Sebak namun berasa bangga dan amat bersyukur.
Itulah antara reaksi dan ucapan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin, 60, yang akan bersara wajib esok ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas dalam majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Bakri, setelah hampir 39 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatannya kepada pasukan itu akhirnya sampai ke penghujung namun bersyukur kerana PDRM banyak memberi peluang kepadanya serta menjulangnya yang merupakan budak kampung serta warga Sabah pertama mencapai tahap tertinggi dalam kepimpinan pasukan itu.
"Saya telah berusaha sedaya upaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memenuhi aspirasi dan harapan yang disandarkan pucuk kepemimpinan negara, kerajaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan masyarakat umumnya.
"Sebagai orang nombor dua dalam pasukan, peranan saya jelas menyokong dan mendukung segala dasar dan keputusan pasukan serta amat berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberi sepenuh kepercayaan untuk berganding bahu menerajui kepemimpinan PDRM, membimbing dan memberi nasihat sepanjang menjawat jawatan timbalannya.
"Saya menganggap karier ini telah menjadi darah daging saya dan sukar untuk melupakan pengalaman yang dilalui selama ini malah saya belum memikirkan apa perancangan selepas ini. Ada desas-desus yang berkata saya akan menjadi pemimpin di Sabah juga tidak benar kerana setakat ini saya belum mendapat apa-apa tawaran," katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas yang turut disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN, Datuk Alwi Ibrahim.