Sesungguhnya segala puji-pujian untuk Allah, tempat kami memuji dan memohon pertolongan, tempat kami meminta hidayah dan keampunan. Kami berlindung kepadaNya daripada kejahatan hawa nafsu kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang telah diberi hidayah olehNya, maka dia tidak akan tersesat. Sesiapa yang telah disesatkan olehNya, maka tidak ada sesiapa yang dapat memberiNya hidayah.
Saturday, August 29, 2009
Kekasih Allah Yang Sejati
Sesungguhnya segala puji-pujian untuk Allah, tempat kami memuji dan memohon pertolongan, tempat kami meminta hidayah dan keampunan. Kami berlindung kepadaNya daripada kejahatan hawa nafsu kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang telah diberi hidayah olehNya, maka dia tidak akan tersesat. Sesiapa yang telah disesatkan olehNya, maka tidak ada sesiapa yang dapat memberiNya hidayah.
Sunday, August 23, 2009
Cahaya Makrifat Di Bulan Ramadhan
Wahai para sahabatku...
Kita akan memasuki Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi. Inilah bulan yang dirindui ahli ibadah, dan tidaklah orang-orang yang cinta kepada Allah melainkan kasih kepada bulan Ramadhan ini. Dan ahli-ahli ibadah, ahli-ahli zikrullah, mereka ini menunggu bulan Ramadhan ini dengan penuh kecintaan dan kasih sayang serta dengan penuh keasyikan. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh kerinduan, kerana inilah bulan di mana diberi kenikmatan dan keberkatan yang tidak terhingga dan inilah bulan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada umat Muhammad SAW.
Ramadhan adalah bulan yang diberi kenikmatan pahala yang berlipat kali ganda, di mana (maksud) pahala bagi ahli-ahli makrifatullah ialah cahaya-cahaya makrifat begitu mudah untuk ditembusi pada bulan ini. Ia bulan yang mudah untuk dibuka hijab oleh Allah swt.
Isikan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya, jadikan bulan ini sebagai masa untuk beruzlah secara bersungguh-sungguh dengan mentawajjuhkan (penumpuan) kepada Allah swt. Nabi Muhammad SAW menghidupkan uzlah, berkhalwat sebanyak 20 hari setahun, 10 hari di bulan-bulan biasa dan 10 hari lagi di bulan Ramadhan. mengapa 10 hari di bulan Ramadhan? Kerana Ramadhan adalah bulan kasih sayang Allah, bulan penuh kelebihan dan keberkatan.
Jangan kita beribadah pada bulan Ramadhan sama dengan bulan-bulan yang lain. Cahayakan betul-betul hati kita dengan banyak mentawajjuhkan hati. Isikan malam-malam hari selain dengan ibadah tahajud, banyakkan istighfar dan selawat kepada Nabi SAW. Istighfar sebagai pembersih hati dan selawat pula sebagai pembuka hijab hati kita. Bila kita berselawat kepada Nabi, ia membuka hijab. Jangan berselawat dalam keadaan tidak hadir perasaan cinta kepada Baginda. Selawat biar berpuluh ribu satu hari kerana ia mengandungi rahsia besar dalam perjalanan menuju makrifatullah. Dan tidaklah orang-orang yang menuju kepada jalan Allah melainkan dengan selawat kepadaNya. Nabi Musa mendapat keampunan Allah dan ditambah ilmu dengan banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Al-Faqir Ilallah Syeikh Hj Ibrahim Mohamad asy-Syathari
http://www.irsyadtc.net
Salam Ramadhan Mubarak
Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran
Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat
Bulan diampunkan dosa
Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan
Bulan yang di dalamnya berlaku Lailatul Qadar
Monday, July 6, 2009
Secebis ungkapan...
