Beza 'Replicas', 'Rejects', 'Fakes' dan 'Knock-Offs'.
Aku rasa mungkin ramai yang tak tahu beza tentang jenis-jenis barangan yang tergolong di dalam kategori di atas. Mungkin definisi aku salah, tetapi aku akan cuba terangkan berdasarkan maklumat industri yang aku tahu, OK?
Apa Kejadahnya 'Replicas'?
Katakan kamu sebuah syarikat produk terkemuka seperti Supra. Mengikut trend pemasaran sedunia, agak munasabah untuk sebuah syarikat pengeluaran sekarang mengeluarkan atau mengilangkan produk mereka di benua Asia di atas sebab-sebab kos. Kos pengeluaran, buruh, pengurusan dan lain-lain pastinya lebih murah jika dibandingkan dengan kos pengeluaran di negara pengasas seperti Amerika misalnya.
Jadi berdasarkan kelebihan ini, Supra misalnya mengambil keputusan untuk mengeluarkan kasut-kasut mereka di China. Setelah memeterai perjanjian, dan mengambilkira proses latihan, penelitian kualiti/mutu serta proses-proses pengeluaran lain, sebuah kilang kasut di China dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan semua kasut Supra.
Jadi Supra pun membuatlah pesanan untuk 5000 pasang kasut Supra, yang akan dibuat oleh Kilang Ah Boi (misalnya) di China. Pekerja-pekerja kilang Ah Boi pun bertungkus-lumus membuat 5000 pasang kasut Supra.
Setelah selesai membuat 5000 pasang kasut, wakil Supra dari Amerika pun datanglah ke kilang untuk membuat pemeriksaan kualiti. Teliti punya teliti, ada 500 pasang kasut yang logo Supranya senget sedikit. Berdasarkan sistem kawalan mutu Supra yang terperinci, 500 pasang ini tidak diterima untuk dijual di bawah nama Supra sebab tidak menepati tahap kualiti yang ditentukan.
500 pasang kasut ini akibatnya terpaksa dimusnahkan. Tetapi Ah Boi si pengurus Kilang Ah Boi ini pandai. Dari dia membazir 500 pasang kasut ini, dia bercadang untuk menjualnya kepada ejen yang sanggup membeli secara pukal dengan harga murah. Tetapi Supra beri syarat yang kasut-kasut ini tidak boleh dijual dengan label rasmi Supra, atau logonya harus dicabut, misalnya.
500 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Rejects'.
Ejen-ejen ini kemudiannya mengedar dan menjual 500 pasang kasut ini di premis-premis seperti Reject Shop, Factory Outlet Store dan lain-lain dengan sedikit keuntungan. (Sebab itu kamu semua boleh beli t-shirt jenama 'Junk Food' dengan harga yang amat murah!) Malah ada kilang yang membuka sendiri premis jualan yang menjual barangan-barangan 'Rejects' ini.
Oleh sebab menurut perjanjian Kilang Ah Boi sepatutnya membekalkan 5000 pasang kasut, dan yang menepati piawaian hanya 4500 pasang, Kilang Ah Boi terpaksa mengeluarkan 500 pasang kasut lagi untuk memuaskan hati Supra.
Tetapi Ah Boi si pengurus ini memang pandai. Dia berfikir, "Dari aku buat lagi 500 pasang sahaja, lebih baik aku buat lagi 5000 pasang... Aku tolak pada Supra 500 pasang, yang lagi 4500 pasang lagi aku jual sendiri."
Jadi pekerja-pekerja Kilang Ah Boi ini bertungkus-lumuslah untuk membuat 5000 pasang kasut Supra lagi.
Tanpa pengetahuan wakil Supra ini, Ah Boi telah memberikan baki 500 pasang kasut, dan si wakil Supra ini pun gembiralah balik ke Amerika sebab proses membuat 5000 pasang kasut ini sudah selesai. Tapi sebenarnya pekerja si Ah Boi ini bukan berhenti di setakat baki 500 pasang sahaja, mereka pun berkerja keras menyiapkan 4500 pasang kasut Supra yang si Ah Boi tadi mahukan.
