in Pulau Abang, Kepulauan Riau, Indonesia.

Kerana kedua-dua tayar motosikal pancit, aku segera mendapatkan Pak Warin seorang tukang ojek yang sudah sering hantar dan jemput apabila betul-betul dalam kecemasan. Orangnya berkumis tebal nampak bengis tetapi kalau betul-betul kenal, ternyata lucu dengan fizikal tubuhnya yang kecil. Sepantas kilat, dia sampai di depan pagar masuk nombor 5. Dalam hatiku berharap, semoga Pak Warin betul-betul sudah mandi seperti yang dia akui dalam perbualan di telefon tadi. Aku pun dibonceng di atas motosikal menuju ke SD Agama Nurul Haq di Batu Aji dengan penuh perasaan sangsi. Di sekolah pondok inilah tempat kami berkumpul yang rata-rata kami datangnya dari arah yang berbeza. Pertama kali ke sini agak sukar kerana tempatnya yang agak tersorok.


Menurut aku, Elsa umpama teman yang begitu baik kepada Hawa. Apabila dihulur keropok, Elsa terlebih dahulu memastikan Hawa merasai dulu keropok itu sebelum dirinya. Heru dapat dilihat sebagai sosok seorang anak lelaki yang tidak banyak cakap dan taat kepada kedua-dua orang tuanya. Saat berjalan di atas sampan, dengan sopan, dia minta izin untuk melangkah dan melewati kami yang sedang duduk untuk mencapai sauh kapal. Budaya kesopanan Melayu yang jelas terpancar dalam tingkahnya. Topi merah di kepalanya itu berlogo UGM (Universitas Gadjah Mada) dan tidak pernah lepas dari kepalanya sepanjang berada di atas sampan. Mungkin itulah menggambarkan semangat Heru yang tidak pernah padam. Tidak mustahil, anak ini akan berjaya menuntut ilmu sehingga ke menara gading kehidupan.

Baru saja mengenali keluarga Pak Jamal dan buat pertama kali melangkah masuk ke rumah panggung di atas air yang berlatarkan kampung nelayan. Berjalan sepanjang titian jeti umpama menuju ke terminal kedamaian lebih-lebih lagi saat angin menyisir rambut aku yang gondrong. Satu lagi rasa damai pada hari cuti bekerja yang jarang aku dapatkan.

Di sebelah kiri terdapat sebuah bangunan kayu yang mempunyai seakan jambatan kecil sepanjang 10 meter ke arah laut didukung oleh beberapa pasak kayu menegak. Menurut orang sini, itulah kilang memproses ais untuk memastikan ikan atau hasil tangkapan kekal segar. Tongkang akan melabuhkan sauh dan menerima saluran ketulan-ketulan ais langsung dari jambatan tadi. Kami sempat menjengah dari jendela kilang proses ais tersebut kerana terlalu ingin tahu bagaimana ais diproses di sini. Secara ringkas, freon dan sistem penyejuk beku digunakan bersama sistem 'air cooling system' kerana bisa dilihat menara air yang dilimpahkan dari luar kilang. 


Pulau Ujong Benan menyajikan pemandangan yang dramatik dan kalau bikin filem di sini, filemnya akan jadi persis seperti drama Melayu Rashid Sibir. Apabila berjalan merentas lalang yang separas lutut, terasa betis dihiris-hiris halus tetapi demi foto kenangan sanggup kami redahi jua. Sebelum naik ke kawasan lalang ini, kami sempat berenang di sekitar pulau yang tidak berpenghuni ini. Selain arus yang agak kuat, di kawasan ini terdapat setompok kawasan kayu bakau. Saat berenang mendekati kawasan pohon bakau, terasa sedikit seriau kerana melihat akarnya yang bercerucuk dan berlingkar seakan ular-ular di atas kepala Gorgon. Namun tidak dinafikan, kawasan ekosistem di sini nampak masih natural belum tersentuh. Satu lagi rasa damai pada hari cuti bekerja yang jarang aku dapatkan.