Selawat dan salam terhadap junjungan besar kita, Nabi dan Rasul yang Ummi, Muhammad saw yang selayaknya dan sewajibnya dicontohi dan diteladani oleh semua umat yang mahukan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Setelah hampir sebulan lebih penulis pulang bercuti di negeri tercinta, selama itulah blog penulis sepi tanpa ‘posting’. Kenikmatan bersama keluarga benar-benar telah melenakan penulis. Namun begitu, alhamdulillah…keinginan jiwa penulis untuk bersama dalam gerak kerja Islam tidak pernah padam walaupun kadang-kala nampak agak lesu.
Beberapa kali terlibat dalam program telah merapatkan kembali hubungan penulis dengan beberapa sahabat lama dalam MSK di negeri Serambi Mekah. Penulis tidak menafikan, gerak kerja Islam di negeri ini amat hebat apatah lagi apabila tiba musim pilihanraya. Benarlah kata-kata sesetengah ‘oghe kelate’ bahawa hari yang paling penting bagi rakyat ‘kelate’ adalah hari raya dan musim pilihanraya..Hmm, sangat meriah. Rugi kalau tak balik time ni..
Tapi bagi penulis, yang paling penting adalah keikhlasan..Ikhlas kerana Allah. Jika kita tidak ikhlas, apapun tak jadi..betulkan?
Namun kali ini, penulis sebenarnya ingin menyatakan tentang perancangan. Adakala kita lupa untuk merancang menyebabkan masa kita berlalu begitu sahaja. Apatah lagi bila cuti panjang begini. Mungkin juga kita ada merancang, tetapi kurang usaha untuk merealisasikannya.
Seorang pujangga pernah menyebut, merancanglah untuk menuju hari muka kamu yang penuh mencabar dengan penuh wawasan dan sabar. Kata-kata ini dipetik dari buku ‘ Menjejak Kualiti Menjana Kecemerlangan’ karangan Mohd. Yusof Hj. Othman.
· Sekiranya kita tidak merancang untuk menjadi orang yang berilmu, bersediakah kita
untuk menjadi orang yang jahil?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk berjaya, bersediakah kita untuk gagal?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk maju, bersediakah kita untuk mundur?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk merdeka, bersediakah kita untuk dijajah?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk bahagia, bersediakah kita untuk menderita?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk beriman, bersediakah kita untuk menjadi kufur?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk ke syurga, bersediakah kita untuk ke neraka?
Sama-samalah kita hayati dan cuba untuk realisasikannya..
Wednesday, April 22, 2009
Rindukah dia padaKu ?
Suatu ketika dahulu,hamba Allah ini bekerja sebagai pemungut cukai dan kesenangan adalah kawan akrabnya. Hingga pada suatu saat ia terdengar ceramah yang menjelaskan bahawa penyelewengan yang sering dilakukan selama ini bersama kawan-kawannya adalah haram dan tidak membawa keberkatan. Di akhirat kelak, tidak ada seorang manusiapun yang melakukan dosa akan terlepas dari azab Allah. Bergetar hatinya apabila mendengar bait-bait perkataan yang terhambur dari bibir seorang ulama yang sangat disegani. Hidayah Allah mula menguasai hati dan akal fikirannya. Sejak peristiwa tersebut, hamba Allah itu bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya itu. Semakin hari beliau semakin rajin melaksanakan solat malam dan mengadukan nasibnya hanya kepada Allah, agar diberikannya harta yang halal dan rezeki yang lapang dalam menghadapi hidup ini. Namun seakan-akan Allah ingin menguji keikhlasan hatinya. Setelah beliau meninggalkan perbuatan dosa yang telah dilakukannya sebelum ini, pendapatannya seharian semakin menurun, beliau sekeluarga sering ditimpa masalah kesihatan menjadikan badannya yang sihat semakin kurus. Tidak lama selepas itu, satu-satu anak lelakinya pula dijemput oleh Allah setelah berminggu-minggu menjalani rawatan di hospital.
