Tuesday, February 14, 2012

Sajak: Doa Tertangguh Sekeping Roh

Sajak ini telah muncul dalam Buletin Jendela Selatan Edisi Disember 2011 terbitan DBPWS


Doa Tertangguh Sekeping Roh  

Aku tidak tahu mengeja
Kerna tidak diajari alif ba ta
Aku tidak mampu berkata-kata
Kerna lidah belum dibasahi bahasa ibunda
Aku tidak pandai mengarang doa
Kerna tidak sempat ditunjukinya
Aku hanya terdaya menangis menagih simpati
Kerna belum sempat mengerti
Kenyataan yang teramat ngeri 

Namun kutitip jua doa kudus buat ibubapaku
Kerna DIA dan para malaikat pernah membisik ke cupingku
Lalu kupanjarkan syukur sesempurnanya
Meski pun mereka pernah tergamak mencabulnya
Moga ibubapaku sejahtera bahagia dan diampuni-Nya 

Kini kutunggu mereka di pintu syurga setaatnya
Untuk kucium harum tangan mereka
Memeluk mesra hangat jasad mereka
Kerna melalui mereka aku tercipta
Kuakan buat semampunya
Demi memohon sejagat raya taufik dan keampunan-Nya 

Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat
5 Mei 2010 

Sinopsis:
Belakangan ini kes-kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut telah menggoncang hati nurani segenap lapisan rakyat.  Perkara yang amat menyayat hati berlaku hasil daripada keserakahan dan keruntuhan akhlak anak-anak muda kita dewasa ini.  Kasihan bayi atau kanak-kanak yang tidak berdosa telah menjadi mangsa.  Mereka dibuang persis sampah di surau, perhentian bas awam dan dalam semak.  Yang malang dijerut sehingga mati sebelum disumbat ke dalam mangkuk tandas atau longkang; dan ada yang dibiarkan sendirian dihurungi semut dan lalat sehingga menemui ajal. 
Sajak ini cuba memberi suara kepada bayi-bayi yang malang ini.  Di alam barzakh ini, mereka tidak diajar mengeji,mengecam dan membenci ibubapa kandung mereka.  Akan tetapi mereka dengan penuh kasih-sayang sedaya upaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ibubapa mereka di dunia di samping memohon kepada Tuhan moga diampunkan dosa-dosa ibubapa dan mengharapkan agar Tuhan melorongkan mereka ke jalan taubat dan akhirnya menerima taubat mereka.  Bayi-bayi ini berjanji dengan penuh gembira untuk setia menanti ibubapa mereka di pintu syurga demi mencipta pertemuan yang abadi.