Habis lencun hujung jemari kerana terlalu lama berendam di dalam air masin. Masing-masing memanjat tangga kecil untuk naik ke dalam sampan dengan tenaga yang agak minimum. Apa tidaknya, hampir 8 jam kami berenang dan menyelam di empat buah pulau kecil. Boleh disimpulkan, perjalanan pada hari itu amat bermakna tak hanya menikmati keindahan di dasar laut, bahkan mempelajari hal-hal kemanusiaan yang bisa dikutip untuk bekalan. Saatnya untuk pulang ke 'base camp' kami iaitu di rumah Pak Jamal untuk membilas badan dan menukar pakaian bersih sebelum pulang ke sarang.



Sedikit payau, tetapi inilah sumber air tawar di sini sementara mendapatkan prasarana yang lengkap. This place might not as comfortable as our house, but theirs is built with love and dreams.



Sambil meratah sotong masak hitam atau black pepper, yang dimasak oleh ibu Melly, mataku tertumpu ke arah sudut gambar-gambar rasmi keluarga Pak Jamal di dinding. Paling kanan adalah gambar perkahwinan Pak Jamal, kemudian gambar Pak Jamal di depan halaman rumah, dan yang paling kiri adalah gambar Heru berjubah memegang scroll 'ijazah' sekolah Taman Kanak-kanak iaitu sama istilahnya bagi Sekolah Tadika kalau di Malaysia. Terasa seperti merentas perubahan zaman. Kalau orang-orang kaya sekarang, mereka panggil 'The Wall of Fame'. Gambar diambil khusus oleh fotografer profesional berlatarbelakangkan tirai biru dalam studio.

Bagi Anda Cuma Satu Hari Cuti Bekerja, Bisa Menjadi Hari Yang Menginspirasi Buat Mereka Seumur Hidup

"Bagi Anda Cuma Satu Hari Cuti Bekerja, Bisa Menjadi Hari Yang Menginspirasi Buat Mereka Seumur Hidup."

Memetik kata-kata di akhir e-mel ini membuka mata tentang keperluan untuk berkongsi cerita dan ilmu bukan cuma bekerja untuk memenuhi kebutuhan diri atau keluarga.

Jarum jam menunjukkan pukul 1 pagi dan beberapa gulungan kertas A4 masih tersadai di atas lantai mar-mar yang tak ubah seperti bongkah ais kerana penghawa dingin yang gagal dilaras suhunya. Kegagalan penghawa dingin itu memaksa aku untuk menarik selimut untuk mengalas punggung yang hampir beku. Lagu 'slow rock' masih terpasang membangkitkan sedikit suasana hening lewat malam itu.

Sebahagian daripada malam itu, digunakan betul-betul untuk persediaan yang sebenarnya tidak menyeluruh akibat kekangan waktu.

Jaringan internet yang putus-putus pula menyukarkan lagi komunikasi dengan kelompok sukarelawan Kelas Inspirasi Batam pada malam itu. Kadang-kadang terbit rasa bersalah kerana terlambat memberikan informasi yang mungkin penting dibutuhkan ketika itu. Tidak dinafikan, beberapa pertemuan sebelum acara utama hari esok, agak terbatas dengan waktu kerja pada pagi Sabtu dan lokasi pertemuan yang agak jauh mencapai daerah Batu Aji. Orang asing seperti aku, agak terbatas dari segi transportasi, tetapi segalanya itu sebenarnya tidak mustahil. Pokoknya harus ada semangat.

Gulungan kertas semakin membukit menampakkan sedikit hasil persediaan material pengajaran buat hari esok. Hal kecil yang boleh dibanggakan kerana idea yang muncul saat-saat akhir. Oleh kerana masih baru, aku cuba sedaya upaya untuk menjadikan kelas esok lebih interaktif, dengan mewujudkan subjek yang boleh menarik perhatian anak-anak sekolah serta menarik minat mereka untuk berpartisipasi.