Kala itu, hamba Allah itu masih mampu bersabar. Tidak pernah sekalipun terucap dari bibirnya kata-kata keluhan dan makian atas apa yang menimpa hidupnya. Malahan hamba Allah itu semakin khusyuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun Allah masih ingin menguji dirinya. Rahsia penyelewengan wang syarikat yang telah dilakukannya bertahun yang lampau bersama kawan-kawannya dahulu mula tersingkap. Lalu mereka dipecat tanpa budi bicara. Subhanallah, semakin berat dirasakannya hidup ini. Pada malam harinya, hamba Allah itu mengadu lagi kepada Rabbnya. Malah lebih panjang dari biasa. Beliau menangis sambil mengungkapkan segala keperitan dan penderitaan batinnya. Setiap kali kepiluan menguasai hatinya, dia berdoa dengan penuh harapan. Tatkala hamba Allah itu berdoa, seakan-akan ada bisikan lirih yang menghujam ke dalam hatinya, “ Apa yang engkau harapkan itu dekat sekali, bila engkau bertaqwa ! “. Bisikan itu ternyata memberi kekuatan kepada jiwanya.
Kini setelah dipecat, hamba Allah itu mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Dia berusaha sedaya-upaya untuk memperoleh hasil yang diharapkan. Namun, musibah seolah-olah tidak berpenghujung. Begitu akrab sekali mengiringi perjalanan hidupnya. Setelah puluhan tahun berlalu, hamba Allah itu tidak jemu-jemu mendekatkan dirinya kepada Allah. Malamnya sentiasa diisi dengan tahajud, istighfar, alunan ayat-ayat cintaNya serta air matanya tidak henti-henti menitis memohon cinta dan keluasan rahmatNya. Namun hidupnya masih tidak berubah. Sejak puluhan tahun itu juga, bisikan-bisikan yang terdetik di hatinya masih belum menampakkan apa yang telah dijanjikan.
Mulailah timbul pemikiran yang tidak baik dari syaitan. Lalu hamba Allah itu menyimpulkan, mungkin Allah tidak redha dengan doanya selama ini. Maka pada malam itu, dia berdoa kepada Allah:
“ Wahai Allah Yang Menciptakan Malam Dan Siang, Yang Dengan Mudah Menciptakan Diriku Yang Sempurna ini. Kerana Engkau tidak mengabulkan permintaanku hingga saat ini, mulai esok aku tidak akan meminta dan solat lagi kepadaMu, aku akan lebih rajin berusaha agar tidaklah harus beralasan bahawa semua harus bergantung kepadaMu. Maafkan aku, ampuni aku kerana menganggap diriku sudah dekat denganMu !”
Beliau menutup doanya dengan perasaan yang amat berat dirasakan. Lalu hamba Allah itu berbaring dengan pemikiran menerawang lalu dia tertidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi, mimpi yang membuatnya semakin rasa bersalah. Seakan dia melihat satu padang luas bermandikan cahaya yang menakjubkan. Puluhan ribu atau mungkin jutaan makhluk bercahaya duduk di atas betisnya sendiri dengan kepala tertunduk takut. Ketika beliau cuba mengangkat wajahnya untuk melihat kepada siapa mereka bersimpuh, dia tidak mampu. Mata dan kepalanya tidak mampu memandang dengan menengadah. Beliau hanya dapat melihat para makhluk yang duduk di hadapan Sesuatu Yang Dahsyat.
Terdengar olehnya satu suara, “Bagaimana hambaKu Si Fulan, hai malaikatKu?” nama yang tidak dikenalnya. Seorang yang berdiri dengan tubuh gementar kerana takut, bersuara dengan lirih:
“Subhaanaka yaa Maalikul Quddus, Engkau lebih tahu keadaan hambaMu itu. Dia mengatakan demikian : “ Wahai Allah Yang Menciptakan Malam Dan Siang, Yang Dengan Mudah Menciptakan Diriku Yang Sempurna ini. Kerana Engkau tidak mengabulkan permintaanku hingga saat ini, mulai esok aku tidak akan meminta dan solat lagi kepadaMu, aku akan lebih rajin berusaha agar tidaklah harus beralasan bahawa semua harus bergantung kepadaMu. Maafkan aku, ampuni aku kerana menganggap diriku sudah dekat denganMu !”
Ampuni dia yaa Al ‘Aziz, Yaa Al Ghofuurur Rohiim!”
