Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Duit Syiling Basuh Baju


Menjana transformasi (latar bunyi tepukan tangan). Mungkin itu sebabnya syiling berzaman yang digunapakai di Malaysia ini mengalami revolusi siri ketiga dalam tempoh 20 tahun. Ya, setelah berapa banyak peluh dan daki bangsa-bangsa yang wujud dalam Malaysia ini, melekat atas syiling tersebut. Sesuatu yang lama terkumpul. Sama macam terkumpulnya nilai sentimental duit syiling Malaysia 50 sen yang ada motif wau atau bangunan parlimen di belakangnya. Tak perasan? Sampai sekarang pengadil bola sepak akan beri pilihan, nak 'bunga' ke nak 'wau' untuk tentukan siapa main dulu.
Bagi aku, bila duit syiling 50 sen yang bermotifkan sulur kacang dan berbentuk bulat berlekuk 9 ini menggantikan yang lama, macam mana nanti aku nak guna mesin jaja (vending machine) basuh baju?

Oh mestilah kena tukar reka bentuk mesin jaja (vending machine) basuh baju yang lama kepada yang baru dan bertepatan dengan corak syiling 50 sen yang baru. Lagi-lagi di universiti tempat aku belajar ini. Kalau tak tukar, habis pelajar buat demonstrasi. Pelajar universiti kan ada 'Power'! (gelak kecil).

Semoga syaitan tak lagi bergayut atas kelopak mata aku ini. Ramadhan nanti, jangan harap.


Aku yang baru sedar daripada kematian sementara, duduk 90 darjah. Sebelumnya itu, aku berbaring enak dan lagu 'Dari Sinar Mata' sedikit menuntun aku dalam mamai, untuk cepat sedar. Tiadalah mengerti mengapa rakan sebilik aku ini memutarkan lagu Rock Kapak secara berkala dan berterusan. Tidaklah mengeluh, cuma memahami.

Membuka mata luas-luas. Sangap aku hanya menunjuk-nunjuk rasa puas menggunung.

Cadar katil yang koyak aku biarkan tanpa berganti, sama seperti slide presentation aku ini yang aku biarkan tidak dibetulkan lagi. Aku hanya ingin berehat sebentar memanjakan diri untuk tempoh 2 jam setengah. Sekarang aku memerlukan 'dadah' yang segar.

Aku sebenarnya bercadang hendak bersiram. Malangnya belum lagi niat itu ditunaikan. Masih duduk atas kerusi Polyvinyl chloride ini. Susah sebenarnya hendak buat keputusan, apatah lagi keputusan yang mendatangkan kesan yang besar dalam hidup. Mungkin memerlukan beberapa hari? Jam digital komputer riba ini menunjukkan pukul 1:55 AM. Lagilah aku perlu fikir dua kali untuk mengambil keputusan untuk bersiram. Bukan apa, takut peparu berair. Kalau hati berair tak mengapa, kerana kalau 'hati sudah kering' , semua kerja tak berjalan.

Mengeluh lagi. Semoga syaitan tak lagi bergayut atas kelopak mata aku ini. Ramadhan nanti, jangan harap.


J****n Belakang Rumah


Sesungguhnya, blog kerepektempe ini kalau dilihat memang bosan sebab bermain dengan dua warna sahaja iaitu hitam dan putih. Beberapa kali kepala visualnya ditukar mengikut suka hati aku. Aku tetap suka membebel di sini, sendiri haha. Ini cerita tengah malam semalam, sedang aku asyik meratapi semua hasil-hasil bebelan aku yang lepas-lepas. Seronok juga baca blog sendiri sebab, aku dapat ingat kembali apa yang pernah aku rasa, buat dan dapat.

Boleh dikatakan, tahun 2011 ini sangat pantas roda dan gandarnya berputar. Rancak dengan kedatangan pelbagai pengalaman baru dan membahagiakan, macam orang dalam lamunan cinta. Ya, waktu-waktu berseronok dengan keluarga, kawan-kawan dan kawan-kawan baru, buat aku rasa ada kehidupan. Dalam jamban belakang rumah pun ada kehidupan bila sampai masanya.

Sebenarnya aku nak cerita pasal jamban belakang rumah. Budak-budak zaman sekarang mesti tak tahu jamban belakang rumah macam mana. 'Jamban belakang rumah' adalah sama jenis dengan washroom/tandas, tetapi unit ini yang biasanya boleh didapati dalam bangunan, dibawa keluar bangunan. Maksudnya, unit tandas yang berada di luar rumah/belakang rumah biasanya.