Tepat jam 7 pagi, keadaan persekitaran Sekolah Dasar 012 Bengkong, Tanjung Buntung masih belum dipenuhi teriakkan anak-anak sekolah seperti yang aku bayangkan. Sambil duduk termangu di atas speda motor, aku melontarkan pandangan ke seluruh petak persegi Sekolah Dasar 012 ini. Bangunan kelas kelihatan masih baru dan masih ada kelihatan kerja-kerja konstruksi bangunan yang masih berbatu blok merah bersama timbunan simen dan pasir. Di tengah-tengah terdapat padang perhimpunan lebih kurang 30 meter kali 40 meter dengan pentas berbatu di bahagian hadapan. Terasa lapang dan tenang biarpun padang perhimpunan mereka tidak beralas simen dan berbumbung redup, seperti yang selalu kita lihat di sekolah-sekolah yang lain di tanah kelahiran asalku. Kain rentang 'Kelas Inspirasi' yang sudah siap terpasang, kelihatan berkibar-kibar sedikit disapu angin. Sesekali, terimbas kenangan sewaktu berdiri di atas pentas perhimpunan sekolah rendah kerana disuruh membaca sifir. Jika gagal menghafal sifir, pasti rotan menghinggap betislah habuannya. Kedengaran sedikit ekstrem, tetapi begitulah cara didikan yang masih dipraktikkan pada zaman itu.


Semangat kami untuk memulakan pengajaran di dalam kelas bukan kepalang pastinya, kerana bakal mendapatkan sesuatu pengalaman yang mungkin baru buat aku dan berbeza buat yang lain, yang pernah menyertai acara seperti ini sebelumnya. Guruh Fajar, selaku koordinator bersama baju T-shirt merah membaranya berjalan menghampiri kelompok kecil kami dengan membawa sekeping kertas yang dicoret tugasan sesi pengajaran untuk hari ini. Secara jujur, aku belum mengenali ahli sukarelawan yang lain kerana tempoh hari menjadi bidan terjun dimasukkan kedalam kelompok yang lain untuk mempelbagaikan profesi di sekolah yang berbeza. Beberapa orang ibu guru dan bapak guru yang klisenya ada yang memakai kaca mata tebal bersama keping buku dikepit di ketiak juga sedang asyik mengalu-alukan kedatangan kami. Dari luar, mereka tentunya sudah kelihatan penuh karisma sebagai pendidik anak bangsa yang merdeka ini. Dengan penuh kerendahan hati, bapak guru tadi membawa masuk beberapa bangku kelas dan menyusun rapi di ruangan menunggu buat kami bersepuluh. 



Aku melabuhkan punggung di atas bangku sambil memerhatikan yang lain. Belajar untuk memahami kenalan baru yang tampak penuh bersemangat. Seperti yang aku sering ceritakan, mereka di sini sudah terlatih dari kecil untuk mencintai tanah air dan semangat nasionalisme mereka yang tinggi sentiasa membuatkan aku teruja. Sambil sibuk mencoretkan nama dan profesi masing-masing di atas tag nama, aku menghulurkan salam, berkenalan dengan yang lain. Terasa seperti hari pertama bertugas sebagai seorang guru. Mungkin dulu pernah ada angan-angan untuk menjadi guru tetapi berakhir di lapangan yang terik, berpeluh memegang pita pengukur. 


Mas Ansar dengan berbaju coverall merah membara juga, menyarungkan safety helmet seakan menyarung helmet tentera yang ingin memulakan perjuangan di medan perang seperti dalam filem Saving Private Ryan. Fitri yang berbaju jururawat atau bidan, persis Kate Beckinsale dalam filem Pearl Harbour. Mungkin aku terlalu banyak menonton filem.

Sebelum memulakan acara pagi itu, kami menadah tangan berdoa dalam bulatan. Auranya betul-betul terasa. 

Percayalah bahawa ilmu itu tidak memilih kasih untuk siapa kita harus sampaikan. Kerana pendidikan sempurna adalah hak setiap orang tanpa mengira agama, warna kulit dan status. Lingkungan yang berbeza profesi, latar belakang seakan sebuah bonus buat pendatang baru seperti aku untuk mengenali norma masyarakat di sini dan memahami pendidikan di negeri ini. Ianya adalah sebuah siri pengalaman yang akan memberi kesan bukan sekadar jangka pendek tetapi masa panjang kepada anak-anak sekolah dan semua sukarelawan yang terlibat.