Tersentak beliau, itu..itu kata-kataku semalam..oh celaka, fikirnya. Kemudian suara itu terdengar lagi :
“ Sayang sekali, padahal Aku sangat menyukainya, sangat mencintainya dan Aku paling suka melihat wajahnya yang terpejam menangis, bersimpuh dengan menadah tangannya yang gementar kepadaKu, dengan permintaan-permintaannya kepadaKu, sehingga tak ingin cepat-cepat Kukabulkan apa yang hendak aku berikan kepadanya agar lebih lama dan sering aku memandang wajahnya, Aku percepat cintaKu padanya dengan membersihkan daging-daging haram yang menghuni tubuh badannya melalui kesakitan-kesakitan yang ringan. Aku sangat menyukai keikhlasan hatinya di saat Aku ambil puteranya, di saat Kuberi ia cubaan tak pernah Kudengar keluhan kesal yang terbit dari bibirnya. Aku rindu kepadanya. Rindukah ia kepadaKu, hai malaikat-malaikatKu?”
Suasana hening, tiada jawapan. Menyesallah beliau dengan kata-katanya semalam. Ingin sekali ia berteriak untuk menjawab dan meminta ampun tetapi suaranya tidak terdengar.
” Ini aku Yaa Robbi, ini aku. Ampuni aku Yaa Robbi, maafkan kata-kataku !”
Semakin takut rasanya ketika tidak kelihatan mereka mendengar, terasa hangat air matanya mengalir di pipi. Astaghfirullah !! Terbangun ia, mimpii…
Segeralah ia berwuduk, lalu kembali bersujud dengan bertambah kekusyukannya. Hamba Allah itu kembali bersolat malah lebih panjang daripada biasa. Ia bermunajat dan berbisik-bisik dengan Al-Khaliqnya serta berjanji tidak akan lagi mengulangi sikapnya malam tadi selama-lamanya.
“ Yaa Allah, Yaa Robbi. Jangan Engkau ungkit kebodohanku yang lalu, ini aku hambaMu yang tidak pintar berkata manis, datang dengan lumuran dosa dan segunung masalah dan harapan, apapun dariMu asal Engkau tidak membenciku, aku rela Yaa Allah, aku rindu padaMu..”
Semoga bertambah keimanan dan ketekunan kita dalam mengerjakan solat malam…Amiin !!
Friday, March 13, 2009
Tersenyumlah~hadirnya sekadar menguji...
“Ya Allah, Kau peliharalah mereka yang amat kusayangi dalam hidup ini ketika ku tidak dapat bersama mereka di sisi, tika dia jaga, tika dia tidur, tika dia gembira, tika dia duka, tika lara dan gundah, tika senang, tika sakit, ku memohon dengan rahmatMu ya Allah, letakkan mereka dalam sebaik-baik perlindunganMu, pandanglah dengan kasih sayangMu sentiasa..peliharalah mereka dalam sebaik-baik peliharaanMu…
Ameen.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang berada di samping, yang sentiasa menyokong dan menguatkan diri yang lemah ini dan tidak jemu menceriakan walau hati kerap terluka...Ana Uhibbukum Fillah..
Wednesday, March 11, 2009
Sempurnakan solatmu..!
Sembahyang adalah penentu keislaman seseorang.
Sabda Nabi SAW:
العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر
Maksudnya: Perjanjian antara kita (orang islam) dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang. Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang maka ia telah kafir.
Sabda Nabi SAW:
بين الرجل وبين الكفر ترك الصلاة
Maksudnya: Diantara seseorang dengan kekafiran ialah meninggalkan sembahyang.
Assalamualaikum wbt..InsyaAllah pada 14 & 15 Mac ini, EKSAH KKIP akan mengadakan Bengkel Pengukuhan Solat Siri iv bertempat di Surau Al-Munawwarah. Mahasiswa dan mahasiswi dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis ilmu. Solat yang sempurna menjamin kejayaan kita di dunia & akhirat. Semoga usaha kita yang sedikit ini mampu memberi impak yang bermanfaat kepada jiwa-jiwa yang memerlukan.