Hendak dijadikan cerita, jamban belakang rumah ini sebenarnya bagi aku banyak kenangan yang dilalui bersama aku sejak kecil dulu. Teringat dulu bila 'penggera' berbunyi, kelam kabut cari lampu picit atau lampu minyak tanah (yang ada gambar perempuan Cina) untuk menerangi kegelapan dalam bilik berpersegi kecil itu. Sedikit sebanyak, pengalaman itu mengajar aku tentang keberanian. Dulu waktu kecil mungkin agak takut-takut sampai suruh orang teman, sebab menganggap ianya angker. Yelah, tempat orang buang benda-benda tak elok katakan.

Itu kisah jamban belakang rumah pada waktu malam. Menjelang siang, jamban belakang rumah aku dulu memang tempat paling strategik untuk bersembunyi. Waktu main Polis Entry, lokasi ini memang panas. Oleh sebab tak nak orang jumpa, sanggup bersempit 4 orang dan memanglah akan berkunci. Taktiknya mudah. Jangan buka kalau ada orang ketuk. Alamatnya, malanglah siapa yang nak berhajat. Paling bahagia, bila budak-budak yang main Police Entry tak dapat cari sampai Maghrib.

Ada pernah satu hari, tragedi malang berlaku pada aku. Niat aku sama seperti selalu. Bila 'penggera' dah bunyi, aku terus buka pintu belakang rumah, melangkah palang pintu, kemudian berlari menuju ke jamban belakang rumah. Mungkin malang pada hari itu, ada mak ayam tiba-tiba tenung sambil mengembangkan ekor. Tiba-tiba terbang mematuk 'belakang' aku. Aku apa lagi. Terus menangis sebab sakit 'belakang' aku dibuatnya. Aku menangis sambil berdehem dan sambung balik tujuan asal aku.

Belakang rumah aku ini selain ada jamban, ada juga pokok durian belanda. Buahnya manis, masam-masam sedikit. Pokok ini terletak dalam koordinat X:Y = 2:1 dari jamban belakang rumah aku ini. Pokoknya rimbun, dan selalu berbuah. Mak aku pernah jadikan durian belanda untuk buat ais-krim batang Malaysia yang 20 sen. Adalah jualan kecil-kecilan. haha

Fasa Normal kepada Fasa Tak Normal


Dalam tempoh dua bulan ini, aku mungkin sibuk dengan banyak hal. Setiap hujung minggu turun naik Kota Lumpur dan di Perak ini, aku jadikan bilik ini semacam hotel. Pulang untuk tidur dan mandi, sama seperti teman sebilik aku juga. Sepesen. Kekosongan bilik ini bertambah bila semua kesibukkan itu tamat. Mula tak tahu nak buat apa dalam bilik. Aku cuba padatkan punggung atas kerusi plastik PVC ini tapi belum cukup haba dipindahkan, aku dah mula tak senang duduk.

Rehat lama mungkin tak sesuai untuk aku, dan aku mula bertambah malas. Semakin malas untuk selesaikan tugas akademik terutamanya. Haha sepatutnya bila banyak masa, banyak kerja yang boleh selesai. Yelah, itu semua bohong sebab orang makin kaya, makin kurang duit sebab banyak berbelanja. Samalah macam bila orang kaya dengan masa, makin kurang masanya sebab banyak 'dibelanjakan' untuk yang tak berfaedah. Ya, aku memang sedang merungut sebab dah empat hari aku melangut dalam bilik tak mencapai objektif apa-apa. Padan muka aku.

Selepas memikirkan, selain aku merungut di blog ini untuk memenuhi 'nafsu' yakni membelanjakan masa yang aku ada, maka eloklah aku betulkan niat, dodol!

Kalau dapatlah semua ini tamat sejurus lepas aku merungut di sini, alangkah baiknya. Aku boleh namakan ini 'fasa peralihan', seperti biasa, macam sebelum ini juga, selepas rancak buat teater atau buat hal lain sana-sini. Terpaksa menghadapi fasa peralihan daripada normal kepada tak normal. Eh ke sepatutnya daripada fasa tak normal kepada normal?

Sambung membelek-belek gambar-gambar dalam album lama dalam hard disk dan foto dalam album Facebook.

Motosikal Tenang


Motosikal dua lejang terduduk tenang
dan kepulan asap yang ditinggal panjang
Pernah penuhi setiap ruang Subuh
Mengibar-ngibar kain ibu yang labuh

Kami berempat di atas pangku
Alas koyak dibiar buntu
Dalam raga terisi buku
Dalam hati bekal nawaitu

Sudah tiada berbaki jalan dituju
dan tongkat diturunkan
Sepertinya hidup ini ada halaju
Kita tentukan sampai dimatikan

Menoleh ke belakang lihat perjalanan
Telah banyak asap ditinggalkan
Hitam jelaganya juga mengingatkan
Namun hilang jua dari kejauhan.