Barisan sukarelawan Kelas Inspirasi Kelompok 1 adalah terdiri daripada:

1. Guruh Fajar Nuryadi, S.Tr.Kom/ Assembly Artist/ PT. Kinema Systrans Multimedia
2. A. Muhammad Salman Al Farizi, ST / Marine Surveyor / PT. ALCC Marine Consultants Indonesia
3. Iswan Prima K, S.SI/ Supply Chain Management / PT. EPSON Batam
4. Fitri Anggun Ari Mahasiswi Kebidanan Stikes Awal Bros Batam
5. Willa A.D. Amd/  SPV Prod/PT TEC Batam 
6. Dewi Nuryatima /Guru SD Islam Nurul Haqqo Batu Aji Batam 
7. Nur Fadilla, Dr./Dokter Umum/RSUD Embung Fatimah - Puskesmas Batuaji
8. Muhamad Ansar HSE. Safety koordinator Pt. Bandar Victory Shipyard Sekupang
9. Kurnia Nugraha Rudianto / PNS / Direktorat Jenderal Pajak u.p. KPP Madya Batam
10. Asyraf Maskan / Insinyur / PT McDermott Indonesia

Saat melangkah keluar pintu, sekumpulan anak-anak sekolah yang kelihatan segar dari raut wajah mereka, sedang berbaris mengikut kelas. Wajah-wajah ini sepertinya terbiasa dilihat waktu zaman persekolahan dulu. Oleh kerana fasa itu telah berubah, pagi itu merupakan pagi yang jakun buat aku kerana terasa sudah terlalu lama tidak melihat telatah anak-anak sekolah. Mana tidaknya, sejak memasuki alam pekerjaan, cuma orang-orang kantor dan besi serta debu yang ditenung setiap hari.


Kalau ditanya apakah perasaan semasa sesi perkenalan di hadapan pentas perhimpunan bersama anak-anak sekolah ini, aku akan menjawab, disitulah terdetiknya rasa sudah terasa panjang rupanya perjalanan hidup ini dan ternyata masih ada banyak lagi laluan yang harus ditempuh di hadapan. Berdiri di sini, melihat wajah anak-anak sekolah ini bukan hanya terus menghilangkan rasa gementar tetapi memberikan suntikan kesedaran bahawa wajah-wajah ini menjadi tanggungjawab kita untuk memberitahu bahawasanya peluang untuk meraih cita-cita itu ada, Tinggal dibuka saja pintu hatinya besar-besar.


Seakan tenggelam dibanjiri dengan tawa dan riang anak-anak penyambung generasi masa hadapan. Mereka inilah tabung-tabung oksigen yang akan memberikan peluang kepada kemanusiaan itu untuk terus bernafas di muka Bumi ini. Mulai dari sini, mereka harus mempersiapkan diri untuk terus terisi dengan pressure O2 secukupnya tidak hanya untuk diri sendiri tetapi untuk manfaat orang lain.


Senam Maumere Gemu Famire itu ternyata membuatkan ketagihan. Aksi 'mangsa-mangsa' yang terdiri daripada anak-anak SD 012 Tanjung Buntung, Bengkong pada hari Khamis lalu. Mereka dilaporkan pulang dengan jangkitan virus kegembiraan.

Asap Rokok Bagaikan Awan Sirrus, Dari Seorang Lelaki Setengah Abad

Asap rokok yang ditiup angin bagaikan awan sirrus datang dari sepuntung rokok seorang lelaki berumur pertengahan abad. Semakin lama ia lesap dibawa zarah-zarah udara dengan pergerakkan Brown. Kedua-dua kakinya bersilang dan melunjur di atas bangku kayu menghadap beberapa longgokkan besi buruk dan tali sauh kapal. Pemandangan yang mungkin tidak begitu indah di kawasan ruli atau rumah liar sekitar Bukit Senyum, tetapi menceritakan pelbagai kisah yang menarik.