Ah Boi pun terfikir, "Baik aku jimat kos sikit. Aku tak payah buat kotak, aku guna padding yang nipis sedikit, kurangkan jahitan sikit... Alah... orang bukan tahu pun."
Setelah siap 4500 pasang kasut ini, Ah Boi pun telefonlah ejen lagi seorang ini untuk mendapatkan pembeli. Memang untung besar dia ini, sebab Ah Boi sedar dia tidak perlu tanggalkan label atau logo Supra seperti bila dia mahu menjual kasut 'Rejects' ke ejen terawal tadi. Lagipun wakil Supra itu bukannya tahu pun, bukan?
4500 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Replicas'.
Ah Mei, pengurus besar Kilang Ah Mei yang kalah kontrak Supra dengan Kilang Ah Boi memang tidak puas hati melihat keuntungan besar yang diraih Ah Boi. Dia menyuruh konco-konconya untuk membawa balik sampel kasut Supra yang dikeluarkan Kilang Ah Boi. Setelah meneliti kasut itu, Ah Mei berkata, 'Hek eleh kasut buruk ni. Aku pun boleh buat!'
Jadi berhempas-pulaslah pekerja kilang Ah Mei merobak dan merabik kasut Supra ini untuk mengetahui cara-cara kasut ini dibuat. Malah si Ah Mei mengupah bekas pekerja Kilang Ah Boi sendiri untuk bekerja di kilangnya. Mungkin si Ah Mei fikir mereka ada keupayaan untuk membuat kasut ini berdasarkan pengalaman mereka di Kilang Ah Boi.
Tetapi Ah Mei tidak sedar proses pemilihan bahan-bahan membuat kasut ini dahulunya dilakukan oleh Ah Boi bersama wakil-wakil Supra dahulu. Ini sebabnya kualiti kasut di Kilang Ah Boi memang tinggi. Yang si Ah Mei ini pula hanya main hentam, beli kulit murah dari kampungnya, guna fabrik murah untuk jimat kos dan lain-lainnya.
Kilang Ah Mei pula bertungkus-lumus untuk mengeluarkan 5000 pasang kasut Supra mereka sendiri. Setelah siap, Ah Mei senyap-senyap menjual semua 5000 pasang kasut ini kepada ejen-ejen penjualnya. Dan di antara ejen-ejen ini semua mungkin termasuk ejen-ejen yang juga digunakan Kilang Ah Boi.
5000 pasang inilah yang dinamakan 'Fakes'.
Ah Chan, pemilik Kilang Ah Chan di hujung bandar tempat Kilang Ah Boi dan Kilang Ah Mei beroperasi terdengar ura-ura mengatakan kedua-dua kilang ini untung besar dengan kasut Supra. Memang dia tidak puas hati.
Dia perintahkan kesemua 1000 kanak-kanak bawah 12 tahun yang bekerja di bawahnya untuk mengeluarkan kasut Supra juga. Tetapi Ah Chan takut kilang kanak-kanak bawah umurnya itu kantoi dengan pihak berkuasa, jadi dia terpaksa buat kerja senyap-senyap. Sebagai langkah keselamatan (atau kerana budak 12 tahun yang bekerja sebagai perekanya itu tidak pandai mengeja), ejaan 'Supra' ditukar menjadi 'Sapra'.
Ah Chan berfikir kalau mereka boleh menjual 5000 pasang kasut ini, Kilang Ah Chan pun boleh. Jadi dia pun keluarkan 5000 pasang kasut Sapra ini untuk menumpang untung yang dibuat dua kilang terawal tadi. Setelah siap, 5000 pasang kasut Sapra ini diagihkan kepada ejen-ejen jualannya di seluruh dunia.
5000 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Knock-Offs'.
Secara mudah, inilah perbezaannya. Kalau salah harap maafkan, tetapi menurut apa yang kau tahu, inilah realitinya...