Friday, February 20, 2009
Gema Kehidupan
Anak itu merasa hairan, tapi masih juga belum memahami. Kemudian ayahnya menjelaskan, "Nak, orang-orang menyebutnya GEMA, tetapi sesungguhnya inilah yang dimaksudkan dengan hidup itu. Ia akan mengembalikan padamu apa saja yang kau lakukan dan katakan. Hidup kita ini hanyalah refleksi dari tindakan kita. Bila kau ingin mendapatkan lebih banyak cinta kasih di dunia ini, maka berikanlah cinta kasih dari hatimu. Bila kau ingin mendapatkan kebaikan dari orang lain, maka berikanlah kebaikan dari dirimu. Hal ini berlaku kepada apa sahaja dan kepada semua aspek dalam hidup. Hidup akan memberikan apa yang telah kamu berikan padanya.
Cara Mendidik Hati (sambungan kpd Racun Dalam Jiwa)
Hati mesti dididik agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya. Di antara cara-cara mendidik hati ialah:
Pertama:
Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.
Kedua:
Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
1. Mujahadatunnafsi
2. Istiqamah
3. Tafakur
4. Bergaul dengan orang yang baik-baik
5. Pimpinan mursyid
A. MUJAHADATUNNAFSI
Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1.Takhalli ( ) - mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2.Tahalli ( ) - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3.Tajalli ( ) - terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.
Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan riadatunnafsi( ). Yakni latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu. Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
1. TAKHALLI
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.
Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya:
Maksudnya: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)
Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada Sahabat- Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan peperangan:
Maksudnya: “Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus (jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.
Hampir semua dari kita ada sifat ego atau sombong ini. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali ada berkata bahawa sifat ego itu hampir-hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia. Ada ulama sufi berkata, setelah melakukan latihan melawan hawa nafsu, sifat mazmumah yang paling akhir sekali keluar dari dirinya ialah kibir, sombong atau ego.
Bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa.
Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah. Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”
Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, akan mampu pulalah kita meminta maaf. Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu perlu sangatlah kita melatih diri untuk melawan sifat sombong atau takabur itu.
Latihan yang lebih berkesan lagi ialah kita biasakan diri tinggal bersama dengan orang-orang yang dipandang rendah oleh masyarakat. Orang-orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap-cakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka. Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita. Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”
Kalaulah amalan ini dibiasakan, insya-Allah sifat ego itu sedikit demi sedikit akan dapat kita buang dari hati kita. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Dan ingatlah selalu firman Allah:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Luqman: 18)
Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita. Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.”
Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut oleh Allah. Ia adalah lawan pada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapat- kannya, kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah. Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Latihan ini sangat susah hendak dibuat kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya. Sebab itu Rasulullah ada bersabda:
Maksudnya: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.”
Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja. Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu. Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit. Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan ini sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.
Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang telah kita sebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun ianya bukan mudah. Amat susah. Tersiksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah. Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun melalui latihan yang bersungguh-sungguh, insya-Allah ianya akan dipermudahkan oleh Allah. Allah berfirman:
Maksudnya: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
Ada orang berpendapat sifat ego itu bagus, ia adalah anugerah untuk menjadi sifat pelengkap seseorang. Maka gunakan pd tempatnya dengan panduan akal dan ilmu. Sebagai penawar dan pengawal sifat ego..hadirkan sifat rendah diri.
Oleh itu sahabat2 sekalian, jangan biarkan ego itu bersendirian dan jangan digabungkan dengan sifat2 keji dalam diri. Tapi gabungkan dengan sifat2 terpuji. Contohnya mempamerkan kebaikan dengan tidak sombong, mempamerkan kemewahan dengan rendah diri, memberi pendapat secara tegas di samping menghormati pendapat orang lain. Opps ada lagi...kalau nak marah dengan muka manis dan kasih sayang.
Semoga artikel ni memberi motivasi untuk diri penulis..InsyaAllah
Tuesday, February 17, 2009
Racun Dalam Jiwa
Assalamualaikum warahmatullah..