Mee Bandung Kembali


Sampai di rumah jam 12 malam dan aku bernasib baik dapat membantai mee bandung lebih di dapur. Walaupun sudah sejuk, sedapnya mengiurkan dan membuat aku lebih yakin bahawa kaki aku memang sekarang berpijak di tempat aku diberanakkan. Hurmmm bau udang dalam mee bandung masih mencuit-cuit hidung.

Petang Jumaat tadi pula, pisang goreng kedai depan Sekolah Agama Dato' Abdullah Esa, aku ratah. Paling epik bila dapat duduk lepak makan pisang goreng cicah sambal kicap dengan ahli keluarga yang lain. Ya di pondok Wak Maskan, terbina cantik dan elok di depan rumah aku ini.

Sekarang, waktu aku sedang menulis entri ini semuanya sedang berbaring sambil menonton televisyen seperti biasa bila semua berkumpul dan balik kampung. Melihat, memerhati dan merasakan semua ini membuatkan aku rasa kembali.

Kakak Good Luck


Kotak kubikal di hadapan aku ini macam penjara. Itu, apa yang aku rasa bila mentelaah di IRC UTP ini. Ya aku bukan pengunjung setia di sini, tetapi kadang-kadang perlu memaksa diri untuk pergi sendiri atas tuntutan kerja. Sepatutnya IRC perlu lebih 'terbuka' dengan kehadiran macam-macam perangai manusia, seperti manusia tak berkasut, manusia tak punya kad matriks, manusia berambut serabai dan manusia kelas bawahan. Haa barulah ramai akan jadi pengunjung setia pusat sumber ilmu ini. Kalau tidak banyak sangat halangan. Kata nak jadikan IRC pusat informasi. Hehe.

Oh sambung di kotak kubikal tadi. Mulanya aku nak duduk kubikal yang paling hujung. Sebab aku malu nak duduk sebelah kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu. Malangnya, akibat dua kubikal di hujung ini nampak macam ada orang, maka aku pun terpaksa kawal rasa malu aku dudu betul-betul sebelah kubikal kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu. Sedaya upaya aku elak memandang dia sebab takut dia malu. Oh nampaknya aku berjaya.

Sedang aku sibuk main tekan-tekan kalkulator, tiba-tiba aku dengar ucapan.

'Good luck :)'

Sambil tergamam, aku pun mencari, siapa pula yang beri ucapan macam bersemangat ni? Bila aku pandang kiri, terus tersengih. Rupa-rupanya kakak sebelah aku ini. Kemudian aku tersengih lagi.

'Oh terima kasih :)'

Kemudian adalah sedikit perbualan selepas itu yang aku main cakap saja. Sebab aku ini pemalu orangnya. Apa yang aku nak cerita ialah betapa ucapan 'Good Luck' yang sekecil ini aku sangat hargai sebab lepas itu, aku rasa tenang dan bersemangat. Boleh ingat lagi air muka ceria kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu itu tadi. Terima kasih tapi susah rasanya aku nak jumpa balik dia untuk cakap terima kasih lagi sekali. Aku menjawab soalan Operational Management dengan bersemangat petang tadi. Aku boleh kategorikan pengalaman aku ini jarang-jarang. Yalah, siapa yang berani cakap 'Good Luck' dekat orang yang kau tak kenal dengan tiba-tiba. Lagi-lagi macam kakak-yang-sedang-rajin-dan-ayu ini. hehe.

Ketawa Sambil Mengemutkan Mulut


Pada satu malam, aku tergelak kuat di hadapan cermin yang sangat besar luas perseginya. Ketawa yang berjaya menghasilkan gelombang bunyi dengan amplitud tinggi. Ketika itu aku berada dalam bilik bercermin dan berkarpet, sebelah bilik tarian di Blok Ko-kurikulum, di hadapan ramai orang. Tiba-tiba aku rasa aku tak matang dengan hilaian ketawa seperti itu. Pulang ke bilik, aku menghadap cermin. Perasaan yang sama. Buat muka sedang berfikir dan aku tanam idea untuk kurangkan ketawa semacam itu sebab takut-takut mematikan akal. Dalam masa yang sama, aku cuba ketawa sambil mengemutkan mulut. Sumpah tak jadi. Selongkar balik idea yang aku tanam tadi.

Walaubagaimanapun, kena kurangkan lah ketawa berdekah-dekah yang keterlaluan. Daripada Abu Hurairah r.a., bersabda Rasulullah SAW:

"Jangan kalian banyak ketawa, kerana banyak ketawa itu mematikan hati."

Daripada Abu Dzar r.a., dia berkata:

"Rasulullah SAW tidak pernah tertawa selain daripada senyuman"
(HR Muslim & Ahmad).

Aku percaya, senyuman walau sesisir kecil, boleh membuatkan segala-galanya menjadi positif.