Pagi ini, sengaja aku lewat di sini setelah menghabiskan laluan joging sepanjang 20.5 km dari Batu Ampar ke Nagoya. Kebetulan 'Batam Car Free Day' mengosongkan hampir keseluruhan Jalan Raja Ali, sedikit sebanyak memacu tempoh masa larian.

Berbalik kepada lelaki setengah abad tadi yang sedang asyik berbaring di atas kerusi sandar yang hampir koyak anyamannya. Timbunan kayu di hadapan rumahnya itu bagai dirawat bagus siap dilitupi dengan kanvas agar tidak basah ditimpa hujan. Yang peliknya, bumbung rumahnya yang bocor tidak pula dialas kanvas. Ini membuktikan kayu-kayu itu lebih berharga dan siap terjual.

Aku tumpang berteduh. Hujan telah membasahi hampir seratus peratus tubuhku yang bercampur peluh. Aku berpeluk tubuh kerana terasa agak dingin menggigit tulang. Lelaki tadi masih lagi menyedut asap rokok tanpa menghiraukan kewujudan aku di situ. Matanya kelihatan betul-betul fokus kepada tiap titis hujan yang jatuh seakan mengira beberapa titis air yang membasahi bumi.

Bagi anak kecil, hujan adalah waktu yang pas untuk bermain. Tetapi bagi orang dewasa, hujan itu adalah bukan waktunya untuk bermain-main. Kalau hujan, maka susahlah untuk keluar menyambung kerja demi sesuap nasi. Kalau hujan, petir dan guruhnya itu seperti risiko kematian total pabila disambar. Kalau hujan, habis sampah dibawa arus terus ke longkang dan bakal mengakibatkan banjir.

Berat juga ya menjadi orang dewasa. Terlalu banyak kebarangkalian yang difikir dan diperkirakan. Bak kata Wings, "Usia perangkap kita, remaja kita tinggalkan". Adakah dewasa itu adalah perangkap?

Kesimpulannya, kita ada pilihan sama ada untuk bermain hujan atau duduk termangu melihat hujan sambil merosakkan peparu. Entah apa aku cakap tetapi pilihan ada pada kita.

Kepulangan Itu Memiliki Banyak Rasa

Aku menundukkan pandangan ke bawah kaki sambil melihat betapa sentengnya jeans biru yang rasanya sudah bertahun-tahun dipakai tak berganti baru. Selipar Fipper yang nampak kekampungan membuktikan aku tidaklah mengambil kisah sangat hal penataan rias diri. Sambil berhati-hati, aku melorotkan sedikit jeans di bahagian pinggang lebih kurang 10 milimeter. Supaya tak terlihat oleh orang keliling, anak mataku meliar kiri dan kanan macam James Bond.

Dapat disimpulkan, ketinggian aku bertambah. Terbit rasa bangga dengan kemajuan diri ini. Agaknya inilah kesan kekerapan memakan sayur-sayuran atau salad baru-baru ini sejak artikel yang aku baca tempoh hari merangsang untuk mencuba benda baru.

Guruh dan kilat beriringan petang itu, menambah kerisauan untuk meneruskan rancangan menunggang motosikal ke Pelabuhan Feri di Batam Center. Untuk pulang ke Johor Bahru, aku harus menaiki motor ke McDonalds Nagoya, parkir motosikal di sana, lalu menaiki angkot terus ke pelabuhan.

1. Travel department gagal dihubungi kerana pulsa habis.
2. Teksi Bluebird penuh dengan tempahan kerana hujan di kawasan Batam Center dan juga akibat banjir.

Rintik-rintik hujan masih belum kelihatan jatuh dari langit memberi sedikit harapan untuk aku memecut laju motosikal menuju ke Warnet (Warung Internet) demi mengisi ulang pulsa (top-up) Telkomsel. Mana tidaknya, selama di lapangan, habis pulsa digunakan.