Alhamdulillah, akhirnya penulis berjaya membuka semula blog yang telah sekian lama meng 'hilang' dari alam maya. Bermula dengan terlupa password, ditambah dengan penulis yang ketiadaan idea untuk menulis dan semangat pun mulai pudar. Apatah lagi ketika itu dibebani dengan pelbagai assigment dan program. Lalu penulis melupakan sejenak usaha-usaha untuk 'mencari'. Akhirnya dengan bantuan seorang sahabat yang baik hati, blog penulis wujud semula dengan wajah yang baru.
Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi,
Dari satu peristiwa demi peristiwa, kegagalan demi kegagalan, kesilapan demi kesilapan dan di sebalik segala kemanisan dan kepahitan yang tersembunyi dalam setiap lipatan sejarah kehidupan, rupa-rupanya terdampar 1001 hikmah, berupa pengertian yang cukup mendalam. Penulis sangat menyedari, hidup ini memang tidak dapat lari dari perjuangan. Perjuangan untuk mencari kehidupan yang sempurna, perjuangan untuk menjadi orang yang berilmu & beramal, perjuangan untuk menegakkan agama Allah di muka Bumi dan pelbagai lagi yang tak mampu penulis ungkapkan di sini. Akan tetapi ada orang selalu lupa, tentang perjuangan melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi . Termasuk juga diri penulis.
Hari-hari kita bermuhasabah, kita introspeksi diri kita untuk mencari titik kelemahan yang tersemadi dalam diri. Apabila kita berjaya menyelidiki kelemahan itu, pasti kita berusaha untuk mengubahnya. Namun terdapat juga sesuatu kelemahan, sifat atau penyakit itu tidak berjaya dirungkai oleh seseorang melainkan apabila diuji. Suka untuk penulis berkongsi satu cerita. Ada seorang yang kerjanya suka mem'provoke'..Dan ada suara yang menjawab,'' Ana tak lemah !''..Dan terdengar pula suara-suara lain,'' Enti ego!..Enti degil! "
Berdasarkan cerita pendek di atas, 'Ana' mungkin boleh dilabelkan sebagai seorang yang ego, degil dan berasa diri pandai. Mungkin selama ini 'Ana' juga tidak menyangka bahawa dirinya ego walaupun saban hari bermuhasabah. Oleh kerana perasaan 'curiosity' yang menggunung dalam jiwa, penulis tertarik untuk mengkaji sifat-sifat ego dan bagaimana ia boleh wujud dalam jiwa manusia. Dengan harapan, hasil kajian ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya agar membawa cahaya perubahan kepada diri penulis khususnya, dan para pembaca amnya.
Menurut kajian penulis, ego adalah pengertian dalam bahasa moden. Istilah lainnya adalah sombong atau angkuh. Mengikut syariat Islam, iaitu takabbur, ertinya membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang keji. Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah terhadap Allah swt ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam as sewaktu Allah memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam as.
Sifat ego adalah sifat semulajadi yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada jiwa manusia. Sifat ini lahir secara semulajadi bersama-sama dengan tubuh kasar manusia yang kemudian dibiarkan tanpa dididik hingga tumbuh menjadi subur. Sifat ego sukar diteka kewujudannya kerana ia tertanam jauh ke dalam jiwa. Kadang-kadang ia akan terserlah melalui penampilan, pergaulan, cara berkomunikasi dan mungkin boleh dilihat apabila dicabar. Oleh sebab itu, ada kalanya seseorang tidak mengetahui bahawa dia memiliki sifat ini. Tetapi, ada sesetengah orang pula menyedarinya, namun ego untuk mengaku bahawa dirinya ego. Di sinilah pentingnya peranan keluarga, sahabat atau orang-orang terdekat yang berada di sekitarnya untuk cuba memperbaiki dengan memberitahu kesilapannya secara jujur dan ikhlas.
Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat ego?
Di antaranya:
1. Suka memperkecilkan orang lain lebih-lebih lagi orang yang dipandang hina dan lebih rendah taraf darinya.
2. Susah menerima sebarang nasihat, teguran atau kritikan daripada orang lain terutama orang di bawahnya.
3. Bermegah dengan keistimewaan anugerah Allah kepadanya, seperti cantik, berjawatan tinggi, kaya, bijak, mahsyur, dipuji orang, keturunan baik dan sebagainya.
4. Suka marah-marah kepada orang atau membentak-bentak orang di khalayak ramai.
5. Rasa diri hebat, sempurna, kuat hingga membelakangkan kehebatan dan kebesaran Allah samasekali.
6. Suka bergaul dengan orang yang setaraf dengannya sahaja.
7. Pendapatnya sahaja yang betul dan mesti diterima, orang lain salah dan tidak penting.
8. Susah minta maaf dan senyum pada orang lain.
9. Tidak pernah fikir kesusahan orang , ia fikir kesenangannya sahaja.
Apakah ciri-ciri di atas ada pada kita? Kalau ada ertinya kita memiliki sifat sombong, dan kita dalam kemurkaan Allah. Kebanyakan manusia hari ini memiliki sifat-sifat ego yang tersendiri dan berbagai-bagai kategori keegoan yang menyelubungi hati nurani setiap insan. Sifat ego ini sebenarnya tidak baik untuk diri dan orang lain kerana ianya akan merosakkan minda dan ketenangan. Sedar atau tidak semua orang memiliki sifat ego, ada ego negatif dan ada juga yang positif. Contoh ego yang negatif adalah seperti yang tertera di atas. Manakala ego yang positif pula adalah..anda boleh berfikir sendiri. Ia sangat abstrak dan pelbagai dan setiap individu pasti ada persepsi serta pendirian yang tersendiri.
Ada individu yang memiliki semua ciri-ciri ini, ada yang separuh, ada yang memiliki satu atau dua sahaja, atau mungkin tidak ada langsung..perfect. Jika begitu, individu tersebut pastinya sudah mencapai kesempurnaan iman. Ya, tentunya tak lain dan tak bukan adalah akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad saw. Manusia Agung yang maksum. Apa yang telah dipaparkan ini adalah berdasarkan pemerhatian penulis, pengalaman sendiri serta rujukan dari sumber-sumber lain. Terdapat banyak lagi pendapat serta maklumat lain yang tidak mampu penulis rungkaikan di sini. Bagi penulis, artikel yang tidak seberapa ini cukuplah sekadar dapat menyentuh mana-mana hati yang sedang melakukan penjernihan jiwa dengan cara meneliti kekurangan dan kelemahan diri serta racun jiwa yang membantutkan pembinaan akhlak dan sahsiah cemerlang dalam diri setiap insan.
Setiap kelemahan dan kesilapan adalah ujian daripada Allah swt. Allah ingin menguji bagaimana sabarnya kita untuk menerima kelemahan tersebut dan sejauhmana ketabahan kita untuk bangkit memperbaiki serta mengubah diri untuk menjadi insan yang lebih baik. Setiap masalah itu, pasti ada jalan penyelesaian. Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali mati. Untuk berubah tidak lain dan tidak bukan adalah mujahadatunnafsi..melawan hawa nafsu. Seperti yang penulis telah nyatakan pada awal artikel, perjuangan melawan hawa nafsu sangat sukar. Lebih sukar daripada berjuang di medan peperangan. Seterusnya, bagaimana cara untuk bermujahadah bagi mengikis sifat-sifat negatif ini akan dipaparkan dalam artikel akan datang.
Mana-mana sahabat seperjuangan yang mengenali diri penulis, terima kasih diucapkan. Teguran ikhlas dari kalian sangat dihargai. Sesungguhnya jiwa penulis sentiasa berpegang kepada satu kata-kata, "Sahabat yang baik itu adalah yang mengatakan kebaikan tentang diri sahabatnya. Namun, sahabat yang paling baik dan jujur adalah yang menunjukkan kesalahan yg dilakukan oleh sahabatnya". Semoga kita sama-sama mendapat manfaat.