(Bersambung)

Sepanjang Larianku Tak Pernah Sunyi Daripada Bunyi Hon Ojek dan Angkot

Kelihatan beberapa gantungan baju, seluar serta pakaian dalam seakan langsir yang menutup jendela 'rumah liar' di sini. Sambil kaki kuat melangkah, aku sedikit tertunduk malu takut-takut disangka pshycopath. Berlari di pagi hari melewati Bukit Senyum untuk menuju ke daerah Nagoya merupakan pilihan terbaik kerana laluan utama hampir macet dipenuhi ribuan speda atau motosikal warga pekerja yang masuk kerja pada hari minggu. Ketika berlari di simpang Melcem, aku lewati dua orang makcik tua yang sudah pagi-pagi duduk di bangku plastik menunggu pelanggan. Kuih-muihnya cuma satu berharga seribu dan beberapa bungkus nasi kuning tersusun kemas di atas meja kayu yang kakinya sudah reput diganjal batu. Kalau batunya goyang sedikit, habis jualannya tersembam ke tanah.

"Pagi Bu'"

Cukuplah sekadar menyapa dan tersengih untuk mematikan perasaan janggal. Soalnya tidak ada orang lain yang berlari pagi di kawasan ini selain aku di dalam keramaian orang yang bagun pagi untuk mencari rezeki tambahan pada hari minggu. Kadang-kadang ada rasa bersalah juga.

Kerana percaya bahawa di luar sana ada banyak keajaiban, aku jadikan larian pagi ini bukanlah sebagai rutin tetapi sekadar mengisi ruang pagi hari Ahad. Sedikit sebanyak, ini mengingatkan aku zaman sekolah dulu-dulu ketika rajin menyertai larian jarak jauh secara suka-suka sahaja. 

Setibanya di selekoh tajam di Bukit Senyum, sebuah kereta Avanza berhenti di samping jalan secara tiba-tiba. Turun dua orang wanita daripada kereta dengan gelojoh sambil mengepit beg tangan meluru ke sebuah 'rumah kecil' dengan papan tanda 'Gereja Bukit Doa'. Mungkin mereka terlambat kerana make up agak berlebihan. Beberapa pemuda masih duduk di atas motor sambil merokok. Tergambar hal yang sama dengan beberapa jemaah surau yang duduk merokok sementara menunggu azan Isyak. Ketaksamaan linear. Menurut aku, masyarakat di sini sangat menghormati sesama sendiri tak kira bangsa, agama, etnik atau dialek bahasa malah mereka memahami kebutuhan beragama. Seperti yang aku bualkan dengan Bapak Satpam malam tadi, ini antara sebab mengapa aku tidak berasa janggal tinggal di sini kerana masyarakatnya.

"Sebelum memulakan pekerjaan, marilah kita membaca doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing."

Ini adalah ucapan yang tidak pernah kita dengar dalam majlis rasmi perasmian pembukaan bangunan kerajaan Malaysia, misalnya. Bagi aku, ucapan begini mengiktiraf kewujudan mereka yang berlainan agama berbanding ucapan biasa. Mungkin aku salah. Pendapat sahaja.

Seperti biasa, kalau melewati kawasan perumahan di sini pasti ada sampah yang bertaburan betul-betul di bawah papan tanda "Larangan membuang sampah". Hal yang sering membuatkan aku kesal tentang kesedaran untuk membuang sampah di tempatnya. Angin kencang dari kenderaan yang lewat di jalan membawa bersama bau busuk sampah tadi membuatkan aku sekali sekala menahan nafas agar tidak banyak terhidu. Mahu tutup hidung tetapi takut kelihatan tidak sopan apabila berlari di hadapan penduduk di situ sambil menutup hidung dengan tangan. Aku mengintai-intai pemandangan dari celah-celah rumah. Pemandangan luas kerana terletak betul-betul di lereng bukit. Sebagai manusia, aku tidak menyalahkan sebab mereka membina rumah di sini tanpa kebenaran pemerintah. Kau tahulah, bukan senang nak hidup.

Setelah berlari hampir 5 km, aku tiba di kawasan Nagoya dan lebih spesifik di sebuah kawasan yang mereka sebut 'Kampung Bule'. Deretan bar dan tempat hiburan sepi pada pagi begini, berlainan pula kalau malam menjelma. Kawasan ini heboh dipenuhi majoritinya orang putih atau bule. Kerana itu namanya Kampung Bule. Demi membasahi tekak yang agak kering, aku melangkah masuk ke dalam Circle-K Mart. Sejurus masuk, aku seakan disambut mesra dengan dentuman bunga api oleh kenalan lama ketika pernah duduk di sebelah Harmoni Hotel dulu. Al dan Ruben tersenyum lalu kami bersalaman. Sebagai tukang kasir, Al dan Ruben sangat mesra dengan pengunjung Circle-K Mart. Dua orang kenalan inilah yang sering membuat lelucon dan menjadi teman berbual aku dulu. Tidak sangka setelah beberapa tahun, mereka masih kenal dan betah bekerja di situ. Selain mereka berdua, abang kedai dobi di sebelah kedai ini juga selalu menjadi teman berbual setiap kali menghantar baju kotor. Kalau dulu, abang dobi selalu bercerita kisah perjalanan hidupnya berhijrah dari Yogjakarta, dan tidak punya cukup uang untuk sambung belajar. Begitulah, banyak yang dapat kita belajar daripada setiap orang yang kita kenal. Setiap orang, tidak kira apa jawatannya, memiliki fungsi dalam masyarakat. Tidak ada istilah Engineer lebih berfungsi daripada seorang tukang kebun sekolah dalam membangunkan negara, contohnya. Kalau ada yang sebut, suruh dia masuk kubur.

Seperti biasa juga, selalu ada ibu dan anak kecil yang berjualan koran di simpang empat. Melihat kesungguhan mereka menghampiri kenderaan yang berhenti saat lampu merah, apa lah nilai 5,000 Rupiah harga sekeping koran buat kita yang cukup makan ini. Tidak salah untuk kita beli walaupun tiada niat untuk membaca 100 peratus berita semasa.

Aku sambung berlari menuju ke arah Harbour Bay. Kali ini, Matahari cukup terik walaupun baru pukul 8:30 pagi waktu tempatan. Peluh berlari itu tidak sama dengan peluh kerana panas teriknya Matahari. Aku melabuhkan punggung di atas bangku halter berhadapan Rumah Lancang Kuning. Sesekali bunyi hon daripada angkot dan ojek kerana dikira aku mencari tunggangan. Kalau di sini, mereka bijak mencari peluang. Sejak dari tadi, larian ku tidak pernah sunyi daripada bunyi hon daripada tukang ojek dan angkot. Kerana tidak sampai hati, dan juga terlalu letih, aku pun menaiki angkot hijau menuju ke arah Batam Center.

Sejurus membuka pintu daun angkot dari arah belakang, sosok seorang wanita yang duduk bersama-sama sayur-mayur dalam bakul hampir menutupi kedua-dua kakinya. Mungkin dia baru pulang dari pasar. Tangan kanannya memegang telefon bimbit dan dahinya berkerut seperti ada yang membuatnya risau serta gundah.

Tidak sampai satu minit, wanita tadi menangis teresak-esak sambil telefon bimbitnya masih melekat di pipi sebelah kanan. Bermulalah pelbagai andaian di dalam benakku. Mungkin ada ahli keluarganya yang meninggal atau pacarnya membuat keputusan untuk putus hubungan. Kisah dalam sinetron nampaknya menjadi lebih nyata. Mujur saja aku tidak ada tisu untuk dihulur atau mengelap titisan air mata wanita tadi sambil terpasang lagu anak band Indonesia seperti dalam sinetron.

Akhirnya aku memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa. Penumpang yang lain turut mengabaikan kewujudan wanita itu tetapi kadang-kadang mereka sibuk memasang telinga untuk mendengar apa yang dibicarakan dalam telefon. Masa begitu singkat juga untuk aku bertindak lalu aku bersuara.

"Kiri mas, kiri mas!" Aku pun turun daripada angkot dan meninggalkan keajaiban berlalu